Art15-pindahtpguna
Saudara pengarang,
Kawasan risiko tinggi tanah runtuh : Syor pindah penduduk tapi masih guna
Kejadian tanah runtuh terburuk di Bukit Antarabangsa semenjak tragedi Highland
Towers pada tahun 1993 telah sedikit-sebanyak memberikan pengajaran kepada
kita semua agar lebih menghormati alam sekitar dan bukannya menjadi terlampau
rakus mengaut untung tanpa berfikir panjang akan masa hadapan.
Kita semua berasa amat bersimpati kepada mangsa kejadian terutamanya yang
telah kehilangan ahli keluarga angkara kejadian tersebut. Selain kehilangan
nyawa yang terkorban, kemusnahan harta benda yang bukan sedikit tetapi pelaburan
seumur hayat telah lenyap begitu sahaja.
Kerajaan tentunya sudah mempunyai mekanisme tertentu bagi membantu mangsa-mangsa
yang teruk terlibat untuk jangka masa pendek. Manakala penguatkuasaan undang-undang
baru yang lebih ketat bagi mengelak dan mengurangkan risiko pembangunan di
kawasan cerun perlu dibuat seberapa segera.
Tujuan sebenar saya menulis artikel ini ialah untuk membuka minda kita semua
agar memandang ke depan bak kata pepatah - sediakan payung sebelum hujan,
apakah langkah proaktif pihak berkuasa lakukan terhadap tempat-tempat lain
yang juga berisiko tinggi tetapi belum menunjukkan 'taringnya'. Kita berharapkan
kajian-kajian yang lebih terperinci dan berkala terus dijalankan di tempat-tempat
berisiko tinggi dan bukannya 'ibarat pahat dan tukul'.
Diharapkan jika kajian-kajian tersebut menunjukkan risiko tinggi, pihak berkuasa
tempatan perlulah mengambil langkah proaktif untuk memindahkan para penduduk
untuk langkah jangka masa panjang. Kita semua mengharapkan ketelusan pihak
berkuasa apabila hasil kajian dibuat, ia dihebahkan segera kepada umum.
Manakala kerugian pemilik rumah atau apartmen kerana terpaksa berpindah boleh
ditampung dengan aktiviti ekonomi yang berpopulasi rendah di rumah/apartmen
seperti penternakan burung layang-layang, burung merpati, arnab atau menanam
cendawan. Maka kos sewaan tempat itu boleh menjadi sumber pendapatan kepada
pemilik hartanah asal atau sekurang-kurangnya dapat menampung pembelian rumah
baru mereka selepas berpindah. Bangunan Highland Tower yang telah lama tidak
berpenghuni sewajarnya diguna-semula dengan kaedah tersebut daripada menjadi
sarang penagihan dadah.
Diharapkan dua prinsip yang telah disebutkan tadi boleh dilaksanakan bagi
menangani risiko tanah runtuh dan mengelakkan kejadian lebih buruk daripada
berlaku atau sekali lagi kita menyanyikan lagu 'bangau oh bangau'.
Oleh : Mohd Zamri Muda, Desa Rawai, Marang.
Maklumat tambahan;
No. I/C : 740102-11-6391
No. Tel : 019 902 50 15
Alamat : Lot 1727, Padang Pak Wan, Kampung Rawai, Bukit Payong,
21400 Marang, Terengganu Darul Iman.
Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman web : www.geocities.com/ramzamuda