Saudara Pengarang,

Astro perlu siar bahan arkib penyiaran untuk pupuk
budaya Malaysia.

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan
tentang terhakisnya semangat jatidiri dan budaya orang
Malaysia khususnya di kalangan orang Melayu sendiri.
Walaupun penghayatan terhadap agama dikatakan telah
bertambah baik tetapi penghayatan terhadap semangat
patriotik, budaya dan jatidiri amat tipis di kalangan
generasi muda.

Pemupukan semangat jatidiri dan patriotisme tidak
boleh diperolehi dengan segera daripada sesi ceramah
atau bacaan buku tetapi ia memerlukan satu proses
pembelajaran dan pengalaman yang lama barulah ia
tersemai kemas di jiwa. Salah satu kaedah yang boleh
dipertimbangkan untuk menyemai semangat jatidiri dan
patriotik secara tidak langsung ialah melalui
penyiaran bahan-bahan arkib lama seperti drama, filem,
dokumentari, persembahan seni dan sebagainya. Bahan
arkib penyiaran tersebut boleh diperolehi daripada
simpanan pihak RTM, TV3, Filem Negara malah simpanan
pihak Astro sendiri. Bahan arkib penyiaran boleh
ditakrifkan sebagai bahan penyiaran terbitan tempatan
yang diterbitkan semenjak atau sebelum negara merdeka
sehinggalah ke tempoh masa 3 tahun kebelakangan ini.

Bahan-bahan arkib penyiaran tempatan yang pernah
diterbitkan semenjak negara kita merdeka sebenarnya
amat berharga kerana mengandungi nilai jatidiri tinggi
dan mampu memupuk rasa bangga, megah dengan apa saja
nilai yang patut diwarisi sebagai rakyat Malaysia.
Contohnya, penayangan filem-filem Allahyarham Tan Sri
P.Ramlee yang masih relevan sehingga ke hari ini
apabila membicarakan tentang isu-isu semasa. Malah
setiap padah dialog filem-filemnya menjadi sebutan
dalam kehidupan seharian baik di dalam iklan atau
perbualan orang biasa. Pengajaran-pengajaran dari
filem P.Ramlee sudahpun menjadi nilai jatidiri rakyat
Malaysia dan ianya boleh digandakan jika bahan-bahan
arkib penyiaran lain dipertontonkan semula kepada
umum.

Penyiaran secara berjadual bahan arkib penyiaran boleh
dipertanggungjawabkan kepada pihak Astro kerana
kemampuannya untuk menambah bilangan rangkaian
siarannya dengan mudah. Secara tidak langsung, kuota
siaran berbahasa Melayu Astro boleh bertambah dengan
berganda. Jenis rangkaian yang boleh diwujudkan adalah
seperti berkaitan seni budaya asli, muzik,
dokumentari, drama/filem/teater dan hal ehwal wanita.
Maka nama-nama rangkaian yang boleh dikeutarakan
seperti Adiseni, Muzika, Fokus Ilmu, Citra dan Suri.

Penyiaran semula bahan arkib tidak bermakna kita tidak
mahu menerima kemajuan dan masih berfikiran kolot
tetapi semaju mana kita menjadi, kita tetap mempunyai
jiwa dan kesedaran sepertimana generasi yang
terdahulu. Malah di negara maju sekalipun seperti
Amerika, masih lagi menyiarkan bahan arkib penyiaran
di televisyen kabelnya. Setiap filem atau siri
televisyen mereka telah diterima sebagai ikon budaya,
malah sebagai identiti jiwa semangat mereka sebagai
sebuah negara.

Diharapkan cadangan ini dapat memberikan sedikit impak
positif dalam usaha kita untuk membina sebuah negara
yang kuat dan berdaulat dimana rakyatnya mempunyai
semangat patriotisme dan jatidiri yang tinggi

Nukilan : Mohd Zamri Muda

Maklumat;

I.c. no. : 740102-11-6391
Alamat : Lot 1727, Jalan Rawai-Pasir Tinggi,
Kg. Padang Pak Wan, Bukit Payung,
21400 Marang, Terengganu.
Rujukan web : www.geocities.com/ramzamuda
Tarikh : 02-09-2005




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Hosted by www.Geocities.ws

1