Saudara Pengarang,

Mengguna-semula Flat Pekeliling dengan beberapa langkah baru

Terharu rasanya saya apabila membaca artikel tentang nasib terkini yang menimpa kepada bangunan rumah flat awam yang telah menabur bakti kepada warga KL hampir 4 dekad lamanya. Apatah lagi sebelum ini pernah disiarkan dalam dokumentari TV tentang keperitan dan ketidakselesaan para penghuni flat tersebut yang telah menginap di situ bertahun-tahun lamanya.

Perancangan pembangunan semula kawasan Flat Pekeliling yang melebihi RM 1 billion bukanlah satu jawapan yang tepat bagi menangani masalah ‘bangunan usang’. Kaedah musnah dan bina semula yang biasa diamalkan di Amerika tidak sesuai dipraktikkan di negara kita kerana kurang daripada satu perempat dari peruntukan tersebut boleh diguna untuk memulih semula sepenuhnya bangunan tersebut. Selagi kekukuhan struktur bangunan terjamin, seeloknya Flat Pekeliling dikekalkan tetapi dengan beberapa penyesuaian.

Berikut adalah beberapa kaedah mengguna-semula bangunan flat tersebut. Pertama, flat tersebut boleh dijadikan sebagai penginapan kuarters bagi kakitangan kerajaan yang bertugas di KL atau kediaman pelajar IPT yang menuntut di sekitar KL dan Selangor. Ruangan sempit satu petak rumah tersebut diluaskan dengan cara mengabungkan dua rumah menjadi satu. Dengan itu, perlu dilakukan penebukan pintu utama. Jadi satu unit rumah terdiri daripada 4 bilik tidur dan 2 bilik air.

Kedua, ruang balkoni rumah yang selalu digunakan untuk menyidai pakaian perlu ditutup dengan bingkai kerangka konkrit bermotifkan bentuk geometri Islamik dan meninggalkan ruang lepas keluar seluas 1 meter persegi. Dengan cara ini, tiada lagi pandangan pakaian bersidai yang mencacatkan permandangan mata. Selain daripada itu, kerajaan boleh mewujudkan pusat dobi setempat untuk kegunaan penghuni flat atau menyediakan mesin pengering pakaian di setiap rumah secara percuma.

Ketiga, suasana persekitaran flat perlu ditambahkan lagi kehijauan floranya dengan lanskap taman dan pohonan besar. Ruang padang hijau lebih luas perlu diwujudkan dengan menukarkan konsep padang parkir konkrit/tar kepada parkir bawah tanah sepertimana Dataran Merdeka atau mewujudkan bangunan parkir bertingkat. Sekiranya pembinaan bangunan parkir bertingkat dipilih, bahagian bumbungnya boleh dijadikan padang permainan tenis, badminton atau futsal.

Keempat, tahap keselamatan penduduk dipertingkatkan dengan pembinaan tembok konkrit dan sistem pengawasan berpusat menggunakan kamera litar tertutup. Para penghuni bebas keluar-masuk tetapi sentiasa dipantau rapi oleh pihak keselamatan. Seeloknya kawasan perumahan ini mempunyai sebuah balai polis mini.

Kelima, keselesaan penghuni perlu disokong dengan pengunaan lif baru berkuasa tinggi.

Diharapkan pendekatan baru yang dicadang itu dapat menyelamatkan salah satu kesan rancangan pembangunan Malaysia yang  pertama. Bangunan Flat Pekeliling tidak bersalah di atas ketidakselesaan penghuninya tetapi perancangan, amalan dan pengurusan manusia yang tidak betul menjadikannya tidak relevan dan ketinggalan zaman tetapi dengan sedikit pengubahsuaian fizikal dan sikap manusia, flat tersebut masih boleh diguna untuk tempoh 50 tahun lagi.

- Mohd Zamri Muda, Bukit Payong, Marang..

Maklumat;
I.c. no. : 740102-11-6391
Alamat : Lot 1727, Jalan Rawai-Pasir Tinggi,
Kg. Padang Pak Wan, Bukit Payong,
21400 Marang, Terengganu.
Rujukan web : www.geocities.com/ramzamuda
Tarikh : 15-10-2005  5:45pm


Hosted by www.Geocities.ws

1