Saudara Pengarang,

 

Kemalangan di lebuhraya utama: Faktor peranan lorong kecemasan perlu dikaji

 

Kematian sekeluarga akibat dilanggar ketika sedang menukar tayar yang pancit di lorong kecemasan begitu mendukacitakan kita semua. Kejadian ini boleh dijadikan kayu pengukur yang paling baik apabila memperkatakan tentang sikap pemandu di negara kita. Terdapat sebahagian daripada pemandu di negara kita menjadikan jalanraya sebagai tempat untuk melepaskan geram atau tekanan hidup mereka. Apa yang amat menyedihkan sekali ialah mereka yang liar, buas dan ganas itu terlepas tetapi mereka yang tidak berdosa dan tidak bersalah menerima nasib yang malang. Itulah hakikat yang amat pahit sekali untuk diterima di negara kita yang aman, damai dan makmur ini.

 

Walauapapun yang telah berlaku, kita semua perlu bermuhasabah untuk bersama-sama mengurangkan kadar kemalangan di jalanraya di negara kita. Kejadian kemalangan di lorong kecemasan tempoh hari sebenarnya memperlihatkan salah satu unsur penting yang boleh menyumbang berlakunya kemalangan iaitu penyalahgunaan fungsi lorong kecemasan. Hal ini begitu ketara sekarang ini sehinggakan terdapat iklan raya yang menyentuh tentang perkara itu secara tidak langsung ( ingatkah : berbaris tunggu giliran anda!).

 

Di negara kita yang mempunyai prasarana bertaraf negara maju tetapi sikap majoriti penduduknya masih bersikap negara membangun. Lorong kecemasan adalah lorong yang disediakan khas bukan untuk tujuan memecut atau memintas maka kefungsian itu harus diutamakan. Maka itu, saya mencadangkan agar ciri-ciri lorong kecemasan di jalan besar diturun-taraf supaya tidak boleh disalah-gunakan. Kaedah paling mudah ialah membina lorong kecemasan yang dibuat daripada bancuhan bermutu rendah simen atau konkrit, mempunyai permukaan kasar berlekuk dan paras permukaan rendah sedikit dari permukaan jalan sedia ada.. Manakala di jalan yang lebih kecil, sempadan tanah berumput boleh digazetkan untuk menjadi lorong kecemasan.

 

Pembinaan lorong kecemasan berciri baru ini juga boleh mengurangkan kadar lalulintas dimana lorong kecemasan sedia ada yang asal boleh ditukar fungsi sebagai lorong tambahan untuk laluan lori, bas atau kereta yang berkelajuan rendah. Diharapkan kaedah baru ini boleh dilaksanakan untuk seberapa segera di kawasan laluan lurus yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi. Kajian terperinci masih perlu dilakukan untuk mengukur tahap keberkesanan kaedah ini. Jika berlaku pengurangan ketara kadar kemalangan, maka ia boleh dijadikan ciri kemestian bagi setiap pembinaan jalanraya baru.

 

Sememangnya jawapan sebenar kepada kadar kemalangan tinggi di negara kita memerlukan perubahan sikap para pemandu. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menaik taraf lebuhraya negara dengan menambah lorong menjadi 10 atau 12 lorong iaitu membahagikan laluan kepada 3 laluan berasingan iaitu laluan motorsikal, laluan kereta/van/trak dan laluan lori/bas. Pernahkah anda berjumpa dengan situasi dimana deretan kenderaan kecil mengekori sebuah lori besar yang sarat dengan muatan? Tentu sekali anda biasa dengan keadaan sebegitu. Jika ada yang tidak sabar tentunya kemalangan ngeri boleh berlaku.

 

Diharapkan penukaran ciri lorong kecemasan boleh mengurangkan sedikit kadar kemalangan.

 

Oleh : Mohd.Zamri Muda, Bukit Payong, Marang.

 

Maklumat;

i/c : 740102-11-6391

alamat: 131, Kg.Rawai, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu.

No. tel: 019 902 50 15

Rujukan web di geocities.com/ramzamuda

Tarikh : 21-11-2004

Hosted by www.Geocities.ws

1