Saudara pengarang,

Elak Malaysia jadi negara boneka Barat

Akhir tahun 1999 Masehi merupakan satu titik hitam yang amat payah dilupakan oleh kita semua  dimana negara kita hampir-hampir cuba dikuasai oleh pihak Barat melalui gerakan pihak-pihak tertentu yang bertompengkan nama demokrasi. Rakyat majoriti menjadi keliru, terkedu dan tertekan. Isu-isu semasa ketika itu berjaya diputerbelitkan memberi keuntungan berlipat-ganda kepada pihak yang lain pula. Apa yang amat ditakuti adalah 'menang sorak, kampung tergadai' tetapi mujurlah negara kita ketika itu telah pun menjalankan dasar-dasar fizikal yang kebal dari serangan penyangak ekonomi luar.

Manakala tahun 2004 kemudian  pula membawa pengertian pemulihan semula keyakinan dikalangan rakyat majoriti dan kekukuhan ekonomi negara. Keyakinan rakyat kepada pemerintahan sedia-ada terus mantap walaupun sekali-sekala dilanda isu-isu remeh. Dikala negara lain dilanda peperangan, rusuhan, malapetaka alam dan ancaman bom, negara kita pula heboh berbicara pasal tidak cukup bekalan gula, tepung gandum dan minyak masak. Ini menunjukkan kita sebenarnya sudah mencapai  tahap 'negara yang selesa' walaupun infrastruktur dan minda rakyat belum mencapai tahap negara maju.

Kita sebenarnya tidak mempunyai masa untuk memperjudikan nasib masa hadapan negara di tangan pihak tertentu kerana kita teramat kesuntukan masa untuk mencapai cita-cita menjadi negara maju pada tahun 2020. Apa sahaja isu dan polemik semasa boleh diselesaikan secara 'dalaman' iaitu melalui kritikan-kritikan positif yang membina atau secara pemesyuaratan diantara pelbagai pihak. Sememangnya kehidupan kita sebagai sebuah negara akan menghadapi pelbagai masalah dan rintangan semasa kerana peralihan masa, teknologi dan perubahan corak gaya kehidupan masyarakat kita.

Apa yang perlu ditekankan disini adalah nasib dan halatuju negara ditentukan oleh kita sendiri tanpa perlu pihak luar masuk campur atau kita hanya menjadi pak turut sahaja asalkan periuk nasi sendiri terbela manakala maruah dan jatidiri bangsa kita tergadai. Tidak kira daripada mana-mana kaum, kita adalah satu iaitu terdiri dari satu bangsa yang bernama Bangsa Asia. Maka corak demokrasi negara kita perlulah dibina dengan kerangka acuan budaya dan cara hidup kita sendiri bukannya mengikut momokan solekan kosmetik demokrasi negara Barat tertentu. Janganlah kita menjadi Pak Kaduk pergi bersabung ayam, menang sorak tapi kampung tergadai.

Oleh : Zamri Muda, Desa Rawai, Marang.
 
Maklumat Peribadi;
Mohd. Zamri Muda
740102-11-6391
Alamat : Lot 1727, Padang Pak Wan, Kg.Rawai, Bukit Payung, 21400 Marang.
Tarikh :  11 Februari 2008
E-mel : [email protected]
Laman web:
www.geocities.com/ramzamuda
Hosted by www.Geocities.ws

1