Tanggung Jawab Wanita
(Maulana Syamim)
Segala apa yang diciptakan oleh Allah SWT diciptakan untuk kita
semua. Kita semua pula dijadikan untuk suatu maksud yang mulia, untuk membawa
sifat-sifat yang mulia di dalam diri kita. Jangan kita lupa maksud kita kerana
itulah keunggulan kita. Selagi kita menunaikan maksud ini, Allah SWT akan
memberi faedah daripada segala ciptaannya. Kalau kita abaikan maksud kita, kita
tidak akan dapat manfaat daripada rupa dan bentuk iaitu wang, rumah,
kecantikan, dsb. Malah kita akan dapat kerugian.
Maksud kita dihantar ke dunia ini bukan sekadar si-laki mencari
makan dan si-perempuan masak, tapi adalah bagaimana kita boleh bawa agama
kepada diri kita dan seluruh alam. Dari hari pertama kerasulan, Rasulullah SAW
tidak berseorangan, tetapi bersamanya adalah Khadijah RdA (seorang perempuan),
Abu Bakar RdA (seorang lelaki), Ali KW (seorang budak), Zaid RdA (seorang
hamba). Setiap macam orang dapat difahamkan maksud hidup mereka.
Yang paling awal masuk Islam adalah kaum wanita (Khadijah RdA).
Yang paling awal korban nyawa untuk agama adalah kaum wanita (Sumaiyyah RdA).
Yang paling awal korban harta untuk agama adalah kaum wanita (Khadijah RdA).
Selepas Rasulullah SAW berjumpa Jibril AS, dipeluk, dsb. dan
mendapat kenabian, yang beri dorongan utama dan ‘sympathiser’ utama adalah
Khadijah RdA. Dia memujuk Rasulullah SAW dan membawanya berjumpa pakciknya
Waraqah bin Naufal, yang mengatakan bahawa itulah malaikat seperti yang datang
kepada Musa AS, dan kalau dia muda dia akan ikut Rasulullah SAW dan bersama
Baginda SAW bila kaum Baginda SAW menghalau Baginda SAW. Rasulullah SAW
ketakutan, dan Khadijah RdA bersimpati dan berakhlak baik dan dengan itu dapat
sediakan hati Rasulullah SAW untuk memikul kenabian. Sejarah menunjukkan bahawa
Nabi-nabi AS yang mendapat sokongan isteri-isteri mereka Rda lebih berhasil.
Wanita mempunyai kuasa yang besar. Kalau wanita beragama, maka
agama akan tersebar ke seluruh manusia. Wanita diperbuat daripada tulang rusuk
kiri. Tulang ini dekat dengan hati - wanita sangat mudah untuk mempengaruhi
lelaki. Sebab itulah musuh Islam menggunakan wanita untuk rosakkan Islam –
mereka merosakkan wanita-wanita Islam.
Wanita mempunyai tanggungjawab yang besar. Wanita lebih ramai di
dunia ini - wanita adalah 2/3 dari penduduk dunia. Kalau wanita beragama
bermakna 2/3 dunia beragama. Walaupun tiada nabi wanita, tetapi setiap nabi AS
lahir daripada wanita. Ada nabi AS tiada bapa tapi (selain nabi Adam AS) tiada
yang tiada ibu. Wanitalah yang memberi dorongan dan didikan. Anak-anak dibentuk
oleh ibu.
Allah SWT telah beri wanita hikmah dan kebijaksanaan bagaimana nak
ambil kerja dari orang lain. Misalnya, dia boleh suruh dan pujuk suami atau
anak supaya pergi ke kedai 5 atau 10 kali. Bila ini digunakan untuk agama,
mustahil suaminya atau anaknya tidak beragama, jika dikehendaki oleh seseorang
wanita itu. Gunalah hikmah dan kebijaksanaan ini supaya rumahtangga kita jadi
tempat tersebarnya hidayat. Kalau tidak, ia akan jadi tempat tersebarnya
kesesatan.
Sahabat Amar bin Jamuh RdA mempunyai kaki yang tempang tetapi
hatinya ingin keluar ke jalan Allah SWT di medan Uhud. Isterinya sedih dan
inginkan supaya beliau dapat pergi. Isterinya gunakan hikmah sindiran dengan
mengatakan bahawa beliau bukan betul-betul nak pergi sangat. Dengan itu, Amar
bin Jamuh RdA pergi berjumpa Rasulullah SAW dan desak juga supaya dibenarkan
pergi. Beliau ingin berjalan di syurga dengan kakinya yang tempang. Setelah
dibenarkan, beliau pergi dan syahid di Uhud. Isterinya pergi ke Uhud untuk
membawa mayat suaminya untuk ditanam di Madinah, tetapi unta yang membawa mayat
itu tidak mahu pulang ke Madinah. Bila ditanya Rasulullah SAW, isterinya
memberitahu yang beliau telah doa tiga kali supaya beliau tidak kembali ke
keluarga. Rasulullah SAW beritahu yang doa beliau telah diterima. Beliau
dikebumikan bersama para syuhada' di Uhud.
Keinginan sahabiah RdA adalah supaya mereka bangun di hari qiamat
dipanggil ibu kepada syahid, isteri kepada syahid, dsb. Hari ini keinginan kita
adalah bagaimana kita dapat rumah besar, dsb. Setiap sahabiah RdA berkeinginan
untuk ahli keluarga mereka syahid lebih daripada keinginan kita untuk rumah
besar. Ini semua kerana cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Ketika Uhud wanita-wanita telah mendengar khabar angin bahawa Rasulullah
SAW telah wafat. Mereka bertanya kepada orang-orang yang balik daripada Uhud,
mengapa mereka balik! Kalau begitu biarlah mereka yang balik ini memakai
gelang-gelang mereka (yakni jadi perempuan) dan biarlah mereka yang pergi ke
Uhud! Seorang wanita RdA diberitahu bapanya syahid, suaminya syahid, dan
seterusnya, tetapi beliau bukan nak tahu ini - yang beliau nak tahu adalah
samada Rasulullah SAW selamat. Bila beliau mengetahui yang Rasulullah SAW
selamat, beliau syukur yang Rasulullah SAW selamat, yang bermakna agama
selamat. Jika Rasulullah SAW tak selamat walaupun suaminya dsb. selamat, ugama
tak juga selamat. Beginilah semangat mereka.
Sekiranya wanita mahu kembangkan agama di dalam rumahnya, Allah
SWT akan buat sebab Allah SWT telah beri kebolehan kepada mereka. Di tempat
saya ada seorang doktor yang isterinya kuat agama dan dia ingin menyuruh
suaminya simpan (pelihara) janggut. Dia telah bermesyuarat dengan isteri tukang
rambut dan menyuruhnya datang ke rumah dan tajamkan pisau. Bila suaminya bertanya
kenapa, dia kata dia nak cukur rambutnya. Suaminya kata, "Eh, hodoh!
(jelek!)" dan dia kata, "Abang lagi hodoh sebab potong sunnah
Rasulullah SAW". Dengan itu suaminya mula simpan janggut. Allah SWT beri
wanita kelebihan dan kebijaksanaan untuk bawa agama.
Wanita mempunyai tiga tanggungjawab.
Tanggungjawab pertama
Uang pertama adalah ketaatan kepada suami. Ini sebahagian agama
yang besar. Kalau seorang wanita tidak taat kepada suaminya, ibadatnya tidak
diterima. Amal-amal lebihan yang hendak dibuat perlu minta izin suami, kalau
tidak, tak dapat pahala. Apabila ada taat, ini menjadi asbab untuk suami-isteri
berdua beragama dalam rumah dan berdua dalam syurga, di mana katil isteri
sebelah katil suami. Kecantikan isteri lebih daripada jumlah kecantikan bidadari,
nurnya lebih daripada jumlah nur bidadari, cintanya lebih daripada jumlah cinta
bidadari, dan semua ini untuk selama-lamanya. Taat suami adalah penting.
Sahabat RdA ingin sujud kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW beritahu bahawa jika
Allah SWT benarkan sujud kepada selain daripadaNya, Baginda SAW akan meyuruh
isteri-isteri sujud kepada suami mereka. Apabila isteri taat kepada suami dan
mempunyai azamah (kebesaran) suami, ibadatnya diterima dan sifat-sifat baik
datang. Kasih-sayang pun datang dan membawa kemakmuran rumah-tangga. Kalau
tidak, sebaliknya berlaku. Usahakanlah sifat taat ini.
Memang tanggungjawab suami adalah untuk cari makan, tempat tinggal
dsb. tapi kalau kerana usaha agama dia tak dapat nak tunaikan hak itu, isteri
tak boleh tuntut. Sekali isteri-isteri Rasulullah SAW meminta hak mereka, dan
Rasulullah SAW asingkan diri Baginda SAW daripada mereka selama sebulan. Berita
angin yang Rasulullah SAW telah menceraikan isteri-isteri Baginda SAW telah
tersebar, dan sahabat-sahabat RdA menangis. 'Umar RdA pergi minta izin untuk
berjumpa Rasulullah SAW; tiga kali beliau RdA mencuba. Beliau RdA berkata yang
beliau RdA bukan nak berpehak kepada anaknya Hafsah RdA, tetapi nak bincang
perkara-perkara penting, barulah beliau RdA dibenarkan masuk. Setelah
berbincang panjang, 'Umar RdA berkata bahawa wanita mereka (Muhajirin) telah
terpengaruh oleh wanita Madinah dan Rasulullah SAW pun senyum dan tak berapa
marah lagi. Apabila ditanya samada Baginda SAW telah menceraikan isteri-isteri
Baginda SAW, Baginda SAW telah menafikannya. 'Umar RdA minta izin untuk
menghebohkan bahawa Rasulullah SAW tidak menceraikan isteri-isteri Baginda SAW.
Ayat Qur'an telah turun yang bermaksud: Wahai Nabi, beritahu isteri-isteri kamu
kalau mereka terima keadaan-keadaan sekarang bolehlah kekal isteri, atau kalau
tidak, boleh lepas. Semua isteri Rasulullah SAW menangis dan minta maaf dan tak
nak apa-apa.
Agamalah yang memberi hak kepada wanita. Kalau agama ada, ada hak
untuk wanita. Kalau tak, tak ada (haknya). Kalau orang sibuk untuk agama ini,
dan kita minta hak pula, ini kezaliman besar. Pada hari kiamat, bukan mereka
yang disoal, tapi kita disoal.
Wanita ada usul, lelaki pun ada usul. Kalau wanita salah atau
silap, janganlah kita marah. Sekali di rumah 'Aisyah RdA telah datang hidangan
madu dari isteri lain untuk Rasulullah SAW. 'Aisyah telah baling (lemparkan)
madu itu tapi Rasulullah SAW tak marah. Kita kena bentuk mereka - seperti
Rasulullah SAW, Baginda SAW biasa uli tepung, bersihkan rumah dsb. Hari ini
kalau isteri kita sakitpun, dia kena kerja juga. Janganlah begitu.
Agamalah yang beri kepada kita hak. Tapi hak agama melebihi hak
semua orang. Bila agama makin lenyap, maka lebihlah diperlukan kita memenuhi
hak agama. Hari ini agamalah yatim yang terbesar - tak ada rumah yang mahu
terima agama. Agama macam seorang bernama Abdul Ghafur yang dibesarkan dalam
suasana dimana kalau kesalahan dibuat, ditegur oleh orang-orang tua. Kemudian
orang-orang tua dah mati dan tinggallah Abdul Ghafur. Apabila dia membuat
teguran, orang-orang muda tak terima dan disuruh keluar. Abdul Ghafur menangis.
Dia berjumpa orang lain - Lala - yang bertanya sebab apa dia menangis. Lala
pula bersimpati dengan Abdul Ghafur dan mengajaknya datang ke rumahnya dan
mengatakan bahawa dia terima Abdul Ghafur.
Begitulah hari ini dalam rumah orang Islam tak ada tempat untuk
agama, tapi ada orang lain yang haus yang terima. Hari ini orang Amerika terima
agama, dan orang Eropah terima agama, tapi orang Islam buang agama. Allah SWT
tak perlukan kita; kita perlukan Allah SWT. Kalau kita tak mahu agama, Allah
SWT boleh tendang kita dan gunakan orang lain untuk sebarkan agama.
Tanggungjawab kedua
Para wanita adalah supaya mentarbiyah anak secara Islam, dan
mendorong orang-orang lelaki keluar ke jalan Allah SWT. Seramai mana orang
lelaki keluar sebanyak itulah agama masuk ke dalam rumah dan sebanyak itulah
keamanan dan kemakmuran di dalam rumah.
Tanggungjawab ketiga
Yang ketiga adalah untuk menghidupkan agama dalam diri. Akhlak
baik dan sifat malu harus dipupuk. Sembahyang lima waktu harus dijaga pada
waktunya. Zikir dibuat pagi dan petang. Masa ditetapkan untuk bacaan Qur'an.
Masa ditetapkan untuk taalim harian. Dengan cara ini, rumah jadi macam masjid,
iaitu amal rumah jadi macam amal masjid. Rumah demikian dirahmati dan rahmat
tersebar ke rumah-rumah lain.
Kalau kita terima dan peluk agama yang yatim, seperti
Halimatussa'diah terima dan peluk Rasulullah SAW yang yatim, yang menyebabkan
rumahnya dipenuhi berkat dan rahmat, rumah-rumah kita juga dipenuhi berkat dan
rahmat. Oleh itu doronglah orang lelaki rumah puan-puan untuk keluar dan
tertiblah diri puan-puan beberapa bulan sekali untuk keluar bersama laki-laki.
Di tempat kami, ada orang-orang miskin mendorong lelaki mereka keluar:
"Allah SWT pelihara kami dan abang." Bila mereka habis wang dan nak
balik, isteri mereka kata jangan balik dulu - mereka akan jahit, dsb., dan
hantar duit kepada suami. Bila mereka balik Allah SWT tambahkan berkat di
rumah.
Wanita dibenarkan bekerja untuk jalan Allah SWT, seperti sahabiah-sahabiah
RdA. Kalau keadaan tak cukup kerana agama - wanita dibenarkan kerja, tapi untuk
besarkan dunia - tak dibenarkan. Sekali Hassan RdA sakit, dan Ali KrW dan
Fatimah RdA nazar untuk berpuasa tiga hari. Ali KrW pergi jumpa seorang Yahudi
dan ambil upah buat benang daripada kapas. Fatimah RdA tolong. Dapat upah
bijirin dan buat tiga biji roti. Bila nak buka puasa datang seorang fakir dan
minta sedekah. Tiga biji roti diberikan dan mereka buka puasa dan sahur dengan
air dan tamar. Hari kedua diambil upah lagi dan roti dibuat, dan kali ini
datang seorang miskin minta sedekah bila nak buka puasa. Roti diberikan lagi.
Hari ketiga diambil upah lagi dan roti dibuat, dan kali ini datang seorang
tawanan pula minta sedekah bila nak buka puasa. Roti diberikan lagi. Hari
keempat Rasulullah SAW datang, dan lihat Fatimah RdA pucat. Allah SWT turunkan
ayat dalam surah Adh-Dhahr memuji Ali KrW dan Fatimah RdA. Ia jadi asbab untuk
agama tersebar.
Hari ini agama dalam keadaan teruk (parah) dan kita masih sibuk
menambah harta, dan tak benarkan suami keluar ke jalan Allah SWT. Macamana
agama akan tersebar?
Berilah nama untuk pergi negara jauh dan untuk suami. Kami nak
lihat macam mana masturat-masturat lama di sini buat kerja. Masa pun dah habis
walaupun benda nak cakap tak habis. Wanita yang beri suami keluar pada hari
kiamat akan dibangkitkan dengan keluarga anbia', siddiqin, syuhada' dan
salihin. Wanita yang sediakan tempat tidur suami untuk keluar akan masuk syurga
lima ratus tahun dahulu daripada suami mereka yang keluar...
Kg Dato Abu Bakar Baginda, Kajang, 11.10.96
Al-Faqir Muhammad G C Abdil Aziz <[email protected]>