laman ixora(kembali ke laman utama)

arkib Februari 2004

28 Februari 2004 / 7 Muharram 1425 (Sabtu)

AJMAL HADI DAH SETAHUN

Setahun yang lalu, Jumaat... pada pagi tarikh ini saya mengandung 38 minggu. Dah terasa sengal-sengal, perut pun dah turun semacam, namun belum ada tanda hendak bersalin. Semalamnya saya masih menjaga ujian bulanan di Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak. Terpaksa turun naik bangunan 4 tingkat, dah ambil kertas ujian untuk diagihkan, sesampai di kelas yang berada di tingkat 4, baru terperasan saya tersalah ambil! Terpaksalah bergegas (dengan perut yang memboyot) turun tangga semula, ambil kertas di tingkat 2 dan naik dgn cepat (sbb ujian dah nak bermula). Termengah-mengah. Memang betullah orang kata turun naik tangga adalah senaman yang baik untuk mempercepat dan memudahkan saat bersalin. Petangnya saya buat pemeriksaan perubatan rutin bagi ibu mengandung, Dr Habibah (PUSRAWI) mengatakan dah boleh masuk wad, malam ini atau esok boleh bersalin! Tak rasa sakit pun..! Hinggalah tengahari 28 Februari 2003, jam 12.54 Hadi selamat dilahirkan secara normal, ditemani oleh ayahnya (sempat tunggu sebelum sembahyang Jumat).

Siang tadi cuaca amat cantik. Matahari memancar cerah, namun suhu masih rendah. Sejuk. Kami mengadakan sedikit jamuan hari lahir Hadi. Meriah sekali. Ramai kenalan yang datang. Saya masak mee sup ayam, makaroni daging bakar, beli kek-kek di Somerfield dan jelly. Hingga malam, sampai 3 keluarga berkumpul di rumah kami. Dengan jumlah kanak-kanak seramai 11 orang dalam rumah satu bilik, satu ruang tamu ini, tentu gamat jadinya. Seronok sungguh Aqilah. Hadi gembira di waktu siang, namun menjelang malan, akibat kepenatan, dia mula meragam.

Selamat Hari Lahir, anakku.. semoga menjadi anak yang soleh, Insya-Allah

wassalam

*************************************************************

27 Februari 2004 / 6 Muharram 1425 (Jumaat)

HAI.. MINYAK WANGI

Suami membelikan saya pewangi jenama Jean Paul Caultter Classique. Inilah kali pertama saya memiliki pewangi serupa itu. Pelik juga bila melihat beliau bawa balik satu tin aluminium, macam tin susu cap junjung atau tin nenas! Harus dibuka dengan cermat, rupanya di dalamnya ada botol kaca ekslusif dengan haruman.. yang aduh.. cukup mempesona. Rupa-rupanya ada cerita yang agak menyentuh dan mencuit hati disebalik pembelian itu.. begini ceritanya,

Seperti yang pernah saya sebutkan, Princess Street adalah jalan utama di Edinburgh. Di Princess Street jugalah adanya pelbagai pasaraya barangan mewah (yang semestinya tidak pernah kami masuk mahupun membeli belah di situ) seperti Next, Marks and Spencer, BHS (British Home Store) dll. Salah satu daripadanya ialah Freser. Memang ekslusif dan harga barangannya juga, amboi mahal. Dengan niat nak membelikan saya hadiah, suami masuk ke dalam Freser dengan pakaian biasa jeans, jaket hitam dan topi serkup - yang pastinya langsung tak nampak macam orang kaya - kami beli pakaian pun di Car Boot Sale! Pengawal keselamatan Freser asyik memerhatikannya dengan curiga dan mengekori suami ke mana beliau pergi. Dengan selambanya beliau pun ke lokasi pewangi, terus aje beli yang mana berkenan, lalu bertukar tanganlah pewangi yang berharga £37.00 itu. Kira mahal tu (dari perspektif kami, yang berpendapatan biasiswa sebagai sara hidup) katanya jika di Malaysia pewangi serupa itu berharga mencecah RM 300. Entahlah, saya pun tak tahu. Manalah pernah pakai pewangi mahal-mahal. Yang paling luar biasa pun dari butik Avon aje. Diusik oleh Lan, katanya "amboi.. bapak Jennifer Lopez pun tak pakai minyak wangi ni!".

Tadi berbual panjang dengan mak. Saja nak melepas rindu. Macam-macam yang diperkatakan - perihal cucu-cucunya (beliau dah rindu sangat pada cucunya), suhu sejuk malam ini -3 darjah, pasal perkahwinan adik bongsu saya dan lain-lain. Esok 28 Februari adalah tarikh lahir Hadi. Berumur 1 tahun, dah macam-macam perkara yang dia tahu. Sekarang ni tengah cuba seimbangkan diri di atas tilam katil, sambil menggoyang-goyangkan badan tanpa memegang dinding. Susah nak pujuk untuk ajak tidur, sebab bila naik atas katil, cepat-cepat dia bergolek untuk berdiri!

Menunggu saat Hadi mula berjalan sendiri....

wassalam

*************************************************************

26 Februari 2004 / 5 Muharram 1425 (Khamis)

BUKUKU SAYANG

Semalam saya menerima sekotak buku yang dihantar terus ke rumah. Buku masakan! Seronok tak terkata, kerana buku-buku itu dibeli secara online oleh suami, dari Guild House, sebuah syarikat menjual buku secara online dengan harga yang amat berpatutan. Selama ini suami selalu memesan buku-bukunya, kali ini kami memesan buku-buku masakan, beli 4 buku dapat 1 percuma, semuanya cuma £12.48! Bukunya bertajuk

  1. The River Cottage Year (sebuah rancangan memasak di TV)
  2. Ainsley Harriott's new meals in minute (sebuah rancangan memasak)
  3. The Breadmaker Bible
  4. Proof of the Pudding
  5. Jamie's Kitchen (percuma) - juga ada siri rancangan memasak

Semuanya adalah dalam "Hard Cover"! Cantik sekali. Di UK memang banyak kelab-kelab buku online yang menawarkan buku-buku dengan harga diskaun. Contohnya, buku The River Cottage Year sepatutnya berharga £17.99, buku Ainsley Harriott's new meals in minute £14.99, The Breadmaker Bible £16.99, Proof of the Pudding £18.99 (semua harga sebenar ada tertera pada kulit buku). Namun saya telah membeli kesemua buku itu hanya dengan harga £12.48! Harus menjadi ahli kelab, dan kita akan mendapat kemudahan diskaun tersebut. Tidak perlu membeli setiap bulan. Hanya beli jika kita mahu, itu yang menariknya tu, tiada sebarang ikatan.

Nampaknya bertambah lagi koleksi buku kami. Di Malaysia saja, sudah ada 400 buah buku (yang diwartakan sebagai Khutub Khanah Ibnu Has-Yun). Semasa nak mengosongkan rumah untuk ke UK dulu, berkotak-kotak besar buku yang telah dikemas dan disimpan di kampung Kangar, Perlis. Boleh dikatakan suami saya Bibliomania / Bibiliofilik (Gila buku, Cinta buku). Dan Hadi pula Bibliofagia (Pemakan buku)- kerana suka makan kertas! Saya dan Aqilah, neutral.. sekarang ni agak susah untuk membaca kalau Hadi tidak tidur, dia akan cuba mengambil apa-apa buku atau majalah yang sedang dibaca. Apa yang diharapkannya ialah saya turut bermain bersama mainannya!

wassalam

*************************************************************

25 Februari 2004 / 4 Muharram 1425 (Rabu)

EDINBURGH, SCOTLAND

Yazmeen, salah seorang pembaca laman Ixora merupakan bekas pelajar Edinburgh University. Untuk pengetahuan semua, di Edinburgh ada 3 Universiti iaitu Edinburgh University, Hariot-Watt University dan Napier University. Edinburgh adalah ibu negeri Scotland. United Kingdom terdiri dari 4 kingdom utama iaitu England, Wales, Scotland dan Ireland. Lantaran itu Scotland adalah kingdom tersendiri, dgn raja dan queen tersendiri suatu masa lalu sebelum bergabung dengan kingdom-kingdom lain membentuk United Kingdom. Hmm.. itu antara yang telah diceritakan oleh Lan, kenalan yang banyak beri maklumat.

Betul tu, Yazmeen, seronok berjalan-jalan di Princess Street, jalan utama di Edinburgh ni. Kalau nak tahu, keadaan Princess Street sekarang sama saja dengan lebih 100 tahun dahulu. Tiada sebarang perubahan - tiada pembesaran jalan, tiada robohan bangunan. Semuanya gah sama seperti zaman dulu. Lantaran itu saya selalu bayangkan, betapa mereka telah maju dari segi kejuruteraan sejak dahulu lagi. Agaknya sebab cuaca yang melampau di sini menebabkan mereka lebih kreatif untuk hidup. Dalam buku Scottish Inventors sendiri ada mendedahkan rupa-rupanya banyak penciptaan baru (terutama dalam kejuruteraan sivil, perusahaan berat) telah ditemui oleh orang-orang Scotland.

Saya selalu terfikir, bagaimanakah agaknya orang-orang dahulukala hidup disini. Dengan adanya musim luruh dan musim dingin, hanya dipanaskan oleh bahang api, semasa belum ada kuasa elektrik. Memang sejuk, terlalu sejuk. Mereka terpaksa lebih survive. Bersyukurnya kita di Malaysia, walau 'agak' panas dewasa ini, kita adalah lokasi yang paling bertuah, dalam 24 jam sehari semalam, terbahagi elok 12 jam siang dan 12 jam malam. Bukan seperti di sini, waktu musim sejuk malam lebih panjang (jam 3 ptg dah gelap gelita), waktu musim panas pula hingga jam 10 malam matahari masih memancar!

p/s: Kadang-kadang kita jarang bersyukur dengan apa yang dimiliki....

wassalam

*************************************************************

 

24 Februari 2004 / 3 Muharram 1425 (Selasa)

BULAN PANCAKE UK?

Salam Maal Hijrah buat pembaca laman Ixora ini. Patutlah sehari dua ni terasa sejuk yang amat sangat, hingga seharian memasang heater, rupa-rupanya tengahari tadi turunnya hujan ais, nampak macam sajli, tetapi besar dan membulat, tak ubah seperti butiran polisterin putih. Lebat dan amat laju turun menyimbah bumi Edinburgh.

Sebelum itu saya telah berjanji dengan Aqilah untuk ke pasaraya Somerfield, membeli limau. Dia sedang menggemari limau pula sekarang ni. Aqilah pantang dijanji. Akan dituntut hingga dapat! Malah, dia boleh ingat segala janji walaupun yang dah seminggu dibuat! Selalunya kami terpaksa mengalah kerana tak tahan dengan rengekan, desakan dan tangisannya.. tapi hari ini, melihatkan hujan ais yang begitu lebat, dia terpegun. Berkali-kali saya katakan, tak boleh keluar rumah, takut sakit ditimpa ais, dan Alhamdulillah dia percaya. Saya katakan padanya, jika esok tak hujan ais kita ke Somerfield, dia setuju..

Saya pun tak tahu mengapa, namun di sini nampaknya sedang sibuk dengan Pancake. Promosi di majalah, di rancangan kanak-kanak, rancangan masakan, banyak menyentuh cara buat Pancake. Agaknya ada bulan Pancake ke di UK ni? Soal saya sendirian. Hampir 3 hari juga saya buat Pancake untuk sarapan, di atas permintaan Aqilah. Dialah yang suka membuat adunan pancake tersebut. Suami mengatakan ianya lempeng.. saya kuat mengatakan ianya Pancake..(kerana kami berada di UK).. orang kata masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Kerana resepi Pancake adalah seperti resepi lempeng kita di Malaysia! Beliau suka makan 'lempeng' itu dengan sardin atau sambal ikan bilis. Namun di sini mereka makan pancake dengan gula atau madu atau jam setelah diperah lemon di atasnya. Sebenarnya pancake itu boleh dimakan dengan pelbagai cara. Saya ada sertakan resepi bernama "Spinach & Ricotta Pancakes" di laman ini. Resepi itu saya ambil dari majalah bulanan Somerfield yang diedarkan secara percuma.

Selamat mencuba!

Wassalam

*************************************************************

 

20 Februari 2004 / 29 Zulhijjah 1424 (Jumaat)

KAK YATI OH KAK YATI...

Terasa lama sungguh tak bercatatan dengan panjang lebar. Entah mengapa anak-anak cukup cemburu kalau saya berlama-lama depan komputer nan satu ni. Macam-macamlah kehendaknya semata-mata menagih perhatian. Tak dapat nak concentrate. Yang nak menangis, yang bergaduh, yang gatal-gatal, yang sakit-sakit, yang nak makan, yang nak minum, dan lain-lain (padahal cuma 2 orang budak aje ni!). Tak dapat bayangkan kalau dah 4 atau 5 budak umur-umur sebegini yang harus dijaga dalam satu-satu masa.

Namun saya cukup kagum pada Kak Yati, pengasuh anak-anak semasa di Malaysia dulu. Cukup baik, cermat, ringkas dan tangkas orangnya. Beliau sendiri menpunyai 5 orang anak ( 3 daripadanya dah bersekolah rendah, seorang tadika dan seorang berumur 2 tahun), mengasuh 5 orang anak orang lain (Aqilah - 2 tahun (masa itu), Hadi - 3 bulan , Alia dan kakaknya- 1 dan 4 tahun serta Misya - 10 bulan). Kak Yati pula sedang sarat mengandung anak ke-6. Dia sentiasa sihat, kuat dan sentiasa tersenyum. Alhamdulillah dia dapat melayan kesemua kanak-kanak itu dengan jayanya hingga kadang-kadang turut membantu memotong kuku dan rambut Aqilah dan Hadi. Saya menghantar anak ke rumahnya seawal 7.00 pagi dan ambil semula pada jam 3 petang. Rumahnya lot tepi, ada kawasan lapang untuk bermain, anak saya terjaga rapi, bersih dan gembira. Saya sendiri tak dapat bayangkan bagaimana dia sempat mengemas rumah, memasak, mengasuh kanak-kanak yang ramai dalam satu-satu masa. Hingga kini Aqilah sering teringat "Ibu Yati" nya dan kawan-kawan sepermainan. Best main kat rumah Ibu Yati, katanya.

Rindu pada Malaysia, pada kenalan-kenalan di Johor Bahru, Selayang dan Gombak...

wassalam

*************************************************************

19 Februari 2004 / 28 Zulhijjah 1424 (Khamis)

MENUNGGU SPRING

Diam tak diam tak lama lagi nak masuk 1 Muharram 1425. Sekarang juga hampir nak berakhir musim sejuk (winter). Insya-Allah akhir bulan depan bermulalah musim bunga (spring) pula. Diluar sana juga telah banyak tumbuh pokok "snow drop", daunnya seperti daun pokok bawang. Ubinya juga seperti bawang besar. Mula-mula dulu kami ingatkan jiran-jiran di sini menanam bawang. Rupanya ia adalah pokok bunga! Pokok yang tumbuh meliar, menandakan akan berakhirnya musim sejuk, bermulanya musim bunga. Bunganya nanti berwarna kuning. Sekarang belum berbunga lagi.

Matahari juga memancar dengan terangnya. Banyak sekali cahaya masuk ke dalam rumah. Alhamdulillah, seronok sikit. Dahulu masa musim sejuk muram sungguh. Gelap selalu. Di rumah pun dah tak kerap pasang heater. Dah terasa selesa sikit. Alhamdulillah..

wassalam

*************************************************************

18 Februari 2004 / 27 Zulhijjah 1424 (Rabu)

BERSALIN LAGI..

Hari ini dapat lagi satu berita gembira. Liza, isteri Lan pula selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.90 kg. Seronok sungguh Aqilah." Semalam tengok baby girl, nanti kita tengok baby boy pula ye ibu", ujarnya. Dia memang bijak berkata-kata. Seawal usia 11 bulan dia sudah tahu meniru bunyi beberapa haiwan. Bunyi ayam macam mana, Aqilah akan berkokok. Bunyi kucing macam mana, dia akan mengiow dan lain-lain lagi. Di usia 1 tahun, dia sudah pandai mengajuk mimik muka, sebut saja muka sedih macam mana, dia akan menyedihkan muka, marah, gembira, sakit, geram, mengantuk dll.. sekarang, diusia 3 tahun lebih-lebihlah lagi. Berkata-kata macam orang dewasa, selagi tak tidur, selagi itulah mulutnya "berkicau"!

Teringat cerita Aqmar berkenaan 2 ibu British yang baru melahirkan anak, bersebelahan katilnya di hospital. Walau baru saja melahirkan, ibu-ibu tersebut terus merokok di luar bilik. Aqmar diminta menolong menjaga bayinya! Lebih terkejut besar lagi bila dilihat mereka minum sejag besar air coke berais! Dan duduk bersila! Mungkin ibu-ibu yang pernah melahirkan dapat bayangkan, terasa bagai tak logiknya untuk bersila sejurus selepas melahirkan. Sememangnya mereka agresif. Mungkin sebab itu jugalah bayi-bayi mereka agresif dan tahan lasak. Agaknya mengucap panjang orang-orang tua kita kalau mendengar minum coke berais selepas besalin!

wassalam

*************************************************************

17 Februari 2004 / 26 Zulhijjah 1424 (Selasa)

BERSALIN DI PERANTAUAN

Alhamdulillah saya bertambah sihat. Cuma Hadi yang semakin lasak dan bijak, maka bertambah jugalah kerja-kerja saya sebagai suri rumahtangga. Hadi sudah mula hendak berjalan. Berdiri seimbangkan badan sambil menepuk-nepuk tangan, mula pandai menjerit nyaring jika kehendaknya tidak terlaksana, sibuk "mengemas rumah". Lantaran itulah lama sungguh tak bercatatan. Terima kasih pada Kak Lela diatas perhatiannya..

Hari ini kami melawat Aqmar yang telah 5 hari melahirkan anak sulungnya di Royal Infirmary Hospital. Dia sudah dibenarkan pulang ke rumah. Melahirkan anak sulung diperantauan, sesungguhnya memerlukan ketabahan dan semangat kuat suami-isteri. Rasanya pada ketika ini cinta diuji. Melihat kesetiaan Ramzi menjaga Aqmar yang dalam pantang (termasuk makan, minum, rawatan selepas bersalin), melayan bayi, walau penat belajar dan bekerja, membuatkan saya sedikit terharu. Bukan suami saya tidak setia melayan saya dan bayi semasa saya melahirkan (malahan suami pandai membersih dan menukar lampin bayi), cuma beruntung kerana masih ada mak dan ibu mertua turut meramaikan dan meringankan beban.

Seronok bersalin di sini. Dilayan bagai Tuan puteri, luah Aqmar ( memang itu juga yg diperkatakan oleh mereka yang pernah melahirkan anak di UK). Bilik dan wad bersalin yang cantik, besar dan bersih, perkhidmatan yang amat memuaskan hati (mungkin pengalaman bersalin di UK boleh diceritakan oleh Inaz di London yang telah selamat melahirkan puterinya - anak kedua). Segugus tahniah juga buat Inaz, kenalan siber saya...

wassalam

*************************************************************

13 Februari 2004 / 22 Zulhijjah 1424 (Jumaat)

SEMAKIN SIHAT

Alhamdulillah, saya bertambah sihat. Rasa bisa-bisa sudah hampir hilang. Disamping menggunakan daun kubis, saya sapukan juga air asam jawa (mujur ada jual asam jawa di UK sekarang ni). Hadi pula semakin tambah akal dan lasak. Sudah tahu memprotes jika tak diikutkan kemahuannya. Bersuara nyaring bila menjerit marah. Sudah boleh berdiri lepas tangan, cuma belum berani untuk menapak ke depan. Hujung bulan ni Insya-Allah usianya genap 1 tahun. Sekejap sungguh masa berlalu. Terasa macam baru sebentar tadi saya melahirkannya, di PUSRAWI, Jalan Ipoh. Masih terbayang saat-saat perut memboyot, berat membawa diri. Diam tak diam bayi sudah menjadi kanak-kanak. Sedikit masa lagi kanak-kanak menjadi remaja, kemudian dewasa. Itulah hakikat kehidupan. Yang utama, ilmu keibubapaan perlu sentiasa ditokok tambah selari dengan lajunya perjalanan masa.

Ada berita gembira hari ini. Aqmar, seorang sahabat telah melahirkan bayi pertamanya malam tadi ( 11 malam) di Royal Infirmary Hospital. Bayi perempuan seberat 3.46 itu selamat dilahirkan secara normal, walau lewat 2 minggu dari tarikh yang dijangka.

wassalam

*************************************************************

12 Februari 2004 / 21 Zulhijjah 1424 (Khamis)

MASTITIS

Beberapa hari saya tidak bercatatan. Demam. Orang tua kata demam susu. Hadi 100% menyusu badan. Entah macamana berlaku ketidakseimbangan dalam pemberian susu, saya alami demam susu. Seram sejuk, suhu tinggi (demam panas), pening kepala, rasa sakit otot-otot dan urat saraf. Kalau tak silap saya dalam istilah perubatan dipanggil mastitis dan memerlukan antibiotik (kerana diakibatkan oleh infeksi bakteria). Untuk mendapatkan antibiotik, perlu ada preskripsi dari doktor (general practitioner). Leceh sungguh prosedur general practitioner (GP). Kena buat temujanji dahulu. Suami menelefon semalam, namun tarikh yang ditetapkan adalah selasa minggu depan! Ini yang lecehnya ni, di UK, tak habis-habis dgn appoinment, hingga nak potong rambut pun kena appoinment!

Saya pun menelefon mak di Batu Pahat, Johor, bertanyakan rawatan tradisional. Mak kata letak kepingan daun kubis, untuk menyejukkan. Memang itulah rawatan turun temurun, yang dipakai oleh orang-orang tua kita sejak dahulu kala. Dalam pada itu saya talefon juga Kak Ijan di Westerhailes meminta pendapat. Rupanya, midwives (bidan) di sini pun memperkatakan rawatan yg sama.(Kak Ijan melahirkan anak pertama dan ketiganya di sini). Ingatkan petua tu hanya digunapakai di Asia Tenggara saja! Alhamdulillah, setelah mencuba, saya semakin pulih.

Itulah khasiat Green Cabbage..bezanya, kubis di sini amat keras berbanding kubis di Malaysia. Mungkin ada active ingredients yang spesifik di dalamnya.. boleh dibuat kajian lebih mendalam..

Wassalam

************************************************************

9 Febuari 2004/ 18 Zulhijjah 1424 (Isnin)

KHUTUB KHANAH IBNU HAS-YUN

Menjawab persoalan Habibah dalam guestbook saya berkenaan Khutub Khanah Ibnu Has-Yun (KKIH), KKIH diwujudkan oleh suami saya, bermatlamat seperti perpustakaan maya. Apa-apa yang berkaitan dengan buku bolehlah dihubungkan dgn KKIH. Bukan semestinya heavy reading saja. Malahan baru-baru ini KKIH menganjurkan BACA BESAR, program mencari 100 buku paling popular di Malaysia, kesinambungan pada program BIG READ anjuran BBC di UK ni. (sebabnya, kami lihat BIG READ tu memainkan peranan yang besar dalam revolusi pembentukan budaya membaca dlm masyarakat). Bezanya, BIG READ adalah program yang dibuat besar-besaran, banyak penaja, sebaliknya BACA BESAR hanya anjuran KKIH dan Kelab Buku Geng Jurnal secara peribadi, untuk rakyat Malaysia. Siapa-siapa pun boleh mencadangkan dan mengundi di situ.

Dalam BIG READ, buku Lord of the Ring telah memenangi undian terbanyak dan sekaligus dinobatkan sebagai buku paling popular di UK. Program yang dianjurkan amat menarik dan tidak membosankan (kerana masih ramai yang beranggapan membaca adalah sesuatu yang membosankan).

wassalam

************************************************************

8 Febuari 2004/ 17 Zulhijjah 1424 (Ahad)

SALJI DI EDINBURGH

Semalam (Sabtu) kami ke rumah Lan dan Liza di Hermiston. Menikmati sup daging kambing (kambing raya qurban) panas. Abg Lan dan Kak Saba, Abg Bad dan Kak Fiza turut dijemput (termasuk kami, semuanya merupakan keluarga melayu yang tinggal di Dalry). Sekenyang-kenyangnya saya makan. Sampai pening lalat dibuatnya. Lebat pula hujan salji hari itu. Selesai makan, kami buat sessi fotografi pula dibawah deraian hujan salji (kalau hujan air mesti habis basah kuyup ni!). Rumah Lan dan Liza merupakan sebuah cottage kecil yang dibina pada tahun 1874 (Sudah berusia 100 tahun). Berdekatan dengannya pula rumah landlord nya yang merupakan sebuah banglo besar berusia 300 tahun! Masih utuh dan gah. Memang cantik, keadaannya masih seperti sebuah perkampungan Inggeris dahulu kala. Seronok sungguh bergambar sakan! Sedangkan Hadi dan Aqilah tertidur dengan nyenyaknya dalam rumah. Apa yang paling menggelikan hati ialah perlakuan tuan rumah, Lan yang hanya memakai T-Shirt putih nipis dan berkain pelikat dalam hujan salji! Mungkin badannya yg besar adalah bonus yg membuatkannya tahan sejuk!

Pada malam hari kami menerima kunjungan Ali, Kak Lin, Prof. Mansur dan isterinya dari London. Saya pula memasak kari daging lembu (lembu raya qurban) untuk mereka. Dapat dodol dan beberapa rempah ratus dari Malaysia pemberian mak cik (isteri Prof Mansur). Seronok Aqilah, inilah kali pertama jumpa dan makan dodol! Sedapnya.. berkali-kali dia mengulang frasa tersebut. Nak tergelak saya mendengar.

Kami keluar ke Car Boot Sale di Waverly hari ini. Terasa lama sungguh tidak ke sana. Beli banyak baju untuk Aqilah. Biasalah, harga di Car Boot Sale, hanya beberapa pence saje untuk 1 baju. Akibatnya, dengan hanya 5 pound, saya dapat banyak sekali himpunan baju dan seluar untuk Aqilah.

wassalam

************************************************************

5 Febuari 2004 / 14 Zulhijjah 1424 (Khamis)

Agak susah sikit untuk menulis sekarang ni. Suami sedang sibuk buat assingmentnya. Komputer nan satu ini jadi rebutan. Disamping Hadi yang semakin cepat dan lasak bermain. Banyak masa dihabiskan dengan melayannya. Dia dan Aqilah begitu cemburu melihat saya dengan komputer.

Maghrib tadi tiba-tiba kedengaran bunyi gemuruh yang kuat di langit. Bimbang juga saya dibuatnya. Tinggal kami tiga beranak saja di rumah waktu itu. Nak kata guruh bukan juga, nak kata deruan pesawat bukan juga. Akhirnya bunyi seperti batu halus menghentam cermin tingkap rumah. Mula-mula perlahan, lama-lama semakin kerap. Dalan remang senja saya menghendap ke luar jendela. Hujan ais! Bukan sajli, tetapi ketulan-ketulan ais sebesar titisan air hujan begitu lebat menghentam cermin rumah. Kelihatan memutih lantai di taman belakang rumah dek titisan ais. Lebat sungguh hujan ais tersebut. Agaknya kalau berada di luar rumah ketika itu, sakit juga kepala dihentam jutaan titisan ais! Kemudian barulah saya mendengar bunyi guruh dan kilauan kilat memancar. Subhanallah, besar kuasa Allah.

wassalam

***********************************************************

4 Febuari 2004/13 Zulhijjah 1424 (Rabu)

Di rumah saya terlalu banyak buku. Buku. Buku dan buku. Kerana suami saya sesungguhnya pencinta buku. Di UK saja, walau baru 4 bulan berada di sini, kami sudah banyak buku (lebih-lebih lagi memandangkan harga buku yang murah dalam pound). Jemputlah ke laman web Khutub Khanah Ibnu Has-Yun, sebuah laman yang dibuat khas oleh beliau untuk memartabatkan nilai buku di mata masyarakat Malaysia.

Sekarang ni keadaan tidak sesejuk sebelum ini. Mungkin salji tak akan turun lagi. Tapi apa yang pernah diketengahkan oleh Kak Lela berkenaan Sindrom Winter memang benar. Keadaan yang sejuk dan jangkawaktu siang lebih pendek dari malam (hari cepat gelap) disamping mendung walau waktu siang menyebabkan jam biologi kita berubah, juga boleh menyebabkan kebosanan, kemurungan dan kemalasan yang melampau. Kadang-kadang saya merasa demikian, lebih-lebih lagi jika 2 minggu tak keluar dari rumah. Mahu tak mahu, mesti sekurang-kurangnya berjalan-jalan, hirup udara luar rumah.

wassalam

************************************************************

3 Febuari 2004/ 12 Zulhijjah 1424 (Selasa)

Selamat Hari Raya Aidiladha.. lama saya tak menulis. Hari raya di Edinburgh, macam biasa. Ada pertemuan di Dewan Inch Community, Liberton. Oleh kerana Hadi dan Aqilah batuk dan semacam kurang sihat, kami tidak ke sana. Lan dan Liza datang ke rumah, sama-sama masak lontong dan mee hailam. Tidak kedengaran takbir raya nan mendayu-dayu. Saat begini teringat Malaysia tercinta.

Petang tadi saya menonton rancangan rencana Baby Doctors, berkenaan pasangan suami isteri yang belum dikurniakan cahayamata dan terlalu ingin untuk memperolehinya, melalui cara IVF (InVitro Fertilization) - kaedah bayi tabung uji. Saya hampir menitiskan air mata melihatkan kesungguhan dan tingginya harapan mereka untuk mengandungkan anak sendiri, hingga sanggup bersusah payah, melalui pelbagai rintangan, berhabis duit semata-mata untuk tujuan itu. Proses-proses yang harus dilalui bukannya mudah.

Lantaran itu bersyukurlah dengan anak-anak sebagai hadih dan amanah yang amat besar yang Allah anugerahkan buat kita.., Insya-Allah..

wassalam

***********************************************************

 

Hosted by www.Geocities.ws

1