
Tema & aspirasi para penyair moden yang muncul sebelum Perang Dunia II oleh Elmi Zulkarnain.
Puisi Moden
Rahman Shaari mengatakan bahawa kelahiran puisi moden dalam Kesusasteraan Melayu seiring dengan kemunculan sikap dalam fikiran baru dalam masyarakat Melayu. Perubahan berlaku agak perlahan dan tidak drastik. Perubahan dari puisi tradisional ke puisi moden bermula di Indonesia pada tahun-tahun dua puluhan.
Penyair yang mula-mula menggunakan puisi baru adalah orang-orang yang melihat kesusasteraan sebagai lambang kebebasan dari masa lampau dan masa yang ada ketika itu. Konsep licentia poetica atau ‘kebebasan penyair’ juga diperkenalkan hingga ia merubah bentuk bahasa untuk kepentingan keindahan yang ingin dicapainya. Namun itu, pembaharuan ini mendapat tentangan yang hebat terutama dari golongan tua yang masih terpengaruh dengan puisi lama.
Tema Sajak Sebelum Perang
Sepintas lalu, tema-tema sajak-sajak sebelum perang berkisar kepada masalah peribadi, nasionalisme, patriotisme dan keagamaan. Sajak-sajak cinta disampaikan dengan nada mendayu-dayu atau melankolik. Walau bagaimanapun, dari segi bentuk, sajak-sajak ini masih rapat dengan puisi Melayu tradisional, iaitu pantun dan syair. Pengaruh tersebut semakin lama semakin berkurangan kerana ada usaha dilakukan untuk menyingkirkannya. ( Harun Jaafar, 2000:12)
Penyair Moden
Setiap penyair yang lahir mempunyai identitinya tersendiri. Setiap puisi atau karya seni sastera yang dihasilkan daripada gaya cipta atau gabungan di antara cetusan imaginasi dengan pengalaman seseorang penyair. Penyair moden termasuk dalam golongan orang-orang yang terdidik dengan pendidikan Barat dan merasa berbeza dari kebanyakan orang lain. Untuk menyatakan kebebasan dan kelainan mereka, mereka merasa perlu untuk menciptakan sesuatu yang berbeza dari yang ada sebelumnya.
Dan sesuai dengan perkenalan mereka yang dekat dengan kesusasteraan Barat, mereka cuba menimba sesuatu dari perbendaharaan kesusateraan Barat. (Umar Junus, 1970:2) Puisi lama atau tradisional dianggap mereka sebagai tertutup dan penggunaannya terbatas kepada hal-hal tertentu dan bentuk yang ada telah terikat pada ikatan tertentu.
Puisi Moden Indonesia
Puisi moden di Indonesia dimulai perkembangannya oleh penyair-penyair yang secara langsung dan tidak langsung yang ikut serta dalam perjuangan politik untuk mendapatkan kemerdekaan Indonesia pada tahun-tahun 1920-an. (Umar Junus, 1980:3)
M. Yamin dan Rustam Effendi merupakan dua penyair utama pada masa itu yang benar-benar terlibat dalam perjuangan politik. Seorang lagi nasionalis yang meskipun tidak menonjol sebagai seorang ahli politik tetapi memperjuangkan kemerdekaan dan menyebarkan fahaman nasionalisme adalah Sanusi Pane. Sajak-sajak yang mereka (M. Yamin, Sanusi Pane dan Rustam Effendi) hasilkan diharap dapat menyedarkan rakyat Indonesia tentang keadaan mereka yang masih dalam penjajahan Belanda ketika itu.
M. Yamin & Rustam Effendi
Kejayaan, tanahair di masa lampau, keindahan bumi dan harapan untuk masa depan yang gemilang diceritakan dalam sajak-sajak M. Yamin. Berikut adalah petikan dari sajak beliau yang berjudul ‘Tanahair’:
Hiasan mulia di Katistiwa?
Ialah perca alangkah bagusnya
Di sanalah berkubur di lembah dan lurah
Diteduhi kemboja di tanah nan merah
Ditanam bangsaku seasal sedarah
Ditengah pesara dikelilingi daerah,
Tempat berjuang kejadian sejarah
Seperti yang dibayangkan dengan ghairah
Oleh ibuku, bapa pitarah.
Aku pintakan kepada Tuhan
Bagi Sumatera diturunkan cinta,
Supaya pulauku tanah dan ladang
Sertakan sawah kebun berbidang
Diturunkan rahmat bersedang-sedang,
Sehingga yang lemah, kecil dan gedang
Dapat berteduh di kayu nan rendang,
O, Tuhan yang maha mulia
Limpahi tanahku dengan cahaya.
(M. Yamin dari kumpulan sajak Tanahair)
Rustam Effendi juga menceritakan tentang kesuburan dan kekayaan dalam sajak beliau. Kekhuatiran tentang masa depan tanahair beliau diketengahkan dalam puisinya seperti berikut:
O, tanahairku yang sangat subur
Bertikar bersawah padi,
Berladang berkebun kopi.
Berharta di dalam hutan,
Membuat usaha bukan buatan.
O, tanahairku yang sangat subur.
O, tanah tumpahku yang sangat malang
Bilakah waktunya datang,
Terlepas darimu bimbang?
Mengharamkan penjilat bangsa kebiri
Kerana mengingat keperluan sendiri,
O, tanah tumpahku yang sangat malang.
(Rustam Effendi dari kumpulan sajak Percikan Permenungan)
Sajak-sajak seperti di atas dikatakan menangisi nasib malang yang menimpa tanahair mereka yang subur dan indah dan sekaligus mengharapkan masa depan yang penuh kebahagian. (Umar Junus, 1980:8) Keindahan dan kejayaan yang dicita tidak wujud dan tidak dapat dinikmati lagi. Kesengsaraan yang dialami rakyat dan para penyair diketengahkan melalui puisi yang ditutup dengan harapan masa depan yang penuh dengan kegemilangan.
Keindahan Alam Dalam Puisi
Sifat-sifat melankolik, menangisi keadaan dan mengharapkan adanya seseorang yang akan memperbaiki keadaan menjadi inti kebanyakan karya puisi ketika itu. Dalam sajak-sajak sebelum Chairil Anwar, alam memegang peranan penting. Peranan manusia juga dilukiskan sebagai sebahagian dari alam. Pendek kata, segalanya dibandingkan dengan alam.
Konsep seni kesusateraan Yunani Tua, ars imitatur naturam atau seni meniru alam mula diperkenalkan pada penyair pada dekad itu. Seni mengikut konsep itu boleh dianggap baik jika ia berhasil memindahkan alam ke dalamnya. Oleh kerana itu, ramai penyair yang berusaha untuk memasukkan unsur alam sebaik mungkin ke dalam puisi mereka. Ada berbagai sikap penyair terhadap alam yang boleh dibutirkan:
i. Alam yang dirindukan
ii. Alam yang penuh dengan keindahan
iii. Alam yang penuh keganasan
iv. Alam sebagai tempat mengadu
v. Alam sebagai perbandingan
Kerinduan beberapa pengarang kepada alam dapat dilihat melalui sajak-sajak mereka. Unsur utama atau tema yang dikaitkan ialah keindahan dan kesuburan tanahair. Contohnya, Amir Hamzah yang juga seorang tokoh Pujangga Baru, melukiskan keindahan alam melalui sajak berikut:
Berdiri aku di senja senyap
Camar melayang menepis buih
Melayah bakau mengurai puncak
Berjulang datang ubur terkembang
Angin pulang menyejuk bumi
Menepuk teluk mengempas emas
Lari ke gunung memuncak sunyi
Berayun-ayun di atas alas.
(Amir Hamzah dari kumpulan sajak Buah Rindu)
Alam mengambil tempat utama sajak-sajak yang dihasilkan pada waktu itu. Alam yang pasif dan menderita sering juga dikaitkan dengan manusia-manusia yang menderita dan pasif. Keindahan yang dinyayikan pula ialah keindahan alamiah. Alam dan suasana melankolik adalah dua hal utama dalam karya puisi yang dihasilkan pada waktu itu.
Patriotisme dan Nasionalisme
Banyak karya puisi Indonesia yang bertemakan patriotisme dan nasionalisme ditulis pada masa itu. Dengan kata lain, gambaran masyarakat Indonesia yang ingin lepas daripada belenggu penjajahan, tergambar dalam karya-karya puisi yang dihasilkan. Untuk membebaskan negara, rakyat Indonesia rela berkorban untuk bangsa dan negara serta penyerahan diri sepenuhnya kepada tanah air. Hal ini yang umumnya tumbuh kerana adanya keselarasan dalam hubungan penulis/pengarang dengan masyarakatnya.
Gambaran rakyat Indonesia yang cinta tanahair jelas terlihat dalam puisi M. Yamin yang berjudul “Tanahair”. Puisinya menggambarkan kesediaan penyair mengorbankan diri untuk tanah air yang tercinta. Pengorbanan diri pada tanahair itu disertai bayangan bahawa akhirnya akan tercapai masa yang gemilang.
Cita-cita dalam suatu masyarakat yang belum tercapai mengakibatkan masyarakat atau anggotanya menjadi resah. Namun, keresahan itu akhirnya pupus kerana adanya secercah harapan yang memperlihatkan bahawa cita-cita itu, berupa kemerdekaan, pada saatnya akan tiba. Hal itu dengan jelas diungkapkan Armijn Pane dalam puisinya yang berjudul “Bintang Merdeka”.
Gambaran patriotisme juga dapat dilihat dengan jelas dalam puisi “Hang Tuah” karya Amir Hamzah. Puisi ini menceritakan kepahlawanan tokoh lagenda Melayu, Hang Tuah, dalam salah satu episod perang antara kerajaan Melayu dengan Portugis.
Obsesi kemerdekaan yang menyala-nyala, yang banyak terdapat dalam puisi-puisi Indonesia dalam tahun 1920-1940, merupakan petanda api patriotisme dan semangat cinta tanah air yang berkobar-kobar di dada para penyair ketika itu. Kecintaan yang dalam pada tanahair itu melahirkan rasa duka yang dimunculkan penyair ketika menyaksikan penderitaan rakyat. Hal itu jelas tergambar dalam puisi A. Hasjmy berjudul “Tanah Ibuku”. Puisi beliau yang lain menggambarkan kebulatan tekadnya untuk berjuang demi ibu pertiwi tercinta sesudah menyaksikan penderitaan rakyat berpanjangan. (Othman Puteh, 1995:180)
Rustam Effendi juga mendambakan kebebasan rakyatnya daripada penderitaan yang berpanjangan. Melalui puisinya “Mengeluh”, beliau mencita-citakan kemerdekaan negerinya daripada cengkaman penjajahan. Seorang lagi penyair bernama Asmara Hadi juga telah memberi sumbangan kepada dunia sastera Indonesia dengan mengungkapkan gelora zamannya berupa semangat nasionalisme yang kental.
Perkembangan Puisi Moden Malaysia
Kebanyakan penyair pada sebelum perang merupakan penyair sambilan. Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang keadaan seni sastera berbanding dengan puisi moden Indonesia yang pesat berkembang pada ketika itu. Sajak-sajak yang dihasilkan lebih merupakan sajak-sajak percubaan sahaja. Muhammad Yasin Makmur dan Kasmani Haji Arif menghasilkan sajak-sajak yang bertemakan alam dan cinta serta bernadakan suasana melankolik.
Muhammad Yasin Makmur
M. Yasin Makmur atau Pungguk adalah ketua pengarang dalam majalah ‘Guru’. Puisi beliau telah memperlihatkan gejala-gejala baru dalam dunia puisi baru, satu penyimpangan yang amat nyata dari peraturan-peraturan yang rigid pada pantun, syair, gurindam dan seloka. Dalam kesusasteraan melayu Moden, beliau merupakan penyair yang profilik dalam zamannya.
Pungguk dianggap sebagai pelopor penulisan sajak. Kenyataan ini diperkuatkan lagi oleh Usman Awang dan Ismail Ahmad yang mengatakan dalam bahagian 1 “Kelopak Baru Mula Menguntum” iaitu sebuah antologi Titian Zaman (Dewan Bahasa dan Pustaka) yang antara lain menyatakan:-
“Majalah yang mempelopori penyiaran sajak Melayu baru ialah Majalah Guru dan penyair yang dianggap mempelopori penulisan puisi baru moden ialah Punggok. Ia bertindak sebagai penyambung di antara puisi lama dan puisi baru. Ia tidak menolak bentuk lama. Ia sekadar mengubah fungsi pembayang dan dengan demikian Pungguklah yang merentang titian penyeberangan penulisan pantun ke tebing penulisan sajak.” (Halaman 4).
Peranan Alam Dalam Puisi Melayu
Alam memainkan peranan penting dalam sajak-sajak penyair puisi moden di Tanah Melayu sebelum perang. Ada beberapa kuntum sajak yang boleh dijadikan contoh peranan alam dalam puisi:
Waktu senja burung terbang
Waktu adinda bersedih cita
Hancur dan lebur di kalbu abang
Sedih adik panah dewata
(“Keluh Kesah”, M. Yasin Makmur)
Di barat matahari terang
Alam yang tadinya kelam
Kabus yang sedang berbalam
Telah terang temerang.
Pagi hampir tiba
Unggas berterbangan
Menunjukkan keriangan
Keluar mencari laba.
(“Ketamadunan Timur...ke Barat”, Danial Din)
Di lembah sunyi bujang telentang
Di dalam malam duka nestapa
Jiwa melayang ke langit bintang
Diusir angan berbagai rupa.
(“Khayal”, Abu Samah)
Melalui contoh-contoh di atas, dapat dilihat bahwa para penyair tidak dapat melupakan kehadiran alam dalam puisi mereka, paling kurang alam mereka perlakukan sebagai latar belakang, sebagai perbandingan.
Penyair dan Alam
Kedekatan mereka kepada alam, meskipun tidak disertai dengan kerinduan sebagai yang terdapat pada puisi moden awal di Indonesia, adalah suatu hal yang memang dapat diduga sebelumnya. Mereka adalah orang yang paling dekat kepada alam, kerana mereka biasa hidup dalam lingkungan kampung. Mereka dibesarkan dalam suasana kampung pula.
Suasana alam yang pasif adalah juga suasana mereka. Mereka adalah manusia yang pasif, dan ini disebabkan oleh konstelasi masyarakat ketika itu. Demikian banyak yang menekan mereka untuk dapat mengemukakan fikiran mereka sendiri, sehingga mereka telah sampai ke dalam suasana menerima sahaja. Tidak dapat menyatakan keinginan mereka sendiri, kecuali meminta belas kasihan. Dan ini jugalah yang menyebabkan sajak-sajak merka bernadakan suasana melankolik. (Umar Junus, 1980:124)
Cinta Penyair Pada Tanahair
Para penyair pada masa itu bangga dengan tanahair mereka. Perasaan kebangsaan dan cinta mereka kepada tanahair tergambar melalui karya-karya puisi seperti berikut:
Oh Semenanjung tanah yang cantik
Permai hidupmu di dalam bahagia
Pujaan sukma setiap detik
Di bawah langit tanah yang mulia
Harapanku oh Semenanjung
Bahagialah hidupmu di dalam aman
Biar budimu rata dikunjung
Di hati rakyat berbagai roman.
(“Tanahairku”, Abu Samah)
Fadzil Somos juga memperlihatkan kecintaannya kepada tanahair sambil bersertakan kenangan di dalam puisi beliau. Di dalam puisi berikut, beliau tidak lupa untuk memasukkan unsur keindahan alam ke dalamnya.
Ketikaku memandan ros nan kembang
Bergoyang di puput nan lembut
Teringat rulan purnama mengembang
Memetik bunga sambut-menyambut
Ketika kumasuk ke taman sari
Menyiram bunga jambangan kenangan
Sekonyong tergambar zaman bahari
Zamanku diriba dewi kayangan.
(Oh rulan! ... Di mana kau?)
(“Terkenangkan Zaman Bahari... Rindu”, Fadzil Somos)
Dengan dua contoh yang diberikan di atas dan banyak lagi karya puisi yang melaungkan kecintaan pada negara dan tanahair dengan alam menjadi latar kepada setiap puisi, jelaslah bahawa penyair-penyair ini mementingkan hubungan tanahair dan alam dalam hasil kreatif mereka.
Manusia dalam Puisi
Walaupun alam merupakan satu unsur penting di dalam puisi moden awal, peranan manusia tidak diketepikan. Manusia yang wujud dalam puisi penyair pada ketika itu merupakan manusia yang pasif, menderita, tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya menerima. Manusia hanya mampu mengeluh sahaja. Keadaan pasif dan keluhan ini dicerminkan melalui sajak-sajak seperti berikut:
Tapi nanti aku
Waktu sudah miskin
Payah kawan mengaku
Tolong mengganti kain.
Memang aku tahu
Dari saat mula
Di mana ada semut
Di situ ada gula.
(“Masa Berwang”, Nursahak)
Ayuhai rindunya ...
Wahai sedihnya ...
Beta tanggungkan ...
Hati yang sayu ...
Kalbu yang pilu ...
Daku tangiskan .... daku anggankan ...!
(“Selalu Merayu”, M. Yasin Makmur)
Contoh di atas memberi gambaran jelas tentang kepasifan manusia yang sama seperti alam yang pasif, yang hanya menerima saja. Keadaan sebegini menyebabkan puisi yang dihasilkan bersifat melankolik.
Pengertian Cinta
Di samping persoalan alam yang dinyatakan dalam suasana melankolik, cinta yang dikemukakan dalam puisi juga bernada melankolik. Cinta yang dinyatakan tidak dapt dipisahkan dari suasana alam dan kadangkala bercampur dengan cinta terhadap tanahair seperti yang dibincangkan di atas. Cinta bagi mereka (penyair moden awal) merupakan sebuah lambang sebuah lambang kebahagiaan dan masa depan yang lebih cerah. Ia tidak sama sekali mencerminkan kekasih manusia dalam erti yang sebenarnya. Contoh berikut dapat menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan cinta pada para penyair masa itu:
Bila kusampai di tepi laut
Hatiku menung menekan dagunya,
Menentang ombak menderu di pantai;
Ombak menyeru sedihku menyahut,
“Apa diseru?” sedihku menyahut,
Gelombang menjawab, “Ia mengintai!”
Terperanjat besar segala hatiku,
Suara ombak menjawab tadi.
Bukan ombak yang bersuara,
Suara adikku! Kekasihku.
Ke mari dekat wahai fuadi,
Lama sudah abang melara ....
(“Tak Disangka-sangka”, M. Yasin Makmur)
Di bawah bayangan bulan duduklah aku
Di bawah bintang-bintang seperti nilam
Menyeru kekasih duduk di pangku
Menghuraikan cinta hati di dalam.
( ............. )
Nama kupuja berkali-kali
Wajahnya terbentang di hampiran mataku
Memohonkan belas kasihan diri
Bersatu berkasih biar terpaku
(“Pujaan Cintaku”, Mu’alami)
Nasionalisme di Tanah Melayu
Kemasukan pengaruh Indonesia ke Tanah Melayu pada akhir tahun-tahun 20-an di samping memperluas kesedaran kebangsaan, mempengaruhi para penyair dalam penulisan puisi Melayu moden. Mereka telah lama menerima gagasan-gagasan baru melalui karya kesusasteraan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah terbitan Indonesia. Melalui akhbar dan majalah itu tadi, para penyair mula berkenalan dengan penyair Indonesia seperti M. Yamim, Rustam Effendi, Sanusi Pane dan Asmara Hadi.
Berikutan kegiatan penulisan sajak di Tanah Melayu yang dirintis oleh Punggok, ramai penyair yang muncul untuk menyumbangkan karya mereka dalam Majalah Guru, Warta Ahad dan Majalah Idaman. Antara penyair yang dimaksudkan ialah Abu Samah, Danial Din, Kasmani Haji Arif, Chintati dan Fadzil Somos. Kerana didorong oleh pengaruh dan pengalaman yang dilaluinya itulah, maka dalam sajak-sajak mereka ikut terjelma tema yang berhubungan dengan nasionalisme di samping tema lainnya. (Kamaruzzaman Abd. Kadir, 1982:41)
Orang-orang Melayu sekadar menjadi pemerhati sedang penjajah Inggeris sibuk mewujudkan kawasan-kawasan perusahaan dan perdagangan di rantau ini. Pemusatan aktiviti-aktiviti ekonomi terlihat seperti sengaja dilakukan supaya kehidupan orang Melayu dalam lapangan ini tetap mundur. Keadaan beginilah yang menyentuh perasaan penyair Melayu yang kebanyakannya terdiri dari guru-guru Melayu dan beberapa orang didikan agama.
Karya mereka banyak mengemukakan persoalan nasib bangsa yang ketinggalan dan disisih daripada aktiviti ekonomi yang dikuasai oleh kaum pendatang Cina. Pernyataan-pernyataan kesedaran orang-orang Melayu tentang betapa terancamnya kedudukan ekonomi orang Melayu amatlah wajar kerana semakin hari semakin hampa bangsa Melayu kita. Orang-orang Cina diberi jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan sementara orang-orang Melayu dibiarkan begitu sahaja. Rus Hamidi telah bangkit untuk menyuarakan kekecewaannya tentang ketidakadilan ini:
Kerani-kerani mandur-mandur kebanyakan bangsa asing
Bangsaku yang layak tinggal kecewa
Sekiranya dari sekecil-kecil pekerjaan
Semuanya terlepas ke tangan bangsa Asia dan Eropah
Pada masa itu apalah nasib bangsaku!!!
Kehidupan orang-orang Melayu yang tinggal di bandar semakin menderita kerana ditindas dalam lapangan ekonomi dan peluang pekerjaan. Dalam menyuarakan kehampaan dan kegelisahan orang-orang Melayu, para penyair Melayu ketika itu menghasilkan berpuluhan buah sajak seperti berikut:
Mencari kehidupan diri
Tak ada kesenangan
Bangsa asing dahulu mencari
Bagaimanapun hidup supaya aman.
Di sini Cina
Di sana Keling- Banggali
Bangsaku merana
Mencari nafkah sendiri.
(“Bangun dan Sedar”, Abd. Rahman Zainuddin)
Ada juga di kalangan penyair yang berpendapat bahawa keburukan dan kemelaratan nasib bangsa Melayu tidaklah berpunca dari peranan kaum-kaum yang mendatang. Mereka berpendapat bahawa kealpaan dan kebaculan kepimpinan pemimpin-pemimpin Melayu terhadap pancingan saudagar-saudagar asing yang menyebabkan penderitaan orang Melayu itu sendiri. Pendapat ini amat ketara di dalam sajak Ngumba yang berjudul “Rayuan Tanahair”.
Walaupun kesedaran ke arah mencurigai kaum-kaum mendatang lebih banyak mendapat perhatian para penyair dan orang Melayu umumnya, tetapi ada juga yang menyentuh tentang penjajah Inggeris. (Kamaruzzaman Abd. Kadir, 1982:47) Dalam sajak-sajak “Di Tengah Segara” (Majalah Guru, Disember 1933), “Selalu Merayu” (Majalah Guru, Mac 1934), “Keluh Kesah” (Majalah Guru, Mac 1936), “Ketemadunan Timur... ke Barat” (Majalah Guru, November 1937), “Tangisan Di Tepi Pantai” (Warta Jenaka, 28 Novemberr 1941) dan “Kurun Kedua Puluh” (Majalah Guru,Ogos 1941) memperlihatkan kesedaran para penyairnya bahawa kemasukan kuasa penjajah itu sendiri telah membawa keburukan nasib bangsa mereka. Pungguk, misalnya, melalui sajak “Di Tengah Segara” menggambarkan:
Dalam gelombang hambur menghambur
Kudengar seru sayup bahasa
Hatiku lebur bagaikan hancur
Hendak direnang beta tak bisa.
Tuan mengeluh menanggung nestapa
Kudengar turut sama bersedih
Meski kurenang takkan berjumpa
Segara berpuaka – teluk beralih.
(“Di Tengah Segara”, M. Yasin Makmur)
Dari gambaran inilah, terlihat kesedaran seorang anak perimbumi tentang nasib malang bangsa dan tanahairnya, yang dilambangkan dengan ‘Tuan’ itu, mengalami penderitaan di bawah tekanan penjajah. Dengan tekanan ini kehidupan bangsa Melayu sentiasa dalam kesulitan dan bahaya pula, iaitu sama seperti menempuh ‘Segara berpuaka’. Kesulitan dan bahaya itu lebih terasa lagi kerana ‘teluk’ yang bererti pusat kekuasaan politik Melayu yang terletak pada raja-rajanya telah berpindah ke tangan penjajah. Maka itu kemampuan raja-raja untuk melindungi hak dan kepentingan rakyatnya sudah tiada lagi.
Demikianlah kesedaran para penyair akan keburukan nasib masa depan bangsanya di Tanah Melayu. Tetapi sebagai rakyat peribumi, bangsa Melayu tidak punya pilihan lain. Di sinilah hidup mati mereka. Oleh itu, sudah sewajarnyalah mereka memperkuat dan menyemarakkan harapan kembalinya bebas serta bahagia. Hakikat inilah yang terjelma dalam sajak-sajak yang mengemukakan persoalan cinta tanahair. Secara keseluruhan, persoalannya lebih membawakan keyakinan dan kemegahan bangsa Melayu di tanahairnya sendiri. Ini jelas terlihat pada pernyataannya yang penuh dengan rasa pemujaan terhadap alam, kesuburan bumi dan kekayaan hasilnya. Sajak “Malaya Tanahairku” adalah contoh pernyataan ini:
Di mana gunung berderet-deretan
Di tengah buminya seolah-olah pasak
Ditumbuhi kayu kehijau-hijauan
Malaya tanahairku yang kaya.
Di mana paya penuh berikan
Tempat itik berulang mandi
Sawah terbentang dengan suburnya
Perdunya besar buahnya bernas
Malaya tanahairku yang subur.
Di mana dusun dingin naungan
Pohon buahnya hidupnya rendang
Buahnya keluar bermasak ranum
Isinya sedap lagi pun enak
Malay tanahairku yang tidak dilupa.
(“Malaya Tanahairku”, Rus Hamadi)
Begitulah sajak-sajak yang berhubungan dengan nasionalisme dalam period 1933-1941 di Tanah Melayu. Melihat kepada pernyataan jenis-jenis persoalan yang dikemukakan oleh para penyairnya, jelas menunjukkan sajak-sajak belum lagi digunakan sebagai alat perjuangan politik yang radikal. Tiada karya puisi yang menyuarakan penentangan terhadap kaum-kaum mendatang seperti yang dilakukan oleh Abdul Rahim Kajai dalam cerpen “Cerita Awang Putat”. Tidak juga ditemui sajak yang menyuarakan perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris, seperti yang dikemukakan dalam novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad.
Perbezaan Antara Puisi Indonesia, Malaysia
Pemikiran yang terdapat dalam sajak-sajak sebelum Perang Dunia Kedua di Malaysia tidak banyak berbeza dari puisi moden yang awal di Indonesia. Perbezaannya hanya terletak pada intensiviti belaka. Kerinduan kepada alam dan kampung halaman tidak begitu terlihat di Malaysia, bahkan mungkin dapat dikatakan tidak ada. Ini mungkin disebabkan kerana penyair di Malaysia tidak terpisah dari kehidupan kampung halaman dan alam. Alam dan kampung halaman merupakan sebahagian dari kehidupan mereka. Dan ini yang tidak terdapat pada penyair-penyair awal Indonesia.
Kecintaan terhadap tanahair tidak juga begitu ketara, dan lebih banyak bersifat tersembunyi. Ini mungkin disebabkan kerana mereka tidak merupakan pejuang kemerdekaan yang sama keadaannya dengan penyair-penyair yang awal di Indonesia. Kalau penyair-penyair awal di Indonesia melibatkan diri dalam suatu parti yang memperjuangkan kemerdekaan Indonesia, tidak demikian halnya dengan penyair-penyair tadi. (Umar Junus, 1980:128)
Dari Perspektif Peribadi
Tema puisi Melayu memang jelas memperlihatkan kemajuan. Tema puisi dikatakan maju kerana ada usaha penyajak atau penyair yang membawa aliran baru, pemikiran baru, dan gaya baru dalam karya-karya mereka. Tema turut berubah mengikut peredaran zaman. Dalam dekad 30-an dan 40-an misalannya, kebanyakan penyair menulis puisi mereka dalam suasana romantik dan melankolik serta dibanjiri emosi.
Namun itu, mereka (para penyair) masih dikongkong oleh teknik dan gaya puisi klasik. Bahasa mereka tetap lembut dan nada mereka boleh disifatkan sebagai mendayu-dayu. Ini amatlah sesuai dengan lenggang atau gaya kehidupan mereka pada masa itu. Kepasifan yang tergambar jelas melalui karya puisi pada ketika itu adalah sesuatu yang memaparkan sikap negatif orang Melayu pada waktu itu. Sikap mengharap tanpa melakukan apa-apa untuk merubah nasib mereka dan bangsa yang dicintai adalah satu sikap yang boleh menghambat kemajuan yang diangan-angankan.
Tentang semangat patriotisme dan nasionalisme, penderitaan rakyat yang selalu terbayang, yang disebabkan situasi penjajahan mengakibatkan ramai penyair yang larut dalam semangat perjuangan untuk kemerdekaan dan juga untuk kehidupan baru yang lebih cerah. Singkatnya, situasi pada zaman itu telah mengilhami bara api perjuangan para penyair di Tanah Melayu dan juga Indonesia.
Secara keseluruhan, pendidikan, pengalaman dan pengaruh yang diterima oleh para penyair waktu telah membantu mereka menghasilkan sajak-sajak yang lebih bermutu dan bermatlamat. Sajak atau puisi sebeginilah yang menjadi aset yang berharga bagi khazanah kesusasteraan Melayu.
Kesimpulan
Penyair-penyair di Malaysia dan Indonesia banyak membicarakan tentang alam. Mereka tidak dapat melepaskan diri dari alam. Alam yang merupakan sebahagian dari hidup mereka dijadikan persoalan, isi atau latar pada puisi-puisi yang dilakar. Alam bagi mereka merupakan satu lambang cinta pada tanahair. Kecintaan beginilah yang menyebabkan kecintaan pada alam.
Mereka bersifat pasif, sama seperti alam pasif yang digambarkan melalui puisi mereka. Manusia yang dijumpai di dalam puisi merupakan manusia pasif yang hanya tahu mengeluh dan meratap menyebabkan sesebuah puisi itu bersifat melankolik. Tiada usaha perombakan suasana yang terdapat di dalam puisi-puisi tersebut. Tiada usaha tetapi hanya mengharapkan perbaikan dapat dilakukan.
Sajak-sajak nasionalisme yang dibicarakan di atas sudah ada kesedaran bererti. Ini berikutan dengan terlihatnya pernyataan pernyataan kemegahan terhadap tanahair dan keinsafan kepada nasib bangsa, sebagai reaksi rakyat yang tertekan dengan kehadiran penjajah.
Untuk meringkaskan kesemuanya, puisi-puisi pada zaman itu merupakan semacam harapan, dan harapan inilah yang mereka lambangkan dengan kekasih yang mereka cintai. Suasana melankolik yang terdapat dalam kebanyakan puisi lebih merupakan kerinduan akan berbagai-bagai harapan akan perbaikan dan masa depan yang lebih cerah, lebih baik. Ini jelas menunjukkan betapa rindu mereka akan kemerdekaan dan kejayaan yang pernah mereka rasakan atau perolehi pada masa lampau.
BIBLIOGRAFI
Drs. Umar Junus. 1980. Sikap Dan Pemikiran Dalam Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Kamal Abdullah, Hashim Awang, Ramli Isin, Sahlan Mohd. Saman & Zakaria Ariffin. 1990. Sejarah Kesusasteraan Melayu: Jilid II. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Drs. Umar Junus. 1970. Perkembangan Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana. 2002. Jejak Sastera Melayu Moden ke Pascamoden. Singapura: EDN Media.
Drs. Harun Jaafar. 2000. Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden. Selangor: Pustaka Sistem Pelajaran Sdn. Bhd.
Othman Puteh (peny). 1995. Globalisme dan Patriotisme dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamaruzzaman Abd. Kadir. 1982. Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1937. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.