Saudara Pengarang,

Saratkan aktiviti anak muda untuk cegah lumba haram berluasa

Sebut sahaja perkataan lumba haram, kita masing-masing masih terkapai-kapai untuk mencari jawapan kepada masalah anak muda remaja sekarang. Hendak dikatakan untuk mengasas bakat sebagai bakal pelumba Formula Satu, kenapa tidak gunakan saja jalan tanah kebun getah atau lorong sawah untuk mengasas bakat. Kalau hendak kata nak tunjuk siapa lebih ‘macho’, lebih baik diadakan pertandingan tinju Siam. Namun permasalahan ini tidak berkesudahan ceritanya.Saya sendiri sudah mati akal untuk memikirkan jalan penyelesaian seperti mana memperkatakan tentang isu dadah, rogol dan penderaan. Hanya formula Masyarakat Utopia sahaja dapat memberi penyelesaian sempurna. Tetapi ianya jauh panggang dari api berbanding dengan masyarakat kita.

Gejala lumba haram berkait rapat dengan aktiviti tidak sihat seperti mengguna pil khayal, ubat batuk, ganja dan dadah. Seterusnya mengheret kepada perbuatan mencuri, melarikan beg tangan wanita, peras ugus duit dan sebagainya. Lumba haram berkait rapat dengan kesalahan melebihi had laju, meningkatkan kemungkinan kemalangan maut dan memandu tanpa lesen. Sepatutnya, hukuman kepada kesalahan lumba haram harus lebih berat seperti penjara sebulan dan denda RM 3000.

Anak muda yang terlibat dengan aktiviti lumba haram boleh dibahagikan kepada dua golongan. Golongan pertama adalah golongan teras yang begitu taksub dengan aktiviti lumba haram. Kehebatan beraksi lumba disertakan dengan penggunaan bahan khayal atau pil psikotropik malah dadah. Mereka inilah yang menjadi bintang utama setiap kali lumba haram diadakan. Manakala kumpulan kedua adalah sekadar mengikuti lumba haram secara suka-suka sahaja. Mereka terdiri daripada remaja-remaja lepasan SPM atau sanak-saudara sekampung dengan kumpulan teras. Kehadiran merekalah yang meramaikan lagi khalayak pelumba haram dan membahayakan aliran trafik.

Bagi membendung dan mengurangkan gejala lumba haram, kerajaan harus mengambil langkah yang lebih proaktif selain menyerahkan kepada pasukan PDRM dalam menangani aktiviti kumpulan teras pelumba haram. Golongan kedua harus diambil perhatian juga di mana pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu yang boleh menarik penyertaan mereka ke dalam aktiviti riadah yang lain sebelum mereka bertukar menjadi kumpulan teras. Salah satu cara ialah kerajaan menyediakan aktiviti-aktiviti sosial yang boleh disertai oleh anak muda. Formula saratkan aktiviti anak muda dicadangkan adalah seperti berikut;

I- Pertandingan mencari bakat bola sepak

Pertandingan untuk mencari bakat bola bermula diperingkat desa, mukim dan daerah. Katakan pertandingan ini dinamakan Bakat Bola. Latihan dan pertandingan dicadangkan diadakan di waktu malam. Maka padang bola sekolah atau padang bola awam di desa-desa perlu dicerahkan dengan lampu suar. Setiap peserta diberikan elaun latihan seperti RM 30 untuk latihan peringkat desa, RM 60 untuk peringkat mukim dan RM 90 untuk peringkat daerah. Dalam tempoh setahun pencarian bakat disaring melalui pertandingan di peringkat mukim dan daerah. Bakat bola yang terserlah boleh diserapkan untuk pasukan negeri masing-masing. Aktiviti bakat bola dijalankan setelah waktu maghrib sehingga tengah malam. Maka peserta akan penat dan tidak akan merayau jauh dari kampung mereka.

II- Pertandingan Tinju Siam.

Sepertimana pertandingan mencari bakat bola yang baru, pertandingan liga yang serupa boleh dilakukan terhadap pertandingan tinju siam atau tomoi. Sukan tinju siam sesuai untuk anak muda yang suka kepada aksi fizikal yang sebenarnya. Kehebatan fizikal anak muda yang melibatkan diri dengan perkumpulan gengster boleh menyumbangkan tenaga. Saringan daripada pertandingan ini boleh dijadikan calon untuk pasukan peninju peringkat negeri dan kebangsaan.

III-  Kerajaan melalui majlis daerah mengadakan penganjuran perlumbaan motor di saluran yang dibenarkan.

Perlumbaan motor terbahagi kepada dua jenis, pertama ialah perlumbaan jelajah dimana litarnya boleh digunakan jalan ladang atau jalan tanah merah. Jenis perlumbaan motor yang kedua adalah pertandingan litar tertutup. Maka litar lumba mini di setiap daerah perlu dibina oleh pihak berkuasa tempatan. Semasa perlumbaan diadakan, peserta hendaklah memakai pakaian keselamatan untuk berlumba dan mempunyai lesen memandu. Waktu pertandingan dicadangkan diadakan di waktu petang dan pertandingan perlumbaan diadakan seminggu sekali.


IV- Pertandingan sukan rakyat dibanyakkan.

Pertandingan sukan rakyat seperti pertandingan memancing, bermain gasing, sepaktakraw, berdikir barat dan pertandingan wau boleh diadakan dengan lebih kerap lagi untuk menyibukkan lagi anak-anak muda ini.

V- Penubuhan ladang belia atau medan niaga belia untuk belia menganggur.

Bagi setiap desa dan daerah yang mempunyai banyak tanah terbiar, pihak kemajuan setempat boleh menyerapkan tenaga kerja daripada anak muda yang tidak bekerja. Manakala di bandar atau pekan kecil, pihak berkuasa terbabit boleh mengwujudkan medan niaga khusus untuk anak muda berjinak-jinak dengan perniagaan.

Diharapkan cadangan-cadangan tersebut dapat sedikit sebanyak mengurangkan peratusan anak muda kita terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba motor haram. Cara penghukuman keras mungkin hanya dapat memberi kesan jangka pendek tetapi gejala ini berterusan. Dengan cara mengwujudkan budaya yang baru, semoga dapat menghindarkan golongan majoriti anak muda hilang arah tujuan.
Nukilan- Rayan Kalai, Kuala Terengganu.

Maklumat Peribadi;
Nama : Mohd Zamri B- Muda
I/c : 740102-11-6391 No.telefon : 013 952 29 18
Alamat: 131 Kg. Rawai, Bukit Payung, 21400 Marang, Terengganu
Pendidikan: Bac.Sc. Bioteknologi 1994-1998 UniPutra Serdang

Hosted by www.Geocities.ws

1