Saudara Pengarang,

Pakej Menyelamat Zoo Negara

Zoo Negara adalah salah satu ikon negara yang dikenali ramai. Penubuhannya hampir setengah abab amat dikagumi kerana ia adalah antara tempat warga Malaysia mendekati dan mengenali alam fauna dari serata ceruk dunia. Apa yang menakjubkan ialah di awal kewujudannya, Zoo Negara mendapat peruntukkan yang mencukupi walaupun negara kita ketika itu tidaklah semewah sekarang. Tetapi yang amat dikesalkan, mengapakah nasib institusi negara ini terbiar dan menjadi begitu daif sekali sekarang ini. Kedudukan lokasi Zoo Negara kini dihimpit dengan pembangunan perumahan komersial, seolah-olah Zoo Negara "melukut di tepian gantang" atau pengemis jalanan walhal Zoo Negara adalah perintis penerokaan tanah di tempat tersebut.

Namun demikian, Zoo Negara masih mempunyai harapan untuk diselamat dan dipulihkan reputasinya. Diantara kaedah-kaedah cadangan saya untuk menyelamatkan Zoo Negara adalah seperti berikut;

a) Kerajaan perlu menubuhkan Tabung Warisan Zoo Negara dimana segala derma orang ramai dan peruntukan kerajaan boleh dikumpulkan.

b) Pihak Zoo Negara boleh meminta tajaan komersial syarikat swasta setiap binatang yang dipelihara, sebagai timbal balas maka bolehlah kawasan pagar, dinding atau atap dipaparkan lambang dan nama syarikat yang menaja, begitu juga cenderamata seperti baju-T boleh diletakkan nama-nama pihak penaja.

c) Sebagai intitusi yang terlibat secara tidak lansung dengan proses pembelajaran, pihak Zoo Negara boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengatur pakej lawatan bajet rendah pelajar sekolah dari seluruh negara.

d) Lebih lengkap jika lawatan para pelajar itu lebih dari sehari, maka pihak Zoo Negara boleh menyediakan pakej penginapan bajet rendah untuk lawatan pelajar.

e) Penginapan bajet rendah boleh dibina di kawasan bukit dan hutan yang masih dimiliki oleh Zoo Negara dengan konsep pembangunan penginapan mesra alam. Selain daripada pelajar, para pelancong juga boleh menyertai pakej ini  yang boleh dinamakan Program Melancong dan Menginap di dalam Zoo Negara.

Diharapkan cadangan tersebut dapat memberi sedikit harapan kepada salah satu simbol negara yang kini kian dilupakan. Jika Zoo Negara dapat dibantu dan dibangunkan semula, tidak hairan kalau suatu hari nanti Zoo Negara boleh bangkit menjadi zoo yang bertaraf antarabangsa.

Nukilan- Mohd. Zamri Muda, Bukit Payung, Marang.

Maklumat Peribadi;
Alamat : 131, Kg Rawai, Bukit Payung, 21400 Marang
No. Telefon : 013 952 29 18
Tarikh : 24 Februari 2004
end

Hosted by www.Geocities.ws

1