Saudara pengarang,
Amerika merudum kerana terlalu rakus
Runtuhnya Tembok Berlin pada akhir 1980an dan Kesatuan Soviet pada awal
1990an menandakan bermulanya satu sahaja entiti tunggal empayar dunia baru
Amerika yang bertunjangkan kerakusan sistem kapitalis yang bertopengkan alasan
demokrasi dan keamanan. Manakala dunia di awal 1990an merupakan tempoh yang
amat makmur bagi negara-negara Asia Timur dimana enjin pembangunan yang berasaskan
industri perkilangan menjadi penggerak utama menjana kekayaan baru Asia.
Kemakmuran Asia setelah pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia pada pertengahan
1980an sedikit tergugat dengan campurtangan Amerika dalam Perang Teluk yang
pertama telah mengakibatkan gelombang kenaikan harga minyak ketika itu kerana
kebimbangan spekulasi perang.
Namun pada ketika itu, Asia Timur dan dunia masih mampu menghadapi gelombang
kenaikan harga minyak ketika itu kerana harga bahan makanan ruji pula masih
rendah dan tidak menjejaskan keupayaan ekonomi semua negara-negara kecil.
Cubaan sistem kapitalisme untuk menguasai ekonomi dunia melalui alasan peperangan
menemui kegagalan kerana negara-negara kecil dunia mulai dapat mencium taktik
tersebut dan mereka mulai menwawarkan pendedahan usaha Amerika untuk menjadi
Polis Dunia atau Order Dunia Baru Unipolar. Setelah usaha kapitalis Amerika
atau lebih tepat lagi usahawan kapitalis barat yang berpengkalan di Amerika
didedah taktik dan terbongkar, mereka beralih strategi dengan mencanangkan
konsep dunia tanpa sempadan atau proses globalisasi.
Di sebalik konsep globalisasi dagangan, sebenarnya tersembunyi mekanisme
tertentu yang membolehkan syarikat tempatan dikuasai oleh syarikat negara
asing di atas nama liberalisasi dagangan. Selain itu, globalisasi juga membolehkan
negara kuasa besar seperti Amerika memonopoli pengeluaran bahan makanan seperti
gandum, jagung, padi, kekacang dan kapas untuk pasaran dunia dimana mereka
menyekat negara miskin untuk mensubsidi pengeluaran makanan kepada petani
tempatan tetapi petani Amerika sendiri menikmati bantuan subsidi tinggi yang
mengakibatkan harga produk lebih rendah di pasaran dunia. Dalam masa yang
sama kerugian pemberian subsidi yang sedikit itu ditampung dengan keuntungan
berganda bertrillion dollar hasil perdagangan senjata dan peralatan teknologi
maklumat mereka.
Kemuncak kepada cubaan penguasaan ekonomi negara dunia oleh kapitalis barat
adalah usaha menjatuhkan beberapa negara Asia Timur yang strategik di segi
ekonomi dan geografi. Suatu tarikh telah dipilih iaitu pada pertengahan 1997,
berkemungkinan juga penyatuan semula Hong Kong kepada tanah besar China pada
tahun itu boleh dijadikan kambing hitam untuk disalahkan mengakibatkan ekonomi
Asia runtuh.
Kerakusan kapitalis barat di atas perbuatan jahat itu diselindungkan dengan
media massa barat memomokkan secara terancang isu kronisme, rasuah dan nepotisme
sebagai punca keruntuhan ekonomi negara-negara tersebut. Strategi penarikan
modal jangka pendek secara besar-besaran mendedahkan kelemahan perdagangan
secara maya dan membolehkan nilai mata wang sesebuah negara dijatuhkan dengan
teruknya.
Sekali lagi, perbuatan buruk kapitalis barat yang bertopengkan nama globalisasi
didedahkan kepada masyarakat dunia sebagai satu usaha penjajahan ekonomi bentuk
baru secara tegas disuarakan oleh Malaysia di persidangan-persidangan antarabangsa.
Selepas tahun 1997, usaha kapitalis barat tidak terhenti setakat itu sahaja.
Usaha mereka untuk menguasai sepenuhnya negara-negara baru industri di Asia
tidak kesampaian kerana taktik terbaru itu telah didedahkan dengan berani
oleh mantan Perdana Menteri kita ketika itu malah beberapa negara pernah
mengugut untuk menggunakan formula Malaysia sekiranya ekonomi mereka diserang.
Peluang keemasan bagi pihak kapitalis barat untuk mengaut keuntungan berganda
pun tiba dengan tercetusnya Perang Teluk Kedua akibat momokan memerangi keganasan.
Strategi mereka kali ini adalah spekulasi dagangan harga minyak dunia. Ketidak-stabilan
akibat perang dijadikan alasan utama oleh mereka untuk rakus memeras kekayaan
negara-negara penguna minyak yang rata-ratanya negara miskin dan sedang membangun.
Kenaikan harga minyak dunia semenjak pencerobohan Amerika terhadap negara
Afghanistan dan Iraq begitu dimanipulasikan sehingga mencecah ke tahap US$150
setong pada Julai tahun 2008 disertai dengan kenaikan melampau harga bahan
komoditi makanan begitu menjerut ekonomi negara-negara dunia ketiga. Pernah
disatu ketika, dikala negara Opec mengumumkan penambahan pengeluaran minyak
mentah di musim panas, namun harga minyak tetap mengalami kenaikan akibat
spekulasi tersebut.
Laba keuntungan berganda yang dikaut melalui kenaikan harga minyak dan komoditi
makanan bukanlah satu keuntungan jangka panjang yang terus berkekalan kerana
kemelut kenaikan tersebut telah mengakibatkan majoriti negara di dunia mengamalkan
dasar berjimat-cermat kerana lebih menumpukan kepada perbelanjaan bahanapi
dan makanan. Secara tidak langsung permintaan dunia terhadap penawaran barangan
bukan makanan, elektrik, teknologi maklumat dan persenjataan telah jatuh merudum
dengan teruk sekali sekaligus menguncupkan ekonomi Amerika secara tidak disedari.
Sekalipun, segelintir kapitalis barat mendapat keuntungan besar di bidang
industri bahanapi dan bijirin makanan tetapi perolehan keuntungan di bidang
lain yang menjadi punca pendapatan majoriti penduduk Amerika yang lainnya
adalah sebaliknya jatuh merudum kerana dunia mula 'mengikat perut' untuk
berbelanja. Maka itu, penyusutan ekonomi Amerika itu menukar bentuk atau
dizahirkan dengan kemuflisan bidang subprima gadaian rumah majoriti rakyat
Amerika kerana keupayaan ekonomi rakyat Amerika itu sendiri telah jatuh merudum
dengan teruknya disamping pengamalan sistem riba yang tidak sihat.
Begitulah serba sedikit rentetan peristiwa-peristiwa utama yang berhubung-kait
rapat dengan usaha kapitalis barat yang penuh kerakusan mengaut keuntungan
tanpa memikirkan kebajikan manusia sejagat dan akhirnya menjerut diri mereka
sendiri. Melakukan perbuatan terkutuk spekulasi harga minyak dan bahan makanan
dunia membawa padah yang bukan kepalang kepada kapitalis yang tamak dan kini
mereka semua hanya menunggu masa untuk dikuburkan dalam lipatan sejarah manusia
sahaja. Mereka hanya untuk untung besar untuk seketika sahaja tetapi ruginya
ditanggung sepanjang zaman. Dan kini media barat hanya tahu menutup malu
mereka dengan melabelkan kejatuhan ekonomi mereka sebagai Krisis Ekonomi
Dunia dan bukannya Akibat Aku Yang Rakus.
Oleh : Mohd Zamri Muda, Desa Rawai, Marang.
Maklumat tambahan;
No. I/C : 740102-11-6391
No. Tel : 019 902 50 15
Alamat : Lot 1727, Padang Pak Wan, Kampung Rawai, Bukit Payong,
21400 Marang, Terengganu Darul Iman.
Untuk maklumat lanjut, sila lawat laman web : www.geocities.com/ramzamuda
09-10-2008 1.30pm