Abang Scrambler!“Aiseh, apasal lah kau buang masa dengan minah tudung tu? Bukannya dia kasi kau shiok,” ujar Shahid pada Putra sambil memperlawa Putra sebatang rokok. Putra terus duduk, masih termangu. Dia masih kelihatan resah. Resah pula ditindan runsing. Tidak tahu apakah yang sepatutnya dilakukan selepas ini. Rokok yang dicapainya tadi hanya diciumnya.

 “Eh, aku teka, kita belah lagi baik. Boss kita pun dah angau. Lagipun kalau lepas kul dua belas ada banyak road block lah. Leceh betul. Yang bersemangat nak saman orang bukannya yang old timer tapi budak-budak NS. Boring seh,” sorak Shahid lagi pada kesemua budak-budak motosikalnya.  

Kelantangan Shahid seolah-olah tidak didengari. Sudah hampir dua jam mereka duduk di bawah kolong blok. Tidak dihiraukan apa jua kata makcik-pakcik, nyonya-apek yang berlalu-lalang. Sudah menjadi satu perkara biasa pada mereka apabila mereka dicemuh, dilabel kaki-lepak. Mereka terus asyik berbual tentang motosikal yang terkini dan berdebat akan mana satukah model yang lebih gagah. Barang gantian yang mampu membuat ‘kuda’ mereka lebih kuat dan lebih berkuasa pun menjadi satu topik yang hangat diperbualkan. Ada pula yang terus menerus memperbaiki motosikal mereka yang sebenarnya tidak bermasalahpun.

             Putra merupakan ketua geng motosikal yang menggelar diri mereka ‘Dirt Boys’. Semenjak ia ditubuhkan, keanggotaannya kian bertambah. Sehingga kini, kumpulan mereka mempunyai seramai tiga puluh lima anggota. Kesemuanya punyai kecenderungan yang sama. Ada di antara mereka yang masih bujang dan ramai lagi yang masih menuntut di beberapa institusi pengajian tinggi. Ada pula yang sudah berumahtangga dan sudah pun berkarier. Yang sudah ditinggalkan isteri kerana terlalu asyik dengan dunia motosikal pun ada. Jarak umur tidak menjadi persoalan. Pokoknya apa yang penting, minat mereka.

             Sedang geng-geng motosikal yang lain sibuk menghabiskan hujung minggu mereka di kelab-kelab malam, Putra dan rakan-rakan sibuk dengan menunggang motosikal di kawasan-kawasan lapang dan kawasan berbukit seperti di Tanah Merah dan Pelentong, Johor Baru. Berjam-jam lamanya mereka berlumba sesama-sendiri. Sehingga matahari terbenam barulah mereka mencari tempat membersihkan diri. Baju berlumpur, bau baja dan ditambah pula dengan keringat sudah menjadi lumrah.

 Kehairanan penduduk di sekitar estet perumahan Tampines tercermin di wajah-wajah mereka. Ini berlaku apabila belasan motosikal menderu masuk ke dalam kawasan masjid setiap petang Sabtu. Bukan niat di hati mereka untuk menceroboh keheningan suasana masjid tetapi sememangnya kalau sudah angka motosikal menjangkau begitu banyaknya, begitulah jadinya.

             Putra selaku ketua sentiasa mengumpulkan rakan-rakannya untuk berjemaah di masjid pada waktu maghrib selepas sehari suntuk bergelumang tanah. Selepas Isyak, lazimnya mereka akan berkumpul di sebuah kedai kopi di Frankel Ave. Kalau tidak, di kolong blok Putra di Tampines Eastlah yang menjadi tempat persidangan. Begitulah jika diikhtisarkan setiap hujung minggu Putra bersama kawan-kawannya.

  Keadaan kini kian berubah semenjak kehadiran Erin.

 Erin bekerja si sebuah gerai nasi lemak sebagai pembantu. Tuan empunya gerai itu ialah ibu saudara Putra sendiri. Setelah kehilangan ayahnya akibat Leukemia dan apabila ibunya pula dirawat di sebuah hospital mental, dia terpaksa keluar bekerja dan berhenti dari bersekolah kerana adik-adiknya. Rumah sudahpun dijual dan adik-adiknya dihantar ke Darul Ehsan. Walaupun demikian, dia terpaksa bekerja keras untuk membeli rumah yang baru dan berazam mengembalikan adik-adiknya ke pangkuannya. Dia enggan menerima kenyataan bahawa dia tidak mampu menjaga mereka.

            Erin bersyukur kerana diterima bekerja oleh Mak Mah. Selain membungkus dan membersihkan kedai, Erin diajar menyediakan nasi lemak mengikut resipi Mak Mah yang sudah terbukti istimewa. Gerai Mak Mah memang terkenal di kawasan timur Singapura. Harum nasinya sentiasa membuka selera. Yang kenyang juga kembali lapar. Sudah dua bulan Erin bersama Mak Mah. Kini diajak sebumbung bersama Mak Mah yang tinggal sendirian setelah bercerai dengan suaminya yang memperisterikan seorang perempuan muda di kepulauan Riau. Erin menjadi pelita hidupnya. Bukan sekadar pandai bergurau, lemah lembut tetapi sikap Erin yang disenangi sesiapapun membuat Mak Mah bangga mengibaratkan Erin anaknya sendiri.

             Walaupun sudah diperkenalkan kepada Putra yang sering datang melawat makciknya di gerai selepas sekolah, jarang sekali Putra mampu berkata apa-apa kepada Erin. Senyuman Erin sahaja akan membuat Putra terngangah, kaku bagai disumpah bisu. Wajah Erin yang bujur sirih ayu, berkulit cerah kemerah-merahan, berhidung mancung persis heroin filem Hindustan, Kajol membuat Putra sering terpaku apabila berhadapan dengannya. Apa yang ingin dicakapkan sering tersasul.

             “Ram .. am .. but cantik hari ini Erin,” kata Putra tergagap-gagap. Erin hanya mampu tersenyum. Tiba-tiba, dari arah dapur terdengar satu suara memekik manja, “Alahai Putra, kau ni jangan macam-macam. Mana kau tahu rambut Erin cantik ke tidak.. Dia tu kan bertudung. Kau ni wonderman ... eh salah .. superman ke?”

             Erin hanya mampu tersipu, tersenyum malu. Dia tunduk, mungkin masih tersenyum. Dia masuk ke dapur dan meneruskan kerja-kerjanya. Mak Mah ikut terhibur dengan gelagat kedua-dua ‘anaknya’ itu.

             “Dulu time NS, semua aku go. Airbornelah, duduk dalam hutan berminggu-minggu pun boleh. Bila masuk bab perempuan terus aku cair. Hancurlah ini macam ...” bisik Putra pada dirinya sendiri. Putra terus memberanikan dirinya. Dia seolah-olah meluncur ke arah Erin yang sedang sibuk mengemas pinggan mangkuk yang baru dicucinya. Mak Mah juga tidak kelihatan. Masa yang baik untuk bertindak.

            “Erin .... Erin .... U sibuk ke? I tak sibuk ...  Erin ... Erin ...” kata-kata Putra keluar bersahaja. Erin tercegat seketika. Dia menoleh ke arah Putra yang sedang tersengih manis. “I perlu berbual dengan U sekejap, boleh?” sambung Putra. Erin mengangguk tanda setuju. Mereka duduk berhadapan dengan gerai. Dilap bersih tempat duduk Erin sebelum membenarkannya duduk. Sengih Putra tiada terhenti. Erin hanya menggeleng-geleng lembut. Dia seolah-olah tahu apa yang ingin disampaikan Putra.

             “I sebenarnya tak tahu macam mana nak sampaikan perkara ini pada U tapi I cuba. ... ... I cuba ni ... ... Sebenarnya sudah lama I perhatikan diri U. Dah 2 bulan 1 hari setengah I tunggu untuk bertanyakan hal ini pada U...” kata Putra terputus sementara. Setelah menarik nafas panjang dan menyusun kata-kata dalam hatinya, dia bersambung, “I think I ni ter-sayang kat U lah dan I harap U dapat berikan I peluang..”

             “I bukannya tidak mahu menerima diri U, Putra tetapi I perlukan masa. Masa untuk berfikir. Terlalu banyak yang harus dipertimbangkan. Adik-adik I pun masih di rumah tumpangan anak-anak yatim. Pelajaran I masih belum dapat diteruskan. Ibu I masih perlukan rawatan. Lagipun I belum lagi percaya akan cinta. Memang I dapat merasakan sesuatu dengan kehadiran U tetapi buat masa ni kita berkawan dahulu? .. Bolehkan?”

             Tersentak Putra setelah mendengar penjelasan Erin. Dia terpaku, hairan akan kebolehan Erin bercakap dengan lancar. Namun begitu, kedua-dua telah mencapai kata sepakat untuk berkawan dan berkenal rapat dahulu sebelum membuat apa-apa perhubungan yang lebih mendalam lagi. Kesabaran Putra untuk menunggu menjadi persoalan buat masa ini.

             Tiga tahun berlalu. Jurang masa dipendekkan dengan kehadiran Erin dalam hidup Putra. Sayangnya terhadap Erin semakin memuncak. Putra kini sudah bekerja di sebuah syarikat komputer terkenal setelah berijazah semenjak setahun yang lalu. Erin pula kini sedang menuntut di sebuah politeknik di timur Singapura. Setiap hari genap pukul enam petang Putra akan menjemputnya pulang. Jemu tidak pernah mendampingi Putra. Erin akan dihantar sehingga ke pintu rumah Mak Mah. Erin masih lagi sebumbung dengan Mak Mah. Dia tetap membantu ibu angkatnya di gerai pada hujung minggu.

            Keindahan hadir di permukaan sahaja. Penderitaan pasangan itu tidak pernah diketahui orang lain kecuali Mak Mah. Sejak setahun yang lepas Erin sering keletihan dan diganggu masalah kependekan nafas. Wajahnya sentiasa kelihatan pucat. Tubuhnya juga mudah lebam. Setelah dipujuk Putra, Erin bersetuju dibawa ke hospital untuk pemeriksaan rapi. Putra tidak suka jika Mak Mah sekadar membawa Erin ke dukun. Jamu dan air kemenyan yang dikatakan pembawa mujarab tidak membawa apa-apa kesan pun. Ia semakin melaratkan keadaan Erin.

Erin disahkan mengidap Leukemia. Penyakit itu adalah penyakit yang sama yang meragut kebahagian keluarga Erin. Menurut seorang doktor pakar NUH, pertumbuhan sel darah putih Erin tidak dapat dikawal. Sel darah putih ini terus bertumbuh dengan banyaknya dan kemudian akan menyebar ke seluruh tubuh.

“Apakah sebenarnya Leukemia itu Doktor?” tanya Putra. Matanya mula kemerahan. Doktor Rozita menepuk bahu Putra. Disuruh Putra duduk sambil dia mengeluarkan beberapa borang yang perlu diisi Putra. Doktor Rozita berdiri lalu memberi isyarat kepada Putra supaya merujuk kepada buku panduan perubatan yang sudah diletakkan di hadapan Putra.  

“Induk sel darah putih tertentu dalam tubuh Erin telah menyebabkan sifat sel berubah sehingga mereka tidak mampu mengawal replikasinya secara normal. Tumbuhnya tidak terkendali sehingga banyak sel darah putih muda berada dalam darah putih yang tak terkendali ini. Akan terjadi penekanan fungsi normal sumsum tulang dalam proses penghasilan sel darah merah sehingga timbul anemia dan juga sel trombosit yang akhirnya menimbulkan pendarahan. Erin juga mudah mendapat jangkitan. Sel yang berada dalam peredaran darah mampu menembusi organ-organ di seluruh tubuhnya sehingga fungsinya terganggu,” kata Doktor Rozita.

“Tak mengapalah Doktor Rozita. Mungkin I rujuk sahaja pada buku panduan ini. Gambar-gambar dan rajah-rajah di dalamnya lebih mudah difahami. I pulang dahulu,” kata Putra sambil melangkah keluar dari pejabat Doktor Rozita.

            Sehingga kini, Erin sudah berbelas kali ke hospital. Namun ini adalah kali keenam dia  menjalani rawatan kemoterapi. Rawatan harus diteruskan untuk jangka masa enam bulan lagi. Itupun jika penumbuhan sel-sel kanser yang baru dapat dikekang. Rambut Erin tidak lagi lebat. Malah di kepala Erin tidak ada sehelai rambutpun yang tumbuh. Putra menolak kerusi roda Erin keluar dari bilik rawatan. Setelah selama satu jam menunggu barulah Erin dibenarkan pulang.

             “Come duduk kat bangku di situ,” kata Putra dengan lembut. Erin mengangguk lemah. Kemoterapi yang dijalankan ke atasnya membuatnya tidak bermaya. Pucat tetapi masih gagah mengukir senyuman buat si dia yang dikasihi. Putra menggengam erat tangan Erin. Lembutnya masih terasa. Dengan nada optimis, Putra perlahan-lahan mengeluarkan kata-kata, “Tiga minggu lagi kita akan bernikah. Pinjaman bank pun sudah diluluskan dan dengan izin Tuhan, dapatlah kita rumah tiga-bilik yang kita idamkan itu. Adik-adik kita pun boleh tinggal sama. Ibu pun semakin sembuh dan pihak hospital pun telah membenarkannya tinggal bersama-sama kita. Bolehlah dia tolong-tolong di kedai apabila dia sembuh sepenuhnya kelak. Scrambler itu akan tetap abang simpan. Seronok betul kalau kadang-kadang dapat membawa kedua-dua isteri keluar pada satu-satu masa.”

             Erin meletakkan kepalanya di bahu Putra. Matanya ditutup. Darah dari hidungnya mengalir lalu menitis di kemeja putih Putra. Tangannya masih digenggam erat Putra. Air yang jernih mula bertakung di kelopak mata Putra. Teksi tiba tetapi dibiarkan berlalu sahaja.

*Buat seorang teman yang sudah pergi. Sentiasa ada dirimu di hati ini.*

Elmi Zulkarnain Osman

September 2003

P.S Saya akui masih ada kelemahan dalam karya cerpen ini. Akan saya paparkan karya-karya yang lebih baik di masa yang akan datang.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Faezah & Sulastri kerana menolong memperbaiki karya ini

.

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1