Sekadar Mencari Erti

 

Ku pujuk mata ke arah langit

Berlamun angan menentang risau

Ku renung tegas keajaiban malam

Mengibas rasa mencapai qalam

 

Al-Nur, Al-Furqan, Al-Zikr

Rujuk sama semua pada Satu

Tetapi apa sebalik Maktub itu?

 

Mengelis jemu pertaruh peri

Menghayun tanya menanti erti

Apa yang dimaksud bila dibunyi?

Adakah jawabnya jika diteliti?

 

Apa guna ku lagukan hidup ke mati?

Jika dibaca dengan fahamku dikaburi?

Apakah erti ayat yang dicatati?

Apakah erti penghambaan ini? 

 

Apakah dunia harus diketepi?

Sekira akhirat kekal abadi?

 

Apakah ku digolong kaum berfikir?

Atau disangka penghina Quranulkarim?

Jika ku pertikai isi dan maksudnya?

Seandai ku cabar ulamak dan tafsir mereka?

 

Walaupun benak masih memulas

Nurani masih teguh mengimani

Akur kitabMu kebenaran penjelas

Segala laku lalu aku insafi

Aku sekadar mencari erti.

 

Elmi Zulkarnain

141103

 

  

 

Testamen

 

Penyair mentah beraksi mesta

Kalamnya giat menyusun aksara

Melakar tata mendonan sasa

Kalimat berjasa melantar bicara

 

Ku lingkar rahsia sebalik mata

Melaut nyata yang tiada lantangnya

Lakon manusia lagak kekata

Mengonon mengandai berpura-pura

 

Mengibar ikhtiar leraian sengketa

Sedetik cuai telagah bermula

Amuk makhluk menghentam dunia

Yang sedan insan tiada berdosa

 

Pujangga muda bukan penilik pendita

Namun usaha diterus menepis sengsara

Menepat bakti siangan malamnya

 

Awan ku lukis menghujan harapan

Ku tinting pintu penjara amanan

Tenteram, merana dibiar bertembungan

 

Di tembok langit ku ukir cita

Kelopak debunga baringi ijab pada-Nya

Ku akur aku juga manusia.

 

Elmi Zulkarnain Osman

( Suaraku )

121103

  

  

 

Sekerdil Cinta Buat Illahi

 

Dari dimensi ke mandala seterusnya

Terajui penitian bertempias dosa

Sebenar mana cintaku pada-Nya?

 

Insan semungkin empat jenis insan:

‘Jahil’ diberi peringatan

‘Lalai’ diajar sebenar pengertian

‘Tahu’ ditakrif insan berilmu

‘Degil’ maka dibiar dungu

 

Rungsing akan mana golonganku

Gugup meledak dalam sujudku

Liat dahulu berkeliar kembali

Meresap kesal menggerun sanubari

 

Amal amali mencarum diri ke Syurga.

Dampingan roh kala neraca bertugas.

Adakah aku akan melata naik ke sana?

Atau diketis ke Neraka lembah pembalas?

 

Liang tubuh menyerap sendu

Yang dilamar kelesuan sarap lampauku

Berusaha & berserah pada Illahi

Meraih cinta di lubuk hati sepi.

 

Elmi Zulkarnain Osman

151103

 

 

 

Sesal Silam

 

Fikiran yang menyongkah resah gelisah

Berduyun perkara menyentak gerak

Silam ku harung semungkin alasan

Aku bertarung dengan sesalan.

 

Malu ...

Apabila berhadapan denganMu

Meminta dunia mengikut mahuku

Mahu dielak sandung payahMu

Inginkan rezeki ditambak perlu.

 

Bukan niatku mengapit dusta

Berkumur fitnah

Melontar hina

Melayan amarah.

 

Tiada bermaksud menghulur rungsing

Pada manusia di sekeliling

Meremuk hati mengguris perasaan

Menusuk belikat mara ke hadapan.

 

Al-Rahman Tuhan Eka Esa

Mesrakan hambaMu semula

Pada kehidupan sesungguh khalifah

Meterai damai pada semua

Mendupa bumi mengharum dunia

Merombak permuka seadil-adilnya.

 

Elmi Zulkarnain

101103

Menyingkap Silam

 

 

Aku Masih di Hutan

 

Taulanku monyet berbulu perang

Bertindik cuping keliru jantina

Kulit berdakwat bercorak garang

Jalan berkepak ibarat panglima

Hakikat hingus dileler hidung

Berolok samseng berotak kosong.

 

Aku masih di hutan

Di sisiku manusia bertopeng setan

Meneguk tuak di siang Ramadhan

Malu hilang bertukar banggaan

Bazar juga tidak ketinggalan

Terdengar pontianak berngilaian

Betina bercoli jadi perhiasan

Mungkin pelaris pemaju jualan.

 

Masjid juga seperti hutan

Ada binatang di luar kandangan

Diberi bubur kurma keriangan

Gema azan tidak dihiraukan

Seronok berbual sesama kawan

Mungkin beruang sudah kekenyangan

Berjanggut bersongkok berbenak haiwan

Entah apa yang diterawihkan?

 

Mungkin aku bukan sebaik-baik insan

Mungkin aku juga ibarat haiwan

Aku masih di dalam hutan.

 

Elmi Zulkarnain

121103

 

Perjalanan Mencari Kiambang

 

Dalam mengutus puisi demi puisi

Kehidupan hariku kian tandus

Menakung hasrat mencari erti

Mendamba kuntuman mekar kudus

Menyingkir kosongan esok lusaku

 

Maksud bukan mahuku segalanya

Hanya kepastian bukan jangkaan semata

 

Mula langkahku ke pesisir pantai

Ditemani gemawan dan pepasir dipijak

Membelek kerikil disapu ombak

Kepupusan siang aku berarah lain

 

Dihasut rasa di dalam hati

Langkahku laju seakan pasti

 

“Kiambang itu dipinggir kali

 

Penciptaku ..

Yang hina ini sepadu doa

Agar ia tiada terus berenggang

Izinkanlah aku mengikis jarak

Walaupun tangan terikat mati

Dekati kiambang yang kian layu

Menghembus nyawa mengusir sayu

 

Bayu singgah tika ku usaha

Jana bantu menepis lelah

Putus Asa bertempiaran digertak Ikhlas

 

Tetapi,

 

Sekira takdir tidak menghulur restu

Andai kiambang bukan untukku

Ku redha bertaut pasrah

Cukup sekadar telah ku jumpa

Kiambang anggun yang dicita.

 

Elmi Zulkarnain

Buat Kiambang Yang Satu

31-10-03

 

 

 

Bicara Hijrah

 

Madinah tuju hala pula

Tiada bersinggah terus ke sana

Kota Kaabah ditinggalkan buat sementara

Mekkah, tiada aku mengharap pisah.

 

Bukauan tepian kerdip gemintang

Disaji buatku menatap sambilan

Pudar gelisah disimbah asyik.

 

Aku bersebelah jejaka sebaya

Si tampan berjanggut melamar bicara

Pertama kali mengutus suara

Aku menyahut tembungan bualnya.

 

“Aku bukan jemaah biasa

 

Berkisah sejarah, dia meluah  .. ..

Disebalik tembok berkawat duri,

aku dikejam kekhilafan sendiri.

Mengadap gersang siang ke malam.

Siang ke malam ratusan kali.

Pernah aku mengharapkan agar,

dimansuhkan sahaja lebihan usiaku.

Kerana,

cemar sudah menandangi masa depan.

Apa gunanya hidup berlarutan?

 

“Namun itu ...”

 

Harapan masih berlegar

Sekira masih dibiak cinta manusia

Menerima semula Si Insaf menderita

Mengiring sesalan menungkah gelora

Alhamdulilah,

Aku berpeluang ke pangkal semula.

 

Bicara terhenti, roda berputar mati

Perhentian sementara tiada menanti

Sudahpun tiba tanpa aku, dia sedari

Syukur berpijak sampai Kota Madani.

 

Elmi Zulkarnain

Merenung pengalaman Umrah 96’

041103

 

 

Wak Tinah

 

Muka meja disesak penganan,

Dibeli rakus siangan sebentaran.

Tegak di pinggir perlambat laluku,

Terigau mengingat semalamanku.

Permasan bukan, ningrat jauh seakan.

Dulu aku, berselera bersila bergeladak.

 

“Suku kurun lalu ...”

 

Kilang hingar berdebu ...

Tempat Wak Tinah berpeluh,

Tiada dihirau sekira semput merusuh.

Taman aku bersukaan, meraung, mengeluh.

 

Pangsa konkrit sesempit ruangan,

Mampu disewa disela langsiran.

Tempat Wak Tinah, aku berteduh.

Taman yang indah berladang ampuh.

 

“Masa berlalu, cepat berlalu ...”

 

Buaiku, rangkakku, jalanku, kawatku.

‘Payah’ menyelinyap, pengorbanan dibalas.

Wak Tinah seakan belum dilentur usia,

Tiada mengharap tetap berdikari,

Memburu rezeki menjadi amali.

 

“Mentari membenam penamat hari ...”

 

Paku diriku ditegur azan Maghribul

Meluru mendakap bunda sanjungku

Sambut Wak Tinah senyum tersimpul

Mengusap kasih ke mercu ubunku.

 

“Antara kelmarin dan lusa ...”

 

Lampauku dijemput di hari esokku

Pengingat sentiasa asal dan daratanku.

 

Elmi Zulkarnain Osman

 “Buat Ibu, Srikandi nan Satu,

Menyingkap Ramadhan Lalu Bersama.”

051103

 

 

 

Atuk

 

Bangunan runjau jendela dibuka

Mulut berkamit merungut Atuk

Menjengguk menanti tiada pasti

Harapan lampau binasa rasa

Hampa menghambat di hari tua

 

“Ah! Malaslah ..”

 

Terimbas wajah puterinya yang terpesong

Benak perawan dibebani hasutan

Duniawi diagung tanpa batasan

Engkar enggan ditakluk pada leteran

Anggap Atuk disampuk nyanyuk

 

“Apa? Sembahyang? ”

 

Runyam solat putera alpa

Disangai lilin di hujung kamar

Bermain jarum khayal menerpa

Nasihat Atuk dipersia telinga

 

Mekar ditanam sangka pesona

Diharap harum pesing jadinya

Duri batangan mengguris jari

Perit melantun merobek hati

 

“Aku berdosa ..”

 

Tangan berkudis salah membaja

Taman dibiar liar berteman

 

“Jangan dirimu berputus asa ..”

 

Menunggu azan subuh dilaung

Sajian sahur tiada dijamah

Atuk masih di birai jendela.  

 

 

Elmi Zulkarnain

Masjid Pusara 1 Ramadhan

271003

 

 

Setelah Benara Tertiarap

 

Gunungan kembar megah menjunam

Tersungkur disondol kunangan sendiri

Kunangan berkembar berselang seli

Ditunggang semut api berani

 

Naga pengawal lena beradu

Gunung benara tertiarap ditara

Ajal jemput ratusan ribuan

 

Naga tersedar lewat

Raksaksa mengamuk

Tiba detik dicita dendam

Dengki amarah satu meluru

 

Muktamar tanpa muktamad

Semut berkopiah diselubung resah

Malapetaka menentang raksaksa

Dihasut diam engkar dihalang

 

Angkara semut api berontak

Semut bermasjid dibiar dipijak

Berselerak merkah maruah sanak

Mengizin binasa terus melajak

 

Elmi Zulkarnain

261003

 

 

Menanti Damai Merasuk Bumi

 

Abuya hampiri berbisik

Usap raut wajah rani nya

Terisak ibu mendodoi lena

Anak beradu di ranjang pangkuan

Pekisan ditepis dibuang ruang

Jebik putera diserang lapar

 

Resam harian meresap benak

Bercantum tekad

Berpatri semangat

 

Baju berjabir kalis ancaman

Melontar apa tangan mencapai

Batu cuba membidas roket

Tersungkur pembaling

Dihempap bumbung berlubang

 

Selamba peluru datang menyapa

Rebah si kecil disambut maut

Ibu merangkak ke sisi meraung

 

Dipukau pilu

Tangan berdarah menadah

Mengadu berdoa Tuhan Illahi

Menanti damai merasuk bumi

 

Elmi Zulkarnain

Buat Bumi Palestin

211003

 

 

Chairil, Penyair Perkasa

 

Lantang sekali suaramu ...

Merusuh beliung tradisi membelenggu

Berucap terus dalam kiasan

 

Hasilmu lukisan berbingkai taksa

Golak hidup pencetus warna

Timbul curiga

Timbul sangsi

Harus direnung

Disaji sesenja

 

Tali mengikat jiwa dihambat

Diputus dengan gentisan kata

 

Katamu pesanmu, puisimu

Penyair perkasa,

Kau terus bernyawa!

 

Elmi Zulkarnain

11.10.03

 

 

Kambing, Singa di Gurun Batu

 

Raja Singa raja gurun batu

Aku jelak disumbat rumput

Rumput kering di tanah gersangmu

 

Dipaksa nyoyot pura-puramu

Kambing mana yang tidak pilu?

 

Aku enggan ikut mengaum

Aku kambing..

Tidak sekongkol aku denganmu

 

Aku kambing...

Bukan anjing mengangguk

Bukan haiwan jinak denganmu

Izinkan aku untuk mengembik

 

Jangan Tuanku terus mengertang

Memuntah janji indah buatku

Aku tahu apa niatmu

 

Keluarkan aku dari kandangmu

Gurun batu bukan buatku!

 

Elmi Zulkarnain

10-10-03

Cuba Beradu

 

 

Komet

 

Logam bara pernah dilontar

Jasad cakerawala

Dari langit-Nya

 

Teringat sejenak

Bumi Rusia berlubang

30 Jun 1908

 

Dentuman dentungan

Siberia meledak

 

Bertahun tanah menghutan

Berbanjar-banjar pohonan gagah

Sedetik tumbang

Sekelip mata

 

1500 kali jauh dahsyat

Atom Nagasaki hanya kuman

 

Manusia megah

Bina peluru sebesar raksaksa

Telagah ego

Haloba

Menjarah hak daulat yang lemah

 

Sangka manusia mampu menjangka

Lemah, lupa sebenar mereka

Kuasa Illahi empunya semesta

 

Elmi Zulkarnain

091003

 

 

Mataku Bukan Mataku

 

Mataku bukan mataku

Masygul !

Aku rabun

Yang didandan dihias

Itulah segalanya

 

Bila mata dipejam

Sekitarku terang

Aku ditunjukkan

Yang selaput sembunyi

Disebalik kebenaran

 

Hatiku sesungguh mata

Langkahku laju

Pasti akan arah tuju

Berlari di atas bara

Menari di papan paku

Melonjak-lonjak erti girang

 

Naluriah berdaya

Gentar tidak bererti lagi

Kolam berapi tempat ku mandi

 

Elmi Zulkarnain

080910

Kuliah Bosan

 

 

Tersungkur Di Pintu Syurga

 

Duniawi dikejar salah tiada

Tekun cari harta merata

Gigih mengejar benara jaya

Tidak ku kenal mana hentinya

 

Bila dihidang mahligai fana

Seronok dibuai terus mengabai

Bangga diri berkumur fitnah

Melanun dari daif si lemah

Melebun untuk bermegah bergaya

 

Hati legam berlalu hari

Aku bukan manusia lagi

 

Manusia permukaan sahaja

Aku telah menderhaka

Aku durjana aku pelupa

Tidak teringat akan salsilahku

Kisah mula Adam ayahku

Mengapa tanah dihembus nyawa

 

Sempit datang mendadak

Kini aku ditampar papa

Harta punah dilelong semua

Simpati tiada siapa memberi

Mereka aku seperti dahulu

 

Tersepit tersentak

Teringat aku akan diriMu

Merengek meraung bila bertemu

 

Mengkasyaf terus ku reda

Tersenyum bila dihujani derita

Bumbungku hanya awan biasa

Enggan kujamah walau sekecil mana

Kemewahan yang pernah buatku buta

 

Aku rela merana sahaja

Biar tersungkur di muka dunia

Enggan tersungkur di pintu syurga

 

Elmi Zulkarnain Osman

8-10-03

Dizin Menerawang

 

 

Life

Life is so fragile, gone in a wink,
all that was visible, right down the sink.
Searching for answers that will never be found,
find only questions, with meanings profound.

Taken with wonder about how could this be,
gone is our innocence ...a gross tragedy.
Right at this moment, in the prime of our life,
our symbols of majesty ~ taken down so precise.

Why did this happen ...to achieve martyrdom?
something so final that can’t be undone.
The question arises that is unbearably sad,
those refused life’s ambitions, when clearly prepared.

Fairness is absent and fate intervenes,
has karma been finished behind all the scenes?
Looking for meaning that’s been lost in absurd,
angels are singing with sounds still unheard...

 

 

Antara Bicara & Diam

 

Tidak perlu meneka

Diam terus mengelak bicara

Hasrat punah berdebu sudah

Aku berkata tanpa suara

 

Elmi Zulkarnain

Kolong Blok Boon Lay

Singapura

Oct 03

 

 

Kehujanan Rindu

 

Hujan singgah ke mukaku

Tubuhku dicecah

Gigil seluruh

Hanya mahu mengejutkan

Menggesa aku mengingatkan

Ada dia di kalbuku

 

 

Suara Si Anak Mentah

 

Berbiduk mencari erti

Lautan sepi mati, aku keseorangan

Tanganku dayungku

 

Dalam kelam terdengar suara

Rintihan alam ditimpa derita

Makin giat ia memanggil

Makin rancak dayungan kini

 

Sempat gelombang datang memukul

Biduk bergoyang bocor terluka

Jika tenggelam

Jika ditelan

Aku rela.

 

Mungkin ku pengsan seketika

Terasa rohku diangkat pula

Ke langit mana aku tak pasti

 

Awan mengalas punggungku enak

Simpuhku sebelah pungguk seekor

Cemburu dia akan diriku

Kerana purnama pernah di ribaku

 

Terus aku merobek awan

Menarik paksa jika terpaksa

Tangan melecur menjemput suria

Terangilah duniaku aku merayu

Yang sekian lama dibanjiri gempita

Yang ruangnya sempit mengongkong kata

 

Ku luah kesemuanya

Menjerit menahan gerimis mata

 

"Akur tangan ku diikat

Dilemma tradisi, komplot politik

Namun ... Namun tetapi

Jangan dibendung jiwaku ini

Makin kau tekan makin memberontak

 

Mungkin ada yang seakal denganku...

Mungkin ada yang tidak berotak langsung...

 

Aduhai 'seniman' seangkatan ku.

Pesan ini ikhlas dariku!

Kau,

Kau persis tikus kering di pelusuk kamar

Diselubung sentiasa resah dan takut

Takut dijerat, takut dikejar, takut disiksa

Pejuang sebenarkah itu?

Hanya berani di lubang sendiri?

 

Sekadar melukis kisah khayalan cinta

Setakat menyindir tergolek ketawa

Hasilkan karya kerana nama

Ikhlas dirimu entah ke mana...

 

 Terus aku memerhati setiap persada di luar jangkauan mata

Loncat, merendah tubuh agar tiada yang melepasi deria

Hingga tertiarap kadang-kala dipijak, dikahak!"

 

 

"Panji yang berkibar sekarang bukan panjiku

Tuan empunya adalah ayah-ayahku sendiri,

Penyair tua pujangga lama.

Tetap ku hormat sentiasa ku sanjungi

Tapi!

Aku inginkan panji ku sendiri

 

Ayah, bukalah jendela itu.

Agar dapat ku loncat keluar

Bermain di halaman aku sendiri

Bersama teman lain yang bersuara sama

 

Aku akan merayau hingga sesat di luar

Aku bangga

Biarkanlah..

 

Gagasanku

Generasi aku

Mengutarakan realiti,

Hidup yang membelenggu bangsa yang dikasihi

Sembunyi aku tidak sekali

 

Janjiku..

Warna karyaku bukan khayalan sahaja

Jejak penulis durjana tidak ku ikut sama

Yang membina istana hasil karya mati seninya

Setakat penuhi cita-rasa pembaca yang suka kelucahan semata

Pembaca yang menangis secara buta

Dibuai cerita fantasia gila.

 

Biar lukisanku hitam putih sahaja

Mudah dibaca termasuk si buta

Padat kata menyentak semua

Khabaran hakikat sedarkan dunia"

 

 

Elmi Zulkarnain

Pantai East Coast

Singapura

(1832hrs)

27.09.2003

Karyaku rohku tetap bersatu

Kekata ku doa buat bangsaku.

 

 

 

Izinku Menulis

 

Pernah ku menulis

Entah apa yang ku tulis.

Kemudian ada dirimu.

Kau hadir pembawa maksud.

Semakin ligat tarian penaku.

Ku menulis, diiring semangatmu.

Kemudian ku tulis mengenai mu.

Ku lukis ilham ehsanmu.

Lalu ku tulis keranamu.

Bahagia, sedih.

Jasa, harapan.

 

Kini ku pinta izin darimu.

Terus menulis penuh restumu.

Untuk menulis setiap waktu.

Izin ku tulis khas buatmu.

 

Elmi Zulkarnain

Oct. 03

Merenung luar jendela.

Mengenang dirimu.

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1