Saudara pengarang,
Malaysia perlu melancarkan Pelan Kecemasan Pengeluaran Padi Negara
Kenaikan harga beras dunia yang naik secara mendadak dan berkemungkinan akan
terus menunjukkan kenaikan lagi jika harga petroleum dunia terus melonjak
naik. Suasana harga pasaran semasa petroleum kini berlegar sekitar USD 100
bagi setong dan apa yang amat membimbangkan kita adalah kenaikan harga petroleum
sekitar USD 100 hingga USD 150 setong malah lebih daripada itu. Bukan setakat
harga pasaran beras malah harga komoditi makanan lainnya seperti gandum,
soya dan jagung. Keadaan ini pastinya akan menyebabkan inflasi terutama kepada
negara Asia Timur yang menjadikan beras sebagai makanan ruji kerana sebahagian
daripada negara tersebut bergantung kepada beras import yang murah. Dan kini,
negara pengeluar utama beras mula mengehadkan pengaliran beras eksport mereka
untuk mengimbangkan kuantiti beras kegunaan sara diri mereka.
Kita bertuah kerana pengeluaran sara-diri beras negara sudah mencapai ke
tahap 70% keperluan negara. Malaysia amat bernasib baik kerana telahpun menjalankan
dasar-dasar penanaman padi yang positif terutamanya sejak 5 tahun kebelakangan
ini walaupun penanaman padi secara giat hanya dijalankan di kawasan tertentu
sahaja. Tetapi tahap penggunaan beras tempatan menyebabkan stok simpanan
beras negara hanya boleh bertahan kurang daripada dua bulan. Walaupun kita
tidak menghadapi masalah segetir negara Filipina yang tidak langsung dapat
menjamin perolehan bekalan beras ke tahap meyakinkan kepada rakyatnya, kita
tidak boleh berasa selamat kerana ketidaktentuan harga minyak dunia di masa
hadapan. Seharusnya kita perlu merangka pelan kecemasan khas untuk menjamin
bekalan beras negara sekiranya situasi bekalan beras dunia terus meruncing.
Maka itu saya ingin mencadangkan negara kita agar segera merangka pelan kecemasan
pengeluaran padi negara yang perlu menumpukan kepada dua strategi utama iaitu
pengeluaran di kawasan penanaman padi tidak aktif dan penanaman padi alternatif
secara kering. Strategi yang pertama iaitu pengeluaran padi di kawasan penanaman
padi secara tradisional yang kini tidak lagi aktif terutamanya di kawasan
-kawasan kampung yang tidak mempunyai sisttem pengairan dan hanya mengharapkan
bekalan air banjir di musim hujan. Sememangnya penanaman padi di kawasan
ini tidak lagi aktif kerana saiz bendang amat kecil ( akibat pembahagian
harta pusaka ) dan kos tidak lagi praktikal untuk dilakukan secara persendirian.
Justeru itu, pertubuhan petani peringkat kampung atau daerah perlu menyatu
dan mengusahakannya secara pengurusan bersepadu atau lebih dikenali sebagai
konsep berkelompok. Pemilik tanah asal mendapat perolehan mengikut keluasan
bendang mereka setelah ditolak semua kos pengurusan.
Strategi kedua penanaman padi adalah penggunaan jenis padi alternatif iaitu
jenis padi bukit atau lebih dikenali sebagai padi huma. Padi bukit merupakan
tanaman bijirin asli Asia Tenggara dimana mempunyai sejarah pembiak-bakaan
selama 2 ribu tahun. Kelemahan utama baka ini adalah tempoh penanamannya
mencecah sehingga 6 bulan dan penghasilan bijirin pada kadar separuh daripada
padi baka komersial.Kita sebenarnya tidak tahu kemampuan sebenar baka padi
ini kerana ia ditanam dikawasan tanah masam yang bernutrien rendah dan hanya
bergantung kelembapan daripada air hujan sahaja. Buat masa kini tidak ada
satu pun penghasilan baka komersial dari jenis padi bukit walhal baka ini
menjanjikan beberapa kelebihan iaitu sebagai makanan kesihatan ( kandungan
anti-oksidan tinggi ), bijirin organik ( untuk pasaran negara maju ) dan
tanaman bijirin masa depan yang menjimat penggunaan air.
Penanaman padi bukit secara besar-besaran boleh diaplikasikan dengan sistem
penyiraman air mekanikal, penggunaan baja kimia dan perawatan tanah masam
dengan menggunakan kapur pertanian. Berkemungkinan penghasilan bijirin boleh
mencapai ke tahap 70% pengeluaran padi biasa. Penanaman padi bukit secara
komersial mampu menjimatkan penggunaan air di tahap 25% ( anggaran kasar
) berbanding dengan padi biasa. Selain itu, penanaman padi baka alternatif
ini membuka satu dimensi baru penanaman padi dimana kita boleh menanam padi
di kawasan tanah-tanah terbiar yang tidak mempunyai sistem saliran untuk
penanaman padi biasa atau di kawasan sawah bendang biasa di musim kemarau.
Jika kita mengambil-kira keluasan kawasan penanaman semula atau kawasan baru
ditanam kelapa sawit dan getah ( mungkin sekitar 10% dari keluasan getah
dan kelapa sawit ), potensi pengeluaran padi bukit di kawasan ini adalah
amat besar memungkinkan kita mampu mencapai tahap sara diri melebihi 100%.
Oleh : Zamri Muda, Desa Rawai, Marang.
Maklumat Peribadi;
Mohd. Zamri Muda
740102-11-6391
Alamat : Lot 1727, Padang Pak Wan, Kg.Rawai, Bukit Payung, 21400 Marang.
Tarikh : 05-04-2008 11.30pm
E-mel : [email protected]
Laman web:
www.geocities.com/ramzamuda