Singapura sememangnya pusat penting perkembangan sastera Melayu semenjak zaman kegemilangan sastera Melayu Klasik ke zaman Abdullah Munsyi dan berterusan sehingga tertubuhnya ASAS 50. Selepas kemerdekaan, kegemilangan bertukar pudar. Berikut adalah pendirian peribadiku mengenai Sastera Melayu Singapura dan permasalahannya.

 

Hilang Mungkin Berganti. - Elmi Zulkarnain.

                                                        

            Masyarakat Melayu setempat haruslah sentiasa diperingatkan tentang salsilah mereka, warisan jati diri mereka. Dengan selantang suara, berani dinyatakan di sini bahawa Melayu Singapura sudah mula lupa akan akar mereka. Dengan melandanya badai globalisasi yang menghakis kebudayaan kita, ramai anak bangsa Melayu, lebih-lebih lagi generasi muda Melayu yang mula mempersendakan tradisi kerana terlalu mengagung-agungkan akal budi dan bahasa asing. Tiada salahnya sekiranya kita mengambil Barat sebagai contoh jika seandainya anak muda dipupuk dan diajar terlebih dahulu agar beriman kepada konvensi budaya sendiri. Maka dengan demikian, mereka akan dapat menilaikan dan membezakan antara nilai positif dan membidas nilai negatif. Malangnya, ada sesetengah ibu bapa yang sanggup mengetepikan bahasa Melayu dan menggalakkan kecenderungan terhadap bahasa Inggeris. 

 

            Hilang bahasa, tenggelamlah budaya. Mana mungkin sastera Melayu kembali ke puncaknya? Walaupun ada pihak yang bertungkus lumus memperkenalkan kembali kepentingan sastera dan bahasa (melalui bengkel kesusasteraan, menganjurkan sayembara, peraduan penulisan dsb) tetapi masyarakat seakan masih lentuk dan enggan ikut sama berjuang atau sekurang-kurangnya menyokong. 

 

Ruang kesusasteraan yang semakin sempit juga menyukarkan usaha-usaha menyemarakkan persada seni penulisan. Ruang yang dikhaskan pihak akhbar (wadah tetap kesuasteraan) untuk karya penulisan kreatif dan esei juga terbatas. Setakat 2-3 kuntuman puisi, sebuah cerpen dan esei kritikan yang pendek dimuatkan dalam 2 halaman termasuk halaman karya remaja (diselitkan pula iklan-iklan yang tiada kaitan langsung dengan kesusasteraan) menjadi juadah yang tidak mengenyangkan pada hujung minggu. (Mungkin lebih banyak karya yang diterbitkan menghiasi halaman-halaman suratkhabar pada Zaman Jepun jika dibandingkan dengan sekarang).

 

Karya-karya yang berbentuk eksperimental juga kurang diketengahkan. Jika kita tidak memberi laluan pada sesuatu yang baru, sastera akan menjadi statis dan tidak mampu berganjak. Adakah kita akan dapat mengecap kemajuan dengan hanya bersandarkan yang lampau dan enggan menerima pembaharuan?

 

Antologi puisi, drama, cerpen, novel dan karya-karya sastera lain tidak diendah langsung dan dibiar tersadai di tokoh-tokoh buku. Golongan tertentu seperti guru Melayu (yang dianggarkan sekitar 1500 orang di Singapura) juga kurang memberi perhatian kepada usaha memperkayakan jasad kesusasteraan yang kian lemah. Sekiranya ada di antara golongan jurutera, doktor dan peguam sanggup meluangkan masa, berusaha gigih menulis secara kreatif, mengapa hanya segelintir sahaja dari golongan pendidik yang melakukan sedemikian. Apakah kita akan hanya sibuk mencari-cari apabila sesuatu tiada lagi? Menghidu sisa akibat kedaifan diri?

 

Namun bagaimanapun, harapan untuk mengembalikan kegemilangan sastera Melayu di Singapura akan sentiasa ada. Selagi ada usaha dari pencinta-pencinta sastera sejati dan badan-badan tertentu (cth: NLB, MBMS, MITA) maka harapan itu mungkin menjadi satu kenyataan. Patah tumbuh mungkin berganti. Mungkin tidak serupa tetapi suara optimis berkata keadaan akan berubah. Sastera Melayu Singapura bertakhta semula.

 

Patah tumbuh hilang belum berganti ...

Angkara kita alpa perkecilkan tradisi

Harapan gagah sastera kembali

Punah ia tidak sesekali

 

Teruslah perjuangkan sendi budaya kita .. Menjadikan sastera kembali perkasa!

 

Hasil pengamatan mendalam  -

Artikel Prof. Madya Hadijah Rahmat

Patah Tumbuh Hilang Belum Berganti

(Singapura sebagai Kota Kebangkitan Seni)

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1