Melonjakkan pengeluaran tanaman makanan di Malaysia

Saudara pengarang,

Fenomena kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan kos bahan makanan dunia sememangnya tidak boleh dielakkan lagi, keadaan ini boleh dibendung dengan kita sendiri menghasilkan bahan mentahnya. Tanaman makanan meliputi tanaman bijirin ruji dan juga tanaman bijirin ternak untuk binatang ternak. Bukan setakat penanaman padi malah tanaman bijirin tropika lain seperti sekoi,padi huma, betari, jagung, kacang hijau, kacang kuda dan kacang soya.

Namun timbul pula persoalan iaitu adakah kita mampu menyediakan ruang tanah yang mencukupi bagi menampung penanaman tanaman bijirin tersebut. Jawapan masih ya kerana kita sebenarnya masih mempunyai kawasan tanah yang bersesuaian untuk tujuan tersebut iaitu kawasan baru tanaman semula kelapa sawit, getah dan kawasan tanah terbiar. Kawasan kosong di antara pokok muda boleh diguna untuk tempoh 2 atau 3 tahun sebelum pokok komoditi menutup kanopi. Dan apabila dicongak-congak, keluasan tanah tersebut boleh mencapai 30% dari jumlah keseluruhan tanah pertanian negara.

Untuk langkah jangka masa panjang, jumlah keluasan itu sebenarnya boleh ditambah lagi tanpa mengorbankan rezab hutan kita dengan kaedah tanaman sistem berpagar dimana pokok tanaman komoditi ditanam rapat dalam satu barisan mengunjur dari timur ke barat tetapi dijarakkan sejauh 10 hingga 20 meter antara barisan menghasilkan satu ruang tanah lapang bercahaya yang sesuai untuk aktiviti tani sepanjang tahun.

Cara tersebut memang mengurangkan bilangan tanaman komoditi per hektar tetapi ia mampu memberi kesan lebih baik untuk jangka panjang iaitu tahap kesuburan tanah yang berkekalan kerana tidak wujud kesan tanah mati akibat kekurangan flora fauna semulajadi, fenomena terlebih baja dan penggunaan racun akibat penanaman tanaman komoditi terlalu rapat.

Kaedah ini juga membolehkan para peladang tanaman komoditi mendapat pendapatan sampingan lebih banyak kerana tidak perlu lagi bergantung kepada tanaman komoditi utama. Manakala ruang lapang tersebut boleh ditukar fungsi atau jenis penanaman mengikut keperluan ekonomi semasa. Selain daripada tanaman bijirin, mereka boleh menanam tanaman kontan, pokok herba, sayur-sayuran dan malah sebagai padang ternak sahaja.

Diharapkan beberapa cadangan tersebut dapat merungkai sedikit ruang buntu di fikiran kita semua dalam pada menghadapi masalah semasa iaitu kekurangan ruang tanah untuk penanaman tanaman makanan.

Oleh : Mohd Zamri Muda, Desa Rawai, Marang.

Maklumat tambahan;
No. I/C  : 740102-11-6391
No. Tel  : 019 902 50 15
Alamat  :  Lot 1727, Padang Pak Wan, Kampung Rawai, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu Darul Iman.
Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman web : www.geocities.com/ramzamuda
Hosted by www.Geocities.ws

1