laman ixora(kembali ke laman utama)

arkib Mac 2004

30 Mac 2004 / 9 Safar 1425 (Selasa)

IKAN KEMBUNG

Kelmarin suami mencari ikan keli frozen di Nittiya Thai Supermarket. Sudah tiada di rak. Bertanyakan pada penjual, simpananan pun tak ada. Yang ada hanya ikan kembung frozen, juga didatangkan khas dari Thailand. Maka, beliau pun belilah ikan kembung frozen, 10 ekor satu plastik berharga £6.

Sedapnya terasa, menikmati daging ikan kembung yang lemak, manis. Mana nak dapat ikan kembung di peraiaran sini. Jadi semalam saya masak ikan kembung masak cabai (resepinya ada di bawah sekali ruang sebelah kiri). Tadi ikan kembung lagi, goreng saja.

Esok, Insya-Allah akan ke Viewforth Terrace bersama anak-anak untuk sama-sama menghadiri TAPS GROUP (Toddler and Parents Group) dengan Abg Lan dan Kak Saba (yang juga membawa Nurin, anak mereka).

wassalam

***************************************************************

29 Mac 2004 / 8 Safar 1425 (Isnin)

IMUNISASI HADI

Aqilah demam. Malam tadi suhu badannya tinggi sungguh. Saya tidur-tidur ayam, sibuk menjaga kain lembap yang diletakkan di dahi dan lap seluruh badan. Dia juga tak lena, asyik mengerang, kasihan sungguh. Padahal jam 9.00 malam dah makan ubat demam. Rasa tak sabar nak tunggu jam 3.00 pagi untuk beri ubat lagi. Alhamdulillah, setelah makan ubat jam 3.00 pagi, suhu badannya semakin kurang panas, dapatlah dia tidur lena.

Pagi tadi jam 9.30 pagi Hadi ada temujajanji di Springwell Medical Centre, untuk imunisasi Measles/Mumps/MMR. Memandangkan Aqilah tak sedap badan, suhu di luar rumah pula agak sejuk, terpaksalah suami seorang yang membawa Hadi ke klinik. Seronok pula Hadi di sorong dalam stroller (kami berjalan kaki ke klinik), baik dan sungguh peramah semasa di klinik, lapor suami. Hinggakan beberapa mak-cik yang turut menunggu giliran menapatkan rawatan seronok bermain dan mengagahnya. Setelah mendapat suntikan vaksinasi, tidak digalakkan untuk terus keluar bangunan klinik, harus tunggu sebentar dalam bangunan, lebih kurang 10 minit. Pada ketika itu Hadi dengan peramahnya menegur-negur pesakit lain! Tak lama mereka ke klinik, sekitar jam 10.00 pagi dah pulang ke rumah.

Itu yang seronok di sini. Oleh kerana konsep temujanji/appoinment, tepat jam yang dijanji nama kita akan dipanggil. Bererti boleh budget masa, tak perlu tunggu lama-lama. Namun awas! Wajib datang tepat pada masanya, atau giliran kita terlepas, terpaksa buat appoinment lain, malah terpaksa ditunda pada hari lain pula. Janji jam 9.30 pagi, semestinya jam 9.30 pagi nama kita akan dipanggil. Begitulah semua urusan profesional di sini. Usah guna istilah "Janji Melayu"...

wassalam

***************************************************************

28 Mac 2004 / 7 Safar 1425 (Ahad)

HILANG SEORANG KAWAN

Seandainya semasa pertukaran musim luruh ke musim sejuk jam mesti dilambatkan selama 1 jam. Bererti pada 26 November 2003 tempohari semua penduduk eropah telah memutar jarum jam, melambatkan selama 1 jam. Ini kerana musim dingin, waktu malam lebih panjang dari siang. Pada ketika itu lebih jam 8.00 pagi baru matahari muncul (subuh lewat habis) dan seawal jam 3.00 petang matahari dah turun (maghrib). Namun, hari ini, pertukaran musim dingin ke musim bunga, jarum jam harus diputar semula, cepat 1 jam - kembali ke normal.

Malam tadi menerima satu berita yang menyedihkan. Seorang rakan, bekas teman serumah saya semasa anak dara, juga rakan suami selama 10 tahun (sekelas semasa di UTM - dan persahabatan kumpulan mereka amat rapat hingga kini), telah menghembuskan nafas yang terakhirnya jam 9.00 malam waktu Malaysia. Terkejut dan sayu yang amat sangat. Di usia 29 tahun, Sharima atau kami panggil Shasha telah pergi buat selama-lamanya. Beliau mengidap SLE (Systemic Lupus Erythematosus) - penyakit berkaitan antibodi melawan tubuh sendiri, sejak 2 tahun yang lalu. SLE tiada ubatnya, sekadar memakan pil penahan sakit. Tak tahu apa puncanya. Shasha menjalani kehidupan seperti biasa- periang, peramah, kelakar - walau tepaksa menelan beberapa jenis pil. Sedang berpakat untuk meneruskan pengajian ke pringkat PhD, rupanya hasrat tak kesampaian. Menurut seorang rakan, semalam, balik dari kerja Shasha mengadu kepada suaminya sesak nafas. Mereka ke Hospital Sultanah Aminah, JB- sudah biasa terjadi demikian, dan selalunya akan pulih setelah disuntik ubat, tapi kali ini tidak. Janjinya dengan Allah telah tiba (Al-Fatihah buat roh Sharima).

p/s: Terfikir, dunia ini adalah fana.. apa yang kita alami kini di dunia, sebenarnya adalah umpama mimpi yang panjang, bukan hakikat atau realiti. Realitinya adalah di akhirat kelak, hari dibangunkan semua manusia untuk diadili, pada ketika itu baru tersedar, ooh.. selama ini aku bermimpi..., betapa lalainya untukku kemudikan mimpi itu dengan baik - antara yang cuba diketengahkan dalam The Creation of The Universe (karya Harun Yahya).

wassalam

***************************************************************

25 Mac 2004 / 4 Safar 1425 (Khamis)

KE SPRINGFIELD MEDICAL CENTRE

Jam 9.30 pagi ini Aqilah ada temujanji dengan Alex Davis (Health Visitor kami) dan jam 10.00 pagi dengan General Practitioner di Springfield Medical Centre untuk pemeriksaan biasa kanak-kanak, kerana semalam Aqilah tepat berusia 39 bulan (lahir 24 Disember 2000). Berjalan kaki ke sana, suhu sejuk pula hari ini. Terasa macam masih Winter, mulut berasap dan tangan kebas tak pakai sarung tangan! Seharusnya 21 Mac sudah terwarta sebagai Spring.

Cepat, kemas dan profesional. Pertemuan pertama dengan Alex, beliau sekadar bertanya keperibadian Aqilah, pemakanan kami di rumah, atau sebarang masalah lain berkaitan. Kemudian memeriksa berat dan tinggi serta sedikit ujian penglihatan (Aqilah didudukkan beberapa meter dari sebuah cermin muka, ditunjukkan sekeping kad berhuruf, dan disuruh untuk memadankan imej huruf itu dengan huruf pada kad lain di tangan Aqilah. Psikomotor Aqilah diuji pula dengan menyuruhnya bermain - menyusun kiub secara menegak, memasang puzzle gambar haiwan dan bayangnya serta melukis - bentuk asas bulatan dan garisan. Kami diberi sebuah buku maklumat kecil "Personal Child Health Record" - yang memuatkan biodata Aqilah, informasi perkembangan fizikal dan mental, nasihat pemakanan, imunisasi, keselamatan kanak-kanak di rumah, maklumat pergigian, kebersihan - termasuk maklumat berkenaan kutu! Sebagai ibu bapa, mudah untuk kita membuat rujukan.

Pertemuan dengan General Practitioner (Doktor) pula lebih ringkas. Dr. Liddle melihat anak mata Aqilah, telinga dan refleks lutut. Semuanya OK. Dr Liddle kata beliau pernah melancong ke Thailand dan Singapura, tapi tidak singgah Malaysia. Kami mempelawanya ke Malaysia, dan mengatakan tak kurang indahnya dari Thailand dan Singapura. Beliau tersenyum, berkata pasti ke Malaysia juga nanti kerana sukakan kehangatan iklim khatulistiwa! Tak tertahan sejuk Edinburgh, rungutnya.

p/s: Kita pula asyik merungut tak tertahan panas Malaysia!

Gambar terbaru Aqilah dan Hadi (diambil semalam 24 Mac 2004)

wassalam

*************************************************************

24 Mac 2004 / 3 Safar 1425 (Rabu)

KHUTUB KHANAH IBNU HAS-YUN (2)

Ada sahabat yang bertanya, ada suatu yang pelik pada nama anak-anak saya. Yang dimaksudkan adalah Has-Yun. Sememangnya di Malaysia malah di seluruh dunia, setakat ini cuma ada 11 individu yang ada Has-Yun di hujung nama (Insya-Allah akan berkembang lagi). Istimewa, kan. Lantaran itu suami mewujudkan suatu perpustakaan bersempena itu, bernama Khutub Khanah Ibnu Has-Yun. Pernah saya sebut dalam catatan bertarikh 9 Februari 2004/ 18 Zulhijjah 1424 (Isnin).

Sekarang, Khutub Khanah Ibnu Has-Yun telah maju setapak lagi dengan mempunyai dotcom sendiri. Jemputlah sama-sama ke bukuonline.com. Alamat baru bagi Khutub Khanah Ibnu Has-Yun. Objektif penubuhan, masih sama - memartabatkan nilai buku di mata masyarakat Malaysia. BUKU dan ILMU memang tidak pernah akan terpisah.. di mana ada buku, di situ pasti ada ilmu (apa-apa ilmu jua - positif, negatif, banyak, sedikit).

Dipersembahkan..........

BUKUONLINE.COM

wassalam

***************************************************************

23 Mac 2004 / 2 Safar 1425 (Selasa)

CENDOL BATU PAHAT

Bila Kak Sri Diah sebut pasal cendol dalam chatterbox di sebelah ni, rasa terliur sungguh. Baru tersedar, dah terlalu lama tak jamah cendol! Kalau di Malaysia ni, dah lama dah cari cendol kat kedai mamak. Teringat kembali zaman persekolahan dulu, boleh dikatakan setiap hujung minggu (balik dari kelas tambahan di sekolah), kami akan makan cendol di warung india muslim di Stesyen Bas Batu Pahat - *Kak Ngah, Adik-wk tahu tak tempat tu?. Terasa sedapnya tak terkata. Harga 50 sen semangkuk. Kalau tak makan, rasa tak sah. Hingga kini saya rasa tak ada tempat lain yang boleh menyaingi kesedapan cendol di situ (walau rasanya bahan yang digunakan sama saja dengan di tempat lain).

Hinggakan ada satu lawak, hingga kini saya ingat, dan saya telah pekenakan arwah tok..

"Tok tau tak, india warung cendol tu kan, dia kacau santan pakai selipar Jepun tau, tu yang cendol dia sedap tu!"

Arwah Tok terlopong, "Isshh.. berdosalah dia tu buat macam tu, yelah, kita mana tahu, kita makan cendolnya sedap... tak senonoh "

Saya ketawa, "Yelah Tok, memang lah masa dia kacau santan tu kat warung, dia pakai selipar jepun, takkanlah kaki ayam pulak!"

Tok yang masih tak faham, " Yelah.. mana boleh pakai selipar.. kotor! Orang pakailah senduk! Dosa dialah yang tanggung.."

Berkali saya terangkan, arwah tok tak faham-faham (Tok juga dah kurang dengar),beria-ia beliau menyalahkan india tu, akhirnya saya dan mak yang ketawa, dah tak tahu macam mana nak terangkan lagi.. (Al Fatihah buat arwah tok)..

Masuk blog Kak Ngah ada sebut ikan caru dan keli bakar, lalu tengahari tadi saya masak ikan Rainbow Trout bakar, buat air asam + cili api. Makan dengan nasi panas.. aduh.. nikmatnya makan dalam suam-suam dingin musim bunga.., Alhamdulillah..

wassalam

*************************************************************

22 Mac 2004 / 1 Safar 1425 (Isnin)

PILIHANRAYA, HARI IBU, AQILAH/HADI

Nampaknya keputusan pilihanraya telah pun diketahui umum. Sekadar ingin berkongsi maklumat keputusan penuh, silalah ke laman KEPUTUSAN PILIHANRAYA. Yang pentingnya, seperti coretan Zareda , "Keputusan pun dah jelas, mereka yang menang diberikan amanah. Amanah yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Semoga mereka menjalankan tugas dan tanggunjawab dengan penuh amanah itu."

Di sini, tiada undi pos, tiada pusat pengundian. Kami hanya memerhatikan dan berdoa semuanya selamat. UK sibuk dengan promosi sambutan hari ibu. Bunga, kad, cenderahati untuk ibu, hingga ada channel televisyen yang khas menyiarkan program-program untuk ibu selama 3 hari berturut-turut (semua rancangannya ditujukan buat ibu).

Hadi sekarang ni pula sibuk pukul kakaknya. Pukul dimuka! Pap..pap..pap... Mungkin pada hematnya itu cara bergurau. Namun, terjerit-jeritlah Aqilah menangis (yang peliknya, si kakak tak pula cuba melawan atau berganjak dari tempatnya), sebaliknya menangis meraung-raung. Beberapa kali saya larang, masih berulang perkara yang sama. Aqilah merengek nak cepat ke sekolah. Sayangnya, masalah nursery nurse yang mengajurkan mogok masih diperbincangkan di Edinburgh. Ada beberapa daerah yang telah selesai masalah ini. Kanak-kanak dapat ke sekolah (nursery) seperti biasa. Harapnya akan berakhir tak lama lagi..

wassalam

**************************************************************

21 Mac 2004 / 29 Muharram 1425 (Ahad)

SELAMAT MENGUNDI

Hari mengundi di Malaysia. Walau jauh di perantauan, hati kami tetap bersama Malaysia. Kami titipkan doa kesejahteraan buat negara tercinta.. keputusan pilihanraya dinanti dengan debaran.

p/s: Masih menanti di depan monitor komputer...

wassalam

***************************************************************

20 Mac 2004 / 28 Muharram 1425 (Sabtu)

TETAMU DARI NIPPON

Tengahari, salji turun lagi bersama hujan. Semalam kami menerima kunjungan seorang adik yang saya kenali melalui internet, Haslia bersama kawannya, Mina - berbangsa Jepun. Mereka sama-samma menuntut di Universiti Sapporo, Jepun. Saja mengembara ke Eropah, mengambil tiket pakej MAS Jepun-Malaysia-Paris-Malaysia-Jepun. Sementelahan berada di Eropah, dari Paris mereka mengambil flight ke Newcastle, UK dan train ke Edinburgh (melawat Scotland pula). Seronoknya bertemu muka, jika selama ini kami hanya berhubungan melalui e-mail dan 'berbual' melalui yahoo massanger.

Saya menjamu mereka kari rusuk lembu, telur dadar dan sayur bayam goreng sebagai makan malam. Haslia kata 3 hari di Paris, hanya makan roti yang dibawa dari Malaysia (kerana roti di sana bimbang tak halal), nikmatnya bila jumpa nasi. Sesiangnya mereka telah meronda bandar Edinburgh. Cantik, lebih cantik dari London, dakwa Mina. Dia gemar makan kari yang saya masak, pandai makan menggunakan tangan (kerana biasa ikut Haslia balik ke Malaysia).

Suami balik jam 7.00 malam, bawa bersama nasi pilau, roti naan dari kedai halal Indi To Go, apalagi, kami jamu lagi mereka dengan masakan pakistan pula. Kari pakistan pula.. Karai.. kata Haslia, Mina mengangguk namun terus juga menyuapkan kari dan nasi pilau.. jam 9.00 malam baru mereka bertolak balik ke rumah Huda (rumah tempat tumpangan mereka-kawan Haslia). Esok mereka berdua akan ke utara Scotland pula - menaiki bas. Gadis yang bijak dan berani.. itulah yang dapat saya katakan tentang mereka...

p/s : karai = pedas (bahasa Jepun) - betul tak Kak Lela?

**************************************************************

19 Mac 2004 / 27 Muharram 1425 (Jumaat)

AQILAH NAK SEKOLAH

Alhamdulillah, akhirnya hasrat Aqilah untuk ke sekolah kesampaian, Insya-Allah. Jika dahulu saya pernah membawanya ke Dalry Nursery Class, namun malangnya kelas nursery di situ telah penuh, dan waiting list yang terlalu panjang. Kasihan saya melihatnya. Baru-baru ini saya menerima surat dari Health Visitor kami (semacam nurse yang dipertanggung jawab untuk memantau kesihatan anak-anak), bersama lampiran alamat serta nombor talifon sekolah-sekolah mahupun playgroup yang terdekat dengan kediaman. Selain dari Dalry Primary, ada sebuah lagi sekolah, namun agak jauh sikit dari rumah kami (jalan kaki 10 minit), bernama Orwell Primary School, dan sudah tentu ada kelas Orwell Nursery. Sepantas kilat saya menelefon.

Guru kelas nursery, Mrs Burden mengatakan ada tempat untuk Aqilah. Lantas semalam saya membawanya ke kelas tersebut, mengisi borang pendaftaran. Masalahnya pula semua nurse (setiap nursery ada guru dan nurse) di Scotland sekarang ini sedang melancarkan mogok untuk menuntut kenaikan gaji, jadinya ketiadaan nurse di nursery mengakibatkan Orwell Nursery terpaksa ditutup sementara waktu. Tak tahu pula bila mogok itu akan berakhir. Rupanya anak Kak Eda yang sudah bersekolah di Dalry Nursery juga hanya bersekolah 3 hari dalam seminggu (akibat masalah yang sama). Namun Mrs Burden berjanji akan menelefon kami sebaik saja mogok selesai dan nursery dibuka semula.

Aqilah nampaknya seronok dalam kelas nursery tersebut. Malu-malu juga pada Mrs Burden (kerana kurang faham bahasa inggeris), namun mahu melukis dan meronda kelas. Saya bersetuju menghantarnya ke sessi pagi, 9.00 pagi hingga 11.30 tengahari. Bayarannya hanya 76 pence seminggu (untuk belanja makanan snek spt air susu, biskut, sandwich yang akan diberi). Harapnya tidak lama lagi merasalah dia keseronokan bersekolah, Insya-Allah..

wassalam

***************************************************************

18 Mac 2004 / 26 Muharram 1425 (Khamis)

YAHOO GROUP KAMI

Seronok sangat rasanya kerana dapat set up kan satu Yahoo Group untuk kawan-kawan satu jabatan semasa first degree di UKM. Saya namakan group kami Biomedic UKM 9599. Kami graduate awal tahun 1999, bererti sampai kini dah 6 tahun terpisah. Dalam tempoh itu saya cuma dapat hubungi 3 orang sahaja. Yang lain hanya dengar-dengar berita, kemudian hilang dibawa angin lalu. Dah terlalu lama saya ingin sekali mewujudkan group tersebut, namun kesibukan membataskan waktu. Alhamdulillah terlaksana juga (lagi pun saya 24 jam di rumah sekarang ni, mudah nak berurusan dengan komputer).

Dalam usaha mengumpulkan lagi para sahabat. Macam jejak kasih lah ni. Rupa-rupanya ramai yang dah ada kerjaya dan berjaya, ramai dah tamat pengajian peringkat masters, ada yang sedang berjuang mendapatkan PhD, pensyarah UKM, UNIMAS, UIA, pegawai Sains di Hospital Besar KL, di hospital swasta seperti di Pusat Pakar PANTAI, Pakar Perubatan Utara (Kedah), PTD di Kementerian Kesihatan, Penyelidik di USM, IMR (Institute of Medical Research), Pegawai di Perusahaan Farmasi spt di Glaxo Smith Kline, dll, Branch Manager BP Clinical Laboratory dan tak ketinggalan beberapa orang yang mengambil keputusan menyambung diploma pendidikan seperti saya, bertugas sebagai Guru Sains (selalunya mengajar biologi, kimia, sains teras dan matematik), mendidik anak bangsa, membimbing ke arah cintakan sains dan teknologi.

Setiap orang dengan rezekinya tersendiri. Masing-masing telah berada di laluan masing-masing menuju masa depan. Yang pasinya, menyumbangkan sesuatu untuk Malaysia tercinta...

wassalam

***************************************************************

17 Mac 2004 / 24 Muharram 1425 (Rabu)

RINDU BAYANGAN

Semasa menaip catatan ini komputer sedang memainkan lagu-lagu yang hits di Malaysia sebelum kami datang UK. Rindu Bayangan (versi baru), Untukmu (KRU), Bukan Cinta Biasa (Siti Nurhaliza) dan pelbagai. Aduh, tiba-tiba digamit kerinduan yang amat sangat pada Malaysia tanah tumpah darahku. Beru terasa lama sungguh tak dengar lagu-lagu Malaysia. Terasa muziknya ada kelembutan, sesuai dengan jiwa orang melayu.

Di sini pun kami jarang dengar lagu, cuma TV yang selalu dipasang. Entah mengapa rindu pula rasanya nak menonton filem-filem melayu, menonton cerekarama atau cereka pilihan atau sebarang rancangan dalam Bahasa Melayu. Barulah terasa jauhnya kami dari Malaysia, di benua yang terpisah - Asia dan Eropah, dengan perjalanan selama 13 jam menaiki pesawat udara.

Bersyukurlah kini ada pelbagai teknologi yang boleh mendekatkan kita (walau hakikatnya jauh).. telefon, internet (malah boleh baca berita di Malaysia setiap hari, 'berbual' degan kawan-kawan melalui Yahoo Massenger, dll). Dalam erti kata lain, masih berhubungan. Bagaimanalah agaknya perasaan perantau dikala masih belum ada kemudahan seperti ini... semestinya mereka lebih tabah dari generasi terkini...

wassalam

**************************************************************

15 Mac 2004 / 22 Muharram 1425 (Isnin)

AIR KENCING SETAN

Arak. Saya nak perkatakan hal arak di UK. Ini kerana mereka sedang benar-benar cuba memerangi ketagihan arak dewasa ini. Hari ini, banyak berita, rancangan "Breakfeast" di BBC 1, seperti Selamat Pagi Malaysia membicarakan hal yang sama. Ini kerana, menurut kajian, 1 daripada 12 penduduk UK bergantung kepada "air kencing setan" itu untuk hidup. Malah, ramai kanak-kanak bawah umur yang tak sabar-sabar lagi untuk menjadi dewasa kerana bermotivasi nak beli dan minum arak secara bebas. Harga setin arak sama saja dengan harga setin minuman ringan seperti Coca-cola dll, kata kanak-kanak itu, buat apa minum minuman ringan biasa, sedangkan dengan duit kocek biasa, mereka mampu beli alkohol! Lebih cool...

Saya terfikir, itulah akibatnya jika hidup tiada pegangan. Pub dan Bar menjadi tumpuan di hujung minggu (ada juga sebuah pub dekat dgn rumah kami). Statistik juga mengatakan ada 2 kategori tujuan pengunjung Pub/ Bar:

  1. Berkunjung untuk bersosioalisasi - bertemu kawan-kawan hujung minggu ( cumaa ambil sedikit alkohol)
  2. Untuk berhibur dengan alkohol semata-mata (ketagih alkohol)

Kerajaan British mula mengambil berat situasi ketagihan alkohol ini merujuk pada kes salahlaku yang banyak terjadi dihujung minggu, oleh orang-orang mabuk. Keruntuhan sosial para remaja, rumahtangga, banyak wang telah dihabiskan untuk beli alkohol.. (semua sebab-sebab itu adalah keburukan-keburukan ketagihan alkohol yang ramai telah sedia maklum).

p/s: Islam awal-awal memang telah mengharamkan umatnya minum alkohol..."mencegah lebih baik dari merawat" - prevention is better then cure saya cukup risau kalau melihat orang mabuk - seperti hilang akal, gila, boleh buat apa-apa saja yang kita tak duga..

wassalam

**************************************************************

13 Mac 2004 / 20 Muharram 1425 (Sabtu)

LOGHAT

Masa baru sampai dulu, saya tak faham langsung apa yang diperkatakan oleh orang-orang Scotland. Loghatnya pelik, sebutannya jauh sungguh melencong dari sebutan english yang biasa kita guna. Ada sekali tu, saya dapat satu panggilan talifon, mungkin dari penduduk tempatan Edinburgh. Tak tahulah apa yang dikehendakinya, berulang kali saya katakan, "pardon please.." (ada lah dalam 3, 4 kali) hingga akhirnya dia meletakkan ganggang begitu saja.. Ada beberapa kali juga kami disapa oleh mak cik Scotland di perhentian bas atau dalam bas, kalau ayat sapaannya panjang, selalunya saya hanya tersenyum. Dalam satu baris ayat tu selalunya saya hanya dapat tangkap dan faham dalam 2 perkataan saja... itu pun dah bersyukur sebab paling tidak, bolehlah kita sambut perbualan.

Namun lain halnya jika kita berurusan dengan golongan profesional yang tahu kita adalah orang luar. Seperti di klinik, di sekolah atau apa-apa pejabat yang berkepentingan, mereka akan bercakap satu persatu, menggunakan english yang standart, tiada loghat Scotland. Mudah untuk kita faham. Namun sekarang, setelah 5 bulan berada di sini, Alhamdulillah dapatlah saya tangkap sedikit (tidak banyak) andai ada yang bercakap dalam loghat Scotland.

Teringat dulu, perbualan antara saya dan Ameera (5 tahun) anak Kak Ijan. Ameera sudah bersekolah Primary One (Darjah satu) - kerana sistem persekolahan UK, 3 tahun dah mula masuk Nursery Class. Pada ketika itu saya sedang mendukung Hadi. Ameera memandang Hadi, dan berkata (dengan lenggang lenggok ayat orang putih),

"Mak cik, kenapa muka dia macam SAD (sila sebut dalam sebutan BAKU - S+A+D = SAD),

Saya ingatkan SAD tu nama orang (sard?), saya tanya balik, " Sard tu siapa?"

Ameera menggeleng-geleng kepala, "Bukan., bukan, macam tak HAPPI ( sebutan baku H+A+P+P+I = HAPPI)

Barulah saya faham.. "Ooo.. tak happy.." lantas tersenyum sendiri, isshh.. loghat Scottish dah budak ni...

Saya khabarkan pada Kak Ijan.. ni mommy dia pun kena belajar cakap cara Scottish ni, nanti tak faham apa yang anak katakan..

wassalam

***************************************************************

10 Mac 2004 / 18 Muharram 1425 (Rabu)

JEMUR BAJU

Semalam saya berbual-bual lagi dengan mak. salah satu dari topiknya ialah macamana jemur baju di sini. Tidak pernah ke negeri 4 musim, mak tak dapat nak bayangkan - suhu yang amat sejuk, bersalji pula tu semasa musim dingin, bagaimanalah hendak kering baju-baju tersebut. Hmm..memang ada ampaian di luar rumah, dan ada jiran-jiran yang menjemur pakaian di luar. Walau sejuk, udara di sini kering. Kalau di Malaysia, waktu kita angkat kain baju di ampaian akan terasa 'kehangatan' kain yang telah kering, di sini sebaliknya, terasa sejuk kain tu dan kering. Namun saya tak pernah menjemur pakaian di luar rumah.

Rumah sewa kami telah dilengkapi dengan mesin pencuci baju dan pengeringnya sekali (dryer). Jenama Indesit (jenama itu yang paling popular di UK ni). Boleh disetkan untuk basuh pakaian (setkan juga suhu air yang kita kehendaki - 90 darjah celsius, 60 darjah atau 40 darjah, jenis fabrik yang kita nak basuh - cotton, synthetics atau delicate fabrics) dan mulakan membasuh. Selalunya saya setkan sekali arahan untuk dryer - masa dan suhu untuk pengeringan (mencecaah 100 darjah celsius). Biarkan mesin buat kerja, selepas 1 atau 2 jam, mesin berhenti dan boleh keluarkan pakaian yang sudah kering. Namun awas, kain itu panas (kerana proses pengeringannya menggunakan wap air panas). Tak payah menjemur. Tunggu suhu kain balik ke normal, dah boleh terus pakai baju itu.

Jika tiada dryer pun, boleh jemur baju dalam rumah, terutama dekat dengan radiator (heater), sekaligus dapat menyeimbangkan kelembapan udara dalam rumah. Semasa sampai UK dulu, kami sekeluarga menumpang di rumah Kak Ijan dan Abg Rosli di Wester Hailes. Mulanya saya rasa pelik juga, Kak Ijan menjemur pakaian dalam bilik store belakang pintu yang kecil, sempit dan gelap. Kalau di Malaysia ni, mahunya baju-baju tu menjadi berbau masam, tak cukup kering. Namun, fenomena itu tidak terjadi di sini. Pakaian masih berbau harum dan kering. Ini kerana udara di sini yang kering dan 'panas'. Sebab itulah kulit saya pun mudah mengalami dehidrasi, mengelupas dan bersisik, walau saya tak pernah menghadapi masalah tersebut di Malaysia... Wallahhu'alam

wassalam

*************************************************************

9 Mac 2004 / 17 Muharram 1425 (Selasa)

KERTAS VS PDA

Saya rasa hidup tak terurus tanpa bantuan planner. Saya rujuk planner di sini adalah seperti kalender setiap bulan. Saya dapat rancangkan apa aktiviti hari ini, esok dan berikutnya. Saya mula 'bersahabat' dengan planner sejak berada di matrikulasi UKM tahun 2, 10 tahun yang lalu, mulai itu saya mesti 'berkepit' dengan diari atau planner. Ia seperti setiausaha peribadi saya. Sekarang ni, saya tampalkan planner setiap bulan di dapur (pejabat terkini saya) jadinya saya dapat lihat aktiviti setiap hari. Rasa tersusun dan seronok menjalani hidup. Tanpa planner, terasa hidup semacam kosong, tarikh pun saya terlupa (lebih-lebih lagi sepenuh masa 24/7 di rumah).

Baru-baru ini suami mengesyorkan saya menggunakan PDA sebagai planner, meggunapakai teknologi terkini. Beliau baru saja memperolehi PDA dari E-bay semacam lelong.com, menjalankan 'auction' secara online. Banyaknya barang second hand, namun masih elok. Barang hadiah perkahwinan , hadiah krismas atau sebarang hadiah (kerana konsep di sini lebih kepada beri hadiah sewaktu apa-apa keramaian) yang tidak dikehendaki maka boleh dilelong semula di dalam E-bay. Itu yang menjadikan harga barang-barang di E-bay tidak semahal yang ada di kedai. Namun kenalah rajin menunggu depan komputer, dan 'bid' harganya sedaya kita mampu, kalau bernasib baik, harga barang itu hanya 15% saja dari harga di kedai (siap penghantaran ke rumah)! Harus berhati-hati juga, bimbang penipuan, namun nampaknya mereka memang profesional, setakat ini semua OK. Malah, rekod kita sebagai pembeli dan peniaga ada di E-bay, menunjukkan sama ada kita boleh dipercayai atau tidak.

Namun saya rasa macam belum bersedia punyai PDA sebagai 'teman'. Masih selesa dengan cara lama- kertas dan diari. Mungkin ortodoks sikit, tak apalah. Bukan apa, bimbang dah beli nanti tapi tak menggunakannya secara maksimum.

p/s: Tak terkejar rasanya dengan kemajuan teknologi yang sentiasa berkembang tanpa batasan..

wassalam

*************************************************************

8 Mac 2004 / 16 Muharram 1425 (Isnin)

ROTI PERTAMA

Selama ini saya belum pernah buat roti sendiri. Tiba di UK, saya jadi surirumah tangga 24 jam, terasa macam-macam hendak cuba dimasak. Masalah utama, tiada penimbang. Saya telah cuba buat roti asas pizza dengan kaedah cuba jaya (trial and error), Alhamdulillah lama-lama saya dapat mencanai roti asas pizza dengan nisbah tepung : air yang betul dan kira OK lah untuk buat pizza, makan anak beranak. Topping Pizza kami selalunya daging cincang + carrot potong dadu + capsicum + bawang + cendawan butang + keju mozarella + lada hitam. Saya suka menggunakan sos tomato Heinz, terasa enak sungguh (kalau di Malaysia dulu, teringin nak makan pizza, boleh ke Pizza Hut..)

Kami baru aja membeli Bread Maker Machine dan penimbang. Saya pun, sibuklah nak buat roti sendiri. Mudah saja rupanya menggunkan Bread Maker Machine, masukkan semua bahan-bahannya, hidupkan mesin, setkan jenis roti, berat roti yang dikehendaki (bergantung pada kuantiti bahan mentah), biarkan saja mesin beroperasi mengikut masa yang telah disetkan, pandai-pandailah ia buat roti sampai jadi! Namun, kuantiti bahan kenalah ikut resepinya dengan betul, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Semalam saya buat Basic White Bread, kami makan dengan kari ayam. OK juga! Hari ini cuba buat Cheese and Onion Bread pula, hmm.. hasilnya belum tahu lagi sbb semasa mencatat cataran ini, mesin sedang berhempas pulas buat roti untuk kami...Di sini ada saya sertakan resepi roti-roti yang pernah saya buat.

p/s: Nampaknya lepas ni bolehlah hari-hari makan roti.. balik Malaysia, business buat roti, jual pada kawan sepejabat, usik suami....hmm. menarik idea tu!

wassalam

*************************************************************

7 Mac 2004 / 15 Muharram 1425 (Ahad)

MERENTAS BANDAR

Jika di sekolah, awal-awal tahun ni sibuk dengan aktiviti 'merentas desa', saya dan keluarga pula hari ini sibuk 'merentas bandar' Edinburgh. Kami keluar rumah tepat jam 12.00 tengahari. Dengan Aqilah dan Hadi menaiki stroller berkembar (lihat gambar disebelah kanan), kami berjalan kaki dari rumah ke bandar, melalui Princess Street. Jauh juga tu. Tujuan utama kami ialah ke kedai barang halal RB Food Store. Dalam perjalanan, banyak pula tempat persinggahan (maklumlah, kalau naik bas malas nak singgah-singgah). Mula-mula singgah More Store, jumpa King Size Duvet Cover - cantik dan harga berpatutan. Jalan lagi, jumpa kedai farmasi Boots, teringat nak beli ubat batuk berkahak untuk saya dan anak, ubat selsema dan balm panas. Dapat satu vaucer potongan £5.00 untuk pembelian kosmetik jenama No7. Lantas, saya memilih lipstik No7, harga asal £7.50, selepas potongan, hanya bayar £2.50. Kami jalan lagi.. musim perantaraan sejuk ke bunga, di tepi-tepi jalan rumput-rumput mula ditumbuhi bunga warna ungu, kuning dan putih. Beburung merpati bermain-main di celah bunga. Seronok sungguh Aqilah. Hadi pula mula mengantuk dan tidur dengan lena. Kemudian kami sampai di kedai Argos (kedai berprinsipkan katalog), singgah, ambil katalog barang Argos yang terbaru. Beli sekali kitchen's electronic scale di situ.

Saya dan suami mula terasa lapar yang amat sangat. Jam telah menunjukkan pukul 2.00 petang. Sebelum tiba RB Food Store, kami singgah makan nasi pilau lauk kambing di kedai makanan halal orang pakistan . Akhirnya, sampai juga di RB Food Store beli daging ayam, daging cincang, rusuk kambing (bahan mentah bekalan untuk seminggu), cili, jelly dan caramel segera (dlm bentuk serbuk) - kegemaran Aqilah, tepung gandum, bawang goreng, kunyit serbuk. Sembahyang Zuhur di Masjid King Fahad, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Kaki dah terasa penat sungguh. Terpaksa gagahkan juga. Aqilah dan Hadi tidur sepanjang perjalanan pulang. Cuaca juga elok sungguh, walau kadang-kadang sejuk (mulut masih lagi berasap), namun rasa cukup selesa. Nak beli pula sos tiram dan sos cili manis, kami singgah Nittiya Thai Supermarket. Sebelum sampai rumah, singgah pula kedai Baba's Caves (milik orang pakistan)- di Dalry Road beli bekas masak kek, selotape dan bateri.

Akhirnya, tepat jam 5.00 petang, kami sampai kembali di rumah. Aduh, penatnya kaki tak terkira. Teringat kembali merentas desa masa di sekolah dulu, penat macam inilah rasanya.. Aqilah dan Hadi pula bertenaga sungguh, maklumlah dapat tidur yang lena dan enak - dalam stroller. Ibu dan ayahnya sakit-sakit bahu (menolak stroller) dan kaki (berjalan jauh)!

wassalam

*************************************************************

5 Mac 2004 / 13 Muharram 1425 (Jumaat)

RUMAHKU SYURGAKU

Rumah kami adalah merupakan sebuah rumah flat. Berada di tingkat bawah, satu bilik, ruang tamu, dapur dan bilik air. Sewanya sebanyak £380. Berada di jalan utama Dalry Road, laluan mudah bas-bas ke pusat bandar Edinburgh. Kami cari rumah ini melalui internet berada di bawah Syarikat Charles White Limited yang bertindak sebagai orang tengah antara tuan rumah dengan penyewa. Mulanya tertera di internet nilai sewaan £400. Apabila suami telah melihat-lihat dan bersetuju untuk menyewa, Caroline Elgar (pegawai syarikat Charles White) menyatakan sewa rumah ini hanya £380. Katanya telah 10 orang melihat-lihat rumah ini ,cuma suami saya saja yang bersetuju untuk menyewanya. Alhamdulillah, rezeki kami. Mana dapat nilai sewaan serendah itu untuk sebuah rumah di kawasan strategik sebegini. Mungkin keadaan rumah yang agak lama dan hiasan dalamannya juga tidaklah secantik dan semoden rumah lain.

Rumah ini lengkap berperabot, langsir (lihat gambar Aqilah di ruangan sebelah), beberapa pinggan, mangkuk, cawan, gelas, kuali, periuk, dapur gas dan oven, peti ais. Cuma televisyen dan mikrowave yang tiada (ada rumah sewa yang lengkap dengan barangan elektrik tersebut). Ada surat perjanjian antara kami dengan Syarikat Charles White. Dalam surat tersebut dinyatakan dengan jelas, satu persatu barang-barang yang sedia ada dalam rumah ini, termasuklah keadaan barang itu sebelum kami masuk. Setiap 2 bulan sekali Caroline Elgar akan datang membuat pemeriksaan untuk memastikan semuanya masih dalam keadaan baik. Bimbang juga dibuatnya - ( pada dinding telah ada sedikit contengan hasil kreativiti Aqilah, walau berkali saya memarahinya! ) bererti kami mesti menjaga semua barang tuan rumah dengan baik. Jika didapati ada "kecacatan" atau kehilangan barang-barang, syarikat akan memotong nilai yang setara dari duit deposit yang bernilai £450 (diberi sebelum masuk rumah ini dahulu).

Masa mula-mula pindah dulu (kami pindah malam 17 Oktober 2003), memang rasa sunyi, suram, sedih dan sejuk saja rumah ini. Sudahlah waktu itu musim luruh menghampiri musim dingin. Cahaya matahari sedikit sungguh. Maklumlah, sewaktu di Malaysia dulu pun saya amat suka suasana terang benderang, disimbahi cahaya matahari yang menerobos masuk ke dalam rumah. Di sini, walau siang hari, saya pasti memasang banyak lampu, agar terang. Namun sekarang setelah 5 bulan tinggal di sini, Alhamdulillah, saya mula menyintainya. Nak masuk musim bunga, cahaya matahari memancar cerah dan ceria. Home Sweet Home...

p/s: Aqilah selalu kata "Ini bukan rumah kita kan ibu, ini rumah Mat Salleh.... rumah kita kat Meysia (Malaysia)..."

wassalam

*************************************************************

4 Mac 2004 / 12 Muharram 1425 (Khamis)

DUIT DUIT DUIT

Membaca catatan Kak Lela bertarikh hari ini berkenaan jumpa duit, saya terpanggil untuk mencatatkan sesuatu berkenaan duit. Dalam channel Challenge, ada satu rancangan bernama Oblivious (rancangan Amerika). Ditayangkan jam 7.00 - 7.30 setiap malam. Saya cukup gemar menontonnya. Ia sebuah rancangan permainan. Jika anda sedang berjalan di mana-mana dan tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki bertanyakan satu soalan umum, silalah jawab, kerana jika jawapan anda benar, akan diberi USD 20! Mudah sungguh. Selalunya lelaki itu akan menyamar sebagai pelbagai watak, dan kita langsung tidak terduga yang sebenarnya kita telah menjadi peserta game shownya. Untuk pusingan pertama, selalunya dia berada di sesebuah kedai, seorang yang bertuah akan menjadi "mangsanya" (tanpa disedari) - dia akan bertanya soalan demi soalan (juga tanpa kita sedari) sebanyak 5 soalan. setiapnya yang jawapan betul kita mendpt USD 20. Jika kelima-lima soalan umum itu betul, bererti USD 100 dalam tangan.

Kemudian setelah dia mendedahkan apa yang terjadi, dan anda dah pun mendapat habuan, anda akan dipelawa untuk menyamar, mengganti tempatnya untuk menyoal orang bertuah yang terkemudian. Seperti biasa, jawapan betul orang itu dapat USD 20, dan untuk anda pula, setiap soalan yang dijawab betul oleh orang tersebut, anda sebagai penyoal akan mendapat USD 100! Seandainya orang itu dapat jawab semua 5 soalan betul, bererti dengan senang USD 500 masuk dalam poket anda! Ishh.. saya selalu terbayangkan bertuahnya "mangsa-mangsa" Oblivious tu...

Bercakap juga pasal duit, teringat kata-kata teman, duit gaji bulanan kita tu bukan hak kita yang mutlak, sebaliknya kita hanya sebagai tangan perantara, katakanlah setiap akhir bulan masuk gaji RM 1500, bermulalah pengagihan - RM 200 belanja makan, RM 300 pengasuh anak, RM 150 bil-bil, RM 200 hantar kampung, RM 500 sewa rumah, RM 50 insuran, RM 100 belanja rencam. Jadi bakinya? Cubalah kira kalau berani!..

p/s: Nilai £1 di sini = RM 7. Harga nasi ayam di UK £2.50 = RM 17.50, rumah sewa kami (satu bilik) - sebesar rumah flat £380 = RM 2660! Kesimpulannya : Jangan cuba convert kan nilai duit £ dengan RM kalau nak hidup tenteram di sini..

wassalam

**************************************************************

3 Mac 2004 / 11 Muharram 1425 (Rabu)

KASIH KAKAK, KASIH ADIK

Bak kata pepatah, air dicincang takkan putus, itulah kasih adik beradik. Demikian saya dapat lihat pada anak-anak saya Aqilah (3 tahun) dan Hadi (1 tahun). Saya maklumkan kehadiran adik pada Aqilah sewaktu masih mengandung. Tunjuk perut, ada adik, Aqilah faham. Alhamdulillah dia kurang meragam dengan kelahiran Hadi. Dia cukup sayang, boleh mengalah jika si adik mahukan mainan yang sedang kakak pegang (walau kadang-kadang berlaku juga pergaduhan - tarik menarik mainan yang berakhir dengan tangisan Hadi). Yang menyentuh perasaan saya ialah perbuatan Aqilah yang boleh dipercayai untuk menjaga adik. Contohnya, jika saya sedang bersembahyang di ruang tamu, Hadi terjaga dari tidur (di atas katil - bilik), cepat-cepat kakak akan mengagah Hadi, memujuknya untuk tidak menangis dan untuk tidak bergerak dari katil. Begitu juga pada waktu malam, jika saya masih belum berada di katil, sedangkan Hadi sudah tidur dan bergerak-gerak, kakak sanggup bangun dari pembaringannya, menepuk-nepuk kembali belakang badan adik, ini membolehkan Hadi tertidur semula. Namun biasalah, kadang-kadang kalau kakak geram sangat dengan perbuatan Hadi yang selalu mahu mainannya, dia akan menolak si adik, tidak kuat, namun sudah cukup untuk buat adik menangis (manja)..

Hadi pula, selalu bersimpati jika kakak menangis (selalunya dimarahi kerana perangai yang suka merengek dan meminta itu dan ini). Hadi akan menepuk-nepuk kepala kakak (jika kakak baring) atau bahu (jika duduk). Dia akan menjenguk wajah kakak, memandang dengan penuh simpati. Saya selalu tersenyum sendirian jika melihat keadaan itu.

Sekarang Hadi sudah mula berjalan jatuh. Rumah sempit, bimbang sungguh, dia akan berjalan jatuh ke mana-mana saja dalam rumah ini. Kegemarannya sekarang ialah memanjat sofa dan berdiri mengadap belakang sofa sambil menggoyang-goyangkan badan! Selalu terduduk jatuh namun sempat disambut. Itu aksi yang paling mengerikan saya. Namun yang paling ketara ialah cemburunya bila saya di depan komputer. Dia akan menjerit menangis sebaik saja nampak saya duduk di meja ini (walau sebelum itu sedang elok bermain), dan akan diam sebaik saja saya berlalu dari komputer! Agaknya dia rasakan komputer ini sebagai musuh utama!

p/s: Kadang-kadang kasihan melihat anak-anak saya yang jauh dari kasih belaian datuk dan neneknya. Aqilah selalu pandai menyatakan rindu...

wassalam

*************************************************************

1 Mac 2004 / 9 Muharram 1425 (Isnin)

GAS DAN ELEKTRIK

Sepagian menunggu kehadiran pembaca meter Scottish Gas. Minggu lepas saya dah buat appoinment tarikh hari ini untuk menerima kedatangannya, dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari. Rupa-rupanya dia datang jam 4.00 petang. Kami menggunakan gas untuk heater (pemanas) dan dapur di rumah, lantaran itu kami melanggan Scottish Gas. Meter gas terletak dalam store di rumah ini dan memerlukan pembaca meter untuk masuk ke dalam rumah. Saya masih terfikir-fikir akan banyaknya paip gas berselirat di bawah tanah agaknya. Mesti memerlukan penjagaan dan pengendalian yang tinggi. Tidak boleh terdapat kebocoran.

Jika kita di Malaysia, setiap kali gas dapur habis, kena beli yang lain. Berat nampaknya suami atau penjual gas itu mengangkut tong gas. Kalau gas habis waktu malam atau cuti dimana semua kedai tutup, susah untuk memasak. Tapi ada banyak kedai-kedai makan. Tak ada masalah langsung. Di sini boleh memasak sentiasa. Tak perlu bimbang kehabisan gas, bayar bil sahaja setiap bulan. Kalau tak mahu memasak, harus cari kedai makan halal, yang selalunya didominasi oleh kaum Pakistan, serta tak banyak.

Heater pula ada 2 jenis. Ada yang memerlukan gas dan ada yang memerlukan elektrik untuuknya berfungsi. Alhamdulillah heater rumah ini menggunakan bekalan gas. Katanya penggunaan gas lebih murah berbanding heater yang menggunakan tenaga elektrik. Ini bererti kami menggunakan elektrik hanya untuk lampu dan pemanas air. Untuk elektrik kami melanggan Scottish Power.

Sekarang ni sejuk teramat sejuk rasanya. Suhu di Edinburgh ni berubah-ubah, sukar diramal. Yang pastinya, cahaya matahari cukup banyak. Itu yang sedap tu. Jam 6 petang baru gelap. Pada ketika pertukaran musim ini saya batuk berkahak pekat (seperti yang dialami dulu, semasa pertukaran musim luruh ke musim dingin). Tiap pagi bangun pagi, pasti terasa sakit dan "ketat" di tekak, selsema, kahak tersebut turut mengandungi darah. Katanya itu fenomena biasa disini. Mungkin kerana dehidrasi akibat penggunaan heater yang berlebihan.

wassalam

**************************************************************

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1