Salam Sastera buat Pujangga
sebuah cerpen
Elmi Zulkarnain
Diterbitkan di
akhbar Berita Harian (S’pura)
Ruangan
EKSTRA! WARISAN pada tanggal 3 April 2007

“I feel
stupid whenever I speak Malay.”
Akhbar itu
menukil pernyataan seorang artis muda dari seberang yang bintang selebritinya
sepatutnya bersinar. Aku menggerakkan kakiku merentas kulit bumi dari sekolahku
yang terletak di kawasan Tanjong Katong menuju pulang ke Marine Drive. Aku
seperti dirasuk dengan luahan si artis muda manja itu. Amnesia juga tidak dapat
meluputkan ingatanku tentang kata-katanya. Apakah maksud sebenar yang
terselindung di sebalik kata-kata yang dilontarkan??? Resah mula menghimpit
jiwa. Seribu kemungkinan yang menyinggah deras di fikirku. Mungkin tidak salah
sekiranya aku pun berasa begitu. Seribu entah merayap menyelebungi benak.
Patutkah aku
berkongsi sentimennya? Aku juga lenguh jenuh setiap kali terpaksa bertutur
dalam Bahasa Melayu sedangkan ibu bapaku juga tidak dapat bertutur dalam Bahasa
Melayu sepenuhnya. Ada sahaja terselit kata-kata bahasa asing. Jauh sekali mahu
menggunakan sebutan yang baku. Melayu kita, Melayu Johor-Riau. Mengapa ada
perlu untuk disebut baku. Tidak ‘natural’
langsung. Betul ke??? Jauh lebih mulia sekiranya aku berbual-bual dengan
pembantu Indon jiranku sedang dia menjemur pakaian di luar rumah. Amat merdu suara
Bibik Irna menyanyikan lagu asli untuk dinikmati halwa telinga setiap pagi Ahad.
Aku bercadang
untuk bertemu rakan-rakan sekolah di luar sebuah kafe siber di Kompleks Tanjong
Katong. Eksperimentasi pertama. Apakah reaksi rakan-rakan apabila aku cuba
menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbualan kami? Lima minit berlalu.
Perbualan rancak mengenai permainan komputer terkini tergendala sebentar. “Don’t be so Melayu lah kau ni. Sounds so the
very warta berita.” Berdesing telingaku mendengar celahan Johan atau lebih
dikenali sebagai Bro J. Aku hanya tersenyum dan melirikkan mata ke kiri dan
kanan lalu mengarahkan kakiku pulang ke rumah tanpa menjawab sepatah apa.
Aku mengetuk
pintu. Sudah kedengaran suara-suara yang seakan pernah aku dengar. Tetapi di
mana ya? Sahutan salam aku dijawab tetapi tiada siapa yang membuka pintu.
Membara juga dibuatnya. Aku mengeluarkan kunci lalu membuka pintu. Rupa-rupanya
ibu dan ayah sibuk melayan tetamu sehinggakan terlupa untuk membuka pintu
selepas menjawab salam. Grrr! Aku bersalaman lalu dijemput duduk bersama. Pak
cikku atau mesra dikenali sebagai ‘Uncle’
mengajukan satu soalan buat diriku. Aku terpaksa meletakkan antologi puisi Usman
Awang di atas meja.
“Kau mau buat
apa selepas sekolah menengah?”
“Mungkin ke
politeknik ataupun ke maktab rendah. Yang pasti ke menara gading juga akhirnya Uncle,” aku menjawab perlahan bernada
malas.
“Anak Uncle
senang jer. Lepas jer sekolah, masuk NS. Lepas tu kerja jadi despatch. Tak banyak pening-pening.
Mampu bawak motor besar jugak. Kau mau jadi apa lepas belajar tinggi-tinggi? Uncle tak belajar pun boleh hidup Boy.”
Pak cik dan
mak cik aku juga sama seperti mereka-mereka di luar sana. Aku dipersenda
setelah aku menyatakan hasratku untuk menjadi seorang pujangga satu hari nanti.
“Lawyer ke? Majistret ke? Ahli muzik pun
ok jugak. Ini pujangga? Kau mahu makan apa? Sastera mengenyangkan ke?”
berdekah kata-kata mak cikku yang ironisnya merupakan seorang guru ... Sains
dan Matematik. Mana mungkin dia tidak memahami kepentingan pelajaran. Mengapa
dia daif tentang maksud sebenar kepujangaan??? Aku rasa aku tidak perlu
mendengar nasihat sebegitu biarpun seorang remaja hingusan hijau sepertiku
sering diajar di sekolah agar mendengar kata orang dewasa. Sudah terang lagikan
bersuluh, mereka kurang pasti apa ertinya ‘pujangga’.
Sederas angin
bertiup, berlalu sudah hari itu. Aku dapati diriku di sekolah keesokan paginya.
Seperti biasa, aku duduk bersebelahan Diane
Rozario dalam kelas bahasa ibunda. Aku berasa senang berdamping dengan mawar
merah jinggaku. Selain daripada keayuan wajahnya, aku juga kagum dengan
penguasaan Bahasa Melayunya. Malahan dia dapat mengatasi pelajar-pelajar lain
di kelasku termasuk diriku. Dia juga seorang sahabat yang sentiasa meluangkan
masa untuk mendengar rintihan hati dan mengusir segala gelombang bimbang
diriku.
Cikgu Zalinah
memulakan kelas dengan mengetengahkan kepentingan media dalam pelajaran. Dia
merasakan pelajar-pelajar Melayu kurang memberikan perhatian pada media massa
berbahasa Melayu. Dia menggalakkan kami menonton rancangan-rancangan Melayu. Aku
terbayang diriku memetik suis televisyen. Duduk bersama ibu yang sibuk membaca
majalah ... berita sensasi artis yang mengkhusyukkannya. Majalah hiburan Melayu
tempatan yang aku rasakan tidak langsung memberikan perhatian pada nilai dan
mutu bahasa itulah yang menjadi pilihan sidang pembaca masa kini. Tren lebih
penting mungkin? Aku mengalihkan pandanganku kepada ayah yang sibuk membaca
tabloid berkenaan berita bola sepak Liga Inggeris. Itulah yang menjadi
kegilaannya. (Akhbar Bahasa Melayu jarang kutemui di rumah.) Aku dibiarkan
keseorangan dalam ‘dunia’ku sendiri. Aku menggelintarkan khayalku sambil cuba
memahami drama yang dilakonkan orang-orang kaku berlatarkan kebendaan dan
keduniaan. Dialog yang penuh dengan “I”
dan “You”. “I love you, I love kayu,” bisik hati kecilku yang sememangnya
kecil.
“Saya sering
menonton siaran televisyen yang memaparkan wawancara bersama para peserta
rancangan realiti. Tidak seorang pun yang saya rasakan dapat menyampaikan
sepotong ayat dengan penggunaan bahasa yang baik. Ayat yang disampaikan dalam bahasa
Melayu sepenuhnya pula berbunyi seperti diskripkan. Sampai tergagap-gagap.
Mujurlah solekan tebal di muka tidak retak mengikut rentak gagap. Bahasa
Inggeris tidak ke mana, bahasa Melayu tenggelam sama. Pendapat ikhlas saya,
Cikgu Zalinah. Agaknya mereka ‘feel
stupid whenever they speak Malay’ ?”
Pelajar yang
lain bertepuk gemuruh mendengar ‘pidato’ spontanku. Diane tersenyum manis.
Sesungguhnya dialah mawar merah jingga diriku. Aku tersenyum kambing biri-biri.
“Apa yang boleh
kita buat? Hanya satu saluran Melayu yang kita ada di Singapura. Apa yang
diterbitkan, itulah yang dapat kita tonton. Tetapi tidak perlu risau. Saya dan
guru-guru lain akan memaklumkan perkara ini kepada pihak tertentu. Pasti ada
pihak yang prihatin tentang perkara ini. Terima kasih. Awak boleh duduk.”
“Entah bila.
Entah siapa yang akan dimaklumkan,” aku berbisik penuh skeptikal.
Setelah
menikmati nasi ayam sepinggan dan segelas air Milo dinosaur, aku mencapai novel
Pramoedya. Aku ditemani senaskhah kamus kekuningan halamannya. (Ayah enggan
membelikan yang baru.) Biarkan aku bersendiri. Rakan-rakanku menganggap aku
ganjil. Aku rela terasa terasing. Duduk berdua-duan bersama Pak Pram selain disenandungkan
sebuah alat mp3 kurasakan lebih
menenangkan. Biarlah rakan-rakan sibuk berdansa seperti ketam dengan diiringi lagu-lagu
hip-hop Inggeris yang sering berlirikkan kelucahan, aku lebih tersentuh dengan
lagu-lagu berlirik indah yang kupadatkan dalam alat mp3ku. Lagu-lagu hasil ciptaan Pak Ngah dan disenikatakan oleh
Hairul Anuar Harun, serta lagu berentak zapin Zubir Abdullah. Tidak sedikitpun
aku terhirau dengan label ‘kental’ mereka kepadaku.
Aku asyik menarikan
pena halusku di kertas separuh ronyok. Terlalu banyak kosa kata indah yang
harus kucoretkan. Sukar difahami tetapi cebis-cebis kekata itulah yang
merangsangi aku dalam penulisan sajak-sajakku. Aku memaksa diriku untuk
memahami konvensi penulisan puisi untuk memastikan setiap karyaku dapat
menampakkan nilai-nilai estetika sambil mencerminkan realisme. Semakin dewasa,
semakin aku cuba untuk lari dari dunia romantik yang sarat dengan kekata
melankolik. Luahan rasa seharusnya diseiringkan bersama nilai intelektual. Aku
enggan menjadi penyajak ‘jiwang-jiwang’.
Cikgu Zalinah
berjalan di hadapanku. Ramai pelajar yang tertarik kepadanya. Maklumlah, dia
muda dan sering berpakaian ketat menggiurkan walaupun bertudung. Aku senyum
kepadanya. Bulu keningnya dicukur dan dicelak. Anting-antingnya yang seakan
membolehkan seekor anak tikus bergayut jelas kelihatan. Ah, itu semua tidak
penting. Aku tetap menghormatinya kerana dia amat prihatin akan kelakonan para
pelajarnya. Namun begitu, satu peristiwa telah menyedarkanku bahawa dia juga serba
kekurangan. Pernah aku ujarkan pertanyaanku kepadanya tentang penulisan sajak.
“Saya sendiri
jarang membaca karya-karya sastera terutama sekali puisi. Entahlah. Mungkin
sekiranya saya ada masa nanti, saya akan membuat rujukan dan menjawab
soalan-soalan anda berkenaan persajakan,” jawab Cikgu Zalinah.
Aku menjadi
bingung. Sekiranya guru yang aku sanjung tidak dapat mengorbankan sedikit masa
untuk menghargai sastera bagaimana pula dengan abang-abang motosikal yang
selalu aku jumpa di kolong blok. Pengajaran Bahasa Melayu bukan sekadar tentang
mempelajari jasadnya sahaja. Mengapa terlalu teknikal? Padaku sastera adalah
jiwa sesuatu bahasa. Sampai pada jiwa, minda bergerak sama. Tidak mungkin Cikgu
Zalinah tidak tahu. Walau apa pun, aku tetap memaafkannya. Dia juga seperti
aku. Insan biasa. Satu alasan yang sememangnya klise.
Loceng tamat
waktu rehat dibunyikan. Aku bangun setelah lama melabuh punggung di bangku
kayu. Tidak sabar rasanya hati mahu berjumpa Abang Rafaat pada jam 2 petang
nanti. Abang Paat, yang kukenali semasa aku bekerja sambilan untuk pementasan
teater di Substation dahulu, berjanji mahu mengajarku cara-cara mendeklamasi
sajak. Aku tidak mahu sekadar membaca sajak. Aku mahu menjiwai setiap kuntuman
sajak dan kemudiannya mampu menyampaikannya dengan gaya yang dapat mengasyikkan
pendengar. Lagipun, sajak dihasilkan untuk didengar, bukan untuk dibaca. Itulah
yang difahamkan kepadaku oleh Abang Rafaat.
Aku menunggu
Abang Rafaat di kolong bloknya. Dia lewat seperti biasa. Sudah sejam aku
menunggunya. Maklumlah, insan seni seperti Abang Rafaat selalunya berseni sampai
terlupa masa. Sekurang-kurangnya, itulah alasan yang diberikan. Tatkala
menunggu, deruman sebuah motosikal Harley Davidson menarik perhatianku. Aku mendekati
pemiliknya lalu memerhatikannya. Aku kenal Bob Harley. Dia berjiran dengan
Abang Rafaat. Rambutnya yang panjang diikat rapi, bersongkok haji. Aku tidak
pasti umur Bob Harley tetapi dia kelihatan dalam 40-an tahun dan masih bujang. Harley
Davidson itu yang menjadi pengarang jantungnya. Aku ternampak senaskhah Berita
Harian di tempat duduk motosikalnya.
“Abang Bob,
Berita Harian tu buat lap motor ke?” aku bertanya selamba.
“Aku lap
motor dengan kain, bukan dengan surat khabar,” Bob Harley menjawab sinis.
“Abang pun
baca akhbar ke? Abang ada baca tentang artis seberang tambak? Yang menyatakan
yang dia feel stupid wehever she speaks
Malay?”
“Eh, Boy. Gua tak belajar tinggi tau. Tapi
gua tahu orang yang cakap orang Melayu kalau cakap Melayu rasa dia bodoh, gua
rasa dialah yang bodoh. ‘Sehappening-sehappening’
gua, gua baca Berita Harian, Berita Minggu lu tau tak? Sajak ke, cerpen ke,
sampai ke berita luar dalam semua negeri gua ‘langgar’. Walaupun kadang-kadang gua tak faham tapi gua ada faham
sikit jugak lu tau? Gua bukan belajar kat sarkas. Lu kalau pandai tulis sajak
macam Cip Paat tu, lu tulislah. Lu ‘pass’
kat ‘paper’ Melayu, nanti gua boleh
baca.”
Aku terkesan
mendengar apa yang dikongsi Abang Bob Harley. Sungguh terkesan. Teringat pula
aku akan sajak-sajak yang aku hantarkan kepada pengelola ruangan sastera. Entah
ke mana perginya? Aku memohon kepada Ilahi agar karya-karyaku tidak
dibakul-sampahkan.
“Amacam Boy? Sorilah gua lambat. Ada hal pulak,”
muncul Abang Rafaat bersama alasan yang ditutur lembut.
“Apa halnya
bang?”
“Aku dapat offer kerja. Ada orang mau aku jadi judge rancangan tv. Tak taulah mau
terima atau tidak. Aku ni laser
sikit... Jangan buang masa mari kita naik ke atas dan terus ‘start’.”
Setelah tamat
sesi bersama Cip Paat, aku menuju ke sebuah restoran makanan segera. Aku diajak
Bro J dan taulan lain untuk ‘melepak’
bersama mereka. Sebenarnya diri ini malas mahu berdampingan dengan mereka. Aku
hanya duduk diam membatu sambil mendengar dan memerhatikan gelagat Bro J dan
Geng. Aku menggelamun mencari ilham. Sajak? Hmm. Itupun menjadi satu isu
apabila aku bersama mereka. Aku tidak faham akan mengapa mereka harus
mengggusarkan diri mereka apabila aku termenung seketika tatkala ilham merasuk
jiwa. Mereka tidak mahu mengerti mengapa aku harus membawa buku catatan burukku
untuk menconteng kekata yang aku anggap untaian mutiara. “Sudahlah brader, apa sajak-sajak ini semua? Kerja
orang gila. Buang ‘karen’ ,” kata Bro
J sambil menyerlahkan sengihan ‘kambing’nya. Aku sedar aku bukan Shakespeare,
jadi aku tidak perlu hiraukan kenyataan itu. Biarlah kau kata aku penyair ‘wannabe’ ataupun penyair hingusan, hatiku
sudah terpaut pada penulisan puisi. Aku mampu menulis dalam bahasa Inggeris
tetapi, “I definitely don’t feel stupid
writing in Malay!” Saat-saat begitulah rinduku pada Diane menggumpal di
hati.
Nada dering
lagu ‘Angguk-angguk, geleng-geleng’
berkumandang. Aku menerima SMS
daripada mawar merah jinggaku.
Ditulis
Diane:
“Tahniah Boy. Sajak ‘Aku Bukan
Shakespeare!’ awak diterbitkan
hari ini. Terus menulis. Semoga
berjaya.
P.S.
Sajak ‘Mawar
merah jinggaku’ yang
awak nukilkan buat saya amat saya
hargai. Salam sastera buat pujangga.”
Pesan Penulis:
“Janganlah mengambil hati dengan apa yang dibaca.
Watak-watak di dalam cerita hanyalah rekaan
semata-mata.
Namun, harus diingatkan bahawa cerpen ini
diilhamkan
dari pemerhatian peribadi tentang keadaan yang
sebenar.
Ia adalah satu lukisan yang realistik bukan
coretan lontaran amarah.”
- Elmi Zulkarnain