Pegasus Blog
mantan PARA
40 peratus tentera tiada rumah sendiri
photo

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 30 Jun – Kira-kira 40 peratus iaitu 48,000 daripada 120,000 bekas tentera di negara ini tidak memiliki rumah sendiri kerana gagal merancang kewangan dan kehidupan dengan teliti semasa berkhidmat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, kebanyakan mereka hanya menunggu sehingga bersara sebelum memilih lokasi untuk membeli atau membina rumah sebagai penempatan kekal mereka.

Beliau berkata, ekoran itu, bekas tentera terbabit tidak mampu untuk memiliki rumah kerana pendapatan bersandarkan wang pencen dan sering pula berdepan dengan masalah kewangan ketika keluarga semakin membesar.

‘‘Justeru itu, saya menyeru kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan pegawai sosial anggota tentera memainkan peranan serta mewujudkan kesedaran di kalangan anggota tentera supaya memiliki rumah sendiri ketika masih berkhidmat.

‘‘Saya sarankan kepada PBTM supaya membantu mereka merancang untuk membeli rumah seperti memilih kawasan perumahan yang dikehendaki.

‘‘Sebagai contoh, jika anggota ini mahu menetap di Kota Bharu, PBTM cari kawasan perumahan yang sesuai di bandar ini dan membantu mereka untuk membeli rumah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan PBTM Kelantan di sini hari ini. Turut hadir Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Dalam pada itu, beliau berkata, kenaikan gaji dan pencen yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini membantu bekas tentera keluar daripada belenggu kemiskinan kerana kebanyakan mereka menerima pencen di bawah RM520 sebulan.

‘‘Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 4,000 bekas tentera yang menerima pencen sebanyak RM300 sehingga RM350, ini di bawah tahap kemiskinan iaitu sebanyak RM520 sebulan.

Utusan malaysia 30 Jun 2007.

”Macam mana nak ada rumah, mereka mementingkan kereta, motor besar dan ’handphone’ canggih. Kadang-kadang mereka lupa bahawa mereka akan meninggalkan ATM pada waktu umur masih muda dan anak baru nak membesar yang memerlukan perbelanjaan yang sangat besar apabila berhenti (pencen).- nan z

2007-07-01 15:28:44 GMT


1