Pegasus Blog
mantan PARA
Kenaikan gaji anggota bawahan ATM 25 peratus
photo

KUALA LUMPUR 27 Jun – Semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat prebet sehingga Leftenan Muda akan menerima kenaikan gaji pokok sebanyak 25 peratus dan bukannya 35 peratus seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kumpulan kakitangan bawahan itu tidak menerima kenaikan sebanyak 35 peratus kerana mereka tergolong dalam gred gaji Kumpulan Sokongan 1.

Beliau menjelaskan, di bawah penstrukturan gaji ATM pada tahun 2004, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menaikkan gred anggota berpangkat prebet sehingga Leftenan Muda kepada Kumpulan Sokongan 1 berbanding Kumpulan Sokongan 2 sebelum ini.

‘‘Sebelum ini timbul kekeliruan yang menyatakan mereka tergolong dalam Kumpulan Sokongan 2. Sebenarnya, sejak 2004 lagi mereka telah menerima gaji dan faedah lain di bawah Kumpulan Sokongan 1.

‘‘Jadi pengiraan kenaikan gaji dibuat berdasarkan kedudukan mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan 1,’’ kata Abdul Aziz ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan pelbagai pihak yang menyatakan wujud ketidakadilan dalam penetapan gaji berikutan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam berkuat kuasa 1 Julai ini.

Pada pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam bulan lalu, kerajaan menetapkan gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 iaitu Gred 1 hingga 16 dinaikkan sebanyak 35 peratus manakala Kumpulan Sokongan 1 iaitu Gred 17 hingga 40 menerima kenaikan sebanyak 25 peratus.

Kumpulan Pengurusan dan Profesional pula akan menikmati kenaikan sebanyak 15 peratus manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi mendapat 7.5 peratus.

Kerajaan memberi kenaikan tambahan 20 peratus kepada anggota-anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas peratusan kenaikan gaji kakitangan awam.

Selain kenaikan gaji pokok, kerajaan turut mengumumkan kenaikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus.

Abdul Aziz berkata, kenaikan 25 peratus itu tidak termasuk kenaikan tambahan 20 peratus yang diberikan kerajaan kepada anggota ATM dan PDRM.

Beliau berharap penjelasan itu akan melenyapkan rasa kurang senang terhadap kaedah pengiraan gaji baru tersebut.

Katanya, ATM tidak pernah menyembunyikan atau memutarbelitkan apa-apa fakta dalam soal penetapan gaji itu.

‘‘Apa yang diberikan adalah berpandukan kepada pekeliling yang dikeluarkan JPA dan semuanya dilakukan secara adil,’’ katanya.

Abdul Aziz turut menasihati semua anggota ATM supaya membelanjakan wang dengan berhemat dan menyimpan untuk keperluan masa depan khususnya pelajaran anak-anak.

nanz - "Macam ni baru kami faham Tan Sri."
2007-06-28 02:34:11 GMT


1