Assalamualaikum...Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Pustaka Hilmi.cjb.net..

 


::. Teori-teori Asas Perubatan Ibnu Sina -----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan izin-Nya, buku ini akhirnya berjaya juga disiapkan dan diterbitkan. Usaha penulisan buku ini sebenarnya bermula semenjak akhir tahun 1997 lagi apabila Tuan Haji Ismail b. Hj. Ahmad, Pengarah Urusan 1, HPA Industries Sdn. Bhd. meminta penulis menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb karangan Ibnu Sina dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Setelah berhempas pulas selama hampir dua tahun, penulis akhirnya berjaya menterjemah Bab Pertama dan Bab Kedua daripada Bahagian Pertama buku tersebut yang kesemuanya terbahagi kepada lima bahagian.

Bagaimanapun, pada masa itu penulis berpendapat penerbitan buku sulung yang berkaitan dengan perubatan Ibnu Sina ini haruslah merangkumi keseluruhan Bahagian Pertama yang terbahagi kepada empat bab, iaitu Subjek-Subjek Ilmu Perubatan, Penyakit, Penjagaan Kesihatan dan Kaedah Rawatan Secara Umum. Oleh itu, penulis meneruskan penterjemahan buku al-Qanun Fi al-Tibb sehinggalah penulis selesai menterjemah Bab Ketiga pada akhir tahun 2001.

Sepanjang tiga tahun penulis menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb ini, pelbagai pengalaman suka duka telah penulis tempuhi. Sukar untuk dinyatakan betapa susahnya penulis memahami pemikiran perubatan Ibnu Sina memandangkan teori-teori perubatan yang dikemukakan oleh Ibnu Sina sebahagiannya tidak lagi digunakan sekarang ini (walaupun mungkin masih relevan). Ada kalanya ketika penulis buntu dalam menyelesaikan masalah, pertolongan daripada Allah datang tanpa disangka-sangka. Hal ini menjadikan penulis semakin bersemangat untuk terus menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb .

Selepas menghabiskan terjemahan Bab Ketiga, ekoran rasa takjub penulis terhadap buku al-Qanun Fi al-Tibb , penulis mengambil keputusan untuk menterjemah buku tersebut secara sepenuh masa, semata-mata bagi tujuan memindahkan ilmu yang terdapat dalam buku tersebut ke dalam bahasa Melayu secepat yang mungkin. Hal ini kerana buku al-Qanun Fi al-Tibb telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia, termasuk Latin, Perancis dan Inggeris. Bagaimanapun, terjemahan ke dalam bahasa-bahasa tersebut dibuat dalam keadaan kurang cermat serta mempunyai banyak kesilapan dan ketidakseragaman. Justeru itu, penulis berazam menjadikan terjemahan buku al-Qanun Fi al-Tibb ke dalam bahasa Melayu merupakan terjemahan buku tersebut yang terbaik sekali.

Walau bagaimanapun, bagi merealisasikan hasrat tersebut, penulis memerlukan penaja sekurang-kurang bagi menampung perbelanjaan hidup penulis sepanjang tempoh yang penulis anggarkan selama lima hingga enam tahun. Oleh itu, sepanjang tahun 2002 dan 2003, penulis mula mencari penaja yang sanggup mengeluarkan modal bagi projek penterjemahan buku al-Qanun Fi al-Tibb ke dalam bahasa Melayu. Namun begitu, sehingga kini penulis gagal meyakinkan pihak-pihak tertentu tentang projek penulis tersebut, kemungkinan besar disebabkan perubatan Ibnu Sina ini masih terlalu asing bagi masyarakat negara ini, atau mungkin juga disebabkan kegagalan penulis mempromosikan aspek komersial dalam projek tersebut.

Walaupun gagal mendapatkan penaja, penulis tidak pernah berputus asa, malah semangat penulis semakin bertambah bagi mengembangkan perubatan Ibnu Sina di negara ini. Justeru itu, bermula awal tahun 2004, penulis mengambil keputusan untuk menerbitkan sendiri buku sulung berkaitan perubatan Ibnu Sina yang diberi judul “Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina” yang merupakan ringkasan kepada Bab Pertama dan Bab Kedua daripada Bahagian Pertama buku al-Qanun Fi al-Tibb .

Walaupun namanya ringkasan, namun isi kandungan asal yang dibuang hanyalah yang melibatkan unsur-unsur falsafah dalam perubatan, hal-hal yang tidak relevan dengan iklim, cuaca dan persekitaran di negara ini, hal-hal yang kurang penting dan perbincangan tentang anatomi. Bagaimanapun, penulis bercadang memasukkan perbincangan tentang anatomi tersebut ke dalam buku “Tatacara Penjagaan Kesihatan Tubuh Badan Menurut Ibnu Sina” yang akan diterbitkan selepas ini.

Melalui penerbitan buku ini penulis berharap pemahaman masyarakat terhadap perubatan Ibnu Sina akan meningkat dan seterusnya menambahkan minat pihak-pihak tertentu untuk membuat kajian tentang keberkesanan perubatan ini dalam merawat pesakit dan menyembuhkan penyakit. Rentetan daripada itu, penulis juga berharap akan ada pihak-pihak tertentu, khususnya tokoh-tokoh korporat yang akan berminat menaja projek penterjemahan buku al-Qanun Fi al-Tibb ke dalam bahasa Melayu.

Buku ini dibahagikan kepada empat bab. Bab Pertama membincangkan subjek-subjek ilmu perubatan yang perlu difahami sebaik mungkin oleh mereka yang ingin mengkaji perubatan Ibnu Sina. Bab Kedua membincangkan kategori-kategori penyakit, manakala Bab Ketiga membincangkan punca penyakit dan Bab Keempat pula membincangkan tentang gejala penyakit. Di sini, penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian agar membaca buku ini bermula dari awal Bab Pertama lagi. Hal ini kerana setiap perbincangan dalam buku ini berkait rapat antara satu sama lain. Kegagalan memahami perbincangan yang awal akan menyebabkan para pembaca gagal memahami perbincangan yang berikutnya.

Keadaan ini berlaku disebabkan terdapat banyak istilah yang berkaitan perubatan Ibnu Sina yang perlu difahami oleh para pembaca. Antaranya ialah unsur, mizaj, humor, tenaga, gejala suddah atau penyumbatan, gejala pengosongan, gejala ihtiqan atau pengurungan, pemecahan ikatan, organ-organ yang bersamaan komponen, organ alat, penyakit susunan, penyakit kompleks, penyakit ketidakelokan mizaj, sifat panas semulajadi, sifat basah semulajadi, sifat sejuk yang asing dan sebagainya. Oleh kerana istilah-istilah ini hampir keseluruhannya tidak terdapat dalam mana-mana buku perubatan mahu pun kamus perubatan, maka para pembaca perlu membaca buku ini helaian demi helaian bermula dari awal, kerana melalui cara tersebut sahajalah istilah-istilah bekenaan dapat difahami.

Penulis menyedari buku kerdil ini sudah pasti mepunyai banyak kelemahan dari pelbagai sudut. Sehubungan itu, penulis amat berbesar hati sekiranya para pembaca sekalian sudi memberi sebarang kritikan dan cadangan yang membina bagi memperbaiki lagi persembahan buku ini pada masa akan datang. Antara perkara yang dirasakan masih kurang dalam buku ini ialah perbandingan (perbezaan atau persamaan) antara perubatan Ibnu Sina dengan perubatan moden yang boleh dimuatkan di bahagian nota kaki. Begitu juga dengan gambar-gambar sisipan dan gambarajah-gambarajah yang dianggap sesuai dimasukkan dalam buku ini.

Akhir sekali, dalam kesempatan ini penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas Tuan Haji Ismail b. Hj. Ahmad, Pengarah Urusan 1, HPA Industries Sdn. Bhd., isteri beliau Puan Hajjah Norhayati bt. Ahmad, merangkap Pengarah Urusan 2, HPA Industries Sdn. Bhd., Puan Faridah bt. Samah, Puan Siti Nor Hajar bt. Abu Bakar dan seluruh kakitangan HPA Industries Sdn. Bhd. dan kakitangan Al-Wahida Marketing Sdn. Bhd. yang telah memberi kerjasama yang cukup baik sepanjang penulis berurusan semasa proses penterjemahan buku al-Qanun Fi al-Tibb .

Penulis juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada individu-individu yang telah banyak membantu penulis menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga terhasilnya buku ini, khususnya kepada Dr. Wan Abdul Kadir b. Wan Mohammad, Dr. Nik Mazian b. Nik Mohamad, Dr. Hanapi b. Mohd. Nor, Dr. Zabidi Azhar b. Mohd. Hussin, Ustaz Bachok @ Siddiq b. Hj. Kassim, saudari Noorul Balqis bt. Che Ibrahim, Ustaz Mohd. Sayuti b. Abdullah, dan Ustaz Ahmad Fadhli b. Shaari. Semoga Allah membalas jasa baik kalian semua.

DR. MOHD. HILMI B. ABDULLAH
11 Disember 2004 bersamaan 28Syawal 1425

Kemaskini: 6 October, 2006
 
Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1