886 : 887, APA MAKNANYA?

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
[email protected]

 

 
Hanya seorang sahaja daripada 887 orang pelajar remaja perempuan yang ‎ditemuramah mengaku belum pernah mengadakan hubungan seks. Sama ada kita percaya ‎atau pun tidak, itulah angka yang diberitahu kepada kita oleh seorang pensyarah dari ‎Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalankan kajian tentang hubungan seks ‎sebelum kahwin bagi remaja-remaja perempuan yang dikenal‏ ‏pasti berisiko tinggi ‎terbabit dalam kes-kes seperti itu.‎        

Bagi sesetengah pihak, dapatan kajian seperti di atas, jika benar sekalipun, ‎sepatutnya tidak didedahkan kepada umum, kerana dibimbangi akan mengundang ‎keresahan di kalangan masyarakat, terutamanya ibu bapa. Justeru itu, tidak pelik ‎sekiranya terdapat pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mempertikaikan kredibiliti ‎kajian tersebut, termasuk meragui data-data yang dikemukakan, kaedah dan metodologi ‎pengumpulan data, dan jumlah sebenar yang terlibat, malah mempersoalkan makna seks ‎dalam kajian itu sendiri.‎

Lupakan dahulu tentang kesilapan taip yang berlaku dalam kajian tersebut, kerana ‎isu remeh-temeh tersebut bukannya persoalan kita di sini. Lupakan dahulu jumlah ‎sebenar yang terlibat dengan andaian terdapat sebahagian daripada responden tersebut ‎bercakap bohong. Namun yang menjadi persoalannya di sini ialah hakikat bahawa ‎hubungan seks di kalangan remaja sememangnya berlaku, telah dan sedang berlaku. ‎Kenapa dan mengapa gejala ini boleh berlaku ? Jawapannya, pasti bukan sehala sahaja, ‎kerana isu ini saling berkaitan dengan isu-isu yang lain.‎

Secara fitrahnya manusia diciptakan untuk saling mengenali pasangan masing-‎masing. Bagi remaja lelaki, perasaan ingin mengetahui anggota sulit perempuan pastinya ‎meluap-luap sesudah bergelar akil baligh. Kalau dahulu remaja lelaki selalu dilihat ‎mengendap orang perempuan mandi di sungai atau perigi, namun kini dengan teknologi ‎yang canggih, alternatif kepada perbuatan tersebut berlambak-lambak.‎

Di pasar malam, video lucah boleh didapati dengan begitu mudah dan murah ‎sekali. Di internet, akses kepada laman web lucah bukanlah sesuatu yang sukar, ‎walaupun kerajaan mendakwa telah berusaha untuk menghalangnya. Dan kini, dengan ‎wujudnya telefon bimbit berkamera, gambar wanita bogel dan aksi-aksi yang ‎mengghairahkan boleh sahaja dirakam dan kemudiannya disebarkan melalui ‎Perkhidmatan Pesanan Multimedia (MMS).‎

Bagi remaja perempuan pula, keinginan yang sama seperti remaja lelaki juga ‎mungkin wujud, namun biasanya dalam keadaan terkawal, serta diimbangi perasaan takut ‎untuk mencuba dan sifat semulajadi mereka yang pemalu. Bagaimanapun, golongan ini ‎mudah menjadi mangsa keadaan lantaran pergaulan bebas dengan rakan-rakan lelaki ‎yang kebiasaannya akan mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kejujuran teman ‎wanita mereka.‎

Banyak kes yang kita dengar remaja perempuan diberi minum air yang telah ‎dicampur dengan pil kuda bagi mengkhayalkan dan merangsang keinginan seks mereka. ‎Ketika dalam keadaan tidak sedar atau separuh sedar itulah, remaja tersebut menjadi ‎mangsa rogol dan rakaman gambar aksi bogel. Akhirnya mereka menjadi mangsa touch ‎‎‘n’ go dan terperangkap dalam lingkaran ganas yang mengelilingi mereka.‎

Sebahagian daripada remaja terbabit mengambil sikap berdiam diri lantaran malu ‎dengan peristiwa yang berlaku, manakala sebahagian yang lain pula mungkin terpaksa ‎dan dipaksa untuk terus terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Bagaimanapun, tidak ‎mustahil terdapat sebahagian daripada mereka yang mulai seronok dan gian dengan apa ‎yang berlaku, lalu tidak segan-segan menjadi minah rempit dan perempuan simpanan ‎bagi teman lelaki mereka.‎

Selain itu, desakan hidup untuk kelihatan bergaya dan menarik juga sedikit ‎sebanyak turut menyumbang kepada hubungan seks di kalangan remaja perempuan. ‎Siapa yang tidak mahu memiliki telefon bimbit tiga dimensi, memakai pakaian dan ‎perhiasan yang berjenama terkenal, serta menikmati juadah di hotel-hotel dan restoran-‎restoran lima bintang. Semuanya ini mudah diperolehi oleh remaja-remaja terbabit ‎lantaran kini semakin banyak terdapatnya sugar daddy yang masing-masing diketahui ‎mempunyai masalah dengan isteri di rumah.‎

Di zaman yang serba canggih ini, risiko untuk mengandung akibat hubungan seks ‎luar nikah mungkin sudah tidak menjadi suatu yang membimbangkan lagi bagi remaja-‎remaja perempuan yang berisiko tinggi tersebut. Mereka mungkin telah dipujuk oleh ‎teman lelaki mereka yang berjanji untuk menggunakan kondom semasa melakukan ‎hubungan seks tersebut.‎

Jika ditakdirkan mengandung juga, jangan bimbang, sekarang ini terdapat pil ‎yang boleh menggugurkan kandungan yang boleh didapati dengan mudah di farmasi-‎farmasi dan kedai-kedai ubat Cina. Jika petugas di farmasi A enggan menjual pil tersebut ‎kerana kegagalan anda mengemukakan preskripsi doktor, pergi sahaja ke farmasi X. Jika ‎gagal mendapatkan pil tersebut melalui pintu hadapan, sekali lagi jangan bimbang, pintu ‎belakang ternganga luas.‎

Kemudian, jika pil yang dimakan gagal menggugurkan kandungan haram tersebut, ‎jangan panik, doktor-doktor palsu yang berkhidmat di klinik-klinik swasta bersedia ‎sepanjang masa membantu anda, asalkan anda sedia membayar perkhidmatan yang ‎ditawarkan. Bukan setakat doktor-doktor palsu sahaja, malah doktor-doktor yang ‎kononnya tulen, tetapi tidak pernah serik melacurkan etika kedoktoran mereka juga ‎bersedia mengatasi masalah kehamilan remaja-remaja perempuan terbabit.‎

Dalam hal ini kita dapati ibu bapa mungkin langsung tidak mengetahui bahawa ‎anak gadis mereka sebenarnya sudah tidak sunti lagi. Oleh itu, pendedahan kajian ini ‎kepada umum sekurang-kurangnya akan menyedarkan ibu bapa tentang kemungkinan ‎anak-anak mereka juga mungkin terlibat dalam kes-kes seperti ini. Maklumlah ibu bapa ‎sekarang ini tidak mempunyai banyak masa untuk mengawasi pergerakan dan kegiatan ‎anak-anak mereka kerana kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing.‎

Maka jelaslah kepada kita sekarang ini bahawa masalah ini saling berkait rapat ‎dengan masalah-masalah yang lain. Justeru itu, penyelesaian kepada masalah ini mestilah ‎secara menyeluruh, bukannya terarah kepada para remaja sahaja. Dalam hal ini, terdapat ‎cakap-cakap yang menyarankan agar pendidikan seks diperkenalkan di sekolah-sekolah ‎sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini.‎

Bagaimanapun, kita mempunyai sebab untuk merasa bimbang seandainya ‎kurikulum pendidikan seks tersebut sebahagian besarnya diambil dari barat. Hal ini ‎kerana pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja setakat mengajar para pelajar supaya ‎menjauhkan diri daripada melakukan zina, malah mendekati zina pun sudah dianggap ‎sebagai satu kesalahan dan dosa besar. Begitu juga, tidak memadai jika kita hanya ‎memberitahu para remaja bahawa penyakit AIDS boleh dielakkan jika mereka memakai ‎kondom semasa melakukan hubungan seks.‎

Pendidikan seks dalam Islam yang biasanya dibincangkan dalam kitab-kitab fikah ‎sebenarnya sudah lengkap dan menyeluruh. Pertama sekali ibu bapa diingatkan agar ‎memisahkan tempat tidur mereka dengan anak-anak, dan tempat tidur antara anak-anak ‎lelaki dengan anak-anak perempuan, iaitu selewat-lewatnya ketika anak-anak berumur 7 ‎tahun. Anak-anak juga hendaklah dididik supaya mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum ‎memasuki bilik tidur ibu bapa mereka.‎

Kemudian, anak-anak tadi diajar tentang tanda-tanda baligh bagi kanak-kanak ‎lelaki dan perempuan, dan tanggungjawab mereka setelah mencapai umur tersebut. ‎Mereka juga diajar tentang batas-batas aurat bagi lelaki dan perempuan, serta batas-batas ‎pergaulan antara kedua-duanya. Selain itu, mereka juga diminta menjaga pandangan ‎mereka daripada melihat perkara-perkara yang tidak baik, di samping bertanggungjawab ‎menjaga kehormatan diri masing-masing.‎

Islam juga menekankan tentang peri pentingnya perkahwinan, serta memudahkan ‎jalan ke arah perkahwinan dengan memberi perhatian terhadap keberkatan di sebalik mas ‎kahwin yang rendah, pemilihan bakal isteri dan suami yang berasaskan kepada agama, ‎dan tanggungjawab yang wajib dipikul sama ada oleh isteri mahu pun suami. Sebelum itu, ‎Islam tidak lupa mengajar umatnya tentang adab-adab semasa bertunang, termasuk ‎mengharamkan meminang anak gadis yang telah disunting.‎

Oleh itu, pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja merangkumi hubungan antara ‎lelaki dengan perempuan, tetapi turut melibatkan ibu bapa, masyarakat, pemerintah, dan ‎yang pentingnya, tanggungjawab masing-masing pihak terhadap diri, pasangan mereka, ‎dan Allah s.w.t. Sehubungan ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran ‎disarankan agar menyusun semula kurikulum yang sedia ada, termasuk memikirkan ‎semula kaedah pengajaran dan pembelajaran berkaitan pendidikan seks dengan ‎mengambil kira perkembangan yang berlaku pada hari ini.‎

Sekali lagi, jangan kita berbalah tentang angka, kerana sebelum ini pun kita telah ‎acap kali berbalah tentang angka. Hasilnya, bukan sahaja punca kepada masalah tersebut ‎gagal ditangani, malah angka tersebut pula semakin bertambah tahun demi tahun. Jangan ‎tanya orang lain, tanya diri kita sendiri. Apakah yang telah kita lakukan bagi mengubah ‎angka-angka tersebut menjadi sifar ?‎

 
 

* Penulis adalah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan. Nama Penuh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
I/C : 690823 – 03 – 5011
Alamat : PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok, 16450 Ketereh, Kelantan.
Tel. : 013 – 9205011
E-mail : [email protected]

 

Kemaskini: 23 Ogos, 2007


Hakcipta terpelihara© [email protected] -- PT 184, Kg. Padang Lepai, Kadok 16450 Ketereh, Kelantan
Hosted by www.Geocities.ws

1