DBMU Edisi September 2000 [Unpublish]
Saudara Pengarang,
Memorandum Terbuka Untuk UMNO;
Tajuk : Wujudkan Dana Bantuan Mikro Umno [DBMU] Untuk Bumiputra
Rentetan daripada temubual bernas Utusan Malaysia dengan Prof. Ungku
Aziz pada 20 Ogos 2000 yang lalu. Saya berasa begitu terpanggil untuk
berkongsi satu idea cadangan bagi menjawab persoalan terakhir dalam
temubual tersebut. Sebenarnya idea saya ini telah lama tercetus di
benak pemikiran saya iaitu apabila berlakunya ungkitan isu Hak Istimewa
Orang Melayu yang kini sudah reda diperkatakan. Terima kasih juga
diucapkan kepada Perdana Menteri kerana memberi kata-dua yang tegas
kepada pertubuhan Suqiu ketika ucapan Hari Kebangsaan tempoh hari dan
penerusan dasar pro-DEB iaitu Dasar Pembangunan Wawasan [DPM] bagi 2000
hingga 2010.
Menyentuh tentang mengapa isu hak orang Melayu dibangkitkan, pada
pendapat saya ini disebabkan oleh pihak MPEN2 yang akan bersidang bagi
merangkakan Rancangan Jangka Panjang yang ke-3 untuk tempoh 10 tahun
lagi (2000- 2010) yang kini telah diberikan nama dan ciri-cirinya
sebagai DPW. Satu persoalan utama timbul iaitu – apakah bentuk
formulasi ekonomi selepas ini selepas perlaksanaan DEB (1970-1990) dan
Wawasan 2020 (1991-2020) nanti. Ia cukup menjadi tandatanya apabila
ianya melibatkan nasib anak-cucu kita semua terutamanya kepada bangsa
Melayu selepas 2020 nanti.
Walau apa pun yang berlaku (selepas tahun 2020 nanti), Umno sebagai
tulang belakang utama bangsa Melayu harus mengambil tindakan yang lebih
pro-aktif bagi membebaskan sepenuhnya bangsa Melayu dari taraf
masyarakat termiskin dan miskin kepada berpendapatan sederhana tanpa
melalui instrumen subsidi yang disediakan oleh kerajaan. Cuba kita
membayangkan satu persoalan – bagaimanakah caranya kita untuk membantu
bangsa kita tanpa bantuan sebarang subsidi seperti bantuan baja
subsidi, bantuan bulanan kebajikan masyarakat, skim TEKUN, Projek
Pembangunan Rakyat Termiskin, Skim Prosper, tabung pinjaman biasiswa
PTPTN dan sebagainya seperti mana yang telah dan sedang dilakukan oleh
kerajaan Malaysia selama ini ( bagi tempoh 1970-2000 ).
Maka ini, saya ingin mencadangkan Umno untuk menubuhkan satu dana
persendirian bagi mengambil-alih tugas yang dibebankan kepada kerajaan
Malaysia selama ini. Dana ini boleh dinamakan sebagai Dana Bantuan
Mikro Umno ( DBMU ). Dana ini pada prinsipnya adalah pemberian bantuan
pinjaman tanpa faedah yang paling fleksibel dan tidak menekan para
peminjamnya. Dana ini ditujukan khas kepada masyarakat akar umbi Melayu
kita yang tinggal di kampung-kampung dan juga kakitangan kerajaan yang
berpendapatan rendah.
Konsep DBMU ini timbul dengan mengambil contoh masyarakat Cina dan
India di negara kita dimana golongan yang kaya memayungi golongan
kurang berada untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka terutama disegi
bantuan modal kapital. Maka DBMU dalam erti kata yang sama memayungi
masyarakat akar umbi bangsa Melayu kita iaitu golongan rakyat
termiskin, miskin dan golongan pekerja kerajaan berpendapatan rendah.
DBMU ini dicadang diuruskan sepenuhnya oleh pihak parti Umno
diperingkat akar umbi, maka tiada masalah birokrasi dan penjanaan dana
ini datangnya dari sumbangan derma syarikat bumiputra (yang dilahirkan
oleh dasar DEB ). Satu persoalan, mahukah mereka memberi sumbangan
kapital? Maka ini saya mencadangkan agar undang-undang tertentu digubal
dengan dua alternatif. Pertama dengan menetapkan secara automatik
minima 10% daripada 29% cukai syarikat bumiputra adalah untuk DBMU (
ini bermakna; 10% cukai adalah untuk DBMU manakala cuma 19% cukai untuk
kerajaan ). Alternatif kedua ialah dengan cara inisiatif pengecualian
cukai. Contohnya, katakan setiap 1% daripada keuntungan syarikat
disumbangkan kepada DBMU, syarikat itu akan mendapat 1.5% mata
pengecualian cukai dan dihadkan 10% pendermaan adalah takat maksimum.
Ini bermakna jika satu syarikat mendermakan 10% daripada keuntungannya
kepada DBMU maka kerajaan Malaysia hanya akan mengutip 14% sahaja [ 29%
- 15%(mata pengecualian)], syarikat akan menndapat semula 5%
keuntungannya.
Alternatif lain sumber kapital dana datangnya dari derma oleh golongan
korporat negara, derma dari negara Arab dan penyaluran sepenuhnya wang
hasil minyak oleh Petronas bagi kawasan Semenanjung Malaysia. Jika
penggunaan wang hasil minyak diguna sepenuhnya maka ianya lebih adil
kepada negeri lain selain Teregganu merupakan cara lebih baik dari
konsep wang ehsan.
Berikutnya, saya ingin mengemukakan konsep asas pelaksanaan DBMU. Dana
ini seperti yang telah ditekankan sebelum ini adalah bertujuan untuk
membantu masyarakat akar-umbi Melayu dari terus dibelenggu kemiskinan.
DBMU memberi peluang seluas-luasnya kepada orang Melayu untuk;
i- Mengusahakan projek pertanian atau
ii- Perniagaan kecil,
iii- Perusahaan kecil,
iv- Pembinaan rumah,
v- Pembiayaan pelajar ke IPT dan
vi- Malah untuk membiayai pembelian komputer untuk anak-anak.
Permohonan bantuan pinjaman Dana Bantuan Mikro Umno (DBMU) adalah amat
mudah dan tiada cagaran diperlukan seperti mana pinjaman institusi
kewangan konvensional. Apa yang berlaku disini ialah ianya diberi
diatas dasar kepercayaan sesama bangsa atau diatas konsep amanah janji
sesama Islam. Tentu terlintas di benak pemikiran anda sekarang akan
istilah “Janji Melayu”. Maka ini, konsep “Janji Melayu Baru” boleh
dipraktiskan dengan pelaksanaan DBMU.
Jika bangsa kita benar-benar berjiwa Melayu Islam yang tulen dan
ikhlas, tentunya istilah Janji Melayu Baru ini akan dapat memberi
tamparan hebat kepada sarjana Barat yang pernah melabel bangsa kita
sebagai bangsa yang pemalas dan tidak menepati janji. Ini juga akan
dapat menjadi contoh tauladan kepada bangsa-bangsa kecil yang
terpinggir di lain benua. Dan oleh kerana DBMU melibatkan para pemohon
yang terdiri daripada golongan masyarakat akar-umbi dan pengurusan
permohonan dana diuruskan oleh parti Umno di peringkat rendah (samada
cawangan atau bahagian), maka komitmen dan keboleh-percayaan adalah
berada dalam keadaan tinggi.
Manakala cara permohonan pinjaman DBMU adalah amat mudah dan
ringkas sahaja. Dicadangkan apa yang diperlukan cuma maklumat berikut
iaitu;
i- Latar belakang pemohon
ii- Tandatangan pemohon
iii- Tandatangan penjamin sekurang-kurangnya 3 ahli keluarga terdekat
sebagai penyokong dan saksi
iv- Satu surat sokongan ketua kampung atau penghulu
v- Satu surat ringkasan latar-belakang projek atau latar-belakang
pengajian di IPT [ tidak kira IPTA atau IPTS ]
Borang permohonan dana ini boleh diberi nama sebagai “Surat Amanah
Janji DBMU”. Jika apa yang saya bincangkan sebelum ini kurang lagi
dapat memuaskan hati banyak pihak, berilah saya peluang untuk
mengemukakan contoh perlaksanaan projek DBMU dengan 4 peringkat dalam
masa 20 tahun iaitu bagi tempoh 2000-2020 [jika DBMU dapat dilaksanakan
dalam tempoh terdekat ini].
Fasa 1, bagi tempoh 2000 hingga 2005. Penjanaan sumbangan dari syarikat
Bumiputra terlibat dianggarkan sekitar RM 500 juta setahun [atau hampir
RM 1.5 billion jika termasuk pendapatan ‘royalti’ hasil minyak
Semenanjung]. Pada ketika ini, DBMU hanya menjalankan aktiviti
mengumpul dana dan urusan peminjaman sahaja. Penyaluran kapital
pinjaman disalurkan terus melalui kaun peribadi pemohon di Bank
Simpanan Nasional [BSN] atau di akaun ASB/ASN di PNB.
Matlamat utama DBMU dalam tempoh ini ialah untuk menghapuskan golongan
rakyat termiskin dan menukarkan taraf penduduk miskin dan pekerja
kerajaan berpendapatan rendah kepada berpendapatan sederhana. DBMU juga
juga dicadangkan menjadi penyelesai pembayaran semula pinjaman graduan
IPT yang menjadi mangsa zaman kegawatan ekonomi iaitu graduasi 1997,
1998, 1999 dan 2000.
Kita tentu tidak mahu melihat golongan ini tersepit diantara dilema
memilih kerja atau berasa begitu tertekan hidupnya kerana memikirkan
soal pembayaran balik pinjaman mereka. Fenomena tekanan hidup yang
melampau kini sudah mulai menular di negara Asia yang maju seperti
Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura. Indikator langsung yang
dikaitkan dengan gejala ini ialah bilangan kejadian membunuh diri.
Sebagai contoh di Jepun, telah berlaku kejadian membunuh diri seramai
30,000 orang di tahun 1999.Di Malaysia umumnya, kejadian kecelakaan di
jalanraya serta kelakuan buli para pemandu di jalanraya boleh dijadikan
indikator tekanan hidup.
Julat nilai pinjaman yang boleh dipohon dari DBMU adalah antara RM
5,000 hingga RM 25,000 [ pecahan RM 5,000 , RM 8,000 , RM 10,000 , RM
15,000 , RM 18,000 , RM 20,000 dan RM 25,000 ] . Manakala julat tempoh
wajib bayar balik berkadar terus dengan setiap ribu wang yang dipohon
iaitu 5 tahun hingga 25 tahun. Dicadangkan penyaluran dana adalah
sekali gus melalui akaun PNB atau BSN tanpa sebarang kerenah birokrasi.
Fasa 2, bagi tempoh 2006-2010. Aktiviti DBMU ditambah dimana dana ini
mula membuat pelaburan [dengan 10% peruntukan dari dana]. Sasaran
pelaburan DBMU dihadkan kepada syarikat-syarikat IKS milik Bumiputra
sahaja. Matlamat ekonomi DBMU ialah penukaran sepenuhnya masyarakat
akar-umbi ke taraf berpendapatan sederhana.
Julat pinjaman maksimum dalam tempoh ini ditambah dua kali ganda iaitu
RM 5,000 hingga RM 50,000 tetapi julat tempoh bayaran balik bagi Fasa 2
dikurangkan iaitu julat 5 tahun hingga 20 tahun. Dianggarkan di hujung
tempoh ini iaitu tahun 2010, jumlah dana DBMU yang terkumpul mencapai
jumlah Dana KWSP dan Permodalan Nasional.
Pada ketika ini, pihak kerajaan bolehlah mengugurkan semua subsidi
untuk Bumiputra. Contoh subsidi adalah pembelian baja subsidi
padi/getah/kelapa sawit,bantuan kebajikan masyarakat, Skim Tekun, PPRT
dan pinjaman biasiswa untuk pelajar IPT. Ini kerana pada ketika ini,
dianggarkan semua petani dan peladang bergerak atas dasar komersial.
Diakhir tempoh Fasa 2 ini, dijangkakan lebih 50% pinjaman akan kembali
semula kepada DBMU. Penguasaan ekonomi negara oleh orang Melayu
dijangkakan mencecah 30%.
Fasa 3, tempoh 2010-2015. DBMU mula menukar nama dari Dana Bantuan
Mikro kepada Dana Bantuan Modal. Matlamat ekonomi DBMU bagi tempoh ini
ialah meningkatkan taraf masyarakat bumiputra Melayu dari taraf
berpendapatan sederhana kepada berpendapatan pertengahan. DBMU juga
dicadangkan untuk membuat pelaburan sebanyak 25% dari jumlah dananya.
Sasaran pelaburan DBMU pada ketika itu ialah syarikat IKS Melayu dan
syarikat mega milik Melayu. Julat maksimum pinjaman DBMU mencecah RM
100,000. Manakala tempoh bayar balik 5 tahun hingga 20 tahun.
Penguasaan ekonomi orang Melayu pada ketika ini dianggarkan sekitar 30%
hingga 50%.
Fasa 4, tempoh 2015-2020. Dalam tempo ini, dicadangkan DBMU
memperuntukkan 50% dari tabungan untuk kegunaan pelaburan eksklusif
terhadap syarikat mega Melayu malah DBMU pada ketika ini berkemampuan
untuk membeli syarikat-syarikat bukan bumiputra dan juga syarikat asing
di luar negara. Julat maksimum pinjaman mencecah RM 500,000. Tahap
ekonomi masyarakat Melayu majoriti bertukar kepada golongan pertengahan
sepenuhnya. Jumlah anggaran nilai dana DBMU di tahun 2020 mungkin
adalah RM 500 ribu juta. Tahap penguasaan ekonomi orang Melayu pada
ketika itu dianggarkan melebihi 50%. Formulasi bahagian penguasaan
ekonomi bagi Bumiputra: Bukan Bumiputra: Rakyat Asing berkisar pada
nilai 50:25:25
Sebagai penutup, saya ingin meminjamkan satu pepatah orang Tiong Hwa
berbunyi-“Jika hendah ditolong orang miskin… jangan beri makanan tetapi
lebih baik diberikan mata kail.” Mungkin teori konsep DBMU yang telah
saya bentangkan di sini tidak dapat berjaya 100% tetapi berjaya hanya
sedikit. Maka saya amat berharap agar rasional penubuhan DBMU ini dapat
dipertimbangkan oleh segenap lapisan orang Melayu untuk dicuba.
Dasar-dasar pro-DEB ( termasuk DPW ) mungkin masih relevan untuk
diteruskan bagi tempoh 2010-2020 tetapi apakah nasib orang Melayu akan
berubah dengan drastik. Perlukah dasar pro-DEB terus-menerus
dilaksanakan dan mengulit orang Melayu dengan mimpi-mimpi indah? Sampai
bila harus begini? Maka pelaksanaan DBMU boleh dijadikan instrumen
alternatif terbaik dalam perlaksanaan DPW 2000-2010.
Kini masanya sudah tiba untuk kerajaan Malaysia melepaskan beban
(sepatutnya pada tahun 1990 lagi) dengan tidak lagi menaungi masyarakat
akar-umbi Melayu dengan bantuan-bantuan subsidi. Dengan adanya
instrumen keramat seperti DBMU, kerajaan Malaysia hanya perlu
menumpukan tugasnya kepada penyediaan infrastruktur negara sahaja dan
juga menaungi syarikat mega-korporat Malaysia bagi merebut peluang
untuk bersaing dalam pasaran bebas dunia global. Akhirnya dapat saya
simpulkan di sini ialah DBMU relevan dengan Dasar Pembangunan Wawasan
2000-2010, Wawasan 2020 dan cara hidup orang Melayu selepas 2020 nanti.
Nukilan: Ramzam Muda, Desa Rawai, Marang.
P/s ; Edisi Asal September 2000 [ tidak pernah diterbitkan]
Maklumat Peribadi;
Nama : Mohd. Zamri B- Muda
I/c : 740102-11-6391
Alamat : 131, Kg.Rawai, Bukit Payung, 21400 Marang.
No. Tel. : 013 952 29 28