Pegasus Blog
mantan PARA
Serangan Mumbai kejutkan anggota keselamatan
photo
NEW DELHI: Akhbar di India, semalam mengecam kerajaan dan agensi perisikan negara itu berikutan kegagalan menghalang serangan di Mumbai dan berkata, pasukan antikeganasan tidak mempunyai persediaan secukupnya bagi menghadapi militan.


'Mumbai Binasa, Negara Malu' menjadi tajuk utama muka hadapan akhbar Mail Today, yang turut menyatakan 'agensi perisikan negara tidak mempunyai sebarang petunjuk kepada serangan yang berlaku' walaupun kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk pelbagai kaedah antikeganasan.

Rencana pengarang akhbar The Hindustan Times dalam nada serupa berkata, 'kehilangan pegawai terbaik kita bagi menghadapi serangan adalah keberanian, tetapi cara ini tidak berbaloi untuk menentang pengganas moden.

"Masanya sudah tiba untuk kita belajar bahawa keganasan global tidak boleh ditentang tanpa mempertingkatkan keselamatan negara."

Rencana akhbar The Times of India dengan tajuk 'Perang Berlaku - serangan ke atas Mumbai cabaran kepada negara untuk menentang semula' turut mempersoalkan mengapa agensi antikeganasan mengalami kegagalan yang amat teruk.

"Sejauh manakah keupayaan kita mengendalikan mereka, sejauh mana kecekapan mereka dan adakah penyelarasan terbaik diwujudkan untuk meningkatkan pengumpulan semua maklumat? kata rencana itu.

Sambil mengingatkan mengenai masa yang banyak diambil untuk menempatkan pasukan khas, akhbar itu berkata:

"Masalahnya ialah, walaupun dalam keadaan petugas dan kemudahan mampu disediakan, perancangan dan kaedah pelaksanaannya amat teruk sekali dan ini mengejutkan."

Rencana pengarang akhbar The Indian Express pula mengecam perkhidmatan rahsia India dan menuntut penjelasan mengenai mekanisma perisikan yang gagal 'menghidu' tindakan pengganas yang sudah dirancang lebih awal.

Beberapa akhbar lain turut menyiarkan tajuk 'Keganasan Berterusan', 'Keganasan dan Pertemputan' dan 'Mumbai Di ambang Perang' di muka depan masing-masing. AFP

2008-11-29 06:54:03 GMT


1