Pegasus Blog
mantan PARA
Berakhirnya peristiwa ngeri
photo

Suasana pada pagi 4 Jan 1996 sungguh nyaman sekali. Kicauan burung dan bising deruan ombak memukul pantai Selat Melaka sudah menjadi lumrah bagi penghuni berek keluarga anggota tentera di kawasan kediaman berhampiran dengan kediaman ku. Selepas aku menunaikan solat subuh, aku turun ke ruang dapur untuk bersarapan pagi. Seperti biasa isteriku yang setia dengan tugas rutinnya telah pun menyediakan hidangan sarapan pagi untuk ku. Tapi tidak seperti hari-hari yang lain, pada pagi itu perut ku terasa agak kenyang. Aku hanya menghabiskan secawan air kemudian aku terus mencapai peralatan ku “ehh bang…… minum aje kenapa tak makan sikit” tegur isteri ku seperti tidak berpuas hati dengan cara ku yang agak berbeza seperti hari-hari biasa. “Ana ….. abang nak cepat ke tempat kerja hari ini”.

Sebenarnya aku telah memaklumkan lebih awal kepada isteriku yang aku akan ke Pahang untuk menjalani latihan penerjunan selama tiga hari. Isteriku yang lali dengan tugas-tugas lasak yang dilaksanakan oleh pasukan kami sebagai Pasukan Payung Terjun sudah tidak menampakan reaksi apa-apa lagi. Aku kagum dengan sikap isteriku yang tidak pernah membantah walaupun sering ditinggalkan.

Sewaktu aku tiba di tempat kerja, ku lihat sebahagian dari rakan-rakan seperjuangan ku telah sibuk menyiapkan dan memeriksan kelengkapan masing-masing. Berpandukan kepada jadual latihan, kami bergerak dengan kenderaan ke Lapangan Terbang Batu Berendam menaiki kenderaan secara ‘feri’ (ulang alik). Lebih kurang jam 8 pagi, kami telah bergerak ke Batu Berendam. Ketika kami tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, pesawat C 130 yang akan menerbangkan kami melaksanakan penerjunan ke kawasan latihan masih belum tiba, pesawat tersebut dijangka akan tiba pada jam 10.00 pagi. Kebiasaannya sebelum menaiki pesawat, kami akan dibahagikan nombor dan tempat di dalam pesawat.

Ketika menanti ketibaan pesawat aku sempat beristirehat sekejap di bahagian sudut khemah yang menempatkan peralatan payung terjun. Aku memerhati keluasan dan keindahan lapangan terbang Batu Berendam. Fikiran ku terbayang melawati bilah-bilah hari yang telah ku lalui. Tidak pernah ku bayangkan bahawa aku akan menjadi seorang yang berani, lasak dan berkhidmat sebagai seorang anggota payung terjun. Namun minat ku untuk menjadi anggota tentera tersirat sejak dari bangku sekolah lagi.

Ketika usiaku menjangkau ke lapan belas tahun, aku luahkan hasratku untuk menceburi tentera. Pertama sekali ku luahkan hasrat ini kepada teman wanita ku rohana namanya. Ketika itu aku dan Ana sedang dilamun cinta dan kami sering bertemu dipinggir tasik yang sering kunjungi pemancing ikan. “Ana abang rasa nak mohon kerja askar lah ….”. Lalu Ana merenung ke wajah ku sambil mengukir sekuntum senyuman yang cukup manis, sememangnya Ana seorang gadis kampung yang cukup manis dan ayu, sering menjadi bualan dan igauan rakan-rakan sebaya dengan ku. Entah bagaimana aku dapat menarik minat Ana, aku pun tidak pasti.

Mungkin sifat ‘gentlmen’ aku yang berani meluahkan isi hati ku padanya mendorong hati beliau untuk menerima ku sebagai temannya. “Az, kalau bolah Ana ingin sentiasa di sisi abang, Ana tak mahu kehilangan abang, Ana dengar dari sepupu Ana tu….. dia seorang anggota tentera, sepupu Ana beritahu bahawa tugas sebagai tentera ni …. Banyak cabaran dan isteri mereka sering ditinggalkan …….. Ana tak sangguplah berpisah dengan Abang”. Ku dengar rayuan Ana cukup hiba. “Ana, abang rasa daripada abang tinggal dikampung tanpa ada pekerjaan tetap, lebih baik abang masuk tentera, lagipun abang lihat anggota tentera ‘style lah …… cara hidup, berdisiplin”. Ana diam saja mendengar kata-kata ku ….. Aku memegang tangan ana lalu membelai jari-jari lembutnya.

“Ana, abang terlalu minat dengan tugas askar, izinkanlah abang masuk askar ye…? Ku lihat Ana merenung ku dengan penuh manja. Aku geram melihat wajah Ana, aku memeluk tengkuk Ana lalu merapatkan pipi ku ke pipi gebu Ana, bibir ku cuba mencari bibir Ana untuk memperolehi ……….

“Hoiii apa kejadah lagi tu …… terhegeh-hegeh, baris …. Pakai payung masing-masing”. Tiba-tiba ku dengar bagaikan halalintar suara garau memekik. Aku terpinga-pinga mencapai payung lalu berbaris. Lamunan indah sebentar tadi terus hilang bagaikan di tiup angin putting beliung. Tiba-tiba ku lihat dua buah pesawat Charlie 130 mendarat dengan meninggalkan bunyi dan bahang kepanasan serta menghala ke arah ku seolah-olah ingin membaham kami. Debaran perasaan ku memuncak dengan tiba-tiba. Bunyi enjin pesawat Charlie yang begitu kuat seolah-olah tiada kedengaran hilang dalam debaran jantung ku.

‘Pelepas” mengarahkan kami untuk bergerak ke pesawat masing-masing. Aku menaiki pesawat nombor dua, penerjun no 14 bergerak dengan beban alatan bersama payung terhoyong hayang ke pesawat.

Kesejukan penghawa dingin pesawat tidak dapat menghilangkan bahang kepanasan yang aku rasai, peluh jantan menitik bagaikan limpahan wap ‘heather’ yang sering ku gunakan ketika memasak mee maggie apabila bulan sudah tua. Pelbagai reaksi dapat dilihat ketika kami berada didalam pesawat, ada yang mulutnya terkumat-kumat membaca sesuatu, ada yang menjerit, menyanyi dan berbagai ragam dilakukan. Semuanya ini adalah bertujuan untuk mententeramkan perasaan. Kami bukan superman atau robot yang tidak mempunyai perasaan takut, penat atau sakit. Seandainya harimau yang garang sekalipun diletakkan di pintu pesawat disuruh terjun, harimau tersebut tak akan terjun. Apatah lagi insan seperti kami yang mempunyai perasaan.

Sepatutnya penerbangan kami memasuki kawasan penerjunan hanya mengambil masa 45 minit, tetapi disebabkan ‘tactical flying’, masa untuk sampai ke kawasan penerjunan memakan masa 2 jam. Tactical flying’ memang menyiksakan. Anggota akan merasa pening loya dan muntah-muntah sekiranya tidak mempersiapkan daya tahan yang kental.

Dalam keadaan yang berbagai reaksi, pelepas menunding tangan memberi isyarat menandakan 60 saat masa untuk diterjunkan. Ku rasa debaran jantung ku memuncak hebat. Wajah ibu dan anak isteri menjelma dalam bayanganku. Pintu pesawat di buka …… wauuu tiupan angin menunjah dengan lajunya mengisi perut pesawat, lajunya tiupan angin begitu lah kelajuan debaran jantungku. “Ya Allah, selamatkan diri ku”. Berat alatan yang dipikul sungguh menyiksakan, seolah-olah tak terdaya untuk memikul bebanan ini.

Go … Go … Gooo, tiba-tiba pelepas memekik, satu demi satu hilang dari perut pesawat dipukul angin. Ketika keluar dari pesawat sempat juga aku membuat perkiraan satu ribu … dua ribu … tiga ribu, check. Ku mendongak melihat payung, “Ya Allah, payung ku ‘ ‘twist’ panjang ‘fuhh’. Aku cuba membuat tindakan mengikut ‘drill’ yang telah dipelajari. Dalam perjalanan payung di udara yang agak laju dan payung kembang tidak baik, aku membuat keputusan untuk melucutkan alatan. Setelah alatan dilucutkan aku cuba lagi meleraikan tali payung yang terbelit, tiba-tiba saja aku terasa kaki tersangkut sesuatu dan menarik ku ke bawah. Baru ku sedari kaki ku tersangkut pada payung yang lain. Aku cuba meronta tetapi belitan tali pada kaki ku semakin kuat dan kepala ku terjunam ke bawah. Aku cuba untuk menggunakan payung cadangan tetapi keadaannya sukar disebabkan kedudukan payung tersebut berada betul-betul di atas muka ku. Ku cuba meronta-ronta dengan sekuat hati tetapi tidak berjaya. Hanya Allah sajalah yang maha mengetahui ketika itu, ketika aku berhadapan dengan suasana maut.

Ketika aku sampai ke bumi aku rasa bagaikan tubuh ku dihempap oleh sesuatu benda yang amat kuat. Aku cuba gerakkan anggota ku tetapi tidak berjaya. Setiap kali ku cuba bergerak ku terasa kesakitan yang amat sangat. Walaupun dalam keadaan sakit ku sempat melihat anggota disebelah (arwah) terdampar tanpa bergerak. Ku masih sedar ketika itu salah seoarang penerjun menghampiri ku … tetapi aku tidak ingat apa soalan yang ditanya. Sesaat selepas itu aku tidak ingat apa-apa lagi.

Setelah ku sedari, aku terdampar di hospital, pada waktu itu sempat menoleh susuk tubuh ‘arwah Helmi’ berada disebelah ku. Ketika itu beliau belum lagi meninggal dunia tetapi keadaannya amat kritikel. Ketika Panglima membuat lawatan, aku sempat memberi hormat walaupun dalam keadaan menahan kesakitan. Aku cuba bersuara tetapi tak berdaya.

Aku kemudiannya dipindahkan ke Hopital Kuala Lumpur. Sesampai di sana aku ditinggalkan bersendirian di bilik menunggu dalam jangka masa yang agak lama dan menahan kesakitan yang amat sangat. Pembedahan dilakukan pada jam empat pagi setelah doktor mengarahkan pandangan ke arah jam dinding. Katanya “Encik cuba lihat jam di dinding, jam sekarang menunjukan pukul 4 pagi, saya akan melakukan pembedahan ke atas encik, oleh itu encik ikut apa yang saya cakap,” Kemudian doktor tersebut melafaskan ucapan dua kalimah syaadah lalu aku turutkan melafaskannya. Sedetik selepas itu ingatan aku terus hilang sehinggalah aku dikejutkan kembali oleh doktor tersebut pada jam sembilan pagi apabila doktor tersebut sambil menuding jari ke arah jam dinding di wad pembedahan berkenaan. Ini bermakna aku tidak sedarkan diri selama 6 jam.

Keadaan semakin hari semakin pulih, aku menerima banyak tetamu yang datang melawat termasuklah sanak saudara yang terdekat. Kemudiannya aku telah dipindahkan ke 94 Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak. Selama 2 bulan aku dirawat dan menerima beberapa pembedahan untuk dimasukan 3 batang besi ke dalam badan ku.

2006-07-17 04:34:11 GMT


1