Pegasus Blog
mantan PARA
Pengalaman terjun diwaktu malam
photo

Sebagai seorang anggota Paratrooper melakukan tugas penerjunan adalah menjadi suatu kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap individu seperti sarapan pagi atau dengan lain perkataan ‘bread and butter’. Walaupun pada umumnya perasaan takut itu sentiasa menyelubungi di setiap sanubari anggota namun begitu semua itu dapat di atasi dengan semangat Para yang kental dan jitu yang telah menjadi darah daging setiap anggota Paratrooper yang taat dan setia di dalam melaksanakan tugas demi untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Setiap anggota Para dikehendaki membuat latihan pemanasan sebelum melakukan penerjunan supaya kawad-kawad tindakan semasa melakukan kawad pesawat seterusnya periksa keliling sehinggalah kedudukan mendarat dan membuat ‘HRND’ dapat dilakukan dengan sempurna. Pada dasarnya setiap anggota Paratrooper akan menghadapi risiko yang tinggi yang semasa melakukan penerjunan kerana kecederaan atau kemalangan akan berlaku bermula daripada keluar dari pesawat sehinggalah mendarat, lebih-lebih lagi melakukan penerjunan diwaktu gelap gelita yang mana jarak penglihatan mata amatlah terhad. Kemalangan atau kecederaan yang kerap berlaku ialah perlanggaran sesama penerjun dan ketika membuat pendaratan yang mana keadaan muka bumi yang tidak kelihatan. Semasa membuat pendaratan, penerjun hanya akan berpandukan cahaya lampu dan yang penting ialah mengikut arah berlawanan angin kerana ini akan dapat mengurangkan hentakan yang kuat semasa membuat pendaratan.

Sewaktu keluar dari pesawat di ketinggian 1,000 kaki keadaan agak cerah sedikit, walaubagaimanapun apabila ketinggian semakin berkurangan di paras 400 kaki sehinggalah ke paras bumi suasana menjadi gelap gelita hanya kelipan lampu dari ‘Recovery Team’. Hanya berserah kepada Allah dan bertawakal saja apa saja yang menanti di bawah seperti longkang, tunggul kayu, pagar duri, pokok dan lain-lain menjadi tanda tanya kepada setiap penerjun.

Sebelum melakukan penerjunan, berbagai-bagai ragam dan telatah yang boleh dilihat seperti ada yang termenung, ada yang buat-buat tidak takut, ada yang menjerit untuk menghilangkan rasa takut, ada juga yang macam orang sedang makan singgam, ada yang membaca ayat-ayat Al Quran atau sedang berdoa untuk memohon kepada Allah agar di jauh dari sebarang kemalangan dan kecederaan. Begitulah ragam segelintir manusia yang memohon kepada Allah ketika dalam keadaan ketakutan dan melupainya setelah selamat mendarat.

Setelah anggota selamat mendarat, mereka akan bercerita sesama sendiri dengan suara yang kuat sehingga hilang kedengaran bunyi kenderaan 3 ton mahupun kapal terbang. Walaupun telah selamat melakukan pendaratan, tugas anggota Paratrooper masih belum selesai. Untuk meneruskan misi ini Paratrooper akan menghadapi bermacam halangan dan rintangan untuk mencapai kejayaan di dalam merealisasikan latihan.

2007-04-05 03:02:07 GMT


1