Pegasus Blog
mantan PARA
"Well dance" Warga 10 Bgd Para Khasnya 17 RAMD Para
photo

GENTING HIGHLANDS: Anggota Batalion 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para yang menemui pesawat Nuri terhempas kelmarin, melihat mayat mangsa saling bertindih antara satu sama lain serta dihimpit muatan yang dibawa bersama

Semua mayat terperosok ke bahagian depan helikopter yang berada dalam kedudukan menegak di kawasan lereng kira-kira dua kilometer dari Gunung Genting Sempah.

Prebet Awang Aidy Awang Omar, yang pertama menemui pesawat itu, berkata beliau melihat empat mangsa lengkap beruniform dalam bangkai helikopter malang itu sebaik menghampiri pesawat berkenaan.

Helikopter itu ditemui terhempas di lurah bukit, kira-kira lima kilometer dari Genting Sempah, pada jam 1.24 petang kelmarin, lima hari selepas dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Pangkalan Udara Sungai Besi ke Kuantan.

Ini adalah nahas ke-18 membabitkan pesawat Nuri. Berikutan nahas terbaru itu, Kabinet semalam bersetuju membeli pesawat baru bagi menggantikan Nuri yang sudah digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1968.

Nahas terbaru itu mengorbankan juruterbang pesawat itu, Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, pembantunya, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin, 34, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, 35, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28 dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.

Menceritakan detik penemuan pesawat itu, Awang Aidy berkata, kumpulannya terdiri daripada lapan anggota berpecah untuk mencari helikopter berkenaan sebaik menemui serpihan seperti kaca dan beberapa bahagian pesawat di situ pada jam 12 tengah hari.

Ketika tiba di kawasan lereng berbukit, Awang Aidy melihat kesan pokok patah seperti dilanggar sesuatu dan dari jarak 20 meter, beliau nampak bangkai Nuri itu menegak dengan ekornya tersangkut pada pokok, manakala muncungnya sedikit terbenam ke tanah.

"Apabila ditinjau dari dekat, saya dapati kipas dan ekornya patah, pintu terbuka, tayar belakang tercabut dan bahagian kokpitnya remuk. Dari situ juga saya melihat empat mayat tersepit dan berada dalam keadaan ditindih barangan lain dalam pesawat itu.

"Mayat dua lagi (juruterbang dan pembantunya) agak sukar dilihat kerana kedudukan mereka paling bawah," katanya ketika ditemui sebaik tiba selepas selesai melakukan tugas mencari dan menyelamat (SAR) di Kilometer 32.6 Lebuhraya Karak, semalam.

Sehingga malam tadi, hanya jenazah Nor Azlan yang belum dapat dikeluarkan dari bangkai pesawat itu, manakala jenazah Nor Intan dan Khusnizaim berjaya dikeluarkan tetapi tidak dapat diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan cuaca buruk.

Setakat ini, hanya jenazah Mohd Azmie, Saifulizam dan Muhammad Ridzuan sudah dikebumikan di kampung masing-masing.

Jenazah Saifulizam dan Mohd Azmie yang pertama tiba di HKL pada jam 12.40 tengah hari, diikuti jenazah Muhammad Ridzuan, kira-kira jam 1.20 petang. Semua jenazah dibawa dengan pesawat Nuri dari lokasi nahas di Genting Sempah.

Sementara itu, Ketua Platun 4 batalion berkenaan, Kapten Hairy Shahrir berkata, mereka tidak berbuat apa-apa terhadap pesawat itu apabila mendapati semua mangsa sudah terkorban ketika ditemui.

“Kami menemui petanda tempat nahas itu berdasarkan serpihan pesawat termasuk tayar dan kipas kira-kira 10 meter dari tempat nahas. Bahagian ekor pesawat itu juga terkulai," katanya.

Penolong Ketua Platun, Sarjan Ismail Man berkata, beliau tiba di lokasi nahas bersama 15 lagi anggota Para pada jam 2 petang, selepas menerima maklumat mengenai penemuan pesawat itu daripada lapan anggota berkenaan dan memaklumkannya kepada pusat kawalan.

"Kami terus membuat pemeriksaan sama ada mangsa selamat atau cedera. Saya melihat pintu helikopter itu terbuka dan dapat melihat empat mayat lengkap beruniform di dalamnya. Selepas itu pasukan lain dipanggil," katanya yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Ahad lalu.

Ketua Kompeni B batalion berkenaan, Kapten Md Zaini Osman pula berkata, pasukannya terpaksa menempuh laluan sukar selama lapan jam untuk tiba di tempat kejadian.

Katanya, beliau diarah mencari jalan mengeluarkan mayat semua mangsa menggunakan laluan darat tetapi usaha itu tidak dapat dilaksanakan kerana hutan tebal dan cerun yang curam.

"Oleh itu kami serta anggota Paskau dan komando membuat keputusan mengeluarkan mayat melalui udara," katanya.

Md Zaini berkata, pasukan SAR semalam meletupkan dua bom di satu kawasan puncak bukit di lereng tempat kejadian bagi membolehkan mayat diangkat ke atas helikopter.

Letupan bagi membuka laluan itu dapat didengar sekitar kawasan Genting Sempah pada jam 10 dan 10.50 pagi.

Katanya, pasukannya keluar petang semalam selepas kawasan itu diambil alih Paskau dan pasukan SAR lain yang terus berusaha mengeluarkan mangsa lain.

berita harian

2007-07-19 01:29:56 GMT


1