Saudara Pengarang,
Alternatif keluar kepada makanan ternak import mahal
Pengalaman kegawatan ekonomi Asia yang bermula pertengahan Ogos 1997
banyak memberi pengajaran berguna kepada rakyat Malaysia. Selain
daripada kelahiran formulasi baru kekebalan ekonomi Malaysia, fenomena
kenaikan harga barang import merupakan pengalaman berguna kepada kita
untuk digunakan dikemudian hari. Ekoran pencerobohan bumi Iraq tahun
lepas, harga petroleum mentah dunia telah melonjak naik dan ini
menambahkan kos pengangkutan laut dan darat. Diantara bahan import yang
mengalami kenaikan mendadak adalah makanan bijirin ternak kerana ianya
bukan barangan kawalan. Di saat tempoh genting penularan selsema
burung, kos makanan ternak memberikan kesan negatif kepada para
penternak tempatan terutama bagi penternakan unggas seperti ayam, itik,
angsa dan puyuh. Ini menyebabkan ramai penternak tempatan gulung tikar
dan matlamat menghasilkan produk makanan sendiri, apatah lagi untuk
mengeksport ke luar negara tidak akan tercapai.
Namun demikian, kita masih lagi mempunyai beberapa pilihan untuk
berbuat sesuatu kerana Malaysia kini mempunyai sedikit kekuatan ekonomi
dan teknologi bagi menangani masalah ini. Maka itu, saya ingin
mengemukakan beberapa idea baru yang boleh dipertimbangkan untuk tujuan
tersebut. Terdapat dua jalan penyelesaian iaitu penyelesaian untuk
jangka masa panjang dan penyelesaian untuk jangka masa pendek. Untuk
penyelesaian jangka masa panjang, ahli korporat Malaysia atau mana-mana
syarikat mega seharusnya membuat pelaburan di luar negara bagi
pengeluaran bijirin seperti soya dan jagung di negara-negara dunia
ketiga di Afrika, Amerika Selatan atau negara Islam bekas Soviet.
Selain daripada itu, kajian mendalam terhadap potensi penggunaan sisa
isirong kelapa sawit, sisa kilang padi dan juga mendakan-teraktif (
activated-sludge ) rawatan sisa kilang sawit sebagai sumber makanan
ternak baru patut dilakukan.
Untuk penyelesaian jangka masa pendek, penanaman bijirin baru untuk
makanan ternak perlu diperkenalkan. Ruang tanah untuk penanaman bijirin
baru sememangnya ada apabila diambil kira ruang tanah penanaman padi
diluar musim menanam, kawasan penanaman semula kelapa sawit dan getah,
kawasan tanah kampung terbiar, kawasan tanah beris terbiar dan juga
kawasan penanaman tembakau. Tanaman bijirin baru yang boleh memberikan
kandungan makanan lengkap adalah seperti padi huma, sekoi, bunga
matahari dan juga sorghum. Namun kejayaan penanaman bijirin tersebut
amat bergantung kepada faktor tiadanya berlaku banjir sepanjang
pertumbuhan tanaman dan juga musim kering tanpa hujan ketika musim
menuai. Bijirin tersebut hanya perlu diracik atau dihancurkan dengan
mesin khas sebelum diberikan kepada ternakan. Selain daripada itu,
pasir halus, baja abu bakar dan garam mineral boleh ditambah untuk
mempertingkatkan nutrien dan sistem penghadaman unggas.
Manakala tanaman ubi kayu ( tapioka ) dan kacang hijau merupakan dua
tanaman yang boleh digabungkan sebagai makanan ternak lengkap. Ubi kayu
menyumbangkan sumber karbohidrat, manakala kacang hijau menyumbangkan
sumber protein. Penanaman kacang hijau sebagai tanaman sumber protein
lebih sesuai berbanding dengan kacang soya kerana ianya lebih berdaya
tahan terhadap penyakit dan cuaca di Malaysia. Manakala ubi kayu
merupakan tanaman sumber kanji yang paling efisien dan kos
penyelenggaraan terendah. Untuk pengeluaran komersial, ubi kayu perlu
ditukarkan menjadi tepung kering terlebih dahulu. Tetapi bagi peringkat
pengeluaran kecil di desa, ubi kayu boleh disimpan lama dengan cara
digoreng dengan minyak ( sama seperti membuat kerepek ). Untuk
kegunaan mengoreng, sumber minyak sawit yang belum ditapis berharga
rendah boleh diperolehi daripada kilang sawit. Pilihan lain, ubi kayu
boleh direbus sebelum diberikan kepada ternakan. Manakala kacang hijau
boleh diperlakukan sama seperti tanaman bijirin dibincangkan sebelum
ini.
Diharapkan idea-idea tersebut dapat memberi sedikit jalan keluar bagi
menangani persoalan kenaikan kos makanan ternak import tetapi jangan
pula bila harga makanan ternak turun kita terus lupa akan kesusahan
masa lalu. Kita tidak boleh leka apabila berada dalam keadaan ekonomi
negara yang selesa, Malaysia mempunyai tugas besar untuk menyebarkan
wawasan dan teknologinya kepada negara membangun yang lain agar tidak
lagi diperkotak-katikkan oleh kuasa barat yang kini menguasai pasaran
bijirin dunia.
Oleh : Mohd. Zamri Muda, Bukit Payung, Terengganu.
Terima kasih kerana menyiarkan idea merapu saya ini dengan gaya bahasa
saya yang teruk ini dan juga berbanyak terima kasih kerana menyiarkan
artikel pendapat saya sebelum ini.
Maklumat Peribadi;
Alamat: 131 Kg.Rawai, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu.
No. Tel. : 013 902 50 15
No.ic : 740102-11-6391
Berkongsi idea untuk kesejahteraan negara tercinta...
Sila lawati www. Geocities. Com/ramzamuda untuk senarai idea