![]() |
laman ixora(kembali ke laman utama) arkib April 2004 |
30 April 2004 / 10 Rabiulawal 1425 (Jumaat) LESEN TV Sejak kami mula beli TV di sini, kami diingatkan oleh kawan-kawan untuk beli sekali lesen TV. Kalau tiada lesen, dendanya mencecah £1000. Lantas, bulan Oktober tahun lepas, suami pun membeli lesen TV warna di Pejabat Pos, berharga £116. Menjelang bulan Januari, kami terima sepucuk surat dari TV Licensing UK menyatakan mreka tak dapat sebarang maklumat yang kami dah beli lesen. Mereka menyuruh kami beli segera atau pegawai mereka akan datang ke rumah untuk memeriksa. Oleh kerana kami dah ada lesen, kami tak endahkan surat tersebut. Bulan Februari, kami dapat lagi surat amaran berkenaan, bulan Mac tiba lagi, kali ini bersama borang , meminta kami fotostatkan lesen TV dan meminta nombor lesen. Kami periksa lesen yang dibeli sejak Oktober tahun lepas, tak jumpa sebarang nombor! Lantas bertanya pd Ramzi, rupanya salinan yang ada pada kami itu adalah resit, bukan lesen sebenar! Lesen sebenar yang bernombor sepatutnya diposkan pada kami beberapa bulan selepas pembelian. Awal bulan April 2004, lagi sekali kami terima surat amaran kediaman kami sekarang ni berada di dalam senarai atas pada list mereka, sedangkan lesen sebenar masih belum dapat! Kelmarin seorang pegawai dari TV Licensing UK datang ke rumah, bertanyakan lesen. Kami serahkan resit yang kami ada, beliau pun menelefon ibu pejabat, rupa-rupanya, mereka telah pun poskan lesen sebenar, namun silap alamat! Rumah kami bernombor 11/3, mereka tulis 11/2.. patutlah tak sampai-sampai. Bukan salah kami. Alhamdulillah..semuanya selesai. p/s: Sungguh bersopan-santun cara pegawai tersebut meminta lesen.. Lembut ayat yang digunakan.. yang pasti tak ketinggalan perkataan "I'm sorry" dan "please.." wassalam ************************************************************* 29 April 2004 / 9 Rabiulawal 1425 (Khamis) ANAK SAUDARA BARU Dapat berita gembira dari Batu Pahat. Adik saya selamat melahirkan cahayamata sulungnya, bayi lelaki seberat 2.90 kg. Ia merupakan anak saudara pertama saya (sebelah Batu Pahat). Beliau terpaksa melahirkan secara Ceasarian kerana usia kandungannya telah menjangkau 41 minggu (seharusnya hanya 40 minggu) dan tiada sebarang tanda hendak bersalin. Bayi juga sudah mula mengeluarkan meconium (najis pertama bayi) dalam rahim. Doktor bimbang bayi tertelan meconium (yang boleh menjurus pada permasalahan lebih besar), adik saya pun dibedah. Alhamdulillah semuanya selamat. p/s: Teringat pada kawan-kawan yang bersalin di sini, cepat benar sembuhnya. Walau melahirkan di hospital kerajaan (rawatan percuma), mereka akan ditawarkan samaada untuk mengambil morfin untuk mengurangkan sakit atau Epidural - tak rasa sakit langsung! Epidural di Malaysia masih mahal harganya.. wassalam ***********************************************************
27 April 2004 / 7 Rabiulawal 1425 (Selasa) PALING TERUK Di UK ni ada banyak juga rancangan TV yang mengetengahkan perkara"paling teruk" dalam kategori masing-masing. Antara rancangannya:
Mungkin ada lagi yang saya tak perasan. Semacam sengaja di cari insan-insan sebegini, ( kita boleh calonkan siapa-siapa yang kita kenali untuk mengambil bahagian). Macam UK Most Embarrasing Parents, anak boleh mencalonkan ibu/bapa yang dirasakan selalu membuatkannya malu (tanpa pengetahuan ibu/bapa). Pihak penganjur akan merakam perbuatan ibu/ayah tersebut secara rahsia (bagi mendapatkan bukti), kemudian mereka akan 'berlakon' untuk mengenakan ibu/ayah tersebut. Tertangkap "red handed", ibu/ayah akan dikenakan denda yang sepadan (sebagaimanan mereka memalukan anak secara tak sengaja). The Worst Husband pula, isteri mencalonkan suami-suami yang teruk dan tak bertanggungjawab. Mereka akan dikenakan ujian-ujian (seperti disuruh memasak, mengemas rumah, beli hadiah utk isteri dll), akan ada suami yang dinobatkan sebagai yang paling teruk, sbb gagal dalam "ujian" tersebut - isteri akan dpat hadiah seperti spa/I>, urutan relaksasi percuma, sementara suami akan didenda spt semimggu berada di biara yang membosankan! Secara peribadi, mungkin ada positif dan negatifnya. Yang psoitif, harap-harapnya insan-insa ini boleh merubah kpd yang lebih baik. Yang negatif pula, mungkin boleh terjadi pergaduhan selepas itu! p/s: kasihan juga kadang-kadang melihat ibu/bapa yang dipekena oleh anak sendiri dalam UK Most Embarassing Parents. Tak sanggup rasanya kita, sebagai anak berbuat demikian pada emak dan ayah yg telah bersusah payah membesarkan (walau ibu/ayah di sini kelihatan "sporting" yang amat sangat!) wassalam ************************************************************* 26 April 2004 / 6 Rabiulawal 1425 (Isnin) AL FATIHAH Untuk arwah isteri saudara Ep (seorang geng jurnal yang dihormati). Teringat kata-kata Dr Jemilah (MERCY) tentang kematian semasa seruannya untuk sama-sama membantu mangsa peperangan: Setiap kematian sudah ditentukan. Tidak tercepat atau terlewat walau sesaatpun. Dan sebaik-baik kematian itu adalah pada jalan jihad.. Insya-Allah kita juga akan menyusul, apakah persediaannya? wassalam ************************************************************* 25 April 2004 / 5 Rabiulawal 1425 (Ahad) AHAD NAN INDAH Sepagian kami ke Car Boot Sale di Waverly, tengah bandar . Kami jalan kaki ke sana, dengan stroller berkembar. Bertolak seawal 8.30 pagi. Cuaca elok sungguh. Dah tak sejuk. Sedap, macam dalam air-cond layaknya. dah boleh keluar rumah dengan hanya pakai T-Shirt dan jumper. Cahaya matahari banyak sekali. Macam di Malaysia pula rasanya. Terang benderang. Sampai Car Boot Sale, seronok sekali sebab beli barang, terus masukan dalam bakul stroller, tak payah pegang banyak-banyak plastik. Hadi pula lebih suka jalan, terpusing-pusing mendongak melihat orang lalu lalang daripada duduk dalam stroller. Kali ini banyak beli baju untuk Hadi. Jika sebelum ini dia banyak memakai baju untuk bayi, kini kena beli untuk kanak-kanak lelaki yang dah berusia setahun! Dalam perjalanan pulang kami singgah di Princess Garden yang terletak di sepanjang Princess Street. Duduk-duduk atas rumput sambil memerhati Aqilah dan Hadi berkejar-kejaran sambil meniup "bubble". Bunga-bunga dah banyak tumbuh. Terang-terang warnanya. Cerah dan ceria. ramai sungguh orang bersantai-santai di Princess Garden. Hampir satu jam juga kami di situ sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Sampai rumah baru terasa penat kaki.. tapi.. seronok! wassalam ************************************************************* 23 April 2004 / 3 Rabiulawal 1425 (Jumaat) AQILAH DAN JARI Aqilah ada satu tabiat yang amat susah untuk dibuang sejak berumur 3 bulan, iaitu menghisap jari sewaktu hendak tidur! Peliknya bila majoriti kanak-kanak menghisap ibu jari, dia pula memilih jari hantu dan jari manisnya, dimasukkan serentak ke dalam mulut. Ianya juga umpama "shoulder to cry on" baginya, menghilangkan duka (bila kena marah atau kebosanan)dan kunci bagi membolehkannya tidur. Puas cuba pelbagai cara - letak kopi, getah akar seruntun (amat pahit), sirap merah darah bagi menakutkannya (tektik Kak Yati, pengasuhnya), ada ulat (tektik Tok Wan), semuanya tidak berjaya. Malam tadi saya cuba berbincang cara kanak-kanak besar dengannya. saya tunjukkan jarinya yang kelihatan 'kemek' dan kurang elok berbanding jari tangan saya. Saya katakan nanti Aiman dan Kak Nurul (kawannya) datang, cuba lihat jari mereka. Aiman dan Kak Nurul tak hisap jari, Hadi pun tak hisap jari boleh tidur. Aqilah semacam faham. Dia mula malu. kasihan pula saya lihat dia terpaling-paling ke kiri dan kekanan menahan 'ketagihan'. Tak boleh tidur. Tangannya kaku di atas dada. Dia tak beri saya melihatnya semasa hendak tidur. saya akur dan keluar dari bilik. Dua tiga kali jenguk, dia masih gelisah. Tangan masih OK, jari tak masuk mulut. Akhirnya jam 10.00 malam saya jenguk lagi, dia dah tertidur lena - dengan jari dah dimulut! Sampai bila ye...? wassalam ************************************************************* 22 April 2004 / 2 Rabiulawal 1425 (Khamis) PIZZA BASE Catatan hari ini khas untuk hanyasayang, yang meminta resepi asas pizza. Mudah dan simple. Saya dah pernah cuba. Selamat makan pizza! Ingredients: 1 to 1 1/2 tablespoon of dry yeast
(the little balls, usually bought in a tin) Directions: Mix the yeast, warm water and vegan sugar together until frothy and then leave for 10 minutes. Sift the cake flour, bread flour and salt into this, mixing while you're sifting. As you start mixing, add the olive oil. Knead the dough softly until it feels like playdough (you may need to add more flour to stop sticking). Leave to rise in a warm place (can wrap in clingwrap and place in the warmer if you don't have a lot of time). Once risen, knead down again (not too much), then roll out into your bases. Makes 2 large, round bases. (resepi diambil dari http://vegweb.com/food/) wassalam ************************************************************ 21 April 2004 / 1 Rabiulawal 1425 (Rabu) SCOTLAND Sibuk sangat sejak akhir-akhir ini. Sibuk menguruskan rumah, layan anak-anak - yang semakin 'bijak' bermain, suami sibuk buat assignment dan peperiksaan akhirnya, buat artikel catatan pengembaraan kami sekeluarga di sini. Namun hari ini, saya ingin berkongsi sesuatu berkenaan Scotland. Pernah tak terdengar, orang lelaki Scotland yg memakai skirt (pakaian tradisional lelaki Scotland) sebenarnya tidak memamakai seluar dalam? Memang benar pernyataan itu! Saya mempercayainya bila menonton movie Braveheart lakonan Mel Gibson, berkenaan William Wallace, pejuang Scotland yang memperjuangan kebebasan Scotland dari genggaman England beratus tahun dahulu. Dalam filem itu, mereka telah mengejek askar England sebelum memulakan peperangan, secara menonggeng dan menyelak skirt! Saya pelik juga, macammana ye mereka boleh bertahan dalam "pakaian" sedemikian dan kesejukan melampau di Scotland ni? Disini ada beberapa perkataan Scottish dan terjemahannya ke Bahasa Inggeris;
wassalam ************************************************************* 19 April 2004 / 29 Safar 1425 (Isnin) KAWAN AQILAH DAN HADI Sekarang ni, dari jam 4.30 petang hingga 8.00 malam saya mempunyai 4 orang anak. 2 lelaki, 2 perempuan. Yang sulung berusia 7 tahun, kedua 4 tahun, ketiga 3 tahun dan yang keempat 1 tahun. Sebenarnya, saya tolong menjagakan anak-anak Kak Eda yang seramai 2 orang setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad kerana Kak Eda keluar bekerja pada jam itu. Seronok Aqilah dan Hadi ada kawan-kawan bermain setiap hari. Kurang sikit rengekannya hendak ke sekolah. Setiap petang pasti ternanti-nanti kedatangan kak Nurul dan Aiman (anak-anak kak Eda). Saya pun tumpang seronok melihat mereka bermain-main. Paling tidak Hadi pun mula belajar berkomunikasi, berkongsi dan berlebih kurang. Cuma, biasalah, seperti ibu-ibu yang menjaga 4 orang anak, terasa "tak kering" tangan. sekejap-sekejap "ibu, nak kencing", "mak cik, nak berak", "nak air!", "ibu.. hadi terberak!", "laparlah, nak makan!" dan lain-lain. Meriah sungguh rumah kami. Selalu tersenyum sendirian melihat mereka bermain. Seronoknya menjadi kanak-kanak, tiada sebarang masalah, gembira sepanjang masa... wassalam ************************************************************** 16 April 2004 / 26 Safar 1425 (Jumaat) LOKASI PERJALANAN KAMI Puas saya berfikir, apakah agaknya yang boleh saya buat untuk berkongsi pengalaman pengembaraan saya ke suku England tempohari dengan pembaca laman ixora. Gambar belum dicuci lagi. Lalu saya terfikir, memandang zaman ini zaman siber, elok juga jika saya carikan site dalam internet berkaitan loksi -lokasi yang kami jejaki, dan link kan dengan page ini. Jemputlah mengembara, menerusi alam siber HARI JUMAAT 9 April 2004
HARI SABTU 10 April 2004
HARI AHAD 11 April 2004
HARI ISNIN 12 April 2004 wassalam ***********************************************************
15 April 2004 / 25 Safar 1425 (Khamis) HADI JADI MODEL Dah terlalu lama saya teringin untuk mengambil foto anak-anak di studio dan dikendalikan oleh jurugambar. Pastinya untuk mendapatkan gambar yang elok. Selasa lepas, semasa kami meronda-ronda dalam pusat belibelah di Almondville, Livingston, ternampak sebuah iklan besar di tengah-tengah pasaraya. Tertera "pertandingan bayi, jika anak anda berusia 0 - 2 tahun, dan dapatkan gambar percuma." apa yang menarik perhatian saya ialah perkataan "gambar percuma"! Kami pun menuju ke lokasi penggambaran. Ada sebuah khemah sementara di tegah-tengah pusat belibelah itu, milik Syarikat Polaroids. Mereka sedang membuat promosi. Cantik-cantik gambar yang diambil. Biasalah, khidmat profesional. Bayaran paling murah adalah £31 untuk satu portfolio gambar sebanyak 6 keping. Kami bertanyakan perihal pertandingan bayi, memang benar gambar bayi diambil dan akan dapat pada hari itu juga secara percuma! Nampak gayanya Hadi boleh ni, maka kami letakkan dia di depan kamera, diagah-agah oleh beberapa jurugambar. Kelakarnya apabila Hadi tak terkejut , malah tak menangis, tersenyum-senyum bila diagah. Akhirnya dapat satu shot yang menarik, gambar itulah yang akan dipertandingkan. Salinan gambarnya diberi pada kami, percuma hanya bayar £1 untuk dapatkan sebuah frame. Bila lihat gambar-gambar peserta lain (anak orang putih) comel-comel, bulat-bulat, mata biru, coklat, hijau.. memang tak ada harapan si Hadi tu! Yang penting, dah dapat gambar percuma!
wassalam ************************************************************** 13 April 2004 / 23 Safar 1425 (Selasa) DAH BALIK RUMAH Penat tapi seronok. Itu yang dapat saya gambarkan hasil pengembaraan selama 4 hari ke satu per empat England. Aqilah dan Hadi juga penat. Kami mulakan pengembaraan dari jam 8.30 pagi, melalui jalan A1 ke Berwick upon Tweed, sebuah bandar kecil, tapi cantik dan bersih. Kemudian kami ke Alnwick, melawat Alnwick Garden and Castle, terus ke Newcastle makan tengahari di rumah Abg Kamim, pelajar PhD di sana dan ke Middlesbrough, bermalam di Hotel Baltimore. Hari Sabtu kami terus ke Scuborough, menikmati tepian pantai England. Angin sejuk sekali, rasanya tak lah secantik pantai kita di Malaysia, dan banyak sekali Casino serta pusat hiburan. Kami lalu York, singgah Tesco Extra di sana. Terus ke Manchester (paling bengang kat sini sebab sesat teruk - hampir 3 jam dalam bandarnya, anak-anak mula mengamuk sebab bosan dalam kereta) singgah Trafford Centre ( pusat belibelah terbesar di Manchaster) dan tidur di Hotel Brittania Sachas, Manchaster. Jumpa ramai juga melayu di sana, malangnya, mereka tak tegur lansgung! Pelik, tapi itulah kenyataan, maklumlah banyak sangat orang melayu di sana. Sedap suhu di England. Dalam 15 darjah celsius, terasa macam aircond dan selesa. Tidak seperti di Scotland yang masih sejuk walau dah masuk musim bunga. Hari Ahad kami meneruskan perjalanan ke Preston, tak sempat singgah Liverpool kami terus ke Blackpool iaitu ke tepian pantainya, banyak taman tema, ada rollercoster tertinggi di dunia. Ramai sungguh orang di sana. Kami makan ayam SFC, kedai macam KFC, halal milik orang pakistan. Sempat lagi singgah Car Boot Sale yang dijumpai dalam perjalanan ke Blackpool. Lalu Benrith, Kendal, kami ke Ullswater Steamer pula di Lake District, sebuah tasik yang besar dan Subhanallah amat cantik. Kami bermalam di Hotel Swallow Hilltop, Carlisle (sudah berada di sempadan England/Scotland). Banyak pula kedai dan pasaraya ditutup kerana cuti Bank Day selepas Easter. Isninnya kami melawat-lawat sekitar Carlisle, terus ke Moffat, pekan kecil dan cantik, bangunan yang cantik, pemamndangan bukit bukau, banyak pelancong. Makan tengahari di Abington, tempat rehat di lebuhraya, hajat di hati nak ke Stirling (di utara Edinburgh), namun memandangkan Liza sudah pening dan penat, kami terus pulang ke Edinburgh. Rupanya ada hikmah disebaliknya, kerana tayar MPV pecah dalam perjalanan pulang ( lagi 7 batu dari Hermiston, Edinburgh). Malangnya tiada kelengkapan alat untuk tukar tayar dalam MPV! Terpaksa telifon Khairul dan Abg Zamri, dari jauh mereka datang bawa spanar. Hampir 1 jam di situ, baru sampai rumah. Malamnya kami ronda Edinburgh. Adat di sini, jam 9.00 malam sudah sunyi. Semua kedai ditutup sejak jam 5.00 petang. Bosan, teringat KL, jam 9.00 malam masih "hidup". Tadi kami meronda pula ke Elmondville, Livingston. Semacam "Syurga" membeli belah di Edinburgh. Namun tak digelar syurga bagi kami yg berpoket nipis ni! Sekadar beli barang makanan di ASDA WAL MART. Kenderaan harus dipulangkan pada jam 2 petang, maka pulanglah kami ke rumah. Pastinya, banyak kenangan manis, kurang manis, pemandangan cantik desa, ladang , bukit bukau, tasik,laut dan bandar kawasan perindustrian yg telah dilihat. Banyak juga manusia yang kami jumpa. Didapati ada bezanya orang England dan Scotland. Hadi dan Aqilah pun nampaknya dapat banyak ilmu baru. wassalam ************************************************************** 8 April 2004 / 18 Safar 1425 (Khamis) PENGEMBARAAN KE ENGLAND Mulai esok (Jumaat, Sabtu, Ahad, Isnin) kami sekeluarga, bersama Lan, Liza dan baby Bayu Hanafi akan berangkat ke England, Insya-Allah. Pengembaraan kali ini melibatkan perjalanan Edinburgh - Berwick - Alnwick - Newcastle - Middlesbrough - York - Leedss - Manchester - Liverpool - Blackpool - Lancheister - Candle - Carlisle - Durnfrries dan balik ke Edinburgh. UK sedang sibuk dengan perayaan Easter ketika ini. Kami sewa MPV selama 5 hari. Semoga perjalanan ini lancar dan mendapat keberkatan Allah, Insya-Allah.. Betemu lagi minggu depan, dgn liputan pengembaraan, Insya-Allah.. wassalam ************************************************************* 7 April 2004 / 17 Safar 1425 (Rabu) T.A.P.S GROUP Sepertti minggu lepas, hari Rabu ada perjumpaan T.A.P.S GROUP ( Parents and Toddlers Group) di Viewforth Terrace. Di UK, terdapat banyak pusat sedemikian yang diuruskan oleh Social Worker. Fungsi utama TAPS GROUP ialah untuk anak-anak kecil (terutama yang belum bersekolah) bersosialisasi dengan teman sebaya, sekaligus membina keyakinan diri anak-anak kecil. Ibu bapa juga boleh berbincang satu sama lain. Nampak gayanya sebab musim dingin sekarang ni, tak ada orang lain ke sana semalam. Cuma kami dan keluarga Abg Lan. Bilik yang agak besar, memuatkan bermacam permainan, kebanyakannya merupakan 'educational toys'. Mereka cukup mementingkan pembangunan kanak-kanak. Aqilah, hadi dan Nurin (anak Abg Lan dan Kak Saba) begitu seronok berlari-larian, bermain pelbagai mainan. Sheila, merupakan social worker yang bertanggungjawab memantau TAPS GROUP. Seorang wanita yang baik, menyayangi kanak-kanak. Masa pertemuan adalah dari jam 12.30 tengahari hingga 2 petang. Boleh pinjam sebarang mainan yang kita mahu, selama seminggu. Kali ni kami meminjam 2 jenis puzzle - suaipadan bentuk objek dengan bekasnya. Kami juga dijamu sedikit makanan ringan - tadi biskut, buah anggur dan air fresh orange. Kami terfikir, elok juga kalau ada group sebegini di Malaysia. Yang seronok tu, boleh pinjam mainan! Esok, Khamis mereka mengadakan perjumpaan parents and baby group pula, khas utk ibu-ibu bayi. Malahan Shelia juga terlibat dalam kumpulan social worker yang menguruskan ibu-ibu muda (selalunya berusia 18 tahun yang dah termengandung dan bersalin) - mereka diajar cara menjaga bayi, diberi motivasi dan semangat, diberi bantuan dari segi pakaian juga keperluan bayi. Mungkin sebab itulah tiada kes pembuangan bayi disini. Namun terfikir juga saya, bagaiman agaknya kalau diimplementasikan di Malaysia, adakah akan menggalakkan lagi penzinaan di kalangan anak-anak muda? wassalam ************************************************************ 6 April 2004 / 16 Safar 1425 (Selasa) PERJANJIAN SEWA RUMAH Semalam Kak Ijan talifon, mereka menerima message dari agen rumah sewa kami sekarang, Charles White Limited. Kak Ijan dan Abg Rosli sebenarnya bertindak sebagai 'penjamin' untuk kami masuk rumah ini dulu. Risau juga dibuatnya, kenapa agen tu talifon penjamin kami, bukan kami. Dalam perjanjian sewaan rumah ini, kami mesti menyewa paling kurang 6 bulan, hungga Mac 2004 tempohari, telah genap 6 bulan kami tinggal di sini. Selepas itu, kami mesti mempebaharui perjanjian setiap sebulan sekali. Apa yang saya risaukan ialah, jika ada orang lain telah menempah rumah ini, bererti kami terpaksa keluar (kerana telah genap 6 bulan dan kami belum memperbaharui perjajian!) Lantas pagi tadi saya menelefon Charles White Limited, lega rasa hati, kerana rupa-rupanya pegawai mereka tersalah talifon! Ini kerana ada sebuah lagi rumah, jalan yang sama dengan rumah kami, penyewanya mahu keluar. Seharusnya kena beri notis sebulan sebelum keluar. Apa-apa hal, penjamin akan dihubungi. Dalam kes kami, tiada sebarang masalah, secara automatik perjanjian sewaan diteruskan, selagi kami mahu membayar sewa rumah. Yang pastinya, sebulan sebelum balik ke Malaysia, kena hubungi Charles White Limited. p/s: Teringat rumah sewa kami dulu di Taman Jasa Utama, Selayang, betul-betul di bawah Empangan Batu, cantik, sunyi dan segar. Namun tetap terfikir, bagaimanalah agaknya kalau Empangan Batu pecah? Tentu melimpah airnya ke kawasan perumahan itu! Minta dijauhkan hendaknya.... wassalam ************************************************************ 4 April 2004 / 14 Safar 1425 (Ahad) JOM GI CAR BOOT SALE Hari ini kami pergi Boot Sale, kali ini memang betul-betul, beria-ia . 3 keluarga yang keluar sama. 8.30 pagi kami bertolak. Sejuk pun sejuklah, nak berjalan punya pasal. Bawa bekal diapers banyak-banyak untuk Hadi , maklumlah baru aje cirit, Lokasi pertama kaimi ialah ke Overtown satu jam dari Edinburgh. Lawa pemandangan ladang kuda dan bebiri bulu putih kepala hitam di tepi jalan. 9.30 pagi sampai ke Car Boot Sale yang dibuat di sebuah padang rumput. Kata Kak Saba, tak lah banyak sangat orang yang menjual hari tu, (sebab pertama kali dibuka setelah tamatnya musim dingin). Kalau dulu-dulu , 2 jam meronda pun tak habis tengok lagi! Namun bagi saya, yang baru pertama kali ke Car Boot Sale di kawasan lapang, terasa amat seronok. Harga barang kat situ pun OK. macam-macam pilihan barang. Mata dah mula rambang semacam, tengok tu nak itu,.. tengok ni nak ini (saya hanya beli barang-barang yang harganya kurang £1 ). dapat baju dan mainan Aqilah, Hadi, saya, 2 kusyen bersama sarung, sedikit hiasan rumah, langsir lawa. Ada satu tu, baju gaun budak perempuan umur 1 tahun (yang berenda-renda, satin, warna putih, cukup baru dan cantik sekali - hanya £1- mana nak dapat £1 X RM 7 = RM 7 di Malaysia pun!) Isshh..geram sungguh, Aqilah pula dah besar sekarang ni. Walau angin bertiup kencang dan sejuk, hampir tergigil-gigil, masih juga nak belek dari gerai ke gerai. Terjumpa ramai juga rakyat Malaysia dari Glasgow (Glasgow ke Overtown dah dekat, tak sampai 1 jam). Lepas tu kami ke Lokasi Designer Outlet Shop, di Five Sisters, kata Abg Lan, sedikit masa dulu ada sale besar-besaran, barang-barang berjenama, first hand hanya dijual dgn harga £1! Namun semasa kami ke sana semalam nampak gayanya banyak kedai-kedai dah tutup - mungkin lokasi tempat tu tak strategik ( tiada bas ke sana), sunyi sungguh. Ada lah dalam 3, 4 kedai aje yang beroperasi lagi, dan harga barangnya pun dikira mahallah (walau dipotong 50% dari harga jenama yang sama di bandar). Tak beli apa-apa.. Kemudian, ke Boot Sale lagi, kali ini indoor pula.. tak tahu apa nama tempatnya. Masa tu dah melewati tengahari, orang dah tak ramai.. banyak meja jualan dah nak ditutup. Sempat juga beli cenderahati berlogo Scotland untuk kawan-kawan di Malaysia nanti (kami kumpul cenderahati kecil sedikit demi sedikit sejak dari sekarang, bimbang tak mampu nak beli sekaligus dekat-dekat nak balik nanti). Lepas tu baru balik rumah. Lebih kurang jam 4.00 petang. Penat sekali, tapi hati puas, sebab dapat ber "shopping".. suami kata. "Huh! Orang perempuan!" yelah.. betul kan, menurut kajian pun, perkara yang boleh menggembirakan hati orang perempuan ialah keluar bershopping (walau hanya window shopping!) wassalam ************************************************************ 1 April 2004 / 11 Safar 1425 (Khamis) HADI KENA CIRIT Semalam, balik dari perjumpaan Toddler and Parents Group, Hadi diserang cirit birit. Sepanjang petang menangis sakit perut. Saya sapu minyak panas bayi, terkentut-kentut, bersama najis yang cair. Kasihan, akibat cirit, punggungnya menjadi kemerahan. Petang itu saja 7 ke 8 kali salin diapers. Malamnya saya rasa tak sedap hati. Mesti ke klinik ni. Abg Lan memberikan satu nombor talian kecemasan. Saya telefon, malangnya kata operator, perkhidmatan mereka tidak meliputi kawasan kami. Diberinya nombor lain, berkaitan dengan Springwell Medical Centre (kerana kami sekeluarga mendaftar di sana). Saya menelefon nombor tersebut, diberi satu nombor lain, begitulah seterusnya, hingga saya terpaksa menelefon 2 lagi talian barulah dapat satu nombor yang benar-benar berkaitan dengan doktor yang dipertanggungjawabkan untuk kami sekeluarga. Rasa geram dan bengang juga. Alhamdulillah dapatlah bercakap dengan doktor, beliau mencadangkan Hadi dibawa ke klinik. Dengan bantuan Abg Lan, Hadi dan suami ke klinik yang diumaksudkan. Tak ada masalah besar, kata doktor. Biasalah keadaan begini sewaktu pertukaran musim. Ada virus yang merebak dalam udara menyebabkan cirit sebegini. Masyarakat tempatan memanggilnya 'bugs'. Tidak diberi sebarang ubat, hanya disuruh minum air suam dan jus dengan banyak (menggantikn cecair badan yang hilang). Teringat Malaysia, kalau apa-apa kecemasan, banyak klinik boleh dikunjungi, sebarang klinik swasta. Nampaknya tidak di sini. Hadi masih cirit lagi sekarang tapi tidak menangis (mungkin sudah tak sakit perut). Mak mertua di Kangar mencadangkan air perahan kangkung atau bayam ,diberi satu sudu tiga kali sehari untuk menghentikan cirit. Dah beli bayam, belum buat lagi petua itu. Malam ini akan diberi, Insya-Allah. wassalam **************************************************************
|