Pegasus Blog
mantan PARA
Terlatah di saat-saat keluar Pesawat
photo

Hari ini merupakan hari yang penuh bersejarah bagi diriku. Hari ini aku akan melakukan penerjunan dalam hidupku. Di dalam hatiku berkecamuk perasaan takut dan gembira. Takut mungkin aku tidak akan bertemu lagi dengan orang-orang tersayang dan gembira kerana hari ini aku akan melakukan penerjunan kerana hampir sebulan aku menjalani latihan di Pusat Latihan Peperangan Khusus di Cawangan Para.

Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar suara tempekan Jurulatih Payung Terjun ku. Dia telah mengarahkan aku dan kawan-kawanku supaya memakai peralatan penerjunan. Hatiku semakin berdebar-debar. Setelah aku memakai peralatan penerjunan, aku diarahkan berbaris untuk pemeriksaan kali terakhir di bawah sebelum menaiki pesawat. Ketika jurulatih memeriksa peralatan ku, aku terdengar bunyi enjin pesawat, bunyi itu semakin lama semakin kuat samalah seperti di dalam dadaku, semakin lama semakin berdebar-debar.

Tiba-tiba aku ternampak sebuah pesawat C 130 meluncur laju mendarat di hadapan ku. Jurulatih ku mengarahkan aku dan kawan-kawanku menuju ke pesawat. Begitu berat kaki aku untuk melangkah, ingin saja rasanya aku berpatah balik. Aku ingatkan diri ku saja yang berasa begitu, setelah aku bertanya dengan kawan-kawan ku rupa-rupanya mereka pun mengalami perasaan yang sama seperti diri ku.

Langkah demi langkah aku teruskan jua hingga ke dalam pesawat. Setelah tiba di dalam pesawat hatiku berkata “Begini rupanya di dalam pesawat tentera macam dalam stor saja”. Aku pun duduk di tempat yang ditetapkan Dua minit kemudian pintu belakang pesawat itu ditutup pada ketika itu aku masih mampu bergurau dengan kawan-kawanku untuk menghilangkan rasa takut. Deruman enjin pesawat pun berbunyi dan pesawat pun berlepas. Kini aku di udara bukan lagi di daratan.

Walaupun keadaan begitu nyaman tetapi peluh telah mula membasahi tubuhku, tanganku menjadi sejuk dan badanku menjadi seram sejuk mungkin di sebabkan perasaan takutku semakin menebal. Keadaan yang sama juga dialami oleh kawan-kawanku yang lain. Keadaan di dalam pesawat sunyi dari suara manusia hanya terdengar bunyi deruman enjin pesawat.

Setelah hampir 15 minit di dalam pesawat aku terdengar satu suara yang mengarahkan supaya bangun. Aku dan kawan-kawanku bangun dengan pantas dan terus menyangkuk ‘statik line hook’ pada kabel yang terdapat di dalam pesawat. Pintu pesawat mula dibuka lampu dipintu telah menyala berwarna merah. Hatiku semakin berdebar-debar. Aku adalah penerjun keempat. Aku terdengar arahan “ke tempat bertindak... “ Kakiku begitu berat untuk melangkah seolah-olah terdapat bola besi yang telah mengikat kakiku. Ingin saja aku terus duduk dan tidak akan melakukan penerjunan tetapi walaupun berat ku teruskan jua bak kata pepatah “Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”.

Apabila lampu di pintu pesawat bertukar warna hijau, anggota pertama dilepaskan, diikuti yang kedua dan apabila sampai anggota ketiga iaitu anggota yang berada betul-betul dihadapan ku, dia telah melakukan kejutan. Dia dengan tiba-tiba tidak terus bergerak dan terus memegang bangku pesawat. Pelepas dengan bersungguh-sungguh cuba untuk menarik beliau. Setelah hampir lima belas minit dimana pesawat telah membuat satu pusingan, barulah anggota dapat ditarik oleh pelepas dan dilepaskan oleh pelepas.

Kini tibalah giliran ku pula untuk melakukan penerjunan. Apabila sampai ke pintu pesawat, kulihat jalanraya hanya sebesar batang lidi penyapu dan rumah sepeti sebuah kotak mancis. “Aku dapat rasakan badanku menjadi lemah, berderau darah dalam tubuhku. Aku seperti mahu duduk saja dihadapan pintu pesawat dan tidak akan melakukan penerjunan”.

Dalam aku sedang memikirkan perkara-perkara tersebut pelepas menepuk bahuku dan mengarahkan aku terjun. Pada ketika itu, aku hanya bertawakal pada Allah S.W.T, aku melangkah keluar dari pintu pesawat. Aku rasa seperti tidak bernyawa hampir tiga saat sebelum payung ku kembang. Setelah aku tamat membuat kiraan tiga ribu aku melihat payungku. Syukur ………!!! payungku berkembang dengan baik, kini aku melayang-layang di udara, Alhamdulillah aku dapat mendarat dengan selamat.

Pengalaman pertama ini tidak akan aku lupakan sampai bila-bila dan akan ku sematkan di dalam memori hidupku. Sesungguhnya hanya anggota para saja yang dapat mengalami pengalaman sepertiku didalam hidupnya. - NANZ

2007-04-09 12:50:23 GMT


1