OLEH:
IDFA WAHTI IDRIS
JUMAIN BAMBANG
SHARIF MOHD. FAISAL B. SH. MAHMUD
KAJIAN PERBANDINGAN SISTEM HUBUNGAN INDUSTRI MALAYSIA DENGAN AMERIKA SYARIKAT
PENGENALAN
Sistem hubungan industri yang diamalkan oleh sesebuah negara adalah berbeza dengan negara yang lain. Sistem hubungan industri sesebuah negara dipengaruhi oleh pembolehubah-pembolehubah yang berada di persekitaran. Pembolehubah tersebut terdiri daripada faktor teknologi, keadaan pasaran, status perhubungan kuasa dan dasar kerajaan. Namun tidak dinafikan, sistem hubungan industri yang terbentuk di sesebuah negara juga dipengaruhi oleh latar belakang sejarah dan bagaimana perhubungan industri tersebut berkembang dari semasa ke semasa.
Marilyn Aminuddin (1990:1) memberikan definisi perhubungan industri sebagai “perhubungan di antara pekerja dan majikan di dalam suasana pekerjaan”. Menurut Tyson (1987:12), perhubungan industri sebagai “perhubungan yang terdapat di tempat kerja di antara para pekerja dan para pengurus, daya-usaha dan perlakuan kedua belah pihak dan daya-usaha stategik pihak pengurusan dan ahli kesatuan sekerja.” Ini bermakna perhubungan industri bukan hanya perhubungan di antara majikan dan pekerja di dalam suasana pekerjaan tetapi harus dilihat kepada ‘multiplicity’ atau kepelbagaian sudut yang terdapat di dalamnya. Ini kerana sistem hubungan industri amat penting kepada sesebuah organisasi dan juga negara tersebut. Bak kata bijak pandai “industrial relations makes or breaks a company” (perhubungan industri menentukan maju-mundurnya sesebuah organisasi itu).
Manakala Prof. J.T Dunlop mendefinisikan sistem hubungan industri sebagai satu subsistem dalam konteks masyarakat yang luas. Oleh itu, ia mempunyai status yang sama dengan bidang-bidang yang lain seperti politik, sosiologi, pengurusan, ekonomi dan lain-lain bidang dan semua bidang ini adalah bergantungan antara satu sama lain. Beliau berpendapat sistem hubungan industri melibatkan beberapa pelakon utama, konteks, ideologi dan satu badan undang-undang yang mengawal pelakon-pelakon ini di tempat kerja. (Balakrishnan Parasuraman, 1999:83).
Kajian perhubungan industri dapat dilihat kepada tiga bahagian utama iaitu Negara-negara Maju, Negara Asia Pasifik dan Negara Asia. Namun perbincangan di sini lebih kepada perbandingan sistem hubungan industri di Malaysia (Negara Asia Pasifik) dan Amerika Syarikat (Negara Maju). Kedua-dua negara ini mempunyai sistem hubungan industri yang tersendiri.mengikut perkembangan sejarahnya.
SEJARAH PERKEMBANGAN PERHUBUNGAN INDUSTRI MALAYSIA DAN AMERIKA SYARIKAT
Sememangnya tidak dinafikan bahawa sistem hubungan industri di Malaysia dipengaruhi oleh perkembangan sejarah sehingga terbentuknya fenomena perhubungan industri seperti mana yang ada pada hari ini. Sistem hubungan industri di Malaysia adalah berkait rapat dengan sejarah kolonialisme dan pembentukan ekomoni bercorak komersil yang akhirnya membawa kepada fenomena kemasukan rakyat asing ke negara ini.
Penjajahan Inggeris di Malaya sekitar abad ke-19, telah mencorakkan ekonomi sehingga ia boleh diklasifikasikan sebagai ‘ekonomi bebas ala persaingan’ di mana perdagangan adalah sebagai tunggak kekuatan negara. Inggeris yang mempunyai kepentingan perdagangan ingin menjadikan Tanah Melayu sebagai suatu pusat perdagangan yang berjaya. Dasar ‘kemajuan melalui perdagangan’ atau ‘development through trade’ diamalkan secara meluas oleh Inggeris sehingga memberi implikasi jangka panjang di mana diamalkan sehingga hari ini walaupun bentuknya agak berbeza. (Dr. Syed Raisudin Syed Abdullah)
Pihak Inggeris telah memperkenalkan aktiviti perlombongan secara besar-besaran, kemudian menggalakkan penanaman getah di Tanah Melayu di samping penanaman kopi dan tebu. Akibat perkembangan fenomena ini, pihak Inggeris telah membawa buruh-buruh kasar dari China dan India. Ini memandangkan orang Melayu pada masa tersebut tidak berminat untuk bekerja di dalam sektor tersebut. Orang Melayu lebih bertumpu kepada aktviti pertanian terutama penanaman padi dan menangkap ikan. Perkembangan dalam infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan keretapi untuk pengangkutan juga semakin pesat dan memerlukan ramai tenaga buruh. Dengan ini, pihak Inggeris telah mengambil jalan mudah dengan mengimport ramai tenaga buruh dari India dan China untuk menampung kekurangan tenaga buruh pada masa itu.
Pengambilan buruh-buruh kasar dari India ini dibawa melalui sistem bekerja untuk melangsaikan hutang tambang seperti buruh Cina. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan di mana buruh-buruh India diusahakan oleh bangsa India yang dinamakan seorang “Kanggani”, lantaran ini ia dipanggil sebagai sistem Kanggani. Melalui sistem ini, seorang buruh kanggani akan ditawarkan oleh majikannya tambang pergi dan balik untuk mengambil buruh baru (Abdul Razak Omar dan Zainal Ariffin Ahmad, 1999:33) dan akan diberikan komisen bagi setiap buruh yang diambil bekerja. Manakala buruh yang diambil bekerja akan diberikan pinjaman dan kemudahan asas seperti penginapan dan makanan untuk mewujudkan rasa terhutang budi. Ini menyebabkan wujudnya hubungan “hamba dan ketua” di antara kedua-dua pihak. Di samping itu, buruh ini juga menganggap majikan mereka sebagai “Lord Master”. Stenson (1970) menyatakan bahawa perkhidmatan para kanggani ini dianggap sebagai istimewa oleh pengurus dan mereka diberi upah (Abdul Razak,1999:34) di mana ianya sekaligus menjadikan mereka sebagai aset penting kepada pengurus.
Pada tahun 1911, kerajaan British telah memansuhkan sistem kanggani dan memperkenalkan Kod Imigrasi Buruh (Labour Imigration Code). Pengenalan sistem ini membolehkan kerajaan British mengawal dan mengawasi jumlah buruh yang diambil bekerja. Ini kerana pengambilan buruh dari India diletakkan terus di bawah arahan pihak kerajaan. Pengenalan sistem ini telah memudahkan pihak Inggeris untuk mengimport dan menghantar pulang buruh tersebut mengikut keperluan guna tenaga. Begitu juga halnya dengan buruh Cina, cuma buruh Cina ini tidak bekerja secara langsung dengan majikan tetapi mereka bekerja di bawah kontraktor yang mengambil kerja kontrak sama ada di lombong bijih timah atau ladang getah.
Selain wujudnya satu sistem pengambilan buruh, akibat fenomena ini antara lain telah menyebabkan Tanah Melayu didiami oleh bangsa-bangsa lain iaitu kaum cina dan India. Kaum-kaum ini telah menikmati kemajuan sektor perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Pada masa yang sama, orang Melayu terus ketinggalan dengan cara hidup tradisional dan aktiviti subsistem mereka sedangkan Tanah Melayu terus dibawa arus pembangunan.
Kehadiran buruh Cina di Malaya telah membawa bersama fahaman dan sentiasa peka terhadap perkembangan politik negara asal mereka. Kesedaran ini telah mendorong mereka untuk menubuhkan persatuan sekerja yang dianggotai oleh anggota dari suku keluarga yang sama bagi membela nasib mereka sebagai kaum Cina dan pekerja di lombong tersebut. Persatuan ini kemudiannyaa bertukar menjadi kumpulan kongsi gelap yang sanggup bermusuhan di antara kongsi gelap yang lain. Keadaan ini telah menyebabkan ketidakstabilan sosial dan berlakunya beberapa siri mogok.
Sementara itu, pihak Komunis Antarabangsa “Commintern” (Communist International) telah mengambil kesempatan untuk bergiat mempengaruhi pekerja-pekerja tersebut. Pada tahun 1927, General Labour Union (GLU) telah ditubuhkan di Singapura oleh pekerja-pekerja Cina. Persatuan ini dikatakan telah berkembang dan mempunyai keahlian seramai 5,000 pekerja pada tahun 1928. Ini diakui sendiri oleh pihak Inggeris di mana keahlian GLU adalah seramai 11,000 pekerja kaum Cina di Perak. Keadaan ini telah menyebabkan pihak Inggeris mengambil keputusan untuk membenarkan persatuan-persatuan pekerja ini didaftarkan di bawah Ordinan Persatuan pada tahun 1929.
Berkenaan buruh India, mereka juga mempunyai minat untuk menyertai kesatuan. Pekerja-pekerja India telah menubuhkan “Estate Asiatic Staff Association” (EASA) dengan tujuan untuk memperbaiki keadaan pekerja dari segi pencen, gaji, terma cuti dan penubuhan tabung untuk pekerja ladang.
Pada tahun 1930, “Malayan General Labour Union” (MGLU) telah ditubuhkan oleh pekerja Cina di Tanah Melayu. Dengan tertubuhnya MGLU ini menunjukkan titik permulaan bermulanya pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia. Pada awal 1930-an, berlakunya kemelesatan ekonomi yang menyebabkan ramai pekerja diberhentikan dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Namun pada penghujung dekad 1930-an, keadaan ekonomi menjadi semakin pulih. Dengan ini, permintaan untuk buruh semakin meningkat bagi memenuhi kehendak pengeluaran.
Pada tahun 1935, pihak kerajaan Inggeris telah menjadi majikan utama dan berpakat dengan majikan mengambil buruh asing untuk menyelesaikan masalah kekurangan buruh. Namun usaha pihak Inggeris gagal disebabkan Parti Kongres India telah berjaya memujuk kerajaan Inggeris di India untuk mengharamkan penghijrahan buruh India. Begitu juga, dalam mendapatkan buruh Cina kerana tindakan kawalan yang telah dibuat oleh pihak Inggeris sebelum ini.
Pada masa yang sama, kesatuan GLU dan MGLU telah mula bertindak dan berjaya menyatupadukan buruh Cina dan India di ladang getah dan lombong bijih timah dan sektor kerajaan. Oleh kerana permintaan buruh semakin meningkat, maka mereka mempunyai peluang untuk meminta kenaikan gaji dan terma pekerjaan yang lebih baik dengan mengadakan berbagai tindakan seperti piket dan mogok. Menurut Stensen (1970) dan Parmer (1960), pada September 1936 lebih daripada 87,000 pekerja telah mogok di bawah kesatuan GLU dan MGLU. Untuk menghadapi masalah ini, pihak Inggeris telah menggunakan anggota polis dan tentera di mana pihak polis telah berjaya menangkap 39 pekerja dan mencederakan lebih daripada 100 orang. (Abdul Razak dan Zainal Ariffin Ahmad :1999)
Semasa Jepun mula berkuasa di arena antarabangsa, GLU dan MGLU telah mendapat tempat di kalangan pemimpin Inggeris. Walaupun kesatuan ini telah mempengaruhi para pekerja untuk melancarkan tindakan seperti mogok dan piket, namun kedua-dua kesatuan ini tidak diharamkan. Ini kerana pihak Inggeris berpendapat bahawa aktiviti para pekerja Cina penting jika Jepun menyerang Tanah Melayu. Ini ekoran daripada pekerja Cina yang ‘Anti-Jepun’ kesan daripada peperangan di antara Tanah Besar China dengan Jepun. Senario ini telah menyebabkan GLU dan MGLU terus mempengaruhi para pekerja untuk mengadakan tindakan pertikaian industri sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1940.
Akibat senario ini, terdapat pihak majikan yang berpendapat bahawa pekerja bertindak sedemikian adalah disebabkan oleh ketiadaan saluran untuk mengemukakan permintaan mereka. Denagn ini, pihak majikan telah mengkaji semula tentang gaji dan keadaan tempat kerja. Hasilnya, majikan telah menaikan gaji pekerja dan memperbaiki terma-terma dan keadaaan tempat kerja di samping memberi gaalakan dan rangsangan kepada pihak pekerja untuk berbincang dan bekerjasama di antara kedua belah pihak.
Manakala pihak Inggeris telah memperkenalkan dua peruntukan undang-undang iaitu Ordinan Kesatuan Sekerja dan Ordinan Perhubungan Industri di samping menjadi orang tengah bagi merapat hubungan antara majikan dan pekerja.
Semasa pendudukan Jepun, ketiga-tiga kaum di Tanah Melayu iaitu Melayu, Cina dan India mula membenci antara satu sama lain secara terbuka akibat pendekatan diskriminasi Jepun. Akhirnya berlaku ketegangan hubungan antata kaum di Tanah Melayu. Seterusnya, Jepun membenci semua kaum di Malaya dan menyeksa mereka dengan berbagai cara.
Pada masa yang sama, MPAJA dan MPAJU telah berusaha untuk melemahkan kuasa Jepun dengan mencetuskan berbagai kekacauan. Antaranya, MPAJA telah mengambil alih kuasa di kawasan pendalaman, mengenakan cukai dan memberi arahan dan hukuman kepada pengkhianat iaitu orang yang bekerjasama dengan Jepun. Manakala MPAJU pula, berusaha membantu MPAJA dan akhirnya MPAJU berkuasa di Tanah Melayu semasa peninggalan Jepun pada tahun 1945. Semasa MPAJA mengambilalih kuasa di Malaya, berlaku peristiwa hitam dalam sejarah Tanah Melayu iaitu ‘peristiwa Cina menyerang dan membunuh Melayu’ yang memberi impak kepada kesan perkauman.
Seterusnya, pada September 1945 pihak Inggeris kembali ke Tanah Melayu dan mendapati hamper keseluruhan Tanah Melayu dikuasai oleh MPAJA yang mempunyai perkaitan dengan Parti Komunuis Malaya (PKM). Pihak Inggeris telah ditawarkan oleh MPAJA untuk berkongsi dalam menubuhkan kerajaan. Namun begitu, pihak Inggeris berjaya menubuhkan kerajaan tanpa berkongsi dengan MPAJA. Kemudian mereka menubuhkan kerajaan baru “British Military Administration” (BMA) pada Oktober 1945.
Akibatnya, MPAJA dengan sokongan PKM telah berusaha balas dendam terhadap kerajaan BMA. Mereka telah menubuhkan dua sayap iaitu Jawatankuasa Rakyat dan Pan-Malayan General Labour Union. Jawatankuasa Rakyat ditubuhkan untuk menentang BMA. Manakala PMGLU untuk mendapat sokongan pekerja. Tujuan kedua-dua untuk mengalahkan kerajaan Inggeris dan menubuhkan Republik Komunis di Tanah Melayu. Namun, hanya PMGLU sahaja yang mendapat pengaruh di kalangan penduduk Malaya. Walaupun PMGLU hanya merupakan kesatuan sekerja namun ianya mempunyai cawangan di setiap negeri dan bandar di seluruh Malaya.
Pihak MPGLU telah berjaya mempengaruhi para pekerja dalam berbagai sektor dan industri untuk mengadakan tindakan perusahaan seperti mogok sekitar tahun 1946. Akhirnya, pihak Inggeris menggunakan anggota polis dan tentera untuk menyelesaikan masalah ini. Penghujung tahun 1948, pihak Inggeris mengisytiharkan darurat bagi mengatasi PMGLU dan PKM. Pihak Inggeris telah mengharamkan kedua-dua pertubuhan ini dan akan mempastikan ketidakwujudan parti ini lagi.
Setelah peristiwa tersebut, kerajaan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ telah berusaha untuk mengembalikan keharmonian industri. John Brazier (penasihat Kesatuan Sekerja) telah diarahkan oleh kerajaan British di London ke Tanah Melayu untuk mengambalikan ketenangan industri. Antaranya, penyusunan semula sistem perhubungsn industri dan penubuhan Pejabat Pendaftar Kesatuan Sekerja. Justeru, suatu enakmen yang dinamakan Enakmen Kesatuan Sekerja telah digubal pada tahun 1946. Dengan demikian, pertumbuhan dan kemajuan kesatuan sekerja adalah mengikut peruntukan enakmen tersebut.
Perkembangan lain adalah penubuhan Kesatuan Sekerja Pekerja Perladangan (NUPW) dan Kongress Kesatuan Sekerja Malaya (MTUC) pada tahun 1952. Manakala bagi pihak kerajaan, tiga badan telah diwujudkan di bawah Jabatan Buruh iaitu Jabatan Buruh, Jabatan Pendaftar Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Industri. Pada tahun 1955, kerajaan telah memperkenalkan Akta Pekerjaan. Keunikan akta ini ialah ianya memperuntukan “proviso” minimum kepada pekerja-pekerja yang sedang bertugas bagi melindung mereka dieksploitasi oleh majikan. Akta ini juga memperuntukan faedah pemberhentian. Kewujudan akta ini menunjukkan usaha kerajaan dalam melindungi pekerja dan asas utama dalam membina perhubungan industri yang harmoni.
Seterusnya, kerajaan telah memperkenalkan Akta Kesatuan Sekerja 1959 untuk mempastikan keamanan dan keharmonian dalam industri. Akta Perhubungan Industri 1967 telah digubal dalam membantu Akta Pekerjaan dan Akta Kesatuan Sekerja dalam membina persekitaran harmoni di antara pekerja dan majikan di Malaysia. Akta ini telah mengambilkira hasrat dan cita-cita kerajaan untuk menarik pelaburan asing yang berminat untuk melabur di negara ini kerana kos buruh yang rendah dan keharmonian industri. Akhir sekali dalam sejarah perkembangan hubungan industri dan merupakan peruntukan paling penting ialah Arbitrasi Wajib yang memberi kuasa kepada Menteri Buruh dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian industri atau merujuk kepada Mahkamah Industri.
Manakala di Amerika Syarikat juga tidak ketinggalan seperti negara-negara lain yang mempunyai sejarah perkembangan sistem perhubungan industri. Namun perbincangan di sini lebih kepada perkembangan kesatuan sekerja di Amerika Syarikat. Pada tahun 1794, “Philadelphia Cordwainers” telah ditubuhkan. Pertubuhan ini merupakan kegiatan kesatuan sekerja yang pertama mewakili pekerja-pekerja pembuat kasut.
Di Amerika Syarikat, semua kegiatan kesatuan sekerja adalah diharamkan. Malah terdapat peruntukan undang-undang yang lazimnya dipanggil “Doktrin Konspirasi” yang menyatakan bahawa sebarang bentuk tindakan kesatuan sekerja adalah didapati bersalah oleh mahkamah seperti mana yang dilakukan oleh pekerja-pekerja “Philadelphia Cordwainers” dalam hal penurunan gaji. Walaubagaimanapun, mahkamah Massachusetts telah mengiktiraf kegiatan kesatuan sekerja bukan konspirasi haram pada tahun 1842 (William;1965).
Pada tahun 1866, National Labor Union (NLU) telah ditubuhkan. NLU merupakan kesatuan kebangsaan yang peertama di Amerka Syarikat yang bukan sahaja berperanan dalam isu pekerjaan tetapi juga menjadi pendorong kepada perubahan sosial seperti pergerakan wanita (suffrage) dan polisi kredit yang mudah. Namun begitu, NLU tidak kekal dan telah dibubarkan pada tahun 1872 kerana tidak mendapat sokongan dari ahli-ahlinya.
Seterusnya, “Knight of Labor” di Philadelphia ditubuhkan bermula pada tahun 1869 dari bandar ke bandar. “Knight of Labor” merupakan kesatuan sekerja kebangsaan kedua di Amerika Syarikat. Kesatuan sekerja ini telah berkembang terutama selepas mogok yang dilancarkan oleh beberapa pekerja keretapi. Dari segi keahlianya, kesatuan ini terbuka kepada semua jenis pekerja tanpa mengira bidang pekerjaan mereka. “Knight of Labor” mula mengalami kemerosotan apabila berlaku pertikaian antara pucuk pimpinan dan ahlinya yang telah menyebabkan berlakunya anarki dan tindakan terrosim. Dan akhirnya telah membawa kepada kelahiran “American Federation of Labor” (AFL).
“American Federation of Labor” merupakan kesatuan yang unik dan berbeza dengan kesatuan sekerja sebelum ini. Keunikan AFL ini dapat dilihat dari segi pendekatan pragmatik kepada perhubungan pekerja dan majikan tanpa cenderung kepada mana-mana falsafah politik (Heneman et al :1986). Manakala keahlianya terdiri daripada kesatuan-kesatuan sekerja dari bidang pekerjaan yang mewakilinya. Kesatuan ini hanya berunding dengan pihak majikan tertentu dalam menentukan isu upah, waktu dan keadaan kerja. Kejayaan AFL ini dapat dilihat dari taktik yang digunakan iaitu penekanan yang lebih kepada isu-isu yang berkaitan dengan kerja, dan mementingkan kraf iaitu pekerja dalam sesuatu bidang pekerjaan dan bukan industri yang merupakan pekerja dalam sesuatu industri.
Pada tahun 1930an, kesatuan-kesatuan sekerja telah mengalami kegagalan akibat tentangan masyarakat umum tentang pegangan ideologi pemimpin mereka. Selain itu, kesatuan sekerja juga tidak berupaya dan kurang mampu bersaing dalam mendapatkan kuasa tawar menawar. Ini kerana kemasukan pendatang dalam mencari pekerjaan yang tidak mahir. Terdapat beberapa faktor yang membantu kebangkitan kesatuan sekerja. Heneman et. al. (1986) telah menyenaraikan beberapa faktor-faktor yang telah membantu kebangkitan kesatuan sekerja semasa tahun 1930 an. Antaranya, kesan daripada depresi ke atas upah dan pekerjaan, pemasyuran beberapa undang-undang pertubuhan, kehadiran tokoh-tokoh industri seperti John J. Lewis (pekerja lombong), Philip Murray (pekerja kilang besi) dan Walter Reuther (pekerja kilang automobile) dan yang terakhir, kejatuhan kadar kemasukan pendatang tidak mahir. (Abdul Razak Omar dan Zainal Ariffin Ahmad;1999).
Seterusnya, “Congress of Industrial Organizations” (CIO) telah ditubuhkan pada tahun 1935) oleh beberapa tokoh-tokoh industri yang telah keluar dari AFL yang lebih fokus kepada kraf dan bukan industri. CIO ditubuhkan dengan menggunakan strategi menyusun pekerja dalam sebuah kilang atau syarikat tanpa mengira kraf. Kesatuan sekerja ini telah melancarkan mogok ‘sit down’ di mana pekerja enggan meninggalkan tempat kerja mereka sehinggalah tuntutan mereka dipenuhi oleh pihak majikan. Pada tahun 1954, AFL dan CIO telah bersatu dalam mewakili pekerja dan bekerjasama melancarkan tindakan terhadap pihak majikan.
Perbandingan seterusnya adalah berkaitan dengan keahlian kesatuan sekerja. Menurut Fossum (1985), keahlian kesatuan sekerja di Amerika Syarikat adalah berbeza mengikut industri. Misalnya, lebih 50% daripada pekerja-pekerja dalam industri keretapi, automobil, pos dan alat pengangkutan adalah ahli kesatuan sekerja berbanding dengan kurang 10% bagi pekerja dalam industri pemasaran, insuran, hartanah, pertanian, perbankan dan kewangan.
Dari segi kawalan hubungan buruh-pengurusan pula, terdapat perbezaan kawalan dalam sektor swasta dan sektor awam. Bagi sektor swasta, terdapat empat rang undang-undang persekutuan utama yang mengawal tindakan majikan dan kesatuan sekerja. Rang undang-undang persekutuan tersebut ialah:
1. Akta Norros-La Gyardia (1932)
2. Akta Wagner (1936) – penubuhan National Labor Relations Board (NLRB)
3. Akta Taft-Hartley (1974) yang berkaitan dengan keseimbangan antara kuasa pekerja dan majikan dalm perundingan kolektif.
4. Akta Landrum-Griffin (1959).
Dalam sektor awam pula, pekerja kerajaan negeri dan tempatan adalah tertakluk di bawah undang-undang negeri masing-masing, dan pekerja perkhidmatan awam persekutuan pula tertakluk di bawah Akta Reformasi Perkhidmatan Awam (1978).
Berdasarkan kepada sejarah perkembangan kesatuan sekerja di Amerika Syarikat, struktur pergerakan kesatuan pertubuhan buruh mirip kepada struktur kerajaan yang mana terdapat kesatuan sekerja di peringkat kebangsaan, persekutuan dan tempatan.
Secara keseluruhannya, berdasarkan kepada sejarah perkembangan perhubungan industri di kedua-dua negara tersebut, perkembangan sejarah adalah berbeza dan ianya telah banyak mempengaruhi sistem perhubungan industri pada masa sekarang, iaitu sistem perhubungan industri pada zaman perkembangannya telah memberikan peluang kepada pihak yang bergelar pekerja dan majikan untuk menentukan hala tuju mereka sebagai aktor dalam hubungan perindustrian.
AMERIKA SYARIKAT
i) Peranan Aktor
Seperti yang telah diketahui bahawa ciri-ciri hubungan industri yang terdapat di Malaysia dan Amerika Syarikat adalah berbeza. Keadaan ini boleh dilihat daripada peranan yang dimainkan oleh aktor-aktor penting dalam sistem hubungan industri iaitu terdiri daripada pihak pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan juga pemerintah (The State).
Jika dilihat di negara kita, peranan pemerintah negara adalah cukup penting dalam sistem hubungan industri ini. Antara peranan pemerintah Malaysia ini ialah dapat dilihat pada usaha mencapai matlamat Pelan Induk Perindustrian (PIP). Matlamat utama dalam usaha ini adalah untuk menjadikan sektor perkilangan sebagai catalyst pertumbuhan negara, di mana the state telah menggalakkan penggunaan sumber asli negara secara sepenuhnya. Di antara langkah-langkah yang dilakukan oleh aktor ini dalam usaha mencapai metlamat tersebut ialah dengan melaksanakan dasar perindustrian yang berpandangan luas, memajukan lagi industri berat terpilih untuk menyokong industri-industri eksport yang lain, membangunkan teknologi dan juga tenaga rakyat serta membangunkan atau memodenkan dan menyusun semula struktur perindustrian negara ini bagi menghadapi persaingan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, the state di Malaysia juga turut memainkan peranan dalam usaha untuk mencapai matlamat Dasar Pandang Ke Timur. Dalam usaha mencapai matlamat ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah seperti menghantar para pegawai dan pelajar Malaysia ke negara Jepun dan Korea Selatan untuk mempelajari ilmu-ilmu teknikal dan juga pengurusan. The state di Malaysia juga turut berperanan dalam Dasar Penswastaan. Dasar ini diwujudkan adalah untuk mengurangkan beban kerajaan seperti kos perbelanjaan dan sebagainya.
Selain daripada pihak pemerintah, pihak kesatuan sekerja di Malaysia juga memainkan beberapa peranan yang tidak kurang pentingnya. Peranan utama pihak kesatun sekerja ini adalah menjaga kepentingan ekonomi para pekerja serta hak-hak pekerja yang lain. Kesatuan sekerja di negara ini juga turut berperanan dalam proses pembuatan keputusan antaranya pihak Malaysian Trade Union Congress (MTUC) adalah jurucakap di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, CUEPACS sebagai jurucakap bagi pihak kerajaan dan NUTP pula berperanan sebagai jurucakap pada peringkat kebangsaan. Di sini menunjukkan bahawa kesatuan sekerja di Malaysia sememangnya berperanan penting dalam proses pembuatan keputusan berkaitan para pekerja di negara ini.
Aktor seterusnya yang amat penting dan berperanan dalam sistem hubungan industri di Malaysia ialah pekerja di mana para pekerja berperanan untuk menjadi aktor yang amanah dalam tugas atau tanggungjawab mereka. Mereka telah diamanahkan untuk menjaga nama baik syarikat, agama dan juga negara mereka daripada dibelenggu oleh sebarang bentuk anasir negatif. Salah satu daripada peranan penting pekerja adalah menyertai kesatuan skekerja yang telah disahkan atau diikhtiraf oleh pihak pengurusan mereka. Melalui kesatuan sekerja, para pekerja ini akan dapat mengutarakan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati mereka berkaitan isu pekerjaan mereka kepada pihak kesatuan yang seterusnya dibawa kepada pengetahuan pihak atasan.
Pihak majikan juga merupakan salah satu aktor yang penting dalam sistem hubungan industri di Malaysia di mana ia memainkan beberapa peranan yang penting contohnya berperanan dalam usaha menjaga kepentingan para pekerja seperti menyediakan ruang kerja yang selamat atau selesa, gaji yang adil dan sebagainya. Keadaan ini sekaligus akan dapat meningkatkan prestasi syarikat oleh kerana para pekerja ini telah termotivasi dengan keadaan tadi. Selain itu, pihak majikan juga berperanan penting dalam proses pengikhtirafan kesatuan sekerja di mana pihak majikan mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana kesatuan sekerja yang ingin ditubuhkan apabila kesatuan sekerja yang bakal ditubuhkan itu mempunyai atau melanggar syarat-syarat untuk menubuhkan kesatuan. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa pihak majikan berperanan penting dalam aturcara penubuhan kesatuan sekerja.
Beralih pula kepada peranan aktor hubungan industri di negara Amerika Syarikat di mana pihak the state negara ini memainkan peranan yang amat penting. Misalnya the state negara ini berperanan penting dalam memberikan galakkan kepada pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja dalaman. Selain itu, aktor ini juga turut berperanan dalam menjaga kepentingan-kepentingan pekerja dan majikan di negara mereka. Aktor ini akan mempastikan bahawa segala kemudahan kerja diberikan kepada pihak pekerja dan pihak majikan di negara tersebut bagi mengukuhkan lagi organisasi dan negara mereka secara keseluruhannya.
Aktor hubungan industri seterusnya ialah kesatuan sekerja di mana aktor ini masih kekal dengan peranan tradisinya iaitu menjaga kepentingan para pekerjanya dalam aspek upah, masa bekerja, keadaan tempat kerja yang baik dan sebagainya. Selain itu, kesatuan sekerja negara ini juga turut berperanan dalam proses membuat perundingan kolektif atau collective bargaining (CB) untuk mencapai suatu pendamaian dengan pihak majikan. Semasa berlangsungnya perundingan tersebut, kesatuan sekerja berperanan dalam usaha untuk memastikan bahawa para pekerja yang diwakilinya dalam perundingan tersebut supaya tidak melancarkan mogok semasa proses tersebut. Kesatuan sekerja ini juga berperanan penting dalam mewujudkan hubungan yang harmoni antara pihak kesatuan sekerja dengan pihak majikan walaupun pada masa yang sama tidak dinafikan adanya konflik di antara kedua-dua pihak ini.
Seterusnya ialah peranan yang dimainkan oleh pihak pekerja negara ini di mana salah satu peranan mereka ialah sebagai aktor yang amat penting ‘ibarat tiang untuk sebuah rumah’ dalam sesebuah organisasi seterusnya kepada pembangunan negara ini. Tanpa pihak ini, negara tersebut mungkin akan gagal dalam mencapai sebarang matlamat. Ini terbukti bilamana negara ini telah menggalakkan penglibatan pekerja dalam sesebuah organisasi. Ini menunjukkan bahawa peranan pekerja ini sememangnya amat dititikberatkan dalam usaha memajukan atau memantapkan lagi ekonomi negara mereka secara menyeluruh.
Bagi pihak majikan negara ini, mereka berperanan dalam usaha menghalang pekerja-pekerja mereka dengan sedaya upaya mereka daripada menyertai kesatuan sekerja. Pihak majikan ini akan memberikan galakan kepada pekerja mereka untuk menyertai kesatuan berbentuk dalaman (In-house Union). Selain itu, pihak majikan negara ini juga berperanan penting dalam usaha meningkatkan produktiviti syarikat atau organisasi mereka ke arah memantapkan lagi ekonomi negara mereka secara keseluruhannya. Dalam usaha ini, majikan akan memastikan bahawa kesemua proses atau perjalanan kerjaya di organisasi mereka berjalan dengan baik untuk mencapai matlamat tersebut.
ii) Ciri-ciri kesatuan sekerja.
Jika dilihat secara menyeluruh tentang ciri-ciri kesatuan sekerja di Malaysia, akan kita dapati bahawa ciri-cirinya adalah banyak dipengaruhi oleh sistem perhubungan industri di Britain. Ciri utama kesatuan sekerja negara ini ialah bercirikan ‘keperwakilan’ contohnya MTUC, CUEPACS dan MEF. Selain itu, konsep tripartite juga merupakan ciri- ciri yang dipegang oleh kesatuan sekerja negara ini misalnya dalam usaha mengubal satu polisi yang tepat bagi mengimplementasikan pembahagian upah dan kekayaan secara sama rata di kalangan masyarakat.
Kesatuan sekerja negara ini juga adalah memainkan peranan yang amat penting dalam usaha membangunkan negara. Kesatuan sekerja ini berperanan dalam semua urusan perundingan, membuat perundingan dengan pihak majikan, mengawal kewangan pekerja, menetapkan tindakan ke atas pertikaian dan melaksanakan perundingan kolektif di mana ia dijalankan oleh kesatuan sekerja di peringkat persekutuan.
Beralih pula kepada ciri-ciri kesatuan sekerja di Amerika Syarikat. Pergerakan kesatuan sekerja negara ini bermula dengan adanya penekanan kepada “local craft union” dan berkembang menjadi kesatuan industri nasional yang terbesar. Di antara kegiatan pertama kesatuan sekerja negara ini ialah boleh dilihat pada tahun 1794 iaitu oleh pekerja-pekerja ‘Philadelphia Cordwainers’ (pembuat kasut).
Ciri-ciri kesatuan negara ini ialah berbentuk ‘business unionism’ dan ciri-ciri ideologi kesatuannya pula adalah berbentuk ‘ekonomi adversalism’. Struktur pergerakan pertubuhan kesatuan sekerja ini mirip kepada struktur kerajaan di mana terdapat kesatuan buruh atau sekerja di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, peersekutuan dan juga di peringkat temapatan negara ini. Pihak yang memainkan peranan penting dalam aspek tersebut ialah American Faderation of Labour (AFL).
Selain itu, perbezaan ciri yang dapat diperhatikan adalah bagaimana negara Malaysia dan Amerika Syarikat membuat struktur organisasi dalam mentadbir sesebuah perhubungan industri dalam negara mereka. Sistem perhubungan industri di Malaysia adalah di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan di bawah KSM telah distrukturkan pelbagai jabatan dalam melaksanakan sesebuah aktiviti yang berkaitan dengan pekerjaan, manakala di Amerika Syarikat pula sistem perhubungan industrinya adalah dibawah Jabatan Buruh atau Department of Labor. Jabatan ini juga berfungsi dalam mengawal aktiviti yang dilakukan oleh aktor dalam hubungan industri iaitu pekerja, majikan dan wakilnya. (rujuk lampiran m/s 36 & 37).
Di Amerika Syarikat, ideologi yang dipegang kukuh ialah ‘business unionism’ di mana melalui konsep ideologi ini, sesebuah kesatuan sekerja itu dianggap sebagai satu badan pesaing yang cukup hebat khasnya dalam aspek perniagaan terutamanya dalam ‘ekonomi pasaran’ atau ‘enterprise bebas’ yang membawa kepada pendekatan ‘ekonomy adversalism’ atau pertentangan ekonomi di mana sistem hubungan industri negara ini adalah berteraskan kepada kebebasan ideologi terutamanya dari aspek ekonomi. Dalam keadaan ini, kesatuan sekerja memainkan peranan dalam ‘check and balance’ di mana ianya tidak terpengaruh dengan arus politik kerajaan yang memerintah. Dalam erti kata lain, kesatuan sekerja negara ini mempunyai misi tersendiri dan terpisah daripada naungan kerajaan. Maksudnya di sini ialah kesatuan sekerja tersebut dapat berdiri sendiri tanpa kawalan daripada mana-mana pihak walaupun kuasa mereka adalah minimum. Oleh itu, segala proses pergerakan kesatuan sekerjanya adalah tidak mengikut telunjuk kerajaan di mana ia mengamalkan prinsip tadi yang mana bebas daripada kawalan atau belenggu kerajaan.
Berlainan pula keadaannya di Malaysia bilamana ideologi yang terdapat dalam kesatuan sekerja negara ini adalah berasal atau berpandukan kepada ideologi adalah berasal daripada ideologi kolonialisme yang di bawah oleh penjajah Inggeris. Keadaan ini adalah disebabkan ideologi tersebut telah menyerap ke dalam organisasi di Malaysia. Kebanyakan pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia telah dipengaruhi oleh undang-undang penjajah Inggeris. Contohnya pada tahun 1919, penubuhan persatuan oleh pelombong bijih timah. Tujuan sebenar pihak Inggeris menubuhkan persatuan ini adalah untuk memberi perlindungan dan membuatkan pekerja berasa selesa dengan kewujudan persatuan tersebut. Pengaruh Inggeris amat besar dalam mengubah pertubuhan kesatuan sekerja dan membawa satu pemahaman bahawa kesatuan sekerja telah memberi nafas baru kepada pekerja untuk terus hidup. Disebabkan tertubuhnya Malayan General Labour Union di Persekutuan Tanah Melayu, pergerakan kesatuan sekerja telah berubah-berubah, akibat daripada ideologi kolonialisme maka bilangan kesatuan sekerja telah meningkatdari tahun ke tahun misalnya bilangan kesatuan sekerja pada tahun 1976 adalah sebanyak 336 meningkat kepada 414 dalam tahun 1988. Keadaan ini menunjukkan bahawa bilangan kesatuan sekerja di Malaysia telah meningkat tetapi masih mengekalkan ideologi kolonialisme yang lebih kepada negara Barat.
Ideologi yang cukup berbeza antara Amerika Syarikat dan Malaysia telah mengubah kesatuan sekerja masing-masing. Amerika Syarikat memberikan sedikit kuasa tersendiri kepada kesatuan sekerja negara tersebut manakala di Malaysia ia amat berbeza di mana ideologi negara ini lebih kepada pendekatan kolonialisme. Oleh itu, pihak kerajaan di kedua-dua negara ini haruslah bijak dalam memainkan peranan mereka iaitu dalam usaha mengawal pergerakan kesatuan sekerja. Keadaan ini dianggap amat penting kerana pihak kesatuan sekerja biasanya gemar untuk melancarkan mogok dan keadaan tersebut jika berlaku boleh mencacatkan segala aktiviti perancangan yang dibuat oleh pihak majikn mahupun kerajaan. Walaupun begitu, negara Amerika Syarikat masih juga dianggap mempunyai ideologi yang lebih baik dan unik berbanding dengan Malaysia. Ini kerana kerajaan negara ini masih dapat mempengaruhi aktor-aktor hubungan industri secara keseluruhannya iaitu dalam usaha untuk menyampaikan maksudnya. .Manakala jika dilihat pada ideologi yang terdapat di Malaysia, ia adalah dipengaruhi oleh kolonialisme di mana ia membawa banyak perubahan kepada sistem hubungan industri di Malaysia. Di Malaysia, sistem perhubungan industrinya kurang berkesan disebabkan adanya pengaruh daripada pihak penjajah pada masa dahulu iaitu pihak Inggeris.
Oleh yang demikian, dapat dikatakan bahawa ideologi di Amerika Syarikat dan Malaysia mempunyai banyak perbezaan. Ideologi di Amerika Syarikat lebih kepada kebebasan kesatuan sekerja dalam menjalankan sesuatu aktiviti. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa kuasa yang ada pada kesatuan tersebut adalah minimum tetapi ia sudah cukup untuk kesatuan menjalankan aktiviti mereka. Keadaan ini adalah berlainan dengan suasana perhubungan industri di Malaysia bilamana ideologi yang ada pada penjajah Inggeris pada tahun-tahun 1940 an sememangnya mempengaruhi pergerakan kesatuan sekerja. Segala pergerakan kesatuan adalah dikawal oleh kerajaan pemerintah pada waktu itu iaitu penjajah Inggeris. Jika dilihat pada ketika ini pun didapati bahawa ia masih lagi dikawal oleh kerajaan melalui wakilnya Kementerian Sumber Manusia.
SEJAUHMANA KUASA POLITIK DAN EKONOMI DAPAT MEMPENGARUHI HUBUNGAN INDUSTRI DI MALAYSIA DAN AMERIKA SYARIKAT.
Di Malaysia, kuasa politik negara ini adalah terletak di bawah naungan kerajaan iaitu melalui wakilnya Kementerian Sumber Manusia. Segala tindak-tanduk aktor hubungan industri khasnya kesatuan sekerja negara ini dalam aspek politik adalah tertakluk kepada satu kawalan yang dipegang oleh kerajaan melalui wakilnya iaitu Kementerian Sumber Manusia. Di sini, Kementerian Sumber Manusia negara ini akan memastikan bahawa suasana politik sentiasa berada dalam keadaan stabil di mana ia memberikan peluang kepada pihak pekerja melalui wakilnya dan juga pihak majikan dalam memperbaiki keadaan politik mereka selagi ia tidak terkeluar daripada had yang telah ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa kesatuan sekerja negara ini mempunyai kuasa dalam banyak hal misalnya dalam urusan perundingan, membuat perjanjian dengan majikan, mengawal kewangan, menetapkan tindakan ke atas pertikaian dan melaksanakan perundingan kolektif di peringkat kebangsaan, namun semuanya itu adalah tertakluk di bawah pengawasan Kementerian Sumber Manusia negara ini.
Jika dilihat di negara Amerika Syarikat pula, di mana kuasa industrinya adalah hampir sama dengan Malaysia. Walau bagaimanapun, kuasa politik yang ada pada kesatuan sekerjanya adalah tidak dipengaruhi oleh sebarang kuasa politik kerajaan yang memerintah. Ini boleh dilihat bilamana kesatuan sekerja di negara ini mengamalkan konsep “check and balance” dalam aktivitinya. Melalui konsep tersebut, ternyata bahawa segala aktiviti atau pergerakan kesatuan sekerjanya adalah tidak dikawal atau dibelenggu oleh pengaruh kerajaan yang memerintah dan ia adalah bersifat bebas. Dalam perkataan lain, kerajaan Amerika Syarikat tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi sebarang aktiviti yang dilakukan oleh kesatuan sekerja negara mereka.
Dari aspek ekonomi pula, segala aktiviti hubungan industri di Malaysia masih juga dikawal oleh kuasa terbesar iaitu kerajaan yang memerintah melalui Kementerian Sumber Manusia. Kuasa yang ada pada kesatuan sekerja hanya sebagai wakil kepada pekerja berkaitan isu-isu pekerjaan dan tidak dapat mengubah corak perekonomian negara secara keseluruhannya.
Keadaan ini berbeza apabila kita melihat ke Amerika Syarikat di mana kesatuan sekerja negara ini turut dapat mempengaruhi sistem perekonomian negara mereka walaupun hanya pada takat tertentu. Para pekerja di negara ini boleh meminta hak-hak mereka daripada kerajaan melalui kesatuan sekerja mereka yang juga berperanan sebagai “Business Union”. Melalui konsep ini, kesatuan sekerja dilihat seperti satu badan perniagaan di mana ia boleh mengubah corak ekonomi negara ini.
Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa kuasa politik dan ekonomi di kedua-dua negara ini memang mempengaruhi hubungan industri. Walau bagaimanapun, jika dilihat secara menyeluruh didapati bahawa kuasa politik dan ekonomi yang ada pada kerajaan negara tersebut adalah agak kurang berbanding dengan kuasa yang ada pada kerajaan di Malaysia iaitu dalam mempengaruhi pergerakan kesatuan sekerja negara mereka. Ini kerana kesatuan sekerja di Amerika Syarikat adalah tidak terpengaruh dengan arus politik dan ekonomi kerajaan yang memerintah. Kesatuan sekerja negara ini boleh menjalankan aktiviti mereka tanpa kawalan daripada kerajaan yang memerintah. Dalam perkataan lain, kesatuan sekerja Amerika Syarikat ini boleh ‘berdiri di atas kaki sendiri’ (Berdikari). Kuasa yang ada pada kesatuan sekerjanya adalah tidak semestinya mengikut telunjuk kerajaan yang memerintah seperti yang dilakukan di Malaysia. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa kuasa yang ada pada kesatuan sekerja di Amerika Syarikat dalam aspek politik dan ekonomi adalah bersifat bebas dan tidak tertakluk pada mana-mana pihak.
PERUNDANGAN UTAMA DALAM PERHUBUNGAN INDUSTRI
DI MALAYSIA DAN AMERIKA SYARIKAT
Sistem perundangan di Malaysia iaitu perundangan yang berkaitan dengan perburuhan dipengaruhi oleh pergolakan yang berlaku semasa pendudukan Inggeris di Tanah Melayu. Serba sedikit sistem perundangan perburuhan di Malaysia mengikuti prinsip ‘Common Low’ yang telah diperkenalkan di Tanah Melayu pada masa tersebut.
Melihat secara keseluruhan di Malaysia, sistem perundangan perburuhan yang telah digubal adalah berkaitan dengan pekerja, majikan dan kesatuan sekerja. Kerajaan Malaysia telah menggubal tiga perundangan perburuhan yang terpakai di Malaysia, pertama adalah Akta pekerjaan 1955, kedua Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan ketiga Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Tujuan penggubalan undang-undang perburuhan tersebut adalah untuk mewujudkan suatu iklim perhubungan industri yang sihat.
Akta pekerjaan 1955 digubal bertujuan untuk mempersiapkan kumpulan tenaga kerja dalam negara ini bagi menyesuaikan dengan perkembangan dramatik dari segi politik (Abd. Razak Omar & Zainal Ariffin Ahmad: 1999). Akta Pekerjaan ini juga memperuntukkan hak-hak minimum persoalan pekerjaan yang sepatutnya diterima oleh para pekerja dari pihak majikan. Misalnya Akta Pekerjaan telah menggariskan beberapa peruntukan untuk menjamin hak pekerja yang berpendapatan di bawah paras gaji RM1,500 supaya mereka tidak ditindas oleh majikan. Selain itu, peruntukan yang lain adalah seperti gaji dan imbuhan, jumlah minimum hari kerja, cuti tahunan, umum dan sakit serta faedah-faedah lain seperti keselamatan sosial caruman dan skim persaraan.
Akta Kesatuan Sekerja 1959 pula digubal untuk mengawal pertumbuhan kesatuan sekerja di Malaysia. Peruntukan yang terdapat dalam Akta Kesatuan Sekerja adalah meliputi hal berkaitan dengan aktiviti kesatuan sekerja yang memungkinkan membawa kesan negatif kepada negara. Oleh itu, kewujudan Akta ini adalah untuk membolehkan kewujudan kesatuan sekerja hendaklah didaftarkan di Jabatan Kesatuan Sekerja. Selain itu hal yang berkaitan dengan tindakan industri juga di sebutkan di mana tindakan industri hanyalah boleh diambil dalam konteks tempatan.Ini bermakna bahawa tindakan industri seperti mogok hanya terpakai kepada tempat kerja sesuatu kesatuan sahaja, bukan yang berkaitan dengan hal-ehwal kakitangan syarikat lain. Sebagai contoh ,ahli kesatuan sekerja diharamkan mengambil bahagian dalam mogok simpati. Ini bermakna kesatuan-kesatuan sekerja yang wujud adalah tertakluk kepada peruntukan yang terdapat dalam Akta kesatuan Sekerja 1959.( Maimunah Aminuddin : 1994)
Sistem perundangan perburuhan yang terakhir ialah Akta Perhubungan Perusahaan yang telah diluluskan pada 1967. Tujuan utama Akta Perhubungan Perusahaan 1967 adalah untuk menyelesaikan konflik yang wujud dalam sistem hubungan industri iaitu antara pekerja dam majikan. Oleh itu, akta ini telah memperkenalkan “Arbitrasi Wajib”. Di bawah akta ini, pertikaian industri ialah apa jua konflik ataupun pertembungan antara majikan dan pekerjanya mengenai hal-ehwal pekerjaan dan bukan pekerjaan atau mengenai skim perkhidmatan atau syarat pekerjaan dengan mana-mana pekerja. Maksudnya adalah pertikaian kemungkinan akan berlaku kerana beberapa sebab iaitu seseorang kakitangan yang tidak puashati atau kilanan tentang sesuatu sebab dan ini tidak diselesaikan oleh pihak majikan. Di atas sebab demikian, masalah yang mungkin kecil pada mulanya mengkin akan melarat menjadi perkara yang besar. Di sinilah rasionalnya peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967.(Abd. Razak Omar & Zainal Ariffin Ahmad:1999)
Sistem perundangan perburuhan yang terdapat di Amerika Syarikat pula berbeza dengan sistem perundangan perburuhan di Malaysia, dimana di Amerika Syarikat telah menggubal empat perundangan perburuhan yang berkaitan dengan sistem hubungan industri yang terdapat di negara mereka. Sistem perundangan perburuhan yang pertama ialah Akta Norris-La Gaurdia 1932, kedua, Akta Wagner 1936, ketiga, Akta Traft-Hartley dan keempat, Akta Landrum-Griffin.(J.A. Fossum: 1999)
Akta Norris La Gaurdia 1932 digubal bertujuan untuk mengawal aktiviti yang dijalankan oleh kesatuan sekerja yang memungkinkan diluar daripada had aktiviti kesatuan. Akta ini juga mengurus perjalanan perundingan kolektif yang dijalankan oleh pihak majikan dan pekerja. Oleh kerana Akta ini adalah tertakluk keatas pekerja swasta, maka kuasa kerajaan adalah terhad atau kuasa mahkamah persekutuan. Oleh yang demikian, mahkamah persekutuan telah mengeluarkan satu peruntukan iaitu “Yellow Dog Contract” iaitu menghalang pekerja daripada menjadi ahli kesatuan sekerja, tetapi kontrak ini tidak mendapat kepuasan pada diri pekerja (Hitchman Cool:1917). Akta ini juga telah memperjuangkan kesatuan sekerja sebagai alat untuk mendapatkan hak mereka dalam pekerjaan, kerana kuasa majikan dan kerajaan tidak kuat dan terhad. Oleh itu, pekerja boleh menjalankan mogok, dan boikot sekiranya tidak puas hati dengan pihak majikan tanpa risau dengan pihak mahkamah persekutuan.
Perundangan perburuhan seterusnya ialah Akta Wagner 1935 atau National Labor Relation Act 1935. Akta Wagner digubal bertujuan untuk mengawal aktiviti majikan yang mampu menyekat hak pekerja. Peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam akta ini adalah membenarkan pekerja meminta untuk menjalankan perundingan kolektif dengan majikan, menjalankan perundingan dalam keadaan yang sihat, membenarkan pekerja menyertai kesatuan sekerja (Section 7), membuat kesatuan yang bebas daripada campurtangan majikan, mengelakkan berlakunya diskriminasi daripada pihak majikan dan aktiviti kesatuan dan bebas daripada balasan untuk unfair(unlawful) daripada majikan akibat aktiviti kesatuan sekerja (Section 8). Selain itu, Akta ini juga telah memperkenalkan “Exclusive Representation” dalam agensi hubungan antara kesatuan sekerja dengan pekerja, dimana pekerja menerima kesatuan sekerja sebagai wakil dalam perundingan kolektif. Akta Wagner 1935 sebenarnya tertakluk pada pekerja yang tidak berkhidmat dibawah persekutuan, kerajaan dan pekerja yang berada dibawah Railway Labor Act 1926. Ini kerana akta ini hanya tertakluk kepada pekerja yang berkhidmat dalam sektor swasta.
Selepas perang dunia ke-2, pekerja secara rasminya menjalankan mogok iaitu pada 1942, ini disebabkan keadaan ekonomi pada masa tersebut adalah tidak stabil, kebajikan pekerja terabai dan upah yang diberikan kepada pekerja adalah tidak sesuai. Akibat daripada keadaan tersebut maka satu akta telah digubal untuk mengatasi masalah tersebut iaitu masalah antara majikan dengan pekerja. Akta Traft-Hartley 1947 telah digubal atau di kenali sebagai Labor Management Relation Act. 1947. Tujuan akta ini adalah untuk memperbaiki hubungan majikan pekerja atau melebihkan kerjasama antara majikan. Antara peruntukan yang terdapat dalam akta ini adalah “right-to-work” Laws yang menginginkan agar ahli kesatuan sekerja untuk menyambung pekerjaannya, dan pekerja melihat peraturan tersebut sebagai “right-to-wreck”Laws kerana ianya membenarkan pekerja untuk menuntut perundingan tanpa melibatkan kos. Malahan perundingan tersebut mestilah dijalankan dalam keadaan yang harmoni. Selain itu, Akta Traft-Hartley juga telah memperkenalkan Federal Mediatation and Conciliation Service (FMCS) untuk menyelesaikan masalah pertikaian antara majikan dan pekerja yang masih belum dapat diselesaikan. Penyelesaian yang tidak dapat diselesaikan akan mengambil masa selama 80 hari yang dipanggil sebagai Cooling-Off.
Sistem perundangan perburuhan yang terakhir ialah Akta Landrum-Griffin 1959. Akta ini digubal khas untuk ahli kesatuan sekerja agar mereka dapat menyuarakan hak mereka, meminta hak kebajikan pekerja, dan membuat perjanjian antara majikan mereka. Pihak kesatuan sekerja mestilah membuat laporan tentang aktiviti, ahli jawatan kuasa kesatuan, dan kedudukan kewangan kesatuan sekerja. Pekerja juga dikehendaki melaporkan kedudukan kewangan pekerja itu sendiri. Pemilihan dalam jawatan kesatuan adalah teratur kerana dalam pemilihan seseorang yang merupakan banduan atau pemjenayah adalah tidak dibenarkan menjadi ketua kesatuan. Akhir sekali, kesatuan adalah sama sekali dilarang manjalankan piket.
Secara keseluruhan, berdasarkan kepada sistem perundangan perburuhan yang dijalankan oleh kedua-dua negara, dapatlah diberi perbandingan di mana sistem perundangan perburuhan di Malaysia adalah tertakluk kepada semua pekerja yang bergelar pekerja dan bekerja dibawah seorang majikan samada swasta atau awam. Manakala sistem perundangan perburuhan di Amerika syarikat lebih mengkhusus kepada sektor swasta iaitu pekerja swasta bukan bahagian pengurusan dan tidak terikat dengan Railway Labor Act.
Perbandingan seterusnya dalam sistem hubungan industri yang terdapat di Malaysia dan Amerika Syarikat ialah pemain penting dalam setiap perhubungan industri. Pemain penting di Malaysia adalah berstrukturkan persekutuan setempat dan kebangsaan, dan ianya adalah secara tripartite. Pemain penting yang pertama ialah Kongres Kesatuan Sekerja Tred Malaysia (MTUC), MTUC telah didaftarkan dibawah Akta Persatuan 1966 dan telah ditubuhkan pada tahun 1952, berfungsi sebagai badan penyelaras kesatuan sekerja pekerja terutamanya dalam sektor swasta dan berstrukturkan setempat kerana ianya melibatkan kepada sektor swasta sahaja. Tujuan penubuhan MTUC adalah untuk membantu dalam menyelesaikan pertikaian antara gabungannya, menjalankan usaha penyelidikan sistematik melalui penyebaran maklumat tentang kesatuan sekerja trend dan pekerja.
Pemain penting yang kedua dalam perhubungan industri di Malaysia ialah Congress of Employees in Public and Civil Service (CUEPACS). CUEPACS merupakan Persekutuan Kesatuan Sekerja yang ditubuhkan dalam industri yang sama dibenarkan oleh undang-undang.Ianya ditubuhkan pada tahun 1975 dan didaftarkan di bawah ordinan Kesatuan Sekerja 1959, keahliannya adalah terhad kepada kakitangan kerajaan di Semenanjung Malaysia sahaja. Tujuan penubuhan CUEPACS adalah untuk mewakili kesatuan sekerja sektor awam.
National Union of Teaching Profession (NUTP) merupakan sebuah lagi pemain penting dalan sistem hubungan industri di Malaysia, dimana NUTP beroperasi diperingkat antarabangsa dan mempunyai cawangan diseluruh Malaysia termasuklah CUEPACS. Tujuan penubuhan NUTP adalah sebagai wakil kepada kesatuan di peringkat antarabangsa.
Manakala pemain penting dalam perhubungan industri di Amerika Syarikat pula ialah American Federation Labor-Committee for Industrial Organization (AFL-CIO). ALF-CIO merupakan dua kesatuan yang bergabung untuk mengawal dan membawa kesatuan sekerja kepada pergerakan pekerja yang lebih efektif. ALF-CIO telah bergabung pada 9 febuari 1955 oleh presidennya iaitu George Meany (J.Fossum: 1999). Dimana ianya mempunyai hubungan dengan 800 negeri dan perbadanan pusat (rajah dibawah). AFL-CIO juga berfungsi sebagaimana kesatuan sekerja, kerana ianya juga berfungsi dalam mewakili kesatuan diperingkat antarabangsa dan menyuarakan hak mereka
Secara keseluruhan dalam penerangan diatas berkaitan dengan pemain penting dalam perhubungan industri, dapatlah dibandingkan pemain penting di Malaysia terbahagi kepada tiga struktur iaitu kebangsaan, persekutuan dan setempat, berbanding dengan Amerika Syarikat, ia lebih berstrukturkan International, Local dan State, dan ianya mempunyai hubungan antara satu sama lain, tetapi organisasi yang utama adalah terletak pada ALF-CIO.
KESIMPULAN.
Secara keseluruhannya, perbandingan perhubungan industri antara Malaysia dan Amerika Syarikat sedikit sebanyak telah menjelaskan bagaimana perhubungan industri dijalankan di kedua-dua negara tersebut. Walaupun terdapat perbezaan dalam sistem perhubungan industri di setiap negara namun terdapat juga persamaan seperti peranan yang terdapat dalam setiap kesatuan sekerja iaitu ingin menjaga kebajikan ahlinya.
Abdul Razak dan Zainal Ariffin Ahmad. 1999. Perhubungan Industri Di Malaysia. Penerbit UMS, Kota Kinabalu, Sabah.
Asmady Idris. 2000. Amerika Syarikat- Satu Kuasa Hegemoni Dunia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, Malaysia.
Dzurizah Ibrahim, Balakrihnan Parasuraman dan Rosazman Hussin. 2000. Hubungan Industri dan Sumber Manusia- Isu dan Perspektif, Universiti Malaysia Sabah.
Lloyd L. Byars dan Leslie W. Rue. 1994. Human Resource Management Fourth Edition. Richard D. Irwin Inc., USA.
Maimunah Aminuddin. 1992. Perhubungan Perusahaan Di Malaysia, McGrawHill Book Co., Singapura.
Maimunah Aminuddin. 1994. Pengurusan Sumber Manusia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Mohmad Yazam Sharif, 2001. Asas Pengurusan Sumber Manusia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Malaysia.
Zaidatul Akmaliah. 1990. Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn Bhd.
www.fortune.com