‘Bersembang’ Bersama Cikgu Haji Dr. Masuri S.N - Oleh Elmi Zulkarnain

Berikut adalah beberapa soalan yang telah diajukan dalam beberapa buah sesi temubual.
[ Bertarikh: 3, 10, 17, 24 Ogos 2003, Afghanistan Restaurant (Tampines, Singapura) ]
************************************************************************
(1) Soalan(S): Sejak tahun penjajahan Jepun iaitu sekitar 1944, Cikgu sudah menulis beberapa kuntum sajak. Antaranya ialah Bunga Sakura & Ros Kupuja. Ia dikatakan mempunyai hembusan patriotisme dan nasionalisme. Mengapakah Cikgu menghasilkan sajak-sajak seperti itu?
Jawapan(J): Susah jugak nak menerbitkan puisi pada masa itu. Jepun sentiasa mengawasi apa sahaja yang akan diterbitkan. Jadi terpaksalah tanamkan makna sebenar sedalam mungkin. Masa itu, semua orang menderita.
************************************************************************
(2) S: Istilah Seni membawa pengetian yang begitu luas. Ada beberapa cabang kesenian. Antaranya ialah seni suara, seni kata, seni lakon, seni tari dan beberapa pecahan kecilnya. Apakah maksud sebenar Seni dan Seniman pada pengertian peribadi Cikgu?
J: Ikhlas. Seorang seniman haruslah ikhlas apabila menghasilkan sesebuah karya seni. Seorang penulis atau insan seni yang baik yang membuahkan karya bukan kerana manusia semata-mata tetapi kerana Allah.
************************************************************************
(3) S: Pada pendapat Cikgu, apa yang patut ada pada sesebuah karya sajak untuk menjadikannya satu karya seni yang baik?
J: Sajak yang baik adalah karya yang mempunyai tujuan. Tujuan untuk menyedarkan, mendidik dan memupuk semangat. Kalau sajak itu dihasilkan untuk hiburan sahaja maka sajak itu menjadi sebuah sajak yang sempit.
************************************************************************
(4) S: Cikgu bukan sekadar menulis puisi malahan telah juga menulis beberapa buah Cerpen, kritikan esei. Apakah yang menjadi inspirasi Cikgu dalam penghasilan karya-karya tersebut?
J: Banyak yang boleh ditulis jika kita pandai mengamati apa yang berlaku di sekeliling. Pergolakan manusia, harapan bangsa, masalah di rantau ini dan banyak lagi. Dorongan orang yang tersayang juga penting.
(5) S: Ramai di antara kita yang sudah mengenali pertubuhan ASAS 50. Namun begitu setelah Singapura berpisah dengan Malaya pada 1965, bilangan pembaca sastera mengecil. Apakah yang membuat para anggota ASAS 50 seperti Noor S.I, Suratman Markasan dan Cikgu sendiri terus gigih berkarya?
J: Kalau semua berhijrah, siapa yang akan berjuang untuk Melayu di Singapura? Sastera itu sebenarnya di mana-mana. Selagi ada lagi Melayu di Singapura, selagi itu semangat untuk berjuang akan terus ada.
************************************************************************
(6) S: Apakah perbezaan yang ketara di antara sajak moden dengan puisi tradisional? Boleh Cikgu komen sedikit tentang ini?
J: Puisi ni bermacam-macam. Yang moden itu dihasilkan tanpa terikat pada batasan-batasan tertentu. Tiada yang lama, tiadalah yang baru.
************************************************************************
(7) S: Walaupun telah lama bersara, iaitu semenjak 1981, Cikgu masih terus aktif dalam bidang penulisan. Mungkin ramai yang ingin tahu mengapa Cikgu tidak berehat sahaja setelah bersara?
J: Seniman yang betul-betul seniman tidak akan berhenti berkarya. Selagi ada kekuatan, selagi itu saya akan tetap berkarya.
************************************************************************
(8) S: Ramai di antara anak Melayu zaman sekarang yang didapati kurang cenderung berbahasa Melayu. Ibu bapa pula lebih memberatkan bahasa Inggeris daripada Melayu. Pada pendapat Cikgu mampukah Singapura melahirkan anak-anak sastera yang berbakat pada masa hadapan memandangkan keadaan di Singapura berubah dengan pesat sekian hari?
J: Masyarakat lain pun menghadapi masalah yang serupa. Bahasa Inggeris dijadikan keutamaan di Singapura. Tidak hairanlah jika semua ibu bapa mahu anak mereka mahir dalam bahasa tersebut. Akan tetapi, saya masih berpendapat bahawa Singapura masih boleh melahirkan penulis-penulis atau sasterawan di masa hadapan. Tidak perlu ramai, segelintir yang betul-betul besemangat dan bersungguh-sungguh.
************************************************************************
Biodata (Mengenal Dr. Hj. Masuri Salikun)
- Prof. Abdullah Hassan, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Masuri S.N dilahirkan pada 11 Jun 1927 di Singapura. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Kurau dan Geylang dari tahun 1933 hingga 1940. Beliau menjadi guru pelatih di Singapura hingga tahun 1946. Dari 1946 hingga 1949, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris ( MPSI ), Tanjung Malim, Perak. Sesudah lulus dari MPSI ( kini UPSI ), Masuri pulang ke Singapura dan menjadi seorang pendidik, sementara pada sebelah malamnya mengikuti kelas bahasa Inggeris di Mercantile Institution dan C.Y.M.A. College. Jawatan terakhir beliau ialah guru besar sekolah rendah yang beliau sandang dari tahun 1971 sehingga beliau bersara pada 12 Jun 1981. Sajak terawal beliau berjudul “Ros Kupuja”, dan “Bunga Sakura” terbit di Singapura pada zaman pendudukan Jepun dalam akhbar Berita Malai, 5 September 1944. Kini beliau merupakan Ketua 1 Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).
Seorang penyair yang profilik sejak tahun 1940-an sehingga masa kini. Masuri S.N telah menghasilkan lebih daripada 1000 kuntum sajak. Antara sajak terawal beliau ialah “Ros Kupuja” dan “Bunga Sakura” yang diterbitkan di Singapura pada zaman pendudukan Jepun dalam akhbar Malai, 5 September 1944. Tahun 1995 merupakan tahun yang amat bermakna buat Masuri dengan empat pengiktirafan yang dianugerahkan kepada beliau. Berikut ialah pencapaian Masuri dalam dunia kesusteraan Melayu.
Pencapaian Masuri
Puisi
1958 Awan Putih. Singapura : Geliga Limited.
1961 Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama). Kuala Lumpur: DBP.
1962 Warna Suasana. KL: Oxford University Press.
1967 Bunga Pahit. KL: Oxford University Press.
1969 Himpunan Sajak (antologi bersama). KL: DBP.
1969 Sajak Melayu Baru 1946 – 1961 / Modern Malay Verse 1946 – 1961 (dwibahasa) (antologi bersama). KL – Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.:1969 (cetakan keempat), Cetakan pertama 1963.
1970 Selagi Hayat Dikandung Badan. Singapura: Pustaka Nasional.
1975 Puncak Sembilan (antologi bersama). Singapura: Pustaka Nasional.
1981 Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama). KL : DBP.
1984 Dalam Makna. Singapura: Badan Kesenian Melayu Singapura.
1987 Singgah. Singapura: Angkatan Sasterawan 50.
1989 Puisi-Puisi Pilihan Masuri S.N. KL: DBP.
1995 Mimpi Panjang Seorang Penyair. KL: DBP.
2003 Suasana Senja. Singapura : Angkatan Sasterawan 50.
Kumpulan Cerpen
1960 Lukisan Rasa. Singapura: MPH.
1992 Dunia Disebalik Dunia. Singapura : Persama Enterprise.
1999 Di Luar Dugaan. KL: DBP.
Kumpulan Esei dan Kritikan
1965 Sekitar Sajak dan Perkembangnya. Singapura: MPH
1970 Puisi Moden. Singapura: Pustaka Nasional.
1983 Pengakuan dan Penglahiran Seorang Penulis. KL: Adabi Publication
1998 Sebibir Suara. Singapura: Persatuan Wartawan Melayu
1998 Kreativiti dan Kemanusiaan Dalam Kesusasteraan. Selangor: Fajar Bakti.
Hadiah dan Anugerah
1963 Bintang Bakti Masyarakat (BBM), Pemerintah Singapura
1974 Hadiah Pertama (esei sastera) Majlis Pusat Singapura
1979 Hadiah Pertama (sajak) Majlis Pusat Singapura
1980 Southeast Asia Write Award, Bangkok
1990 National Book Development Council of Singapore (poetry award) First Prize.
1995 Anugerah Tun Seri Lanang,, Majlis Bahasa Melayu Singapura.
1995 Asean Cultural Award (Literature)
1995 Anugerah Persuratan (esei sastera), Majlis Bahasa Melayu Singapura.
1995 Anugerah Pencapaian Cemerlang (50 tahun pencapaian persuratan), Singapore Muslim Community
1996 Literary Award, Mont Blanc (recognition for contribution to Singapore Malay literature), Centre for the Arts, National University Singapore.
1997 Anugerah Persuratan (cerpen), Majlis Bahasa Melayu Singapura.
2000 Pingat Jasa Gemilang, Pemerintah Singapura.
2002 Anugerah Suluh Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
2002 Anugerah Dharma Bakti, GAPENA.
2002 Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kesenian dan Seniman ( Pandangan Masuri S.N.)
Seni merupakan satu perkara yang besar dan tidah mudah untuk dibicarakan. Masuri telah membincangkan takrif seni dalam kertas kerja beliau yang telah dibukukan bersama-sama 22 karangan dan kertas kerja beliau yang lain dalam Kreativiti dan Kemanusiaan dalam Kesusateraan (1998). Definisi kesenian juga telah beliau selongkar dalam esei kritikan beliau yang bertajuk Sekitar Sajak (1965).
Satu perkataan “Kesenian” itu sahaja merangkumi pelbagai cabang seni seperti seni rupa, seni suara, seni sastera, seni tari dan seni lakon. Seni juga menjadi salah satu cabang kebudayaan sesuatu bangsa yang sudah bertamadun. Dengan itu dapat kita meyimpul bahawasanya kesenian itu bukan sesuatu yang murah harganya.
Perlu ditegaskan bahawa kesenian itu bukan milik seseorang atau sesuatu kaum, tetapi ialah milik sesuatu bangsa dan negara. Atau dengan pengertian yang lebih luas lagi, boleh dikatakan bahawa kesenian itu milik seluruh anak manusia..
Seniman merupakan manusia biasa tetapi berperanan selaku pendokong seni yang mempunyai tabiat semula jadi (bakat) sejak dilahirkan dan cenderung kepada salah satu cabang kesenian. Namun itu, .untuk menimbulkan seseorang seniman itu bukanlah bergantung pada bakat sahaja. Ia juga bergantung kepada pemusatan fikiran dan perasaan serta mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh dari setiap cabang seni yang dimasukinya itu.
Masuri S.N juga menyebutkan tentang tiga sifat besar yang harus ada pada seseorang seniman.
Pertama: Ia mestilah mempunyai kemahuan dan minat yang tertumpu penuh pada lapangan seni yang diceburinya.
Kedua: Seorang seniman sejati mestilah mempunyai peribadi yang teguh dalam menghadapi segala masalah dan kesulitan yang dihadapi masa hidupnya.
Ketiga: Seseorang seniman harus tidak lekas merasa puas dengan hasil karya yang sudah dibuat. Ia haruslah sentiasa berusaha lebih gigih lagi untuk membuahkan hasil seni yang lebih bernilai dan lebih bermutu dai masa ke semasa.
Selain tiga sifat yang telah dibincangkan, pembawaan yang sederhana juga penting dan harus ada pada seorang seniman. Keagungan dirinya tidak harus dinampakkan sehingga menimbulkan rasa meluat orang lain terhadapnya. Sifat bongkak harus dijauhkan kerana rasa takbur akan menjadikan seseorang itu lupa daratan dan merasakan dirinya sahajalah yang bijak dan pandai.
Tanpa mengira cabang seni yang diceburi, pendukung seni diharap dapat bergiat terus dengan maksud yang satu, iaitu membaiki taraf hidup masing-masing dan meninggikan darjat kesenian masing-masing.
Kesusasteraan dan Puisi bagi Masuri S.N.
Puisi merupakan sebahagian dari kesusasteraan. Dan kesusateraan merupakan salah satu cabang seni seperti apa yang telah diterangkan di atas. Puisi sering dianggap sulit, mungkin kerana prasangka lama terhadapnya dan mungkin juga kerana bentuk yang lebih padat serta gaya ekspresi yang agak berlainan daripada prosa yang digunakan setiap hari. Dalam memahami karya puisi Masuri, adalah menjadi satu kemestian untuk membongkar erti kesusteraan dan puisi dari perspektif Masuri S.N.
Dalam kumpulan esei Pewarta (bilangan: 7 Disember 1977), beliau telah mengemukakan pendirian beliau tentang kesusasteraan:
Pertama: Hasil sastera itu adalah intipati pengalaman dan rekod umat manusia yang paling intense selama menghayati hidupnya dari zaman ke zaman.
Kedua: Kesusasteraan mempunyai caranya tersendiri meneroka, mencipta semula dan mencari sesuatu makna di dalam pengalaman-pengalaman hidup umat manusia yang dihayatinya itu. Bukan itu sahaja, malah yang paling penting sastera cuba meneroka kepelbagaian, keperkaitan dan keluarbiasaan pengalaman-pengalaman manusia secara individu atau secara kumpulan atau hubungan manusia dengan alam semulajadinya.
Ketiga: Kedaulatan kesusasteraan harus dijunjung tinggi kerana menerusi sastera manusia memandang kehidupan dengan segala keterbukaannya untuk dikritik dan mementaskan wawasannya dengan cara perkaitannya yang tersendiri dengan bahasa dan bentuknya.
Perbicaraan mengenai puisi pula boleh disingkap melalui artikel beliau yang diterbitkan dalam Pertemuan Sasterawan Nusantara, 7-10 Ogos 1998.
Puisi adalah ‘suara rakyat’. Puisi adalah suara untuk mengucapkan semangat kewujudan, semangat perjuangan dan semangat harapan sesuatu masyarakat dari zaman ke zaman, dalam mengalami dan menghayati proses di alam jagat ini. Puisi juga merupakan suara batin manusia dalam menghadapi zamannya dan sekaligus merupakan reaksi penyair terhadap permasalahan. Pun puisi adalah puncak keindahan sastera, hasil daripada penyair yang mempunyai perasaan yang dan ketajamnya penilainya terhadap sesuatu.5
Dalam Pesta Puisi Nusantara 1 anjuran ASAS 50 (6-8 Ogos 1983, Singapura), Masuri telah membincangkan permasalahan puisi dan juga memberi pandangan beliau mengenai puisi. Beliau menggangap bahawa puisi adalah hasil pena penyair. Ia akan terus dicipta oleh manusia (penyair) yang menghayati penghidupan semasa dan bila-bila masa. Akan tetapi yang menjadi persoalannya ialah:
Adakah penyair kita (semasa dan akan datang) masih mempunyai keupayaan untuk melahirkan karya puisi yang halus sebagai cabang kebudayaan hidup manusia yang menandakan kekayaan rohani sebagai mengimbangi perkembangan kebendaan yang telah dicapai menerusi kemajuan sains dan teknologi?
Ya. Menurut Masuri, beliau yakin akan tetap ada segelintir pejuang seni sastera yang akan mendukung tanggungjawab sebagai seorang seniman dan ikhlas menghasilkan karya-karya puisi yang tetap tertakluk pada nilai estetika pada bila-bila masa.
Puisi Masuri
Sajak Masuri pada peringkat permulaan masih kuat unsur pantun dan syairnya. Tema-tema sajak beliau berunsur kasih kasih-sayang dan semangat kasihkan bangsa dan juga tanahair. Persoalan peribadi sering dipena sekaligus mengeluarkan perasaan hatinya yang sedih dan sayu. Melalui sajak-sajak di permulaan, dapat kita lihat akan betapa puisi beliau dipengaruhi oleh penyajak-penyajak 30-an Indonesia, iaitu penyajak Pujangga Baru.
Masuri telah menghasilkan lebih 1000 kuntum sajak dari awal penglibatan beliau dalam dunia kesusasteraan sehingga ke masa kini. Amat mustahil bagi saya untuk membincangkan kesemuanya dalam kesempatan yang terbatas ini. Akan tetapi saya ingin mengulas beberapa kuntum sajak yang saya rasakan ‘significant’ dan boleh dijadikan tunggak pemahaman seseorang dalam menghayati puisi-puisi beliau yang lain.
Angkatan Baru
Berlapis barisan angkatan baru
Melangkah gerak maju sedia
Merentak lebur ikatan dulu
Menetak putus belitan jiwa
Bangun semua, para perwira
Dari gunung terjun menurun
Menuju laut idaman sukma
Tiada peduli aral bersusun
Sudah tekad di dalam hati
Angkatan baru semerak Watan
Sudah sepakat di dalam bakti
Rela derita sedia berkorban
Tiada lain ingatan datang
Hanya satu bukanlah dua
Angkatan baru tetap berjuang
Sehingga nusa gemilang rupa ....!
(Puisi Baharu Melayu)
Puisi yang disalinkan di atas masih lagi berbentuk empat baris dalam satu stanza, dengan skema rimanya a b a b, seperti pantun. Seperti yang saya katakan, bentuk sebegini amat popular di kalangan penyajak Pujangga Baru seperti Amir Hamzah dan lain-lain lagi. Sajak ini bertemakan perasaan kemasyarakatan dan sengaja dipilh kerana ingin saya tunjukkan bahawa walaupun puisi beliau dianggap baru (moden) namun begitu masih lagi berupa bentuk lama.
Puisi beliau walaupun bersifat rayu-rayuan tetapi mampu memperlihatkan kesedaran akan keadaan sebenar masyarakat. Puisi-puisi sebegini sejajar dengan pedoman ASAS 50 iaitu ‘Seni itu untuk masyarakat’ kerana melalui sajaknya, Masuri cuba untuk menyedarkan bangsa Melayu dari kelalaian dan kelesuan.
Kami Anak Zaman Ini
Kami anak zaman ini
Tidak mau mengemis sesuap nasi
Kerana bumi kami telah memahat janji
Kami pun punya hak untuk hidup berdaulat tinggi.
(Warna Suasana)
Sajak di atas yang dihasilkan pada tahun 1950-an merupakan pembakar semangat rakyat. Melalui puisi di atas jelas dinyatakan bahawa beliau ingin bangsa dan negaranya dibebaskan dari penjajahan Inggeris. Beliau bukan sekadar meluahkan suara peribadi tetapi suara bangsanya yang ingin merdeka.
Tema kemanusiaan, kemasyarakatan dan cinta sering disajakkan oleh Masuri S.N. Ia bertujuan untuk membela kehidupan rakyat jelata yang miskin dan tertindas. Beliau ingin memperlihatkan pada masyarakat umum akan penderitaan yang dilalui oleh golongan rakyat bawahan. Rasa kemanusiaan mereka tiada meletakkan sempadan antara bangsa, agama atau warna kulit. Melalui sajak “Ini Nasi yang Kusuap”, Masuri S.N telah menghargai jasa petani miskin yang berbakti terhadap dunia. Berikut adalah karya yang dimaksudkan:
Ini nasi yang kusuap
Ini nasi yang kusuap
Pernah sekali menjadi padi harap,
Melintuk dipuput angin pokoknya kerap
Tenang berisi tunduk menatap.
Ini butir nasi yang kukunyah
Sedang kutelan melalui tekak basah,
Jadi dari darah mengalir
Dalam badan gerak berakhir.
Angin kencang mentari khatulistiwa
Membakar raga petani di sawah
Panas hujan dan tenaga masuk kira
Dan nasi yang kumakan campuran dari semua.
Ini budi yang kusambut
Pemberian lumrah beranting dan bertaut,
Ini nasi hasil dari kerja
Kembali pada siapa yang patut menerima.
Jadi yang kumakan bukan berasal dari
nasi
Tapi peluh, darah dalam isi mengalir pasti,
Jadi yang kutelan bukan berasal dari padi
Tapi dari urat dari nadi eluruh Pak Tani.
(Dewan Bahasa, April 1958)
Banyak karya Masuri bernada nasionalis dan humanis. Beliau menulis dengan cara yang lurus, bersahaja dan dengan demikian dapat menyuarakan mesej beliau langsung kepada bangsanya. Dan setelah meneliti karya beliau yang awal hingga yang mutakhir, Masuri S.N. telah memberikan kepuasan dari segi isi dalam sebuah sajak yang memang sepatutnya ada pada seorang penulis yang telah lama bergiat.
Ikhtisar Perkembangan Puisi Masuri
Hasil karya beliau berubah dengan peredaran masa. Jika berbanding dengan puisi awal beliau, puisi beliau selepas perang bertukar dari nada yang melankolik ke nada yang jauh lebih optimis dan bernada patriotik. Menjelang tahun 50-an puisi beliau sudah ada perubahan ketara dari segi rima dan bentuk. Tidak lagi beliau bernaung pada struktur puisi lama seperti syair dan pantun. Isi diperipentingkan sejajar dengan laungan perjuangan bangsanya.
Saya bersependapat dengan beberapa orang sarjana bahawa puisi Masuri telah mula mencapai kekuatan dan kematangan isi, mempunyai kemantapan dari segi teknik dan penyampaiannya sejak tahun 50-an. Sajak beliau saya akui tiada bersifat hiburan tetapi kesemuanya mempunyai tujuan-tujuan yang khusus. Ini berterusan hinggakan hari ini. Walaupun kebanyakan puisi beliau termasuk yang mutakhir bersifat peribadi, ia tetap berunsur ‘serius’ dan mempunyai erti yang begitu mendalam. Sifat puisi sebeginilah yang mencerminkan keperibadian beliau yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan pernyataan pemikiran tegas lagi berkesan.
Berhadapan Dengan Masuri S.N.
Terlalu banyak yang ingin diperkatakan tentang Masuri. Terasa pincang jika sekadar membaca karya-karya beliau untuk menyelami apa yang ada di dalam benak Masuri. Atas alasan inilah, diri ini memberanikan diri menjalin siratulrahim dengan pejuang seni, Masuri S.N.
Seorang yang bersuara lembut bila mengeluarkan kekata. Sentiasa mengukir senyuman pada sesiapa yang menegurnya. Pertama kali menghampiri Masuri yang diri ini segani, hilang segala resah bila disambut dengan kelembutan dan sifat peramahnya. Banyak yang dibicarakan. Dari yang awal hingga yang mutakhir. Dari kebudayaan, masalah sosial, perkembangan manusia dan anak Melayu.
Penulis ini bukan sekadar menulis tetapi menulis dengan tujuan tertentu. Bukan untuk nama, bukan untuk untuk harta tetapi kerana bangsa yang amat beliau banggakan, sayangkan. Sejak mula penanya digurat, sehingga sekarang matlamat beliau tetap sama. Walaupun banyak yang boleh dipecahkan lagi dari matlamat pokok itu namun yang ingin ditekankan hanyalah satu, iaitu bangsanya, Melayu.
Keresahan beliau dapat dirasakan melalui komen-komen beliau tentang globalisasi. Dirinya khuatir jika budaya kita yang semakin terhakis terus ditelan hingga lenyap oleh anasir barat yang terus memamah pemikiran bangsanya. Dengan dasar pemerintah yang cuba memperlihatkan sifat keterbukaannya, ia memburukkan lagi keadaan. Menurut beliau, sifat keterbukaan akan memakan dan menjerat diri sendiri jika seseorang yang ingin menjadi ‘open’ tidak ada persiapan ilmu dan tidak beriman pada sesuatu adat.
Walaupun bersifat krtitis, beliau masih merendahkan dirinya. “Semua manusia ada kelebihannya. Cikgu sekadar memperjuangkan apa yang patut. Tiada siapa yang lebih tinggi dari Allah.” Begitulah katanya kepada seorang anak muda yang begitu kagum dengan sifat kerendahan dirinya.
Beliau tiada mencelah ketika soalan diaju. Mendengar dengan teliti dan hanya setelah beberapa ketika berfikir barulah beliau menjawab. Jawapan yang diberinya selalunya bersifat diplomatik dan akademik. Tidak pernah sesekalipun beliau menolak soalan-soalan walaupun yang mengajukan soalan-soalan itu adalah seorang insan hingusan.
Pertemuan pertama merupakan pembuka jalan bagi diri ini mengenali Masuri S.N. dengan lebih dekat lagi. Kesyukuran terlahir apabila Cikgu Masuri menjemputku untuk duduk berbual-bual dengan beliau untuk tiga pagi Ahad berturut-turut. Banyak persoalan yang telah dikeutarakan dan dibicarakan. (Dialog bersama penulis ini telahpun disertakan di bahagian lampiran esei ini.)
Empat pertemuan dan diri ini masih lagi mendahagakan lebih masa. Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana dikurniakan kesempatan tersebut. Berikut adalah nasihat yang diberikan beliau di akhir empat pertemuan saya bersama Masuri, “Seorang penulis haruslah ikhlas ketika berkarya. Masa haruslah dicari untuk berkarya setiap hari. Insyallah, satu hari nanti berjaya juga dia akhirnya. Masa kamu akan datang juga. Jangan sesekali berputus asa...” Bukan setakat nasihat tetapi kekata yang membakar semangat.
Kesimpulannya ...?
Seawal penglibatan beliau dalam dunia kesusasteraan, banyak yang beliau telah kecapi. Selain menghasilkan puisi, beliau juga terlibat dalam penerbitan majalah, esei kritikan sastera dan cerpen tanpa menjejas tugas utama beliau sebagai seorang pendidik. Walaupun telah lebih dua puluh tahun bersara, beliau masih terus aktif bergiat dalam dunia kesusasteraan hingga ke hari ini.
Pemikiran beliau begitu mendalam dan hal ini dapat kita lihat melalui karya-karya beliau. Kesungguhan beliau memperjuangkan hak bangsanya, menyuarakan kelemahan masyarakat dan membangkitkan semangat nusa, lebih-lebih lagi pada ketika Tanah Melayu mengalami beberapa pergolokan, memang sukar ditandingi. Walaupun diiktiraf berkali-kali beliau tetap merendahkan diri, masih bergaul dengan sesiapapun dari setiap lapisan masyarakat. Sifat ini sejajar dengan apa yang beliau maksudkan dengan menjadi seorang seniman.
Dalam perpuisian Melayu moden, beliau telah mencipta nama bukan sekadar di Singapura malahan di seluruh rantau Asia Tenggara. Sumbangan beliau dalam kesusasteraan dengan diiringi semangat yang jitu amatlah besar dan tidak mampu dinilai. Beliaulah seniman, pendidik dan pejuang. Seorang sasterawan yang tidak akan luput dari mata masyarakat untuk selama-lamanya.