Assalamualaikum...Selamat Datang Ke Laman Web Rasmi Pustaka Hilmi.cjb.net..

 


::. Antodologi Cerpen Poligami ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Penggunaan penulisan kreatif seperti cerpen sebagai medium dakwah dan penyampaian idea bukanlah suatu perkara baru dalam sejarah ketamadunan manusia. Dalam al-Quran sendiri terdapat banyak cerpen yang mengisahkan tentang sejarah hidup para rasul, nabi, golongan salihin dan tokoh-tokoh tetentu untuk dijadikan panduan bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.

Antara topik utama yang dibincangkan dalam antologi ini ialah isu poligami, khususnya dari sudut pandangan orang lelaki. Penulis memilih isu ini untuk diketengahkan memandangkan isu poligami yang terdapat dalam cerpen-cerpen sebelum ini kebanyakannya ditulis oleh penulis wanita. Pendekatan yang digunakan oleh penulis-penulis wanita tersebut pula kebiasaannya berbentuk steriotaip, yakni dengan maksud menyalahkan golongan lelaki yang kebiasaannya bertindak tidak adil setelah berpoligami, malah kerap kali melakukan kezaliman dan penindasan terhadap golongan wanita ekoran isu tersebut.

Penulis menyedari terdapat banyak lagi pemikiran golongan lelaki berkaitan isu poligami yang tidak diketengahkan dalam antologi ini. Selain kesuntukan masa, penulis juga menghadapi masalah mencari jalan cerita terbaik untuk tujuan tersebut. Daripada lima belas buah cerpen penulis dalam antologi ini, sekurang-kurangnya empat buah cerpen bertemakan poligami, iaitu Poligami, Paradoks, cerpen Aku, Ayah, Ibu dan Mama dan Trauma. Selain itu, terdapat beberapa buah lagi cerpen yang temanya bercampur aduk antara poligami dan isu-isu sosial yang lain.

Cerpen-cerpen yang terdapat dalam antologi ini sebahagiannya telah pun disiarkan dalam beberapa buah akhbar dan majalah sebelum ini. Cerpen Poligami telah disiarkan oleh majalah Anis keluaran April 2001, Amri, Amira (Berita Harian, 16 Jun 2001), Tok Guru Haji Saleh (Al-Waraqah, Ogos & September 2001), Paradoks (Jendela Timur, Disember 2003), Aku dan Hasliza (Jendela Timur, Disember 2004), Perjuangan Ayah (Al-Qiadah, 2001), Klon (Al-Qiadah, 2002) dan Lelaki Muslim Terakhir (Al-Qiadah, 2003).

Dalam menghasilkan antologi ini, penulis menyedari risiko yang terpaksa dihadapi. Antara risiko tersebut ialah persepsi pembaca yang menganggap cerita-cerita yang terdapat dalam antologi ini adalah kisah benar yang dihadapi oleh penulis sendiri, khususnya yang berkaitan dengan isu poligami. Jika itu persepsi pembaca, penulis tidak mampu berbuat apa-apa. Terpulanglah. Bagi penulis, satu sahaja. Jika penulis takut untuk berhadapan dengan risiko, bermakna awal-awal lagi penulis tidak layak untuk menjadi penulis dalam erti kata yang sebenarnya.

Akhir sekali, penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas individu-individu yang telah banyak membantu penulis sepanjang penulis menghasilkan antologi ini. Daripada para pembaca sekalian pula penulis mengharapkan teguran dan kritikan yang membina agar segala kelemahan yang terdapat dalam antologi ini akan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

DR. MOHD. HILMI B. ABDULLAH
2 November 2005 bersamaan 29 Ramadhan 1426

 

Kemaskini: 6 October, 2006
 
Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1