Saudara Pengarang,

Wujudkan Aduan Terbuka Tingkah-Laku Pelajar di Akhbar Utama

Berikutan kes buli pelajar sekolah yang telah menyebabkan kematian baru-baru ini maka saya mencadangkan agar akhbar-akhbar tempatan menyediakan satu talian aduan khas untuk orang-ramai membuat aduan tentang sebarang tingkah-laku pelajar-pelajar sekolah.Talian khas ini boleh dinamakan sebagai Talian Aduan Terbuka Tingkah-laku Pelajar, ringkasnya TATP. Setiap aduan di talian akan disiarkan di ruangan khas akhbar untuk tatapan umum. Perlakuan buruk pelajar yang boleh dimasukkan dalam TATP meliputi;

a- Kegiatan membuli atau ‘raging’ pelajar baru/junior di asrama atau ketika sesi akademik.
b- Kegiatan perkumpulan samseng di dalam atau di luar sekolah.
c- Ponteng sekolah.
d- Merokok di luar dan di dalam kawasan sekolah.
e- Sebarang aktiviti menyalahi moral dan akhlak pelajar.

Pendekatan yang amat ketara dalam laporan TATP ialah pihak akhbar tidak akan menapis atau menyembunyikan nama sekolah atau lokasi kegiatan pelajar terlibat. Sebarang kes tidak akan lagi dianggap sebagai kes terpencil kerana kini sudah tiba masanya gejala tingkah-laku pelajar ini perlu ditangani secara terbuka kerana perkara ini sudah menjadi begitu kritikal dan amat serius.

Penyelesaian secara tertutup pelajar-pelajar yang bermasalah umpama mengundang padah kerana benda yang dipendam atau disembunyi akan meletup suatu hari nanti seumpama bom jangka.Ianya juga boleh diibaratkan luka calar di kulit telah merebak menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi. Mana-mana insiden perlakuan pelajar di dalam atau diluar sekolah harus ditangani dengan tegas tanpa sebarang kata-dua. Tidak ada lagi amaran pertama atau kedua. Sebarang insiden berlaku perlu ditangani secara bersama oleh guru dan ibubapa terlibat.

Di peringkat sekolah pula, pelajar-pelajar terlibat dengan perlakuan yang bertentangan dengan kod etika disiplin di sekolah perlu didedahkan di khayalak pelajar ketika perhimpunan utama sekolah. Jika tahap kesalahan yang boleh melayakkan hukuman sebatan juga patut diperlakukan sedemikian juga. Konsep hukuman terbuka ini boleh memberikan pengajaran besar kepada mereka yang terbabit. Lagipun, orang Melayu dahulu kala sudah pun mengamalkan hukuman sebegini. Ibarat kalau merawat luka, kita perlu membersih dan meletakkan ubat terus ke kulit dan bukannya membalutnya dengan kain setebal mungkin.

Kita tidak perlu lagi berfalsafah atau berteori pasal psikologi berjela-jela tetapi apa yang kita perlukan sekarang adalah kaedah-kaedah praktikal untuk menangani sebarang masalah pelajar. Saya hanya mampu memberikan satu cadangan yang boleh dipertimbangkan, saya percaya ramai lagi mempunyai idea-idea yang lebih baik yang boleh kita kongsikan bersama bagi menangani masalah ini. Kita harus melakukan  peranjakan paradigma besar untuk mencari jalan penyelesaian. Kaedah penyelesaian konvensional sudah lapuk dan sudah tidak boleh diguna-pakai lagi di alaf baru ini.

Falsafah pendidikan yang melampau hebat yang digembar-gemburkan di pertengahan 1980an hanya menghasilkan gejala bohsia dan buang bayi sepuluh tahun kemudiannya. Setiap guru dan murid sekolah tentu boleh menyebutnya satu-persatu. Kemana perginya ‘masyarakat madani’ dan penghayatan kehidupan berakhlak tinggi dan beragama.Manakala kini perlakuan buli, gengterisme dan lain-lain masih lagi menghantui kita. Marilah kita bersama-sama mencari jalan keluar bagi menangani masalah ini.

Oleh : Rayan Kalai, Kuala Terengganu.

Maklumat peribadi;
Nama: Mohd Zamri B- Muda
No.i/c : 740102-11-6391
No. Tel : 013 952 29 18

Rujukan Lanjut, sila lawat; www.geocities.com/ramzamuda/ramz1.html


Hosted by www.Geocities.ws

1