Saudara pengarang,
Melonjakkan pengeluaran makanan tempatan berkos rendah dengan beberapa cara
paradigma baru
Di ambang kenaikan harga minyak dunia yang tidak boleh dibendungkan lagi,
semua harga barangan pengguna turut sama menerima bahang kenaikan. Jika di
era 1997-1998 dahulu, harga barang melambung kerana serangan penyangak matawang
ke atas nilai ringgit yang menjunam jatuh. Tetapi kali ini kenaikan bahan
api dunia yang tidak boleh dielakkan lagi memerlukan kita mengubah perpektif
kita dalam banyak perkara sebagai sebuah negara yang berdaya-tahan menempuh
walau apa musibah yang melanda.
Salah satu aspek yang perlu diberi perhatian khusus ialah tanggungan bil
import makanan yang berbilion ringgit dimana lebih separuh dari import itu
adalah bijirin makanan ternak. Ia adalah komponen yang amat penting apabila
kita memperkatakan tentang kelangsungan atau daya-tahan negara ketika saat
darurat. Bersediakah negara kita memberi makanan yang cukup untuk rakyatnya
apabila berlaku keadaan darurat perang?
Kepada kebanyakan orang, soalan sedemikian agak mustahil untuk ditangani
memandangkan saiz negara kita yang amat kecil disamping peratusan besar saiz
tanah negara disimpan untuk pemuliharaan alam-sekitar. Terdapat dua kaedah
penyelesaian iaitu bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang. Untuk penyelesaian
jangka pendek, sudah tiba masanya syarikat multinasional negara yang bertaraf
GLC melakukan pelaburan industri pengeluaran makanan khasnya bijirin gandum,
jagung dan soya di kawasan berkos rendah seperti di Asia Tengah dan Amerika Selatan.
Manakala penyelesaian jangka panjang menumpukan usaha membangunkan industri
pertanian tidak mengikut cara sistem konvensional yang ada sekarang ini.
Kita mesti mengubah cara bercucuk-tanam yang ada sekarang ini dengan cara
baru yang lebih sesuai untuk abad ke-21 kini. Kita tidak boleh lagi menerima
sistem penanaman terkhusus atau sistem monokultur tetapi sistem integrasi
yang fleksibel dalam memajukan industri tani disamping mempertimbangkan aspek
pemuliharaan ekosistem setempat dan lebih mesra alam.
Tanah sawah padi dan kawasan berpaya terbiar tidak produktif ditukar struktur
menjadi unit tanah yang terdiri dari binaan daik dan terusan. Di kawasan
berdaik boleh dijadikan kawasan penanaman kekal seperti getah atau kelapa
sawit selain untuk aktiviti tani biasa seperti kebun buahan-buahan. Kawasan
terusan boleh dijalankan penternakan air tawar atau penanaman rumput paya.
Kaedah terusan-daik sesuai digunakan kerana dapat mengelakkan kebakaran gambut
disamping dapat memelihara ekosistem fauna flora air setempat dan menjadi
‘reservoir’ air negara.
Tanah pertanian yang terlindung dari kesan banjir perlu dipecahkan kepada
petak-petak tanah yang lebih kecil untuk memudahkan pengurusan. Saiz setiap
petak tanah yang ideal adalah sekitar 2 hingga 5 ekar. Petak tanah ini dinamakan
unit tanah berproduktiviti tinggi.
Di kawasan sempadan utama menganjur dari timur barat ditanam dengan spesies
tanaman balak diselangi dengan pokok spesies belukar tempatan. Manakala di
bahagian tepian tanah ditanam dengan tanaman kekal seperti getah atau kelapa
sawit. Manakala tanah sempadan yang menganjur dari utara-selatan ditanam
dengan tanaman kontan atau tanaman kekal yang bersaiz rendah.
Dan satu ruang tanah lapang dibiarkan berada di bahagian tengah boleh berfungsi
untuk pelbagai kegunaan mengikut keperluan semasa. Unit tanah produktiviti
tinggi mempunyai ciri-ciri unik tersebut kerana mempertimbangkan keseimbangan
ekosistem asal dengan aktiviti komersial berbanding dengan sistem monokultur
yang mudah kehilangan kesuburan tanah. Pendekatan lain boleh diambil-kira
seperti penanaman organik yang mesra alam.
Ruang tanah lapang di setiap unit tanah produktiviti tinggi boleh digunakan
untuk penanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran, pokok kontan ( nenas,
betik,pisang ), kekacang, bijirin, padi huma atau hanya sebagai padang rumput
sahaja. Malah padi sawah juga boleh ditanam di tanah kering ini dengan menggunakan
kaedah penyiraman basah oleh sistem irrigasi pancuran mekanikal setiap hari
di lewat petang atau awal pagi. Musim penanaman diselangi dengan penanaman
tanaman bijirin yang lain seperti sekoi dan betari. Kedua jenis bijirin tropika
ini amat sesuai untuk diproses dijadikan bijirin makanan ternak yang amat
murah dan berkhasiat untuk kegunaan penternakan ayam-itik.
Untuk tanah yang bercerun curam atau berbukit, penamanan monokultur juga
tidak digalakkan tetapi hendaklah berkonsepkan integrasi antara tanaman komersial,
pokok balak dan tanaman herba. Penanaman secara integrasi dapat mengurangkan
hakisan tanah di kawasan bercerun. Tanah pantai yang berpasir sesuai untuk
penanaman pokok kelapa dan gelam. Kedua tanaman ini adalah sumber bunga untuk
penternakan lebah. Di samping itu, penanaman pokok biomass seperti buluh
dan akasia boleh juga dijalankan secara giat di kawasan ini. Pokok sumber
biomass boleh digunakan untuk menjana kuasa elektrik yang murah dengan kaedah
insinerasi.
Bagi penternakan ruminan seperti lembu, kerbau, kambing dan bebiri, sumber
makanan seperti daun kelapa sawit yang diracik halus oleh mesin boleh dijadikan
menu utama makanan harian. Maka itu, para pekebun kecil perlu mendapat akses
memperolehi dengan mudah mesin tersebut.
Di samping mempraktikkan cara pertanian berparadigma baru, setiap desa yang
terlibat dengan industri tani perlu mudah mendapat akses jentera pertanian
seperti trak pengangkut, traktor pembajak, jentolak dan jentuai bijirin.
Setiap desa seharusnya unit kejuruteraan sendiri yang boleh membaiki jentera
yang rosak, golongan belia yang berkemahiran dalam bidang mekanik perlu diberi
sokongan modal untuk mendirikan bengkel sendiri. Pendek kata, perusahaan
tani di peringkat akar umbi diuruskan bagai sebuah syarikat swasta.
Diharapkan beberapa langkah cara bertanam berparadigma baru boleh dipraktikkan
seberapa segera dan dapat melonjakkan
industri tani negara ke tahap baru.
-Mohd Zamri Muda, Bukit Payong, Marang.<
Maklumat;
I.c. no. : 740102-11-6391
No. tel : 019 902 50 15
Alamat : Lot 1727, Jalan Rawai-Pasir Tinggi,
Kg. Padang Pak Wan, Bukit Payung,
21400 Marang, Terengganu.
tarikh : 16 okt 2007
Rujukan web : www.geocities.com/ramzamuda