Assalamualaikum...Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Pustaka Hilmi.cjb.net..

 


::. Petua-Petua Ibnu Sina Untuk Kaum Wanita --------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, seperti yang telah dijanjikan dalam buku ketiga sebelum ini, buku yang anda sedang tatapi ini adalah siri keempat daripada buku-buku yang berkaitan dengan Perubatan Ibnu Sina. Buku ini adalah terjemahan daripada bab yang ke-21 daripada Buku Ketiga daripada kitab al-Qanun Fi al-Tibb oleh Ibnu Sina yang pada keseluruhannya terbahagi kepada lima buah buku. Terjemahan untuk Buku Pertama telah pun selesai melalui tiga buah buku penulis sebelum ini, iaitu Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina , Tatacara Penjagaan Kesihatan Menurut Ibnu Sina , dan Rawatan Umum Dalam Perubatan Ibnu Sina .

Seperti yang telah dijelaskan dalam buku-buku sebelum ini, Buku Ketiga daripada kitab al-Qanun Fi al-Tibb memberi penumpuan kepada rawatan khusus bagi setiap penyakit yang berkaitan dengan organ-organ tubuh badan, termasuk organ pembiakan wanita. Oleh itu, buku ini mengandungi cadangan-cadangan Ibnu Sina tentang kaedah-kaedah rawatan bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan organ pembiakan wanita, khususnya rahim.

Antara kaedah rawatan yang dijangka mengundang kontroversi pastinya ialah cadangan Ibnu Sina berkaitan peng-gunaan arak dan najis haiwan dalam merawat penyakit. Dalam siri kedua sebelum ini, penulis telah pun menjelaskan bahawa Ibnu Sina menulis kitab al-Qanun Fi al-Tibb bukan sahaja untuk digunapakai oleh orang-orang Islam sahaja, malah untuk digunapakai juga oleh orang-orang bukan Islam. Oleh itu, seba-gai orang Islam, kita hendaklah menyaring semula segala cada-ngan yang dikemukakan dan memilih hanya kaedah rawatan yang menepati hukum syarak sahaja.

Sementara itu, melihat kepada kaedah-kaedah rawatan yang dikemukakan oleh Ibnu Sina, termasuk ubat-ubatan yang digunakan, penulis merasakan sudah sampai masanya masyara-kat negara ini melakukan kajian berkaitan perkara tersebut dan memanfaatkan semaksimum mungkin kebaikan-kebaikan yang terdapat di sebalik kaedah-kaedah rawatan dan ubat-ubatan yang digunakan.

Kaedah perdarahan, pencaharan, enema, supositori, syiafah, penggunaan tab mandi, pembakaran kemenyan, dan sebagainya perlu diperkenalkan dan diperkembangkan bagi meningkatkan lagi mutu perubatan dan penjagaan kesihatan di negara ini. Begitu juga dengan penggunaan tumbuh-tumbuhan herba yang sebahagiannya mungkin masih belum dilakukan kajian oleh mana-mana pihak.

Semasa menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb , penu-lis pastinya berhadapan dengan masalah untuk memilih padanan yang paling tepat bagi sesuatu perkataan dalam bahasa Arab, khususnya semasa menterjemah tumbuh-tumbuhan herba yang dinyatakan oleh Ibnu Sina. Hal ini kerana terdapat banyak tumbuhan herba yang diterjemahkan dengan perkataan yang sama dalam bahasa Inggeris, sehingga penulis terpaksa mengambil masa yang lama dan membuat beberapa kali pindaan bagi memastikan terjemahan yang paling tepat.

Contohnya perkataan الدار صيني , سـليخة dan قرفة diter-jemahkan dengan perkataan yang sama, atau hampir sama dalam bahasa Inggeris, iaitu sama ada cinnamon, true cinna-mon, atau Chinese cinnamon. Setelah melakukan sedikit kajian dan merujuk kepada beberapa buah kamus, maka penulis telah membuat keputusan perkataan الدار صيني diterjemahkan sebagai Sarandib cinnamon, perkataan سـليخة sebagai kayu manis Cina atau Chinese cinnamon, manakala perkataan قرفة diterjemah-kan sebagai true cinnamon atau cinnamon sahaja.

Sehubungan itu, penulis mengalu-alukan pandangan dan kritikan daripada para pembaca, khususnya yang mahir dalam perkara ini, agar segala kesilapan dan kelemahan yang terdapat dalam buku ini dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Segala teguran dan pandangan akan diberi perhatian oleh penulis, khususnya ketika menghasilkan buku-buku dalam siri Perubatan Ibnu Sina selepas ini .

Akhir sekali, penulis ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu penulis menterjemah buku al-Qanun Fi al-Tibb dan seterusnya menghasilkan buku ini, sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung. Semoga Allah membalas jasa kalian semua.

 

DR. MOHD. HILMI B. ABDULLAH
4 April 2008 bersamaan 27 Rabi‘ul Awwal 1429


Insya Allah, selepas ini penulis akan menghasilkan pula buku berjudul Petua-Petua Ibnu Sina Untuk Kaum Lelaki .

Kemaskini: 20 June, 2008
 
Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1