
Huraianku mengenai pengertian ‘Seni untuk Seni’& ‘Seni untuk Masyarakat (Elmi Zulkarnain)’.
Takrif Seni
Halus dan lembut. Sesuatu karya (sajak, lukisan, muzik, dll) indah yang dicipta dengan bakat. (Kamus Dewan, Edisi III). Definisi ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata mutiara Tolstoy dan De Ridder & Deonna mengenai seni.
“Art is a human activity having its purpose the transmission to others the highest & best feeling to which men have risen.”
(Tolstoy)
“Art is the expression & its mirror & humble servant to society.”
(De Ridder & Deonna)
Hubungan Sastera-Seni-Budaya
Sastera merupakan salah satu cabang kesenian. Ini secara tidak langsung mengaitkan seni sastera dengan budaya atau cara hidup sesebuah masyarakat.
Fungsi Umum Sastera
Sastera didefinisikan sebagai sebahagian dari karya seni yang diumpamakan seperti batu karang yang disusun menjadi gubahan seni kerana unsur kreativiti dan keaslian. (Za’ba, 1934) Sastera mempunyai fungsi-fungsi umum tersendiri yang mempunyai persamaan dengan fungsi-fungsi umum karya seni yang lain. Jika diamati dengan lebih dalam fungsi-fungsi tersebut akan jelas kelihatan fungsi utamanya iaitu sastera bertugas sebagai alat berkhidmat untuk masyarakat.
ASAS 50 ( Sedikit Pengenalan )
Angkatan Sasterawan 50 atau lebih dikenali dengan singkatan ASAS 50 telah ditubuhkan di 24-H Henderson Road, Singapura pada 6 Ogos 1950. Pengasas utama ASAS 50 adalah Ariff Ahmad dengan mendapat sokongan kuat daripada Jymy Asmara serta beberapa orang anggota lagi. Namun itu ada beberapa orang penulis yang telah meletakkan asas kukuh bagi sikap dan cita-cita ASAS 50. Mereka terdiri dari Keris Mas, Asraf dan Usman Awang .
Para penulis ASAS 50 mempunyai pegangan dan bersefahaman untuk membawa aliran fikiran yang maju dalam karya-karya yang mereka hasilkan. Mereka menulis mengenai kepincangan, kemiskinan, penderitaan dan keburukan masyarakat yang dapat dilihat, dirasakan dan dialami pada masa itu. Mereka ingin mendedahkan ketidakadilan masyarakat zaman itu dengan maksud menginsafkan orang ramai.
Kesusasteraan sangat berperanan dalam memperjuangkan keadilan masyarakat. Oleh kerana itu, mereka memegang cogan kata atau slogan Seni Untuk Masyarakat, yang diperjuangkan oleh Asraf dan disokong Tongkat Warrant yang cenderung kepada kemanusiaan. Namun begitu, salah seorang pengasas ASAS 50 yang pernah menjadi pengerusinya bagi kali pertama iaitu 1950/1951, Hamzah Husein terpaksa memberontak terhadap ASAS 50. ( Mana Sikana, 2003:19-20)
Maksud & Tujuan ASAS 50
Menurut penelitian Li Chuan Siu (1986), maksud dan tujuan ASAS 50 adalah seperti berikut:
(i) Memperluaskan dan mempertinggikan kesusateraan & kebudayaan Melayu:
a. Mempelajari karangan-karangan berkaitan sastera seperti rencana-rencana pengetahuan, kebudayaan serta juga peradaban yang membawa aliran fikiran manusia.
b. Mengubah dan mencipta rencana-rencana kesusasteraan, sajak-sajak dan sebagainya yang mengandungi aliran fikiran maju untuk diterbitkan.
c. Mengatur dan mengadakan syarahan untuk anggota mengenai segala lapangan sastera.
d. Menyatukan sebarang usaha karang mengarang mengenai bahasa dan sastera.
(ii) Melindungi hak-hak muslihat setiap ahli dan pengarangnya:
a. Merapatkan muhibah diantara sasterawan dengan penerbit.
b. Menentukan bayaran mengikut harga karangan-karangan.
c. Membantu sasterawan di dalam memajukan cita-citanya dan dalam hal-hal kewangan.
d. Memberi perlindungan undang-undang pada ahli yang penulisannya terkeluar dari garis undang-undang.
(iii) Mengadakan pembaharuan di dalam sastera tanpa membunuh yang lama:
a. Memajukan dan memperbaiki Bahasa Melayu dalam sastera.
b. Mengubah, mencipta, memperbaharui, membina perkataan untuk memperkaya bahasa.
Asraf dikenali sebagai pengkritik yang begitu yakin diri memperjuangkan konsep ‘Seni untuk Masyarakat’ pada era Asas 50. Asraf, seorang tokoh yang sukar dipisahkan dalam pembicaraan mengenai ASAS 50 memainkan peranan penting dalam pertubuhan tersebut. Beliaulah yang paling banyak menulis untuk memberi penerangan mengenai cita-cita ASAS 50, menggelarkan apa yang diperjuangkan mengenai cita-cita ‘Seni Untuk Masyarakat’.
Asraf menggunakan mingguan Utusan Zaman dan bulanan Mastika untuk membela cita-cita Seni Untuk Masyarakat sedangkan Hamzah pula menyiarkan bahasanya untuk membela cita-cita Seni Untuk Seni. Masing-masing ada penyokong mereka tersendiri yang kemudiannya dikatakan turut serta dalam polemik itu. Kenyataan ini diperkukuhkan dengan sebuah artikel berjudul Pandangan Keliru Terhadap Angkatan Baru yang termuat dalam bulanan Mastika terbitan Julai 1952. Walaupun tiada tercatat nama penulisnya, artikel ini dikatakan mungkin ditulis oleh Asraf. Artikel tersebut berbunyi:
“Membangunkan rakyat sesuai dengan tuntutan zaman ini tidaklah boleh dengan rayuan dan nyanyian, nasihat dan petua. Rakyat tidak boleh lagi diberi harapan yang kosong dan menggambarkan yang indah-indah sahaja, rakyat tidak boleh lagi ditakuti atau dimomokkan saja dengan menggambarkan neraka atau jel di depan mata. Tetapi rakyat Melayu sekarang mestilah diberi jalan fikiran baru supaya mereka sendiri berfikir, menimbang dan bertindak, tidak takut-takut dan tidak terikat oleh berbagai momok adat resam Melayu yang lembab dan yang telah bersarang dalam jiwa mereka turun menurun.”
Tokoh lain ASAS 50
Ada dua tokoh terkemuka yang mewakili ASAS 50 pada waktu dahulu dengan menghasilkan karya sastera yang banyak jumlahnya. Usman Awang (Tongkat Warrant) dan Masuri S.N juga mempertahankan slogan Seni Untuk Masyarakat dan ini dapat dikupas dari hasil karya seni mereka. Sajak-sajak mereka dijadikan alat perjuangan untuk kemerdekaan tanah air, membela kaum buruh, petani dan nelayan yang tertindas. Kesedaran kemasyarakatan mereka begitu ketara sekali walaupun dasarnya sajak-sajak yang terlalu diarahkan secara begini, begitu ketara mesejnya. (Ahmad Kamal Abdullah, 1990: 29-31)
(i) Sajak-Sajak Nasionalisme
Masuri S.N telah menghasilkan sajak-sajak sebegini sebagai cerminan kesediaan untuk membela tanah air. Salah satu dari puluhan sajak yang mendapat perhatian adalah “Angkatan Baru”:
Sudah tekad di dalam hati
angkatan baru semarak watan
sudah sepakat di dalam bakti
rela derita sudi berkorban.
Tiada lain ingatan datang
hanya satu ingatan datang
angkatan baru tetap berjuang
sehingga nusa gemilang rupa…!
(Kencana, 1947)
Usman Awang pula mengkritik orang yang berjiwa hamba. Beliau telah mengingatkan masyarakat tentang kemerdekaan tanah air yang hanya dapat dicapai sekiranya rakyat bersemangat perjuangan:
Berpusing roda beralihlah masa,
berbagai neka hidup di bumi,
selagi hidup berjiwa hamba,
pasti tetap terjajah abadi.
Kalau hidup ingin merdeka,
tiada tercapai hanya berkata,
ke muka maju sekata, maju kita,
melemparkan jauh jiwa hamba.
(Utusan Zaman, 27 Mac 1949)
Ada banyak lagi karya yang dihasilkan pada masa itu sebagai lambang perjuangan untuk menegakkan kemerdekaan. Karya-karya ini dijadikan suara perjuangan penyajak -penyajak ASAS 50 yang sungguh bersemangat.. Pernyataan para penyajak adalah sama, iaitu untuk kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran.. Perjuangan mereka adalah untuk membebaskan rakyat dari berbagai ikatan dan penekanan juga dianggap satu perjuangan yang suci.
(ii) Sajak-Sajak Kemanusiaan, Kemasyarakatan dan Kecintaan
Tema kemanusiaan, kemasyarakatan dan cinta sering disajakkan oleh Masuri S.N, Usman Awang, A. Samad Said dan lain-lain penyajak ASAS 50. Ia bertujuan untuk membela kehidupan rakyat jelata yang miskin dan tertindas. Mereka ingin memperlihatkan pada masyarakat umum akan penderitaan yang dilalui oleh golongan rakyat bawahan. Rasa kemanusiaan mereka tiada meletakkan sempadan antara bangsa, agama atau warna kulit. Melalui sajak “Ini Nasi yang Kusuap”, Masuri S.N telah menghargai jasa petani miskin yang berbakti terhadap dunia. Berikut adalah sebahagian dari hasil penulisan beliau:
Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melintuk dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap.
Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir.
(Dewan Bahasa, April 1958)
Sumbangan penyair ASAS 50
Secara keseluruhannya, para penyair ASAS 50 telah ‘memercikkan’ kegiatan sastera khusunya sajak secara langsung dengan masalah kebangkitan nasionalisme di tanah air. Tambahan pula gagasan “Sastera untuk Masyarakat” itu memanglah sesuai dengan pergolakan Tanah Melayu ketika itu. (Ahmad Kamal Abdullah, 1990:42)
Kesedaran kemasyarakatan dan nilai kemanusiaan yang ingin disampaikan melalui sajak-sajak penyair ASAS 50 merupakan satu sumbangan besar yang patut diberi pengiktirafan. Perjuangan sebegini jarang sekali dilihat dalam karya-karya sastera dalam persada seni tulis tanah air buat masa kini. Rentetan kata-kata indah disulami pengajaran merupakan intipati penting dalam setiap karya seni supaya dapat membawa faedah pada setiap lapisan masyarakat sambil menikmati juadah seni sastera.
Hamzah merupakan tokoh yang berada di pihak lain dan mempelopori perjuangan menegakkan konsep "Seni untuk Seni”. Hamzah atau nama sebenarnya Hamzah Abdul Majid bin Hussin adalah anak kepada seorang penerbit, penjual buku dan pencipta syair, berasal dari Singapura, lahir pada 27 Julai 1927. Beliau memperoleh pendidikan di sekolah Melayu, Sekolah Inggeris di Victoria hingga tamat darjah lapan, dan pada zaman Jepun beliau dididik di Sekolah Agama Darul Ma'arif al-Islamiah. Berdasarkan latar pendidikan itu, Hamzah memiliki pengetahuan agama yang kuat juga.
Hamzah yang memberontak terhadap ASAS 50 tidak setuju kalau sastera digunakan sebagai alat propaganda dan untuk membunuh kepercayaan orang Melayu yang bertalian dengan agama Islam. Beliau pernah menyatakan bahawa ASAS 50 telah dimasuki anasir-anasir sosialis, malah beraroma komunis. Beliau kemudiannya memulakan perjuangan Seni Untuk Seni yang dikatakan bermaksud untuk menekankan aspek keindahan sastera tetapi tetap bermanfaat kepada masyarakat.
Hamzah sama seperti Asraf mempunyai penyokong tersendiri. Penyokong kedua-dua pihak itu juga turut serta dalam polemik tersebut. Beliau (Hamzah) telah menyiarkan hujah-hujahnya demi membela cita-citanya Seni Untuk Seni. Ketiadaan tolak ansur di antara kedua-dua pihak yang disebutkan di atas maka lahirlah Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru yang dipelopori Hamzah dengan sokongan Rosmera dan beberapa orang pengarang muda yang lain. Namun itu, pertubuhan tersebut tidak pernah bergerak aktif dan gagal meninggalkan kesan yang bererti.
(Mana Sikana, 2003: 16)
Tegasnya, Hamzah seorang daripada orang kuat dan tenaga penggerak ASAS 50 sebelum terlibat dalam polemik tentang konsep seni. Bagaimanapun, pergolakan yang tercetus di tanah air pada ketika itu dengan gerakan politik yang kurang disenanginya, apatah lagi dengan ideologi yang tidak secocok dengan jiwanya, akhirnya menimbulkan polemik yang hebat dan rancak antara Hamzah dengan Asraf, terutama dalam tahun 1951-1953.
Seni Untuk Seni
Konsep atau gagasan "Seni untuk Masyarakat" cenderung membela rakyat kelas bawahan dan sebagai sastera komited. Ideologi politik kiri yang menyerap ke dalam ASAS 50 menyebabkan Hamzah diterpa kecurigaan dan menimbulkan semangat ingin memberontak. Justeru itu, hasil daripada kebangkitan itu lahirlah "Seni untuk Seni" sebagai suatu pernyataan protes Hamzah terhadap "Seni untuk Masyarakat."
Di Barat, penganut aliran "Seni untuk Seni" mempunyai multi definisi. Lazimnya mereka dikatakan sebagai anti-sosial dan individualistik. Bagaimanapun, suatu hakikat tidak dapat dimungkiri betapa konsep "Seni untuk Seni" itu merupakan satu aliran baru dalam kesusasteraan Melayu pada ketika itu. Cuma malangnya konsep itu tidak dapat bertahan lama justeru Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru tidak dapat hidup lama.
Dalam usaha dan upaya Hamzah memperkenalkan konsep seninya itu, banyak sekali kupasan tentang pemikiran tersebut untuk menghujah kembali dakwaan Asraf. Hamzah berusaha memperjelaskan konsep yang diyakininya akan tetapi gagasan estetika serta keindahan yang diyakininya tidak berupaya dihantar dengan jelas. Hal ini terjadi ada kaitan dengan kemudahan sarana dan ruang takdir sejarah kurang memihak kepada mereka, apakah lagi Malaya pada ketika itu masih dijajah.
Polemik "Seni untuk Seni" dan "Seni untuk Masyarakat”
Dalam "Prakata" kumpulan cerpen Hamzah Hussain Pagar Bukan Penjara (1996) A. Aziz Deraman menyatakan:
Polemik "Seni untuk Seni"
dan "Seni untuk Masyarakat" yang hangat itu menghidupkan suasana dunia
kesusasteraan Melayu, sesungguhnya merupakan suatu hikmah, malah sebagai aset
yang bernilai dalam khazanah kesusasteraan itu sendiri. Ia harus dilihat dan
ditelusuri secara positif dan penuh dengan keterbukaan sikap bagaimana
pejuang-pejuang bahasa dan kesusasteraan pada era tersebut memperjuangkan
keyakinan diri dan tenaga fikir mereka dalam usaha dan upaya mengangkat martabat
dan maruah kesusasteraan Melayu.
Dari polemik Hamzah-Asraf itu dapat ditelusuri betapa antara lainnya
membincangkan tujuan kesusasteraan dan hubungannya dengan masyarakat dan
manusia. Hamzah sendiri mempunyai tanggapan betapa sastera bukan senjata
perjuangan. Sebaliknya ia merupakan satu kaedah bagaimana sesuatu bangsa itu
melimpahkan apa yang terletak di dalam benaknya dengan tulisan. Dengan kata-kata
lain hasil karya sastera dicipta kerana tekanan jiwa pengarangnya dan sewajarnya
pula memiliki nilai keindahan.
Berbanding dengan Asraf yang menekankan betapa pengarang harus menggambarkan hidup rakyat dan menyatakan hasrat dan keinginan rakyat dalam bentuk cereka yang mengandungi mutu kesenian yang tinggi. Dari sini kita melihat Asraf tidak sama sekali menafikan kehadiran nilai keindahan dalam karya tetapi lebih mementingkan sastera sebagai alat masyarakat.
Dari Perspektif Peribadi
Istilah ‘Seni’ membawa pengertian berbeza-beza kepada setiap individu. Namun begitu setiap hasil karya seni haruslah mempunyai objektif dan matlamat yang sama, iaitu sebagai satu santapan minda dan deria yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja dari setiap golongan masyarakat. Seni yang seharusnya berdasarkan keindahan dan unsur nilai estetika tidak mampu berdiri sebagai seni yang ‘complete’ atau lengkap jika ia hanya dapat dinikmati oleh segelintir kalangan manusia sahaja.
Kekaburan yang sering dimuatkan dalam banyak sajak-sajak yang sering disiarkan dalam ruangan pelbagai media cetak merupakan satu kesilapan. Ini adalah kerana selain dari mengelirukan, mesej yang diselitkan tidak dapat disampaikan kepada para pembaca.
Jika seni itu dihasilkan untuk seni sahaja, ia seolah-olah memberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk melanggar peradaban manusia dalam menghasilkan karya-karya yang tiada nilai keindahan dan hanya bertopengkan istilah abstrak. Segelintir karya seni selain sastera seperti drama pementasan yang dihasilkan sekadar ingin memaparkan keunikan karya tersebut. Malangnya, keunikan inilah yang membuat ramai dari golongan pencinta drama pentas sendiri tidak dapat menerimanya kerana melanggar tatasusila ketimuran.
Masyarakat secara menyeluruh harus menentukan apakah yang dimaksudkan dengan erti seni itu sendiri. Jika karya seni yang konon-kononnya bertujuan untuk membuka minda masyarakat kita tetapi sebenarnya merosakkan akhlak dan membawa unsur negatif dibiarkan berleluasa, maka akan hilanglah pengertian sebenar pada istilah ‘seni’ dan ‘kesenian’.
Kesimpulan
Sastera dan hasil karya seni yang lain sememangnya mempunyai fungsi-fungsi tertentu. Namun itu, pada keseluruhannya karya-karya seni berfungsi sebagai alat berkhidmat untuk masyarakat. Sekiranya sesuatu hasil kesenian itu bersifat terlalu individualistik dan tidak boleh diterima atau dinikmati oleh masyarakat maka pincanglah pengertian asal seni tersebut.
Fungsi asal seni tidak boleh diketepikan dengan alasan pemodenan dan globalisasi. Seni jika dihasilkan untuk seni adalah satu pernyataan yang menggambarkan seni sebagai sesuatu yang bersifat tersendiri dan terpencil. Melaungkan slogan seperti ini akan membawa kekeliruan pendapat tentang sifat sebenar seni serta budaya. Pembaharuan mungkin dibenarkan dari segi strukturnya dari masa ke semasa tetapi makna dan fungsi harus tetap sama iaitu seni itu tetap untuk masyarakat.
Bibliografi:
Mana Sikana. 2003. Sastera Singapura Dan Malaysia: Diaera Pascamoden. Singapura: Persama Enterprise.
Ahmad Kamal Abdullah, Hashim Awang, Ramli Isin, Sahlan Mohd. Saman & Zakaria Ariffin. 1990. Sejarah Kesusasteraan Melayu: Jilid II. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Athi Sivan Mariappan. 1997. Hamzah Hussin: Sekitar Pemikiran Seni untuk Seni. Bagi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Othman Puteh (peny.). 1996. Pagar Bukan Penjara: Kumpulan Cerpen 1947-1968
Hamzah Hussain.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari: 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kritik Sastera di Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian, Belia dan Sukan. 1982. Warisan Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka