![]() |
laman ixora(kembali ke laman utama) arkib Januari 2004 |
|
29 Januari 2004/7 Zulhijjah 1424(Khamis) Hari ini kami mendapat HC 2(Health Certificate 1) dari NHS (National Health Services) yang melayakkan kami untuk mendapat:
Alhamdulillah, HC 2 itu berkuatkuasa dari 16 Januari 2004 hingga 1 Oktober 2004. Di sini, mereka yang kurang berkemampuan memang diberi keistimewaan seperti itu. Kena memohon, dengan cara mengisi borang HC 1 yang boleh didapati di pejabat Social Security, hospital, Health Benefit Division, Klinik gigi dan Opticion tertentu. Pelbagai soalan soal-selidik tentang tanggungan, kawangan, harta dan perbelanjaan hidup yg harus dijawab. Salinan penyata sumber kewangan juga mesti disertakan. Jawapan layak tak layak kita mendapat kemudahan tersebut akan diberi dlm 3 minggu kemudian. Alhamdulillah, ringanlah sikit beban perubatan. (Bolehlah buat cermin mata baru!) wassalam *********************************************************** 28 Januari 2004/6 Zulhijjah 1424 (Rabu) Hujan salji lebat betul pagi ini. Angin juga kencang sekali meniup butiran salji yang sedang turun menerjah bumi. Bergoyang kuat ranting pepohon yang sudah luruh daunnya. Tak dapat bayangkan jika saya berada di luar rumah ketika itu. Sejuk mencucuk tulang. Lebih kurang jam 2.00 petang, setelah hujan salji berhenti, saya membawa Aqilah keluar ke taman belakang rumah, "nak main salji " katanya. Seronok dia mencampakkan ketulan salji ke arah tingkap rumah kami (Hadi cuma melihat dari dalam tingkap rumah). Tiupan angin "Artic Blast" yang membawa salji masih terasa kuat dan sejuk, Aqilah tak mahu masuk dalam rumah! Nak buat Snowman, ujarnya. Saya yang tak tertahan dek kesejukan! Setelah memujuk dan memujuk, Alhamdulillah dia mahu, namun menangis pula dalam rumah kerana jari tangannya kesejukan! (walau dia memakai sarung tangan).. aduh... melayan kerenah budak-budak memang memerlukan kesabaran! Hadi terkebil-kebil melihat kerenah kakak. Baru tadi saya menonton "Adoption Stories" dalam Discovery Health Channel. Berkenaan sepasang "gay" yang terlalu ingin mempunyai anak sendiri. Mereka telah mengisytiharkan diri sebagai pasangan suami isteri yang sah dan amat mencintai satu sama lain. Lalu mengambil 2 orang bayi lelaki (7 bulan) keturunan Afrika-Amerika dari rumah anak-anak terbiar. Pasangan gay ini terpaksa melalui pelbagai rintangan dan prosedur mahkamah bagi menapatkan hak penjagaan bayi tersebut. Akhirnya, mereka berjaya. Kini kedua-dua anak-anak itu berusia 3 tahun. Pasangan lelaki (kulit putih) menjaga dan menyayangi kanak-kanak (kulit hitam), yang amat pelik ... tiada wanita dalam hidup mereka.. macamana nak terangkan pd kanak-kanak itu yang kedua-dua ayahnya adalah merupakan sepasang gay! Dapat satu alamat laman dari seorang kawan. Untuk gempa bumi di Iran. Jemput klik: http://simplyislam.com/clickforcharity.asp wassalam *********************************************************** 27 Januari 2004/5 Zulhijjah 1424 (Selasa) Sudah 4 bulan elaun tak masuk. Kami hanya terima pada 1 Oktober 2003 (Mula-mula sampai UK). Selama 4 bulan ini kami terpaksa membuat perbelanjaan dengan amat teliti dan berjimat cermat. Bekalan £1,512.00 (dari JPA) yang seharusnya diterima 3 bulan sekali telah habis (bayar sewa rumah £380 sebulan, makan, tambang bas dll). Alhamdulillah bil elektrik dan gas hanya perlu dibayar 3 bulan sekali (pasti dengan jumlah yang tinggi -terutama dimusim sejuk!), kami membayar bil telefon (termasuk perkhidmatan telewest broadband) sebulan lebih kurang £60. Terpaksa mengguna pakai elaun bahagian saya dan anak-anak yang ditanggung oleh UIA (yang hanya diberi 6 bulan sekali) untuk menampung sara hidup. Setelah 4 bulan berlalu, pastinya kami semakin kritikal.. Tinggal di ibu negeri Scotland ini (Edinburgh) memang memerlukan perbelajaan yang agak besar, sewa rumah, harga barang mentah agak mahal dari bandar-bandar lain (samalah keadaannya jika tinggal di KL atau JB). Dengan kadar elaun yang sama seperti pelajar di bandar lain, kami terpaksa lebih survive di sini. Ramai yang berkerja part-time untuk hidup lebih selesa. Rasanya sekarang ni persatuan pelajar sedang cuba mendapatkan hak elaun lebih (seperti kadar pelajar di London). Entah bila akan terlaksana.. Suhu sekarang -5 darjah celsius. Semasa menaip catatan, hujan salji sedang turun. Snowflakes besar-besar menerjah bumi. Aqilah terjerit-jerit gembira.. wassalam *********************************************************** 26 Januari 2004/4 Zulhijjah 1424 (Isnin) Semalam (Ahad) ada perjumpaan kaum ibu pelajar melayu di Edinburgh yang diadakan di King Fahad Mosque (Masjid besar di bandar Edinburgh). Kami bersepakat untuk mengadakan jamuan Hari Raya Aidiladha Ahad nanti. Untuk itu, setiap individu telah diagihkan tugas yang spesifik untuk membawa juadah. Saya ditugaskan untuk menyediakan dessert (mudah dibawa, kerana kami tiada kenderaan). Di sini, setiap hari Ahad pagi (bertempat di masjid) diadakan kelas mengaji Al-Quran untuk kanak-kanak dibawah kelolaan Ustazah Aida. Seronok berkumpul ramai-ramai, sementara menanti anak habis mengaji, kaum ibu juga dapat beramah mesra. Aqilah sekarang ni ketagih yogurt. Boleh dikatakan setiap hari dia meminta. Dia sudah tak minum susu sejak datang UK- kerana puting botolnya terkoyak dan saya katakan di sini tidak dijual puting botol! Sejak itu susu segar pun dia tak mahu.Lantaran itu kegemaran makan yogurt saya nampak sebagai sesuatu yang positif (bekalan kalsium untuknya). Cuma ongkosnya agak besar! wassalam *********************************************************** 24 Januari 2004/2 Zulhijjah 1424 (Sabtu) Terpanggil untuk mencoretkan sesuatu berkenaan jenayah rogol dan bunuh yang telah beberapa kali terjadi, dan baru-baru ini berlaku di Sabah dan Johor. Paling menyedihkan, kanak-kanak 10 tahun menjadi mangsa. Kejam sungguh.. tidak dinafikan rentetan peristiwa-peristiwa itu boleh menimbulkan rasa risau dan takut di hati para ibu bapa, bayangkanlah, lelaki yang mungkin kelihatan baik, bertugas sebagai pengawal keselamatan pula, rupanya adalah syaitan bertopengkan manusia! Syaitan yang merogol dan membunuh tanpa belas kasihan. Ada juga statistik yang menyatakan mereka yang terlibat dgn jenayah-jenayah terbabit adalah penagih dadah. Merujuk pada BH hari ini, bertajuk Amphetamin tingkat kemahuan seks penagih, seharusnya sesuatu harus dilakukan untuk menangani masalah penagihan Amphetamin. Dadah jenis ini menyebabkan perubahan kimia pada otak. Penagih hilang waras dan mampu melakukan perkara yang tidak pernah dilakukannya. Lebih-lebih lagi dgn pengaruh dan dorongan video-video lucah yang mudah diperolehi, manusia boleh berubah menjadi binatang yang tidak berperikemanusiaan.. Mungkin saya terlalu emosional memikirkan hal ini. Semoga Allah melindungi kita semua dari musibah, dan pastinya Allah akan memberi hukuman yang paling setimpal dengan jenayah yang telah mereka lakukan, seandainya tidak di dunia, di akhirat nanti... Pastinya!!!! wassalam *********************************************************** 23 Januari 2004 (Jumaat) Alhamdulillah, Hadi tidak demam setelah disuntik immunisasi Hib booster tempohari. Dia telahpun mendapat immunisasi Hib pertama, kedua dan ketiganya di Malaysia. Immunisasi Hib terakhir yg diterimanya pada 16 Julai 2003, Jika ikutkan jadual program immunisasi Malaysia, dia hanya akan diberi suntikan booster 1 tahun selepas itu (16 Julai 2004), namun dia diberi seawal 20 Januari 2004. Harapnya dia telah mendapat immunisasi diri secukupnya. Prinsip immunisasi ialah menyuntik kuman (yg menyebabkan penyakit) yg telah mati atau dilemahkan, bertujuan untuk membantu tubuh membentuk antibodi terhadapnya. Beberapa fasa suntikan diperlukan utk memastikan tubuh telah benar-benar membentuk antibodi secukupnya. Di UK, ada health visitor, sama seperti jururawat yang akan melawat semasa fasa mengandung ataupun untuk melihat perkembangan anak. Kita boleh membuat temujanji untuk health visitor datang ke rumah: 1. Sepanjang tempoh mengandung 2. 11 hari selepas melahirkan anak 3. Untuk melihat perkembangan anak-anak diumur 6-8 minggu, 8-9 bulan, 39-42 bulan, 7 bulan (untuk ujian pendengaran), 24 bulan dan preschool review. wassalam *********************************************************** 22 Januari 2004 (Khamis) Semalam saya membawa Aqilah ke Dalry Nursery Class. Hajat dihati ingin mndaftarkannya. Gembira sungguh Aqilah, beria-ria hendak bawa beg, buku dan sebagainya. Cantik dalam kelas tersebut. Susun aturnya memang sesuai untuk sebuah kelas nursery (pelajarnya berumur 3 dan 4 tahun). Pada ketika kami sampai, mereka sedang mendengar cerita tentang Chinese New Year, diiringi dengan kaset dan alat-alat muzik masyarakat Cina. Ada pokok limau tiruan, mercun mainan, sampul ang pau dll yang berkaitan sambutan tahun baru Cina! Bertemu dengan Head Teacher Nursery Class dan beliau menyuruh saya mengisi borang pendaftaran. Namun, memandangkan waiting list yang terlalu panjang, mungkin Aqilah hanya akan dipanggil bersekolah pada Ogos 2004! Aduh, lamanya..kesian Aqilah. Terkebil-kebil melihat kawan-kawan sebayanya di kelas itu. Head Teacher mencadangkan Aqilah ke Playgroup di St Martin's Church Hall yang berdekatan. Playgroup dijalankan oleh sukarelawan dibawah kendalian Social Work Department. £2 - £5 seminggu dan ibubapa digalakkan turut bersama anak-anak ketika berada di situ (mengikut giliran masing-masing). Hmm.. tak elok pula rasanya anak nak dihantar belajar di gereja! Lebih baik belajar sendiri di rumah! Sepetang memujuk Aqilah. Semangatnya membuak-buak untuk ke sekolah. Saya katakan sekolah dah penuh. "Kakak kena belajar kat rumah dgn ibu ke?" soalnya. Saya angguk kepala (walau dalam hati ada sedikit kepedihan). Insya-Allah saya cuba memberinya yang terbaik sebagai seorang ibu.. malam tadi juga saya talifon ke Malaysia, minta ayah tolong poskan buku Iqra' utk Aqilah.... wassalam ************************************************************ 21 Januari 2004 (Rabu)
Terkenang kembali 31 Ogos 2003, sebulan sebelum ke UK. Untaian kesejahteraan keluarga ketika bercuti di Port Dickson, NS. Dari kiri: Saya, mak,eila (adik bongsu), fidah (adik kedua) meriba Hadi, Azman (suami fidah) meriba Aqilah, ayah dan suami. wassalam *********************************************************** 20 Januari 2004 (Selasa) Lama rasanya saya tak bercatatan. Bukan apa, terasa tak tahu apa yang hendak disampaikan. Cuma agak terkejut semalam apabila berita di TV malam tadi ada menyatakan hasil daripada soal selidik, 40% penduduk UK TIDAK GEMAR orang kulit hitam mahupun orang Asia tinggal bersebelahan dengan rumah mereka! Tidak dinyatakan pula mengapa. Pagi tadi kami ke Springfield Medical Centre untuk imunisasi Hib Ajmal Hadi. Dalam perjalanan balik singgah di Barnados, sebuah kedai charity membeli beberapa educational toys untuk Aqilah dan Hadi. Suami selalu bertanyakan apakah yang mahu saya kumpul selanjur berada di UK ni.. sesuatu yang boleh memberi manfaat dan yang boleh dikongsi dengan masyarakat Malaysia hari ni dan hari mendatang. Seperti buku dan peta lama - itu kegemaran beliau. Kerana wang masyarakatlah kami berada di sini. Bukan seribu dua, beratus ribu ringgit! Dan persoalan itu jugalah yang selalu bermain di minda saya saban hari.. Tukaran wang juga sudah meningkat. Dengarnya hampir mencecah RM7.00 untuk nilai £1.00! Mungkin sebab itulah ada yang sedih bila graduan yang balik dari luar negara tidak berupaya menyumbang sesuatu kepada Malaysia (paling tidak pun bekerjalah dengan niat tulus suci untuk masyarakat Malaysia), bukan atas dasar kepentingan dan mengumpul kekayaan diri sendiri semata-mata... wassalam ********************************************************** 17 Januari 2004 (Sabtu) Bekalan bahan mentah dirumah kami sudah habis. Hari ini saya sambil menyorong Aqilah (berdua saja) ke Kedai Nittiya (Siam), Kedai More Store dan Sommerfield. Suami menjaga Hadi di rumah. Seronok dapat berlama-lama membelek barang-barang, terutama di Kedai More Store yang banyak menjual pakaian (dewasa dan kanak-kanak) , barang hiasan, barang kegunaan dapur spt kuali, dll dengan harga berpatutan. Di sini ingin saya kupaskan, mengapa saya mengatakan orang-orang UK gemar membazir.. ini kerana walaupun mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi, dalam masa yang sama, terlalu banyak iklan-iklan syarikat mahupun bank yang boleh memberi perkhidmatan pinjaman kewangan! Sudah tentunya ada permintaan untuk perkhidmatan itu! Selain dari menjual barang elok yang mereka dah tak mahu di Car Bot Sale, ada yang menderma barang kepada kedai-kedai charity (Charity Shop), yang selalunya bertujuan mengumpul dana untuk rumah anak yatim ke, untuk orang miskin ke, untuk gereja ke, untuk orang cacat dll. ( Ini antara sikap yang elok dan harus dipuji kerana cara mereka mengumpul dana bukan sekadar mengutip derma begitu saja, mereka menjual barang-barang yang disedekahkan oleh orang yang tidak memerlukannya lagi), namun ada juga yang membuang begitu saja barang yang masih elok! Terutama dekat-dekat krismas tempohari - sofa cantik, katil, almari, tilam, car seat kanak-kanak dll. Agaknya bagi mereka, wajib membeli yang baru bila ada keluaran yang terkini. Teringat semasa 'Boxing Day' - sehari selepas krismas, telah diadakan jualan murah besar-besaran, berderet-deret manusia beratur di luar kedai, dan bershopping bagai tak ingat dunia. Ada juga kajian yang mengatakan antara penduduk UK, penduduk Edinburghlah yang paling gemar bershopping! wassalam ********************************************************** 15 Januari 2004 (Khamis) Saya telah membazir air secara tidak sengaja! Selama lebih 1 jam air paip shower tidak ditutup (dan sayalah orang terakhir meninggalkan bilik air). Walaupun kami tidak perlu membayar bil air, air yang mengalir itu masih menggunakan tenga elektrik (untuk memanaskannya), bererti tenaga elektrik juga terbazir! Khidmat air di UK dibayar bersama dengan cukai tahunannya, iaitu £117.11 setahun dan cukai air kumbahan £133.14 setahun. Cukai Council disini adalah sebanyak £809.67 setahun! Terkejut juga kami semasa menerima surat arahan pembayaran cukai tersebut. Jumlah nilai itu hampir menyerupai sara hidup kami (biasiswa suami) selama 2 bulan! Alhamdulillah, kami terkecuali daripada membayar cukai tersebut setelah suami menghantar surat yang menyatakan kami datang ke UK atas dasar menyambung pelajaran, dan kami juga tidak bekerja. Dengarnya begitulah di UK ni, nilai cukai dan denda-denda adalah amat mahal, sementara nilai barang-barang lain seperti makanan, pakaian, peralatan elektrik, dll adalah murah. Saya selalu buat perbandingan gaji dan sara hidup kita di Malaysia dengan orang-orang UK. Katakan nilai gaji yang diterima £1500 (bayangkan RM1500). Dan cuba lihat perbelanjaan yang saya buat di pasaraya ASDA pada 10 Januari lepas. Dengan £20.00 saya dah dapat pelbagai barang spt; kasut sukan kanak-kanak, diapers (3 bungkus - bekalan utk sebulan setengah), berjenis keju, bawang merah (2 bungkus-bekalan sebulan), bantal kecil, kek blackforest, dan ikan. Cubalah bayangkan, agaknya, cukup tak nilai RM20 untuk membeli barang-barang tersebut? Kasut sukan kanak-kanak hanya bernilai £4 (mungkin paling murah pun RM8 di Malaysia), sebuah kek Blackforest yang selalunya berharga RM 14 di Malaysia, hanya £1.33 di sini! Dengan hanya £189 juga kita dah boleh memiliki sebuah microwave yang canggih dan cantik, lengkap dgn keupayaan sebagai oven dan grill (Bayangkan, harga microwave di Malaysia?). Lantaran itulah kuasa membeli rakyat UK adalah tinggi. Namun apa yang saya nampak mereka suka membazir. Nanti saya kupaskan sebab-sebab saya mengatakan demikian di lain masa. Mereka boleh beli bermacam barang, lantas walau barang masih baru, bila jemu boleh beli yang lain.. itulah wujudnya Car Boot Sale - dengan barang yang masih elok dan harga yang paling murah (tempat kegemaran kami, rakyat pelajar disini). wassalam ********************************************************* 14 Januari 2004 (Rabu) Dengarnya ada salji yang agak reseonable tebalnya di Balerno. Bestnya.., rasa nak kepal-kepal dan bergambar dengan salji. Rumah kami di bandar Edinburgh, jarang sangat hujan salji. Kalau hujan salji malam, selalunya menjelang siang dan mencair. Dekat dengan laut, katanya. Kalau tiada aral kami mahu ke rumah Julie dan Khairul di Balerno hujung minggu ni, nak main salji di sana.. Walaupun tiada salji menutupi bumi di bandar Edinburgh ni, sejuknya mencucuk tulang. Kalau tak pasang heater, sekejap aje tangan dan kaki terasa sejuk. Selalunya kami pasang heater jam 8.00 pagi hingga 3.00 ptg. Tutup sebentar, dan pasang lagi jam 7.00 mlm - 11.00 mlm. Tutup semula semasa kami tidur (sedap tidur dibungkus Duvet aje). Ada "timer" pada heater tu yg boleh diset kan bila on atau off nya, tapi kami memilih utk buat secara manual. Kalau terasa sejuk sangat, kami boleh terus on kan heater! Keburukan menggunakan heater terlalu lama: 1. Berlakunya dehidrasi ( kurang lembapan udara sekeliling - membawa kepada kulit yang kering, demam sbb kurang air, pening kepala, exzema) : harus letakkan semangkuk air di bawah heater untuk elakkan dehidrasi kerana air akan tersejat menyeimbangkan kembali lembapan di udara - p/s: kak lela, kak inai - buat tak air dalam mangkuk ni di Jepun? 2. Bil gas akan meningkat! (Kami gunakan gas untuk heater) wassalam ********************************************************** 13 Januari 2004 (Selasa) Agak sibuk akhir-akhir ini. Hadi mula nak tumbuh gigi. Sejak lahir (28 Febuari 2003), Hadi adalah bayi yang ceria, tidak cerewet dan mudah dijaga. Namun, nampaknya proses tumbuh gigi ini adalah tempoh percubaan pertama baginya. Tidak selesa, sakit menjadikan Hadi asyik menangis dan merengek. Susah nak tidur. Suhu badannya juga tinggi. Dia tidak mahu menyusu mahupun makan, asyik menjolok-jolok mulut dan mengunyah-ngunyah jari telunjuknya. Air liur juga asyik mengalir, habis basah kolar baju ( mengences - dalam istilah jawa). Kasihan saya melihatnya. Melihatkan kami lebih memberi perhatian pada Hadi, Aqilah (3 tahun) mula menunjukkan rasa cemburunya. Dia juga tidak kurang merengek, meminta itu dan ini, semata-mata menagih perhatian kami. Semalam saya mendapat resepi membuat cheese cake dari Kak Emma. Segugus ucapan terima kasih buat Kak Emma sebab memang dah terlalu lama saya teringin membuat kek keju sendiri! Ada saya sertakan resepinya di sini. Dan ada secebis kata dari e-mail Kak Emma: selamat mencuba, tapi kalau berat badan naik sampai 2, 3 kilo, jangan marahkan kak emma, ianya memang lemak dan fulfilling... hmmm.. kena cuba buat tu.. wassalam *********************************************************** 10 Januari 2004 (Sabtu) Jam 12.30 pagi Ramzi dan Aqmar ke rumah kami. Selepas makan tengahari bersama, sembahyang zuhur dan asar, kami ke ASDA, menaiki bas nombor 44 (Balerno). Tak jauh rupanya - sebelum ini ke ASDA menaiki Kia Karnival yg disewa. Seronok juga. Beli kasut sukan untuk Aqilah £4, diapers Hadi jenama ASDA £1.82 sebanyak 3 bungkus (20 keping sebungkus), bantal kecil Aqilah £1.82, cheese babybell dan mozarella £2.34 dan £1.28, bawang merah 2 bungkus (44 pens sebungkus) , kek blackforest £1.77 dan 2 ekor ikan Rainbow Trout £2.14. Semuanya berjumlah £19.69. Di ASDA juga ada menempatkan sebuah mesin automatik untuk menukar duit syiling kepada duit kertas (tak payah lah ke bank untuk tujuan itu). Ini kerana di sini terlalu banyak duit syiling, kalau kita di Malaysia, kita biasa dgn duit syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan 1 ringgit, disini ada syiling 1 pence, 2 pence, 5 pence, 10 pence, 20 pence, 50 pence dan 1 pound. Sampai sekarang saya masih belum dapat bezakan fizikal syiling-syiling tersebut jika melihat sekali imbas (terpaksa meneliti nilai nombor pada syliling!).. lantaran itu saya lebih suka guna duit kertas 5 pound (nilai yg paling rendah utk duit kertas) untuk tujuan membeli belah. Maka, banyaklah duit syiling dirumah kami! Nanti kunjungan kami ke ASDA akan datang akan kami bawakan duit-duit syiling itu untuk ditukarkan dengan wang kertas... Insya-Allah. wassalam ********************************************************** 9 Januari 2004 (Jumaat) Semalam kami mencuba "Yorkshire Pudding" segera. Dibeli dari Sommerfield, cuma bakar sahaja 20 minit, siaplah juadah itu. Saya tak tahu nak gandingkan Yorkshire Pudding dengan apa, maka saya menghidangkan "Custard" siap dalam tin yang juga dibeli di Sommerfield. Custard itu saya tuangkan dalam "lubang" Yorkshire Pudding. dapat bayangkan? Enak juga. Berselera Aqilah dan Hadi menjamu selera. Selepas Krismas ini juga kami baru mengenali "Trifle", dessert yang amat enak, sering dihidang semasa krismas. Mudah sebenarnya untuk membuatnya, sekadar selapisan agar (apa-apa perisa), selapisan kek span, selapisan Custard dan selapisan fresh cream. Sejukkan dan hidang. Emmm... sedap sekali.. Malam tadi saya menghidangkan suami "late night special supper" ( mengganti dinner) - semuanya dalam satu pinggan - semangkuk nasi goreng cina, kentang lecek + black pepper , roti dibakar dengan mentega dan goreng telur separuh masak. Berebut pula Aqilah dan Hadi turut nak makan sama (walau sebelum ini mereka dah dinner). p/s: seronok melihat anak-anak makan dengan selera. Satu kepuasan bagi seorang ibu... wassalam ********************************************************** 8 Januari 2004 (Khamis) Musim sejuk yang amat membosankan. Matahari lambat naik (8.44 pagi) dan cepat turun (3.51 ptg). Pendek sangat waktu siangnya. Kasihan melihat anak-anak kebosanan. Ibunya juga bosan sama. Nak keluar rumah kena pakai baju berlapis-lapis. Sejuk. Kalau keluar pun, bukan boleh bermain-main, mana ada car porch (walau kami di ground floor). Maklumlah rumah flat. Di UK, rumah flatnya ada pintu utama. Maksudnya, kena masuk pintu utama dahulu (masuk ke bahagian dalam bangunan yang gelap gelita ini - tiada tingkap) baru ke pintu rumah. Tingkap rumah kami mengadap ke back garden yang berumput. Tak nampak sebarang hidupan lain dari situ, melainkan dinding pagar batu dan tingkap jiran-jiran yang jauhnya lebih kurang 60 meter (flat lain). Tak nampak sebarang aktiviti manusia. Teringat dulu, di Malaysia, Aqilah main lari-lari di car porch, Hadi boleh duduk diwalker dan melihat kereta lalulalang di depan rumah... Malam hari memang sejuk. Saya telah membelikan Aqilah sut "baju winter" - dipakai waktu malam hari. Saya beli di Car Boot Sale dengan harga £2. Maklumlah, budak-budak, tidurnya lasak.. sedar-sedar dah terkeluar dari duvet yang tebal menyelubungi badan. Kasihan.. setiap malam kesejukan. Kalau kebetulan saya tersedar, baru boleh dibetulkan kedudukan duvetnya.. kalau tak sedar.. sampai pagilah dia tidur "mengerekot" menahan sejuk. Namun Alhamdulillah, setelah dipakaikan "baju winter" dia boleh tidur tanpa bantuan duvet.... wassalam *********************************************************** 7 Januari 2004 (Rabu) Kami buat sedikit eksperimen pada Hadi, bayi 10 bulan kami. Saja.. nak tahu keupayaannya. Beliau amat menggemari remote control TV Sky (warna kelabu dan bentuknya menarik) kami berbanding remote control TV biasa (warna hitam). Beliau sanggup merangkak laju-laju semata-mata mengejar remote kelabu jika ia diletakkan dilantai. Jika kami suruh Hadi memilih antara keduanya, beliau pasti memilih remote control kelabu tersebut (walau kami menukar lokasi remote control itu dari tangan kiri ke kanan). Kami tukar pula pilihan antara botol air mineral dan remote hitam, beliau memilih remote hitam. Begini turutan eksperimennya menurut langkah: 1. Antara remote kelabu dan remote hitam - pilihan : remote kelabu 2. Antara remote hitam dan botol air mineral - pilihan : remote hitam 3. Antara remote hitam dan remote kelabu - pilihan: remote kelabu 4. Antara remote kelabu dan rod mainan warna hijau - pilihan: remote kelabu 5. Antara remote hitam dan rod mainan warna hijau - pilihan: remote hitam 6. Antara botol air mineral dan rod mainan warna hijau - pilihan: rod mainan warna hijau. 7. Antara kesemuanya - pilihan : remote kelabu! KESIMPULANNYA: Hadi amat menggemari remote control , secara spesifiknya, yang berwarna kelabu! wassalam ********************************************************** 6 Januari 2004 (Selasa) Baru tadi saya menonton rancangan "Real Room" di Channel UK Style, iaitu sebuah rancangan yang seperti "Casa Impian" di TV Astro Ria, mengubahsuai interior design ruang rumah. Banyak rancangan sedemikian di sini. Antaranya House Doctor, House Invaders, Changing Room , Trading Up dll. Rata-ratanya berada di Channel UK Ideas, UK Style, UK Style+1, Living TV, Living TV+1. Kami melanggan TV Sky (seperti ASTRO) di bawah kendalian Telewest Broadband yang memerlukan bayaran £33 setiap bulan, termasuk line telefon. Bererti banyaklah sikit channel yang boleh ditonton selain 4 Channel utama iaitu BBC One, Two, Three dan Four. Bukan interior design sahaja, ada juga rancangan untuk ubah suaian taman-taman di luar rumah. Bukan apa, seronok melihat kepakaran menghias rumah, hingga terhasil satu persekitaran yang amat indah dipandang mata. Boleh juga mengutip sedikit maklumat DIY (Do It Yourself) seperti jenis-jenis cat yang boleh digunakan untuk permukaan berbeza, fabrik yang sesuai dan praktikal, dll. Bolehlah dipraktikkan balik Malaysia nanti walaupun saya ni kurang kreatif dalam menghias!. Wassalam ********************************************************** 5 Januari 2004 (Isnin) Suami "pulun" buat assignmentnya hari ini di rumah. Alhamdulillah anak-anak tidak meragam. Tadi saya membuat appoinment dgn Springwell Medical Centre untuk suntikan imunisasi Hib Booster buat Hadi (minggu lepas kami ada menerima surat dari NHS - UK National Health Services agar membuat appoinment bagi tujuan itu ). Penyakit Hib selalunya boleh menyebabkan meningitis (jangkitan pada saraf tunjang dan membawa kelumpuhan otak dan kematian), terutama di kalangan kanak-kanak bawah 4 tahun. Di Malaysia juga, imunisasi Hib baru diperkenalkan dan Hadi telah pun menerima suntikan pertama, kedua dan ketiganya. Menurut Program Imunisasi Malaysia, Hadi hanya akan menerima imunisasi Hib Booster lagi setahun. Nampaknya saya harus berbincang dengan Doktor di Springwell Medical Centre perihal itu. Aqilah pula belum pernah menerima suntikan immunisasi Hib sebelum ini (beliau lahir pada tahun 2000). Itu juga perlu dibincangkan dengan Doktor. wassalam ********************************************************* 3 Januari 2004 (Sabtu) Setelah beberapa kali niat untuk berkunjung belum kesampaian, hari ini kami sekeluarga berkesempatan berkunjung ke rumah Abg Bad dan Kak Fiza di Murriston Place. Merekalah jiran melayu yang paling dekat dengan kami! Segan terasa apabila Kak Fiza bersusah payah memasak pelbagai makanan ala-barat. Maklumlah, kami baru tiba UK, banyak masakan barat yang belum dirasa. Sesampai UK dulu kami menumpang di rumah Abg Rosli dan Kak Ijan di Westerhailes selama lebih kurang 2 minggu. Kak Ijan juga seorang yang rajin memasak. Dan hasilnya sedap pula tu! Macam-macam makanan berani dicubanya. Di sini, setiap makanan dalam pek yang dibeli pasti ada menyatakan Ingredients dan Nutritional Information mengenainya. Ingredients nya lengkap dan teliti. Seandainya menggunakan bahan pengawet atau bahan pengemulsi, pasti dinyatakan nama kimianya dan kod bahan itu dengan jelas. Itu yang memudahkan kami mengenalpasti bahan-bahan yang boleh atau tidak dimakan. Sementara Nutritional Information pula memaparkan kandungan profil zat makanan yang ada didalamnya, seperti berapa banyak kandungan tenaga yang terhasil, protein, karbohidrat, lemak, dan apa-apa vitamin yang ada padanya. Lengkap sekali. Berinformasi terutama untuk membantu kita memilih makanan seimbang. Mungkin (atau pastinya) setiap produk di UK ini telah dianalisa dahulu di makmal pemakanan sebelum dipasarkan. Nampaknya di Malaysia belum ada akta yang seteliti demikian. Harapnya, mungkin akan datang kita akan menjadi begitu... wassalam ********************************************************* 2 Januari 2004 (Jumaat) Dah lama kami tak makan cili merah. Di sini selalu beli cili padi dan cili benggala (yang gemuk besar tu). Ada cili kering, tapi tak dpt nak kisar sebab blender rosak. Tak berbaloi pula nak perbaiki kerana kami beli dgn harga £7 sahaja di kedai cash generator (yang menjual barang-barang reject dari kilang dan telah diperbaiki) . Tiada surat warranty. Dengarnya di sini caj membaiki lebih mahal (kerana di claim sebagai kidmat professional). Lebih baik beli yang lain, dan kali ini, saya akan membei yang ada warranty, semestinya.. Ada sedikit maklumat saintifik berkenaan cili merah yang saya hendak kongsikan. Nama saintifinya ialah Capsicum Fructescen. Bahan aktif dalam cili dinamakan Capsaicin . Bahan inilah yang memberikan rasa pedas. Pernahkan anda melihat "Koyok" atau Plaster dengan Capsaicin sebagai kandungan ubatannya? Capsaicin ada banyak potensi dalam bidang perubatan. Sebagai Bahan Antioksidan, Bahan Analgesik dan lain-lain. Silalah Klik pada Capsaicin di atas untuk maklumat lanjut! wassalam ********************************************************* 1 Jauari 2004 (Khamis) Sejuk hari ini. Malam tadi kami menyaksikan sedikit sambutan tahun baru di Edinburgh (melalui kaca TV). Macam biasalah, ada lagu-lagu, jeritan happy new year, main bunga api.. (macam di Malaysia juga).. tapi, hakikatnya... orang putih ni ramainya orang kafir.. kalau di Malaysia? Kami sekeluarga bangun tidur jam 10.00 pagi (melampau tu). Lepas subuh, tidur semula. Hari ini matahari keluar jam 8. 41 pagi! Keadaan yang sejuk, menyebabkan semuanya terasa lemah dan lesu. Lebih senang bermalas-malasan di bawah Duvet tebal. Duvet ini ada bermacam TOG nya. Dan setiap TOG dipakai pada musim-musim berbeza. Ada 4.5 , 7.5, 9.0, 10.5, 12.0, 13.5, dan 15.0. Bererti, lebih besar nilai TOG, lebih haba yang boleh disimpan dalam Duvet tu (macam lebih tebal lah..). Nampaknya kalau musim panas nanti kenalah pakai Duvet yang ber TOG rendah. Hari ini suami nak ke Sommerfield (pasaraya yg dekat dgn rumah). Tapi malangnya tutup (tahun baru).. lantas beliau ke kedai siam di hujung Dalry Road ni. Beli frozen "catfish" (ikan keli) dari siam! £6.50 untuk 6 ekor, Alhamdulillah, dapatlah kami makan ikan keli masak cabai.. macam di kampung halaman. wassalam *********************************************************
|