Pegasus Blog
mantan PARA
Pengalaman untuk menjadi 'Paratrooper'
photo

Sebelum ini, saya tidak pernah menjalani latihan yang lasak. Pengalaman untuk menghadiri kursus Asas Payung Terjun seterusnya kursus ‘Pegasus’ memang tidak dijangka apatah lagi untuk memakai beret merun yang dianggap ‘gah’ oleh lain-lain pasukan.

Latihan pemanasan selama 2 minggu telah diadakan di 8 RRD Para sebagai latihan mempersiapakan diri sebelum berangkat ke tempat kursus sebenar. Saya telah ditunjuk ajar oleh jurulatih dari 8 RRD Para yang berpengalaman dan menpunyai kursus jurulatih payung terjun. Selama 2 minggu kami hanya membuat persediaan fizikal dengan lari 2.5 kilometer setiap 7 pagi, dan 3 petang disamping aktiviti-aktiviti yang lain-lain.

Pada 10 Februari 2001 merupakan hari yang mendebarkan. Saya telah bertolak ke Pusat Latihan Peperangan Khas (PULPAK) di Kem Kamondo Sungai Udang, Melaka. Berbagai cerita yang didengar dari mereka yang pernah mengikuti latihan di kem ini seperti di ‘rangging’(Buli). Apabila kami sampai sahaja di pintu masuk sudah terpampang kata-kata yang menyambut kami KEDATANGAN ANDA TIDAK DIUNDANG, JIKA RAGU SILA PULANG”. Hati saya berkecamuk dan mula rasa menyesal tetapi cepat saya kuatkan semangat semula terutama apabila mengenangkan cabaran dari seorang rakan.

Sampai sahaja di kem tersebut kami telah diasingkan tempat tinggal dimana `senior rank` dikehendaki menetap di Wisma Bintara. Setibanya di wisma saya telah disambut oleh PMC Wisma Bintara dari Rejimen Gerak Khas dengan baik dan kami diajar bagaimana untuk mengunakan kemudahan yang terdapat disitu. Saya juga dapat berkenalan dengan ‘senior rank’ yang datang dari pasukan lain yang turut hadir untuk mengahadiri kursus tesebut.

Keesokan harinya kami memulakan latihan bersama dengan 133 anggota dari PASKAL, Pasukan Udara Tentera Darat malahan dari Rejimen Gerak Khas sendiri. Pada hari pertama kami telah diperkenalkan dahulu kepada jurulatih dan ditunjukkan peralatan asas yang perlu ada pada setiap kali dikehendaki untuk membuat penerjunan. Kami dibahagikan kepada kumpulan dimana seorang pegawai dikehendaki menjaga satu rangkai yang menpunyai jumlah anggota seramai 11 orang anggota lain-lain pangakat. Saya tugaskan menjadi penolong ketua rangkai ke 10 dari kumpulan A.

Sepanjang 3 minggu tersebut kami telah diberikan pelbagai latihan yang berkaitan dengan cara-cara penerjunan yang baik. Dua minggu pertama kami diajar dengan perkara seperti teknik mendarat dan terjun yang betul, tindakan yang perlu dilakukan jika payung berada dalam keadaan yang tidak diingini, teknik membuka payung kedua (cadangan), tatatertib ketika berada dalam pesawat, tindakan yang perlu dibuat setelah mendarat saperti jika terseret oleh angin atau lain-lain dan juga cara mengemas payung setelah mendarat. Setiap hari Jumaat diadakan satu ujian pra-syarat untuk melayayakkan kami menerima sayap penerjunan di mana kami kami mesti melepasi tahap masa 16 minit ke bawah dalam larian 3.2 km, memanjat setinggi 6 meter, mendagu sebanyak 8 kali, tekan tubi sebanyak 35 kali dalam masa 1 minit, sit-up juga dalam jumlah yang sama dan bawa rakan mendukung sejauh 100 meter.

Pada minggu ketiga pula kami dilatih dengan latihan yang lebih mencabar lagi seperti terjun ‘menara kipas’ iaitu terjun dengan ketinggian 32 kaki ke bawah, terjun menara ‘exit’ yang mengayatkan itu, ini adalah latihan sebelum penerjunan sebenar dan memikul beg seberat 40kg selama 45 minit didalam model pesawat yang sangat panas dan sempit.

Minggu keempat kami bertolak ke Gong Kedak Pasir Putih Kelantan untuk menjalani penerjunan sebenar. Sepanjang perjalanan hati saya sentiasa berdebar-debar. Kami dibahagikan kepada dua trip iaitu satu trip iaitu satu trip iaitu satu trip kumpulan B bergerak dengan menaiki trak tentera 3 tan dan satu kumpulan lagi iaitu kumpulan A bergerak dengan menaiki pesawat Hercules C130 dan secara tidak langsung saya dihendaki menaiki pesawat tersebut dan kami berlepas melalui lapangan Batu Berendam ke lapangan terbang Gong Kedak.

Keesokkan harinya adalah merupakan hari yang paling di tunggu-tunggu iaitu hari untuk terjun dari kapal terbang. Saya dipilih untuk mengetuai kumpulan pertama membuat penerjunan. Setelah semua kelengkapan siap dipakai dan diperiksa dengan teliti, maka kami pun dibenarkan menaiki pesawat sebenar ketakutan kami makin terselah dan bayangkan dalam pesawat yang berhawa dingin kami berpeluh. Setelah itu seorang demi seorang dilepas untuk melakukan penerjunan. Ketika hampir untuk saya membuat persiapan penerjunan, saya rasakan segala yang diajar ketika di waktu latihan dahulu hilang dan jadi kelam kabut akibat ketakutan yang tidak dapat dibendung lagi. Segala ayat suci yang saya ingat saya baca. Selepas itu, tanpa banyak cerita saya terus terjun dan ketika itu terus terang saya katakan saya hilang ingatan seketika. Kewarasan saya kembali ketika payung tersebut menyentap badan saya ke atas dan setelah mengembang dengan sempurna barulah saya lakukan apa yang perlu saya buat. Ketika berada terapung di udara, saya rasa kagum dan rasa macam satu keajaiban yang tidak dapat diluah dengan kata-kata.

Ketika hendak mendarat saya telah tersilap membaca arah angin dan menyebab kaki saya terseliuh dan bengkak tetapi denagan semangat yang kental saya tahan kesakitan tersebut. Begitulah pada hari-hari yang berikut dimana saya kehendaki membuat penerjunan sebanyak 7 kali termasuk 2 kali dengan alatan berat termasuk senjata. Selepas penerjunan kali pertama, saya dapat mengawal fikiran dan tindakan saya. Waktu inilah saya dapat pengalaman yang amat berharga.

Azizan Halifah

2006-07-17 04:37:21 GMT


1