Saudara Pengarang,

Mensifar Kemalangan Dengan Sistem Tag Elektronik Kenderaan

    Kejadian maut akibat kemalangan atau kecelakaan di jalanraya amat tidak dialu-alukan untuk berlaku. Jika mengikut hukum pemilihan semulajadi Teori Evolusi, perkara ini tentulah amat baik kerana manusia yang cuai dan tidak memandu berhemat itulah akan lebih pendek umurnya dan akan tersisih dari evolusi manusia berikutnya. Namun hal sebaliknya berlaku, akibat dari kecuaian pemanduan dari seorang manusia sahaja mengakibatkan beberapa nyawa lain yang tidak bersalah melayang begitu sahaja. Mati dan hidup di jalanraya kini hanya bergantung kepada nasib baik sahaja.

    Dalam tempoh 10 tahun ini, kita semua berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kecelakaan di jalanraya terutama yang melibatkan kemalangan maut namun semua usaha itu hanya sia-sia sahaja. Mungkin peningkatan jumlah kemalangan maut seiring dengan peningkatan populasi. Bermacam-macam kaedah pernah dilakukan seperti Ops Pacak malah Perdana Menteri kita sendiri merayu agar pemandu memandu dengan penuh berhati-hati. Namun diakhir tempoh musim perayaan, angka-angka statistik tetap mengecewakan.

    Kata kunci utama untuk membendung kejadian kecelakaan jalanraya ialah disiplin pemandu itu sendiri. Di Malaysia, pemandu hanya berdisiplin jika mereka berasa diri mereka diperhatikan oleh pihak berkuasa. Bukan kelajuan kereta menjadi ukuran berlakunya kemalangan. Dikatakan di negara Arab Saudi tidak menetapkan had laju tetapi undang-undangnya keras di mana jika berlaku kemalangan maut, si pemandu yang cuai akan dihukum sama seperti nasib si mangsa dan kesannya ialah kematian di jalanraya yang rendah. Tetapi hal ini tidak serasi jika dipraktikkan di Malaysia dan ianya hanya untuk dijadikan kes untuk dikaji sahaja.

    Dikatakan rakyat Malaysia itu berbudi bahasa dan baik-baik belaka tetapi lainlah halnya apabila disebut akan disiplin mereka di jalanraya, di dalam tandas awam dan cara mereka membuang sampah. Dalam kes untuk menjawab bagaimana untuk mendisiplinkan pemandu-pemandu Malaysia maka satu sistem elektronik setiap kenderaan perlu diadakan. Sistem tag elekronik memudahkan pemantauan pergerakan trafik dan corak pemanduan dapat direkodkan secara digital. Sistem ini seakan-akan 'Black Box' yang cuba dipraktikkan untuk bas ekspres. Tetapi sistem tag elektronik ini tidak memerlukan 'black box' yang mahal membebankan pengguna dipasangkan di kenderaan tetapi mungkin kad elekronik yang hanya memancarkan gelombang radio memberikan pengenalan digital kepada stesen- stesen pengesan yang dibina oleh pihak berkuasa. Para saintis Malaysia boleh mempertimbangkan penggunaan gelombang AM Digital yang dipadatkan atau CAMDf (Compressed AM Digital Frequency) yang menggunakan teknologi rendah dan murah. Pemberian kad elektronik ini mungkin boleh disekalikan dengan lesen memandu atau cukai jalan kenderaan.

    Sistem tag elekronik tidak memberikan kos kepada pengguna tetapi kerajaan atau pihak pengurusan lebuhraya perlu mengadakan sistem pemantauan digital. Maka teknologi ini perlu dibangunkan sendiri oleh saintis Malaysia dan diperkembangkan. Data-data pemantauan elekronik boleh digunakan untuk memberi amaran kepada pemandu yang terlebih had laju. Maka mungkin papantanda elekronik dipasang di tepi jalanraya untuk  memapar secara automatik- Nombor kereta si anu terlebih had laju. Manakala di simpang trafik, ianya berfungsi untuk menganggarkan kekerapan pertukaran lampu isyarat atau merekodkan kenderaan yang tidak mengikut lampu isyarat. Segala perlakuan pemanduan dapat dipantau secara mudah oleh mekanisasi digital. Jika berlaku kemalangan, simulasi semula secara digital boleh dilakukan berdasarkan data-data pemantauan maka kesilapan boleh dicari dan direkodkan untuk kes mahkamah.

    Sistem pengenalan elektronik juga memudahkan kerja untuk mengesan lokasi kenderaan curi atau pengesan penjenayah yang sedang bergerak maka ianya akan memudahkan kerja pihak polis dan trafik. Jika teknologi ini menjadi kenyataan, jika ada satu kenderaan yang tidak memberikan pengenalannya maka tentu ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Maka lebih mudah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan. Saya hanya mampu mencadangkan satu konsep tetapi pelaksanaannya memerlukan kepakaran para saintis dan bijak pandai teknologi. Ini adalah langkah jauh ke hadapan dan mungkin realiti di tahun 2020.

Nukilan: Ramzam Muda, Desa Rawai, Marang,Terengganu

Maklumat Peribadi:
Nama : Mohd Zamri Bin Muda
Alamat : 131 Kg.Rawai, Bukit Payung,21400 Marang, Terengganu
No. I-C : 740102-11-6391
No. tel : 013 952 29 18
Sila Lawat: www.geocities.com/ramzamuda

Hosted by www.Geocities.ws

1