Saudara Pengarang,
Senarai Cadangan Strategi Pembangunan Baru Negeri Terengganu Jika
Kerajaan BN Berjaya Mengambil-alih Semula Tampuk Pemerintahan di
Terengganu
Pilihanraya di hujung 1999 yang lepas telah banyak memberikan
kesan mendalam dari segenap sudut terhadap kehidupan rakyat terutamanya
di Terengganu. Akibat gelombang hebat isu ‘mata lebam’, hampir separuh
daripada kekuatan parti Umno runtuh memudahkan parti Pas mengambil
kesempatan mengaut keuntungan politik. Cita-cita untuk menjadikan
negeri Terengganu gemilang di segi pembangunan ekonomi dan rakyatnya
musnah. Ironisnya, berakhirnya era gemilang BN Terengganu di kala tepat
tempoh dua dekad selepas menikmati pembangunan hasil pacuan duit minyak.
Namun disebaliknya, pilihanraya 1999 banyak memberikan pengajaran
berguna untuk dijadikan panduan kepimpinan Umno negeri dalam
mengenalpasti siapakah ‘gunting dalam lipatan’ atau ‘sayap-sayap yang
dipasang’ selama ini. Selain daripada isu ‘mata lebam’, pilihanraya
1999 adalah manifestasi pilihan rakyat akibat rasa tidak puas hati
dengan cara pembangunan negeri Terengganu yang tidak dapat dinikmati
secara lansung oleh rakyat kebanyakan. Apatah lagi ketidakpuasan rakyat
Terengganu berkenaan dengan pengagihan wang hasil minyak yang kononnya
patut mendapat hak lebih banyak dan sepatutnya menerima agihan wang
minyak kepada rakyat seperti elaun bulanan seperti mana dengan rakyat
Negara Brunai.
Maka strategi pembangunan rakyat dan ekonomi yang lebih menyeluruh dan
memberikan kesan langsung kepada majoriti rakyat harus dicari dan
digubal bagi memastikan rakyat Terengganu betul- betul berasa puas hati
dengan pembangunan negeri memberikan sumbangan kepada mereka. Diantara
berikut adalah beberapa strategi pembangunan yang boleh dilaksanakan
oleh kerajaan BN jika berjaya mengambilalih Terengganu di pilihanraya
akan datang;
a) Menyusun semula penempatan penduduk di kawasan bandar
Penempatan penduduk kampung di kawasan bandar tidak mencerminkan taraf
negeri penghasil petroleum dengan perolehan wang ihsan minyak yang
diterima daripada Petronas sekitar RM 800 juta setahun ( nilaian pada
tahun 1999 ) Walaupun di Terengganu tidak mempunyai perumahan setinggan
tetapi penempatan penduduk kampung di kawasan bandar adalah amat daif
dan tidak tersusun. Maka penempatan penduduk di kawasan bandar
sepatutnya dibangunkan secara tersusun. Tanah penempatan penduduk dan
tanah wakaf di kawasan bandar seharusnya diambil-alih oleh kerajaan
negeri untuk dibangunkan. Penduduk asal bukan setakat mendapat
gantirugi dalam bentuk wang tetapi juga akan mendapat gantirugi
sejumlah keluasan tanah yang sama di kawasan lain di luar bandar di
samping setiap satu keluarga mendapat satu lot rumah di perumahan
pangsa yang dibina kelak.
Kawasan yang diambil-alih bolehlah dibinakan perumahan rumah pangsa
mampu milik dan juga rumah kedai bertingkat. Pembinaan perumahan rakyat
hendaklah berupakan rumah pangsa separa tinggi dan berekabentuk rumah
tradisional Terengganu yang pelbagai corak. Manakala di kawasan pinggir
bandar besar yang lain di Terengganu sesuai dibina perumahan kos rendah
berbentuk rumah sederet satu tingkat.
b) Memberi pinjaman mikro kepada kumpulan tertentu
Kumpulan sasaran seperti pelajar IPT tempatan, pekebun, penternak dan
peniaga kecil wajar mendapat pinjaman mikro yang dipermudahkan untuk
mereka dimana disyaratkan pemohon adalah anak jati negeri Terengganu.
Apa yang dikategorikan sebagai mikro itu ialah nilaian pinjaman kurang
dari RM 30 ribu. Maka kerajaan negeri harus menubuhkan yayasan
khas bagi mengendalikan setiap pinjaman mikro iaitu untuk pembiayaan
pelajaran, perusahaan kecil, perniagaan kecil dan perumahan.
c) Bantuan kepada petani diperingkat akar-umbi
Kerajaan negeri perlu membantu para petani di peringkat bawah dengan
menyalurkan secara terus keperluan petani diperingkat akar umbi di
setiap kampung dan desa seperti jentera pembajak, jentolak serbaguna,
jentera penuai padi, pagar, baja dan lain-lain melalui saluran
organisasi kerajaan peringkat terendah seperti JKKK kampung. Kerajaan
negeri juga perlu menggalakkan para petani untuk mengusahakan pertanian
integrasi di kawasan getah dan kelapa sawit seperti penternakan
lembu-kambing secara kandang, ayam-itik dan penanaman herba.
Kawasan tanah penanaman padi yang tidak produktif kerana bersaiz kecil
perlu digalakkan untuk diusahakan penternakan akuakultur air tawar
seperti tilapia dan jelawat. Kawasan pinggiran pantai perlu digalakkan
penanaman kelapa dan pokok gelam dimana berpotensi untuk penternakan
lebah madu sepanjang tahun. Penggalakkan pertanian membolehkan
Terengganu untuk muncul sebagai pengeluar makanan halal terbesar di
Malaysia.
d) Menggalakkan aktiviti pelancongan
Negeri Terengganu mempunyai liputan pasir pantai yang terpanjang sesuai
untuk aktiviti pelancongan. Kawasan pantai merupakan aset kekal yang
dimiliki dan harus dipelihara untuk menjana pendapatan negeri apabila
sumber petroleum kehabisan kelak. Maka kawasan pantai perlu dijaga alam
sekitarnya agar tidak tercemar dan ditambah kandungan lanskap tanaman
seperti kelapa, pokok ru dan pokok gelam. Selain daripada itu, penduduk
setiap desa yang berada kawasan pantai perlu diberi bantuan dan galakan
untuk mengusahakan penginapan pelancong. Manakala penempatan penduduk
asal di kawasan pantai harus disusun semula. Produk kraftangan
dan makanan tempatan juga perlu diberikan perhatian untuk dimajukan.
Demikianlah serba sedikit yang dapat saya utarakan akan perkara-perkara
yang harus diberikan perhatian utama oleh BN jika berjaya dapat menawan
Terengganu kembali di pilihanraya akan datang. Kemakmuran hasil dari
minyak seharusnya memakmurkan rakyat jelata negeri Terengganu. Tetapi
sumber minyak akan kehabisan dalam tempoh beberapa dekad lagi. Maka
itu, pemantapan aktiviti ekonomi rakyat diperlukan untuk menjamin
kemakmuran yang berkekalan.
Nukilan- Mohd.Zamri B- Muda, Bukit Payung, Marang.
Maklumat Peribadi;
Alamat: 131, Kg.Rawai, Bukit Payung, 21400 Marang, Terengganu
No. Telefon : 013 952 29 18
Sila lawati geocities.com/ramzamuda/ramz2.html untuk senarai idea