KENAPA MESTI GLAMOUR ?

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
[email protected]

 

 
Tanyalah siapa sahaja. Semua orang mahu jadi glamor dan popular. Sudah ‎menjadi fitrah manusia mahu diberi perhatian, dihormati, dipuji, disanjung, dan dipuja. ‎Bayangkan jika anda diberi peluang berjalan di atas red carpet. Semua mata dan lensa ‎kamera memberi fokus terhadap diri anda. Anda pasti akan berjalan dengan penuh ‎bergaya, bersama senyuman yang melebar, dan mungkin sedikit kembang hidung.‎        

Glamor tidak mengenal sesiapa. Semua orang berpotensi untuk menjadi glamor, ‎tanpa mengira bangsa, warna kulit, bentuk fizikal tubuh, orang biasa atau anak raja, mahu ‎pun tahap pendidikan dan kemahiran seseorang. Yang penting, anda mesti berusaha ‎untuk menjadi glamor, walaupun kadang-kadang terpaksa melakukan sesuatu yang bodoh, ‎membazir, memalukan, dan mengundang fitnah, termasuklah menggadai maruah ‎sekalipun. Peribahasa Arab ada menyebut ; “Lakukanlah perkara yang pelik, anda pasti ‎akan dikenali”.‎

Dalam dunia moden hari ini, glamor menjanjikan kemasyhuran dan kekayaan, dan ‎mungkin juga kejayaan, walaupun dalam perspektif yang kabur. Lihatlah penyanyi, ‎pelakon, dan bintang sukan yang terkenal. Semua mereka menjadi kaya-raya lantaran ‎imej mereka yang popular di mata masyarakat. Semua syarikat daripada yang bertaraf ‎enterprise dan trading sehinggalah kepada yang bertaraf multi-nasional dan antarabangsa, ‎masing-masing berlumba-lumba menjadikan bintang-bintang popular ini sebagai model ‎barangan atau perkhidmatan yang mereka tawarkan.‎

Lupakan tahap pendidikan dan ilmu yang mereka ada. Pejamkan mata buat ‎seketika tentang isu moral dan akhlaq bintang-bintang tersebut. Yang pentingnya mereka ‎boleh menjadi jurucakap yang mampu menghafal skrip yang telah disediakan. Dan yang ‎lebih penting lagi, mereka mampu mempengaruhi masyarakat supaya mempercayai ‎kebaikan, kecanggihan, kemujaraban, keunikan, dan keabsahan produk-produk yang ‎dipromosikan dan diiklankan oleh mereka.‎

Justeru itu, tidak hairanlah jika uji bakat bagi mencari bakat baru dalam bidang ‎nyanyian sepuluh kali ganda lebih ramai daripada jumlah mereka yang menghadiri uji ‎bakat bagi program realiti Akademi Al-Quran. Sebahagian besar yang hadir berangan-‎angan untuk menjadi penyanyi dan seterusnya mengecapi kehidupan yang penuh glamor, ‎sedangkan sebahagian daripada mereka langsung tidak mempunyai bakat, sehinggakan ‎terdapat juri yang tidak teragak-agak menyebut ; “Saya rasa kami sebulat suara memilih ‎untuk menyingkirkan kamu daripada pertandingan ini”.‎

Maaf jika saya menyebut bahawa budaya glamor yang berlaku sekarang ini ‎sebenarnya adalah budaya kuning yang diimport dari barat, khususnya Hollywood. ‎Budaya ini langsung tidak ada kena mengena dengan budaya Melayu, apatah lagi agama ‎Islam. Siapa yang mula-mula sekali mensensasikan kisah kehidupan para artis, termasuk ‎kisah perceraian dan pergolakan rumah tangga artis kalau bukan Hollywood. Bukankah ‎Hollywood yang telah memperkenalkan red carpet dengan imej-imej serta simbol-simbol ‎kemegahan dan kemewahan yang melingkarinya.‎

Akhirnya kita di sini menganggap itulah simbol prestij, kemegahan dan glamor ‎yang seharusnya diikuti oleh artis-artis negara ini. Maka ramailah artis yang mula berani ‎berkemban semasa melalui red carpet. Mereka merasa megah apabila betis putih mereka ‎menjadi perhatian para hadirin, pinggang rampin mereka mampu menawan VIP-VIP ‎yang ternama, dan kepadatan serta penonjolan buah dada mereka menarik perhatian lensa ‎kamera para wartawan. Mungkin itulah makna di sebalik cogankata “artis adalah milik ‎masyarakat” pada pandangan mereka.‎

Sama ada disedari atau tidak, dunia glamor sebenarnya telah membunuh ramai ‎individu-individu terkenal sebelum ini. Siapa yang tidak kenal dengan Marilyn Monroe, ‎James Dean, Elvis Presly, John Lennon, Lady Diana, George Best, dan yang terbaru ‎Anna Nicole Smith. Kesemua mereka mati angkara sumpahan glamor dan populariti yang ‎menghambat diri mereka setiap hari dan setiap waktu.‎

Bahagiakah agaknya kehidupan seharian Paris Hilton, Britney Spears, Putera ‎Harry, Elizaberth Taylor, Wayne Rooney, Malika Sherawat, Bipasha Basu, dan banyak ‎lagi selebriti Hollywood dan Bollywood yang senasib dengan mereka. Bahagia apa ‎namanya kalau terpaksa menggunakan dadah untuk menenangkan fikiran, menelan pil ‎tidur untuk melelapkan mata, meneguk najis arak untuk berseronok, meniduri pelacur ‎untuk memuaskan nafsu, dan menghadiri parti-parti liar untuk melupakan masalah yang ‎berlaku.‎

Itu yang berlaku di tempat orang. Di negara ini skrip yang lebih kurang sama juga ‎berlaku. Lupakah anda peristiwa yang berlaku kepada Along, vokalis kumpulan Spoon ‎yang mati dibunuh akibat cemburu. Ingatkah lagi bahana populariti yang menimpa ‎Noralbaniah, Datin Normala Shamsudin, Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, ‎Sheila Majid, Noraniza Idris, Jamal Abdillah, Awie, dan yang terbaru, siapa lagi kalau ‎bukan Asmawi Ani.‎

Kalau pun tidak hampir memusnahkan kehidupan dan kerjaya artis-artis popular ‎tersebut, populariti yang mereka kecapi sekurang-kurangnya telah mendatangkan ‎masalah dan kesusahan kepada diri, keluarga, dan insan-insan yang berada di sekeliling ‎mereka. Nasib baiklah wartawan-wartawan di negara ini tidaklah seteruk dan segila ‎paparazzi di negara-negara barat. Kalau tidak, saya tidak boleh bayangkan apa yang akan ‎berlaku. Mungkin ada yang akan membunuh diri dek masalah yang dicipta oleh mereka ‎sendiri.‎

Dalam hal ini saya tabik kepada wartawan-wartawan hiburan tanah air. ‎Sebahagian besar daripada mereka masih lagi berpegang kepada etika kewartawanan ‎untuk tidak mendedahkan identiti selebriti-selebriti yang dikesan melakukan keaiban ‎yang melampau. Walaupun gambar selebriti tersebut yang berbikini di tepi pantai ‎disiarkan, muka mereka digelapkan supaya gagal dikenalpasti oleh pembaca. Walaupun ‎kisah artis yang berpacaran dengan suami orang didedahkan di akhbar, orang ramai ‎masih gagal mengesan individu sebenar yang terlibat.‎

Semuanya ini bukan bertujuan untuk memalukan mahu pun menjatuhkan sesiapa, ‎malah tidak lain untuk memberi peluang dan masa bagi artis dan selebriti tersebut ‎bertaubat, insaf, dan seterusnya memperbaiki kelemahan diri, di samping menyelesaikan ‎masalah yang berlaku. Yang sudah tu, sudahlah. Jangan kita terikut-ikut dengan budaya ‎glamor yang sudah sebati di negara-negara barat. Kita ada agama, nilai-nilai moral, dan ‎adab-adab ketimuran yang mesti dijaga.‎

Justeru itu, kita merasa sedikit keliru apabila ada pihak-pihak tertentu yang ‎seolah-olah mahu menghidupkan dan mempopularkan budaya glamor ini. Apa perlunya ‎artis dan selebriti terkenal dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular, Pelakon TV ‎Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, dan sebagainya sehinggalah kepada ‎gelaran yang paling diidam-idamkan, iaitu Artis Paling Popular.‎

Jangan kata anugerah tersebut bertujuan untuk memartabatkan dunia seni dan ‎hiburan tanah air. Jangan kata hadiah dan wang tunai yang diberikan sebagai menghargai ‎jasa artis-artis tesebut dalam menghidupkan industri hiburan negara. Jangan pula berdalih ‎kononnya anugerah tersebut diadakan bagi membolehkan para peminat memilih dan ‎menentukan kedudukan artis-artis yang mereka minati dalam kategori-kategori yang ‎tertentu.‎

Tidak cukupkah dengan program-program seperti Anugerah Industri Muzik, ‎Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin, dan Juara Lagu bagi tujuan di atas. Apakah ‎kayu ukur yang digunakan oleh peminat berbanding juri profesional dalam menentukan ‎populariti seseorang artis. Adakah mutu lakonan, kemantapan vokal, hasil kerja seni yang ‎dilakukan, dan budi pekerti yang diutamakan. Atau mungkin kecantikan, ketampanan, ‎bentuk tubuh, skandal, dan pergolakan dalam cinta yang diambil kira.‎

Justeru itu, tidak hairanlah jika ucapan bintang-bintang popular semasa menerima ‎anugerah pada malam tersebut menerima kritikan yang pedas daripada para wartawan ‎dan pengkritik seni tanah air. Ada yang terlalu ghairah, ada yang mempromosikan diri ‎sendiri, ada yang mengucapkan terima kasih tidak kena pada tempatnya, dan ada yang ‎menyindir rakan seperjuangan.‎

Sepatutnya mereka ini mengucapkan terima kasih kepada para peminat. Meminta ‎para peminat agar tidak terlibat dalam industri cetak rompak, sama ada membeli mahu ‎pun menjual cakera padat cetak rompak. Sepatutnya bintang-bintang popular tersebut ‎mengambil kesempatan mendidik masyarakat supaya menghargai dan menonton filem-‎filem yang bermutu, bukan sekadar bergelak ketawa menonton komedi-komedi bodoh ‎yang ditayangkan.‎

Sayang sekali pada malam tersebut tidak ada seorang pun bintang popular yang ‎mengeluarkan ucapan yang lebih kurang seperti berikut : “Saya begitu teruja sekali pada ‎malam ini kerana diberi peluang berjalan di atas red carpet. Namun entah kenapa tiba-‎tiba diri ini terasa begitu kerdil kerana memikirkan nasib saya apabila berjalan di titian ‎siratal mustaqim di hadapan Allah di hari akhirat kelak. Walaupun pada malam ini saya ‎diangkat sebagai bintang popular, anugerah tersebut bukanlah sesuatu yang saya kejar ‎dalam hidup dan kerjaya saya. Bagi saya, apa yang lebih penting ialah apa yang kita ‎tinggalkan untuk manusia dan kemanusiaan. Sekian, terima kasih”.‎

 

* Penulis adalah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan. Nama Penuh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
I/C : 690823 – 03 – 5011
Alamat : PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok, 16450 Ketereh, Kelantan.
Tel. : 013 – 9205011
E-mail : [email protected]

 

Kemaskini: 23 Ogos, 2007


Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1