Saudara Pengarang,

 

Sokong penubuhan bank biji benih negara

 

Cadangan kerajaan melalui Kementerian Pertanian baru-baru ini untuk menubuhkan bank biji benih untuk kegunaan sendiri adalah satu langkah yang amat dialu-alukan. Pada pendapat saya, langkah ini amat bersesuaian sekali jika kita menghalusi konsep penjajahan kuasa barat secara halus termasuklah di segi perbekalan biji benih tanaman komersial dunia. Pernahkan anda cuba menanam semula biji benih yang anda perolehi dari tanaman yang anda tanam dengan menggunakan biji benih import dibeli dari kedai contohnya seperti tanaman jagung, sawi, tomato dan tembikai. Tentunya jawapannya, pokoknya kerdil terbantut, buah dihasilkan amat kecil dan kemungkinan tidak ada hasil langsung.

 

Itu adalah kerana fenomena yang dipanggil kesan resesif genetik yang zahir pada generasi kedua pokok kacukan. Dan itulah yang akan terjadi jika kita terus menggunakan baka biji benih import, tidak hairan suatu hari nanti akan terjadi semua pokok di kebun dihasilkan dari benih import. Jika tidak menggunakan biji benih import maka hasil tidak menjadi. Seterusnya satu dunia miskin masih perlu tunduk dengan membeli benih dari dunia barat. Di situlah keuntungan barat kerana menguasai teknologi.

 

Malaysia sebagai negara membangun yang paling maju harus mengetuai usaha-usaha untuk mempertahankan dan memelihara khazanah biodiversiti tempatan termasuk semua jenis tanaman sayur-sayuran dan bijirin. Malaysia teramat bernasib baik kerana secara tidak langsung telah ada usaha-usaha awal ke arah ini dengan adanya bank khas biji benih padi tempatan dan tanaman komoditi lainnya seperti kelapa sawit, getah, koko, kopi dan kelapa.

 

Malaysia mempunyai kelebihan apabila mempunyai bank sumber benih sendiri jika dilihat disudut daya saing dan survivaliti. Ini kerana kalau berlaku bencana perang besar atau wabak penyakit tumbuhan yang teruk di tempat lain, Malaysia masih boleh menghasilkannya sendiri. Di atas sebab itu juga, konsep penyediaan benih tersebut disyorkan berdasarkan penghasilan benih baka tulen dan bukannya benih kacukan sepertimana proses komersial biasa digunakan oleh firma negara barat. Kegagalan untuk mempunyai stok benih tanaman baka tulen yang asli menidakkan hak generasi manusia akan datang dimana hak eksklusif benih tanaman dipunyai oleh firma-firma tertentu sahaja.

 

Contoh potensi besar bank benih adalah tanaman padi natif Malaysia seperti varieti padi huma dan padi sawah yang lainnya. Varieti padi huma contohnya, menawarkan genetik ketahanan padi untuk tumbuh tanpa air yang banyak di samping senarai khasiat yang masih belum dikaji. Di zaman akan datang, berkemungkinan dunia dilanda gejala kemarau atau kekurangan sumber air maka varieti padi huma boleh digunakan untuk menyelamatkan manusia di kawasan tropika. Di samping itu juga varieti padi huma membolehkan tanaman itu mudah ditanam dan diselenggarakan sama seperti tanaman bijirin gandum di kawasan hawa sederhana.

 

Manakala padi sawah natif Malaysia yang lain masih berpotensi untuk ditanam semula bagi memenuhi pasaran pengguna yang mementingkan rasa nasi yang tersendiri. Malah kesemua baka padi tempatan mempunyai nilai pasaran dunia yang tinggi apabila ianya dijadikan makanan untuk tujuan kesihatan atau makanan organik. Maka potensi pasaran makanan padi organik yang bernilai berbilion ringgit di peringkat global boleh disahut cabaran oleh penanam padi tempatan.

 

 

Oleh : Mohd Zamri Muda, Bukit Payong, Marang.

 

Maklumat Peribadi;

Alamat : 131 Kg.Rawai, Bukit Payong, 21400 Marang, Terengganu

No. i/c. : 740102-11-6391

No. telefon : 019 902 50 15

Rujukan laman web geocities.com/ramzamuda

12-12-2004

Hosted by www.Geocities.ws

1