Pegasus Blog
mantan PARA
Malcon pasukan terbaik di Lebanon

Oleh ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Kontinjen Malaysia (Malcon) I bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) diiktiraf sebagai salah satu pasukan terbaik, setanding angkatan tentera negara-negara maju lain.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, pengiktirafan itu disahkan oleh Komander Angkatan UNIFIL sewaktu mengunjungi serta menilai keupayaan Malcon I di Kem Kaoukaba, Lebanon pada 25 Mei lalu.

Beliau menambah, kejayaan tersebut membolehkan Malcon I diberi mandat sebagai salah satu pasukan tindak cepat (QRF) dalam tugas-tugas khas seperti menyelamat tebusan.

‘‘Saya difahamkan saudara-saudara telah dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, berdisiplin dan mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi.

‘‘Saudara-saudara telah menaikkan imej negara khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mata dunia,’’ katanya ketika berucap pada majlis penerimaan kumpulan pendahulu Malcon I UNIFIL di Pangkalan Udara Subang, Selangor hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Shahron Ibrahim.

Kumpulan pendahulu seramai 80 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM tersebut sebelum ini melaksanakan misi di selatan Lebanon selama sembilan bulan bermula Januari lalu.

Tugas mereka kini diambil alih oleh Malcon II yang turut disertai pegawai dan anggota wanita.

Antara tugas khas yang dilaksanakan Malcon I adalah menyediakan perlindungan keselamatan kepada konvoi pertukaran kontinjen serta logistik Sepanyol sehingga Beirut, iaitu di luar kawasan tanggungjawab Malcon I.

Selain itu, Malcon I juga melakukan pengawasan pergerakan keluar masuk kumpulan Hizbullah di Sungai Litani.

Menurut Abdul Aziz, cabaran utama Malcon I UNIFIL adalah mengekalkan tahap profesionalisme sebagai sebuah organisasi terlatih.

Ini kerana jelasnya, masyarakat antarabangsa sentiasa memerhati kemampuan Malaysia khususnya ATM dalam mengendalikan keamanan dunia.

Beliau memberitahu, walaupun Malcon I beroperasi dalam jumlah kecil, anggota-anggotanya telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam menentukan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dipatuhi pihak-pihak bertelagah.

Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Aziz Jaafar; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Rodzali Daud; Panglima Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Allatif Mohamed Noor dan Timbalan Komander Malcon I, Leftenan Kolonel Fadzil Tajudin. Utusan Malaysia


2007-10-25 03:09:00 GMT


1