Saudara Pengarang,

Menukar cara bayaran saman kesalahan lalulintas kepada nilai kupon tiket pengangkutan bas atau rel di Kuala Lumpur

Disini saya ingin mengesyorkan kaedah pembayaran saman bagi kesalahan trafik ( oleh pihak polis ) atau bayaran denda parkir ( oleh majlis bandaran ) ditukar kepada nilaian tiket atau kupon prabayar sistem pengangkutan awam setempat seperti bas, monorel, LRT Putra dan Komuter ( di Kuala Lumpur ). Melalui kaedah ini berkemungkinan dapat memberi beberapa faedah jangka panjang dimana apabila tiket/kupon ini terpaksa digunakan, maka akan mengurangkan secara tidak langsung penggunaan kenderaan persendirian. Sebagai contohnya, jika seorang pemandu itu lelaki tentunya selepas membayar denda dengan membeli tiket prabayar pasti akan memberikan kepada isterinya ( yang mana akan mengunakan untuk pergi ke pasar atau pergi membeli-belah ) atau si anak pemandu ( yang mungkin boleh mengunakannya untuk pergi ke sekolah atau ke perpustakaan ).

Kaedah bayaran denda dengan nilaian tiket prabayar pengangkutan awam juga boleh diaplikasikan jika Kuala Lumpur mahu melaksanakan kempen pengurangan kenderaan persendirian daripada memasuki kawasan bandaraya. Dua kaedah boleh dipertimbangkan untuk digunakan untuk tujuan tersebut. Pertama, dengan hanya membenarkan kereta persendirian mempunyai bilangan 3 orang penumpang ke atas memasuki KL. Jika dua orang sahaja, bayaran denda mungkin boleh dikenakan sebanyak RM 50 tetapi jika hanya pemandu sahaja, mungkin boleh dikenakan denda berganda umpamanya RM 150 nilaian tiket prabayar.

Kaedah kedua pula ialah dengan mengilirkan setiap minggu penggunaan kereta berplat ganjil dan genap dengan mengikut bilangan nombor minggu ganjil genap. Kereta yang tidak ikuti peraturan tidak dikenakan denda jika membawa lebih 3 orang. Jika hanya 2 orang atau pemandu sahaja, bayaran denda adalah sama dengan kaedah pertama. Kaedah kedua ini dapat mengurang akan separuh pengguna kereta persendirian. Cara ini juga dapat merapatkan silaturrahim sesama jiran atau rakan sekerja dimana mereka perlu bermuafakat dan merancang giliran mengunakan kenderaan mereka. Malah mereka akan lebih terdorong menawarkan khidmat menumpang kereta bagi memenuhi kuota minima contoh dengan menumpangkan anak-anak jiran ke sekolah atau jiran ke tempat kerja.

Pembayaran denda atau saman secara nilaan tiket prabayar sistem pengangkutan awam sememangnya tidak boleh memberi pendapatan secara langsung kepada pihak polis atau majlis bandaran tetapi kesan jangka panjang adalah amat baik kerana dapat mengurangkan aliran trafik di dalam bandaraya dan mengurangkan kadar kemalangan. Ia juga dapat menghapuskan paradigma liat membayar kerana beranggapan wang para pembayar hangus begitu sahaja apabila membayar saman.

Oleh : Mohd Zamri Muda, Bukit Payong, Marang.

Maklumat Peribadi;
Alamat : 131 Kg. Rawai, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu.
No. i/c : 740102-11-6391
Tel. no : 019 902 50 15
Rujukan web : www.geocities.com/ramzamuda
Tarikh 07-12-2004


Hosted by www.Geocities.ws

1