Arkib November 2003

PUJANGGA Online - JURNALJALANHIDUP

 

12 November 2003 | Rabu | 22.30 am

Catatan 260

Manusia Menghadapi Ramadhan

Oleh: Akhi Masrawi

TERDAPAT pelbagai golongan manusia di dalam menghadapi Ramadhan. Ada yang gembira tak kurang yang tidak suka dengan kehadiran Ramadhan. Sewaktu artikel ini ditulis, umat Islam telah melalui 15 Ramadhan yang pertama bagi tahun 1424.

Ada ulamak yang mengklasifikasikan umat Islam kepada beberapa golongan di dalam menghadapi Ramadhan. Antara yang saya ingat ada tiga pembahagian umat Islam di dalam menghadapi Ramadhan.

Pertama: Golongan yang sangat suka kepada Ramadhan. Mereka berdoa sepanjang tahun untuk bertemu dengan Ramadhan. Apabila lagi enam bulan hendak bertemu Ramadhan mereka akan memperkuatkan doa. Antara doa yang dilafazkan ialah "Allhumma ballighna Ramadhan" (Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadhan. Beerti mereka berdoa supaya Allah memanjangkan usia mereka. Mereka bersiap untuk menyambut Ramadhan seawal yang boleh. Mereka memperbanyakkan syukur dan berazam untuk menjadikan Ramadhan yang akan mereka tempuhi sebagai Ramadhan yang lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Mereka bagai tidak sabar. Mereka juga mempersiapkan amalan-amalan untuk Rejab dan Syaaban sebagai persedian menghadapi Ramadhan. Ibadat yang mereka lakukan dijagai rapi. Puasa yang mereka kerjakan semata-mata kerana Allah SWT. Mereka mengihya'kan Ramadhan dengan amalan-amalan yang disyariatkan pada bulan yang pernuh keberkatan ini. Mereka bercita-cita untuk bertemu dengan lailatul Qadr menyebabkan mereka memperhebatkan ibadat qiyamullail dan solat malam. Mereka melakukan ibadat-ibadat dengan penuh ketaqwaan dan kesabaran. Apabila Ramadhan hampir ke penghujungnya mereka akan merasa hiba. Mereka tidak berlebih-lebih untuk menyambut Syawal kerana mereka telah diberikan kegembiraan yang dijanjikan Allah kepada orang yang berpuasa; iaitu kegembiraan untuk berbuka puasa dan kegembiraan untuk bertemu dengan Allah di akhirat kelak. Setelah usai Ramadhan mereka akan terus berdoa supaya mereka ditemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Merekalah golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Kedua: Golongan ini hampir seperti golongan pertama. Mereka gembira dengan kedatangan Ramadhan. Mereka berazam akan menyambutnya dengan penuh meriah. Mereka berazam akan melakukan ibadat-ibadat serta memperbanyakkan amalan-amalan sunat di dalam Ramadhan. Setelah tibanya Ramadhan mereka melaksanakan dengan bersungguh. Mereka tidak mempersiapkan diri sebelum menghadapi Ramadhan. Akibatnya apabila berlalunya beberapa waktu dari hari-hari Ramadhan mereka akan kehilangan arah. Semangat untuk melakukan ibadat pudar sepudar kekenyangan yang mereka makan pada waktu berbuka. Mereka ini berlebih-lebih dalam bulan Ramadhan sama ada berbelanja atau persedian untuk menyambut Syawal pula. Kepenatan mereka menyebabkan Ramadhan mereka hambar dan tidak sabar-sabar menanti tibanya Syawal. Mereka inilah yang apabila di awal Ramadhan memenuhi masjid-masjid untuk bersolat Terawih tetapi semakin berlalu Ramadhan masjid akan berkurangan bilangan Jemaah kerana mereka. Akhirnya mereka melalui Ramadhan seperti tahun-tahun sebelumnya. Niat mereka untuk menjadikan Ramadhan tahun itu sebagai yang terbaik akhirnya tidak kesampaian melalui amal.

Ketiga: Golongan ini tidak suka dengan kedatangan Ramadhan. Pada mereka Ramadhan meresahkan. Mereka akan menzahirkan kebencian mereka terhadap Ramadhan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mereka mencari alasan untuk tidak berpuasa apatah lagi untuk melakukan amalan-amalan sunat yang lain. Goloangan ini menganggap Ramadhan seperti penjara yang membataskan aktiviti mereka. Mereka adalah golongan yang tidak berjaya.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya yang berjudul "Fiqh as-Siyam" (Fiqh Puasa) menjelaskan ada tujuh hikmah dan maslahat Allah SWT mensyariatkan amalan puasa Ramadhan. Hikmah-hikmah tersebut ialah:

1. Pembersihan jiwa dengan mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya serta menjadikan ibadat sempurna. Semua itu kerana umat Islam menunaikan ibadat puasa dengan meninggalkan keinginan syahwat mereka daripada makan, minum, jima' dan perkara-perkara lain yang ditegah. Allah SWT berfirman di dalam hadis qudsi akan hal orang-orang berpuasa mafhumnya: "Setiap amal anak adam baginya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu bagi aku dan akulah yang akan mengganjarinya."

2. Para ahli perubatan mengakui dengan berpuasa akan menyeimbangi kesihatan badan.

3. Melalui berpuasa akan mentarbiyah dan mujahadah diri, mempertingkatkan kesabaran dan menjadikan dirinya mampu menginggalkan maksiat.

4. Ibadat puasa boleh menundukkan nafsu syahwat. Ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW kepada golongan "shabab" (pemuda) yang tidak berkemampuan untuk berkahwin supaya berpuasa kerana ia menundukkan syahwat kepada wanita.

5. Memperlihatkan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada makhluknya. Ini dikesani dengan kelaparan mengingatkan nikmat kenyang, dahaga kepada nikmat mendapati air.

6. Hikmah dari segi sosial ialah: Puasa Ramadhan mampu memaksa setiap umat Islam merasai lapar sekalipun mereka mampu untuk menyediakan makanan maka Allah menyamaratakan di antara mereka supaya yang kaya merasai sebagaimana yang dirasai oleh yang fakir atau golongan yang dideritakan dengan kelaparan.

7. Hikmah terpenting yang menghimpunkan kesemuanya ialah ketaqwaan manusia menerusi ibadat puasa. Sesungguhnya puasa Ramadhan adalah madrasah mutamayyizah (pembezaan) yang dikurniakan Allah setiap tahun sebagai tarbiyah kepada manusia. Maka sebaik-baik puasa adalah sebagaimana yang disuruh oleh Allah. Bagi golongan yang mengikut suruhan tersebut mendapat keuntungan yang sangat besar. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan mengampuni Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu... dan barangsiapa yang mendirikan (menghidupkan amalan-amalan) Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan Allah ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaqun alaih).

Ibadat puasa difardhukan oleh Allah SWT seiring selepas kefardhuan jihad fi sabilillah (berperang) selepas hijrah ke Madinah iaitu pada tahun kedua hijrah. Berlainan ibadat solat, ia difardhukan dalam peristiwa isra' mi'raj selepas 10 tahun Baginda Nabi SAW diangkat sebagai rasul. Namun begitu Al-Qardhawi berpendapat ibadat puasa difardhukan sebagaimana sunnah pensyariatan yang lain secara bertadarruj (berperingkat) iaitu menerusi dua marhalah.

Marhalah pertama selepas turunnya ayat 183-184: Al-Baqarah umat Islam pada masa tersebut diberi pilihan sama ada mengekalkan puasa atau berbuka dengan dikenakan fidyah. Manakala marhalah kedua ialah selepas turunnya ayat 185 dari surah yang sama mengilzamkan puasa serta menasakhkan hukum pilihan yang merupakan rukhsah kepada umat Islam pada ketika itu.

bersambung...

Catatan Persahabatan

Hidup ini kadang kala bila difikirkan adalah mengerikan. Walaupun mengerikan, ia terpaksa kita lalui sehingga tiba ke terminal terakhir kehidupan. Justeru, sepanjang kehidupan itu kita terpaksa belajar mengenal erti kehidupan dan di antaranya ialah erti persahabatan.

Saya beranggapan tidak semua persahabatan itu meninggalkan kenangan yang indah. Siapa sangka, kadang kala orang yang kita anggap sahabat... orang itulah dalam masa yang sama bertindak sebagai musuh. Istilah "gunting dalam lipatan" "duri dalam daging" saya kira tepat untuk golongan yang seperti "talam dua muka" ini. Saya secara jujur, tidak tahu pentakrifan sebenar persahabatan. Tetapi apa yang saya fahami sudah cukup untuk meletakkan betapa persahabatan adalah merupakan suatu keperluan manusia menelusuri kehidupan.

Ada pelbagai istilah yang saya temui selama menghadapi hidup ini. Ada yang mengertikan hubungan yang terjalin sesama insan sebagai rakan, kawan, sahabat dan teman serta lain-lain.

Dari apa yang saya tahu... rakan mungkin boleh dilabelkan kepada orang yang kita dan dia saling mengenali tetapi tiada hubungan yang rapat. Kawan pula lebih sedikit berbanding rakan... pada masa ini kita telah menjalin hubungan yang agak baik sehingga boleh menghulur bantuan dan dia juga sanggup membantu kita. Berbanding sahabat... saya kira hubungan sahabat jauh lebih baik. Begitulah halnya istimewa teman sehingga kadang kala teman itu lebih mirip kepada teman hidup di dalam merasai perkongsian kemanisan dan kepahitan menempuh kehidupan.

Saya sendiri mengakui belum betul-betul mampu mengenali siapa sahabat sejati yang selama ini saya jalinkan hubungan persahabatan dengan mereka. Kita diajar supaya mengenali. Di dalam al-Quran Allah SWT menyarankan hal tersebut menerusi ayat 12: Al-Hujurat. Apabila telah mengenali maka kita diajar supaya berlapang dada sehingga mewujudkan ukhwah dan kesetiaan. Kejujuran dan keikhlasan amat penting bagi menyemai ukhwah. Mungkin yang dikatakan sahabat itu mereka yang waktu kita ketawa mereka ketawa bersama dan apabila kita berduka kita tidak sendirian. Mereka tetap bersama kita. Sukar bukan untuk menemui mereka yang seperti ini.

Usia persahabatan bukanlah penentu kepada jalinan hubungan ukhwah yang baik. Kadang kala kita tidak perlukan masa yang lama untuk saling memahami di antara kita dengan si dia. Ini boleh jadi di antara kita dengannya ada persamaan, ada saling menyeimbangi, ada hubungan hati dalam persahabatan.

Kita sebagai manusia biasa tentu akan merasa sedih bila kita mengetahui ada orang yang kita anggap sahabat... tempat kita berkongsi cerita, menyimpan rahsia dan mengikat mesra mengkhianati kita. Jika hanya mengkhianati kita dengan membongkar cerita dan rahsia yang pernah kita kongsi dengannya mungkin boleh dimaafkan kerana kita sebenarnya yang telah tersalah memilih siapa yang betul-betul layak mendengar rahsia kita... ini diburukkan pula syakhsiah kita kepada orang lain yang sudah tentu persepsi orang lain itu akan berubah terhadap diri kita lantaran mendengar adu domba insan yang kita anggap sahabat itu. Siapa tidak sedih?

Kadang-kadang kita terpaksa mengakui pada diri kita sendiri, mengadu pada Ilahi... mengapakah kita diuji dengan sebegitu? Kita telah berusaha membina ikatan persahabat dengan sebaiknya. Ya... barangkali kita juga pernah melakukan kesilapan pada masa lalu... tetapi setelah kita berubah mengapa kini kita terpaksa diuji.

Kalaulah ini ujian... kita wajar meredhainya. Muhasabah dan koreksi diri adalah jalan terbaik. Mungkin Allah menjadikan sahabat yang mengkhianati kita itu sebagai wasilah muhasabah buat diri kita. Sepatutnya tidak semua rahsia diri kita kita bongkarkan kepada sahabat-sahabat kita... meskipun kita amat mempercayainya kerana kita tidak boleh meyakinkan diri sendiri dia akan setia menjaga rahsia itu.

Saya percaya tiada seorang pun penulis jurnal online boleh memaksa pelayar membaca apa yang mereka tulis. Mungkin tulisan para jurnalis tidak menepati selera pembaca. Semenjak menulis secara online telah saya temui pelbagai cara penulisan weblog. Ada yang menulis hal-hal peribadi yang sesetengah orang menganggap itu sebagai suatu hal rahsia. Tetapi mengapa dijelmakan di dalam bentuk online? Saya beranggapan para jurnalis yang menulis seperti itu, pernah menulis (termasuk saya sendiri) bukan hendak mendedahkan rahsia, kelemahan atau kehebatan diri... tetapi sebagai suatu cerminan kepada para pembaca. Tidak ada seorang pun jurnalis yang layak memaksa pelayar lamannya membaca apa yang ditulis. Pembaca berhak memilih... apa yang mereka ingini. Jika tidak suka dengan mana-mana jurnal, tinggalkan saja.

Menerusi laman jurnal online juga saya menerima emel-emel dari rakan-raqkan pembaca saban hari. Maaf jika tidak semua emel yang dikirimkan kepada saya sempat saya balas. Bukan bererti saya menolak persahabatan yang dihulurkan, tetapi saya menerima sesiapa juga yang mahu menjadi pembaca laman ini.

Berbalik kepada soal persahabatan, kita sepatutnya telah mempelajari dari masa lalu. Sebab itu... kita tak perlu merasa gundah. Kita akan tetap dikirimkan oleh Allah sahabat yang kita impikan itu. Jika sahabat yang kita percayai telah mengkhianati kita... jangan kita terus tinggalkan dia. Berwaspada dan perbetulkan dia. Kita akan tetap dihormati jika kita bersedia untuk menghormati.

Apa kita nak risau... sahabat datang dan pergi. Kita akan tetap ada Ilahi. Jika kita menjalin hubungan denganNya tidak sesekali Dia meninggalkan kita. Tetapi perlu kita ingat Dia menguji kita agar kita sering mengingatinya. Apakah kita telah bersyukur dan mengingatiNya?

+ Ramadhan semakin meninggalkan kita. Nikmat Ramadhan pada tahun ini jangan sesekali kita abaikan. Doalah supaya segala dosa yang memaliti kita diampuni Allah SWT. Pertingkatkan amal pada hari-hari yang berbaki. Jangan kita menanti sehingga tiba 29 Ramadhan baru hendak sedar kerana Ramadhan yang ke-30 belum tentu akan kita miliki pada tahun ini.

+ Ke Alex (Iskandariah) lagi. Pergi teman kawan sambil-sambil ziarah. Alex sejuk... lebih sejuk dari Tanta. Di Tanta hujah sudah turun. Dua kali kalau tak salah saya... semakin dingin syita menghantar angin. Aduh! Ramadhan dililit bayu syita'. Tak perlu tunggu salji... sebab salji memang tak turun. Dulu saya pernah kenakan kawan-kawan yang tinggal di mantiqah (kawasan) KAMSIS (Kampung Siswa) lain, kononnya di Kubri Quhafa ada salji turun. Apa lagi ramailah juga yang terkena dan bila mereka bertandang ke rumah tanya salji... keras perut saya ketawa. Saya katakan saya bergurau saja dan salji yang ada bukan berwarna putih, tapi warna asmar (warna tanah) sebabnya salji yang saya maksudkan itu adalah selut selepas hujan turun. Tahun ini halaman di depan rumah saya sehingga ke ban tar yang melintasi antara Kubri ke Masjid Rahmah telah diturab. Tak adalah lagi salji asmar itu. Sekarang sampai depan pintu rumah saya dah ber'tar'. Selesa.

+ Hajat nak balik ke Kaherah dalam beberapa hari ini. Masih tertangguh-tangguh. Kesian pada adik-adik junior STAM yang dah ada kat Kaherah. Belum sempat ketemu mereka. Tadi masa di Alex, seorang junior telefon bertanya khabar. InsyaAllah saya akan ke Kaherah. Kota yang sarat dengan kisah cinta. Hahaha...

+ Seorang kawan sponsor FORUM untuk PUJANGGA Online. InsyaAllah selamat berforum kepada semua pembaca Jurnal Jalan Hidup.

+ Cinta di Wadi Nil, cinta Lembah Kinanah, Cinta Ardhil Anbiyak... semuanya cinta, manusia boleh hidup ke tanpa cinta? Sudah tu kenapa memusuhi cinta? Ada apa dengan cinta? Kalian pernah jatuh cinta?

Kata-kata Pujangga: "Kita tidak rugi menyayangi insan lain kerana Allah pasti kita juga akan disayangi makhluk."

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan

 

9 November 2003 | Ahad | 02.00 am

Catatan 259

+ Maaf, sudah agak lama tidak update PUJANGGA Online - Jurnal Jalan Hidup (nama bagi jurnal online ini). Terpaksa ingatkan nama asal bagi Jurnal ini, sebab terdengar ada nama lain yang lebih dimesrakan. Antara nama lain yang agak popular ialah "Weblog Akhi Masrawi", "akhimasrawi.cjb.net" dan sebagainya.  Hari ini update dengan wajah baru tapi masih dengan nama lama. Hadiah buat para pembaca setia laman ini. Anaih yang tolong buat layout dan banner-banner baru. Versi ini saya namakan versi 2.5 menjadikan jumlah versi yang diperkenalkan sepanjang online sejak Jun 2002 ialah sebanyak 8 versi, iaitu versi 0.5, Jun-Ogos 2002. Versi 1.0, Sep-Dis 2002. Versi 1.2, Dis 2002-Jan 2003. Versi 1.5, Feb- April 2003. Versi 2.0, Mei-Jun. Versi 2.1, Julai-Sep 2003. Versi 2.2, Oktober 2003 dan versi 2.5 bermula November 2003. Terima kasih dirakamkan buat Anaih.

+ Walaupun nama laman ini ialah PUJANGGA Online, tidaklah sampai saya menolak nama-nama lain yang meniti di bicara kalian. Ada yang lebih mesra menyebut dengan Laman Akhi Masrawi sahaja. Tidaklah menjadi masalah kerana laman yang dimaksudkan tetap laman yang sama.

+ Alhamdulillah... sudah melepasi imtihan tasfiah yang saya lalui pada 3/11/2003 yang lalu. Imtihan saya lalui dengan getir. Kesihatan terganggu. Demam menghadapi kertas sedikit sebanyak menghantui fikir. Apapun saya harap doa kalian yang membaca laman ini agar saya diberikan kejayaan dan dapat pulang ke tanahair sebelum usai tahun ini.

+ Siang tadi ke Qisim Jawazat (Pejabat Imigresen) cawangan Tanta di Muhafazah bersama Ikhwan dan Talib untuk tujuan memperbaharui iqamah (visa) menetap di Republik Arab Mesir. Alhamdulillah dapat iqamah menetap sehingga 31/12/2003.

+ Baru-baru ini lepas menghadapi kertas imtihan dihidangkan dengan sebuah filem buatan FINAS yang terbaru iaitu PALOH. PALOH ialah filem kedua FINAS untuk projek filem zaman perang selepas EMBUN. Kalau EMBUN menggunakan dailog utara, PALOH pula menggunakan dailog selatan. Satu perkara sahaja yang saya tak puas hati dengan kedua-dua filem tersebut iaitu kemasukan unsur adegan (pra-adegan) seksual. Dalam EMBUN penonton dipertontonkan adegan Embun (lakonan Ummi Aida) dirogol bergilir-gilir oleh tentera-tentera Jepun. Manakala di dalam PALOH pula ada adegan peluk-peluk dan buka-buka baju. Walaupun dalam EMBUN adegan seksual diterjemahkan melalui adegan seks-paksa tetapi apa yang ditonjolkan sepatutnya tidak dimasukkan langsung di dalam sebuah filem seperti EMBUN kerana menampilkan tema yang baik. Manakala di dalam PALOH, saya merasakan klimaks percintaan antara Ahmad (Nam Ron) dan Siew Lan (Janet Khoo) boleh dipelbagaikan bukan semata-mata percintaan mereka akan hanya berakhir di ranjang. Mungkin seni percintaan itu sepatutnya dicorakkan dengan lebih baik. Tetapi kemungkinan juga itulah realiti yang berlaku pada masa tersebut. Saya tidak menolak hakikat.

+ PALOH juga saya anggap berjaya mengubah persepsi saya terhadap beberapa perkara. Antara yang ketara ialah tentang hakikat kecelaruan hidup pada zaman perang. PALOH bukan sahaja berjaya menampilkan watak-watak yang penuh celaru dan bermasalah, malah PALOH juga berjaya mencipta kecelaruan yang tidak berkesudahan di layar perak. Penonton telah diajak untuk berfikir dan mengandai. Reaksi kawan-kawan saya yang turut menonton PALOH ada yang merungut tak faham. Ada yang kata bosan dan sebagainya. Saya kira orang belajar agama macam saya ini tetap kena menonton filem. Apatah lagi jika filem itu berkaitan dengan sejarah hidup manusia. Saya tidak menolak pendapat sesetengah orang yang menganggap filem melaghakan, tetapi pada saya jika tidak menonton mana mungkin akan mengetahui di mana kekurangan dan kelemahan sesebuah filem.

+ Bagi saya amat mudah untuk memahami jalan cerita filem PALOH, walaupun Adman Salleh telah menggunakan teknik imbas kembali yang bertindan-tindan. Ini kerana PALOH mengingatkan saya kepada novel 1515 karya Faisal Tehrani. Di dalam 1515 Adi Famiyun bertindak sebagai naratif suara pencerita kepada pembaca manakala di dalam PALOH suara naratif dijelmakan melalui Osman (Gibran Agi) dan dia menceritakan pelbagai hal yang berbeza-beza tetapi kesemuanya menjurus kepada kisah Ahmad (Nam Ron). Novel 1515 Adi menceritakan perihal Nyemah Mulya yang mengajaknya untuk mengubah sejarah Melaka yang ditawan Portugis pada 1511. Teknik penulisan Faisal juga mengelirukan dengan pembaca diajak menyemak tarikh-tarikh yang disertakan. Begitulah halnya di dalam PALOH.

+ Ada kawan yang bertanya... kalaulah Barisan Alternatif yang menang dalam pilihanraya akan datang apa yang akan berlaku pada industri filem dan muzik tempatan? Saya sendiri tak tahu nak jawab macam mana. Apa yang pasti kita tunggu dan lihat. Apa yang patut diisi sebagai hiburan kepada masyarakat? 

+ Kata-kata ayah Ahmad di dalam PALOH: "Jepun Menyerah, British datang balik, Komunis masih ada lagi. Kalau Jepun tak bunuh Komunis, British yang bunuh Komunis. Kalau Komunis tak bunuh Jepun, dia bunuh British. Benda sama diulang balik, apa bezanya?." Baca ulasan saya tentang PALOH.

PALOH: KECELARUAN HIDUP ZAMAN PERANG

Oleh: Akhi Masrawi

FILEM PALOH merupakan salah sebuah filem yang telah mengungkitkan persepsi saya terhadap senario yang berlaku di tanahair seputar zaman perang. Paloh telah berjaya menggambarkan situasi era Jepun hampir menyerah kalah. Berpandukan suara naratif Osman (Gibran Agi) memegang watak seorang penulis (sebelumnya pernah terlibat sebagai anggota komunis) yang berkahwin dengan Azizah (Ani Mayuni) - kakak kepada Ahmad (Nam Ron) penonton diajak berfikir mendalami situasi yang diterjemahkan pada waktu tersebut.

Betapa kecelaruan yang cuba diterapkan menerusi Paloh berjaya digarap dengan baik oleh Sutradara Adman Salleh. Saya kira Paloh bercelaru kerana temanya juga adalah sebuah kecelaruan hidup. Pun begitu kecelaruan itulah yang memberikan Paloh nafas sebagai satu lagi produk filem Melayu yang berkualiti. Namun sentuhan 'tukang-tukang' di sebalik tabir juga tidak boleh dinafikan.

Saya kira - Paloh adalah sebuah filem yang baik. Sebelum ini saya juga sempat menonton filem Leftenan Adnan dan Embun yang saya kira seiring temanya dengan Paloh. Cuma bezanya Leftenan Adnan menampilkan penentangan British dan askar Melayu terhadap Jepun yang menyerang Malaya, manakala Embun mengisahkan kehidupan masyarakat pada era pemerintahan Jepun. Kesengsaraan yang dihadapi dalam Embun seolah diteruskan menerusi Paloh seraya kemunculan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menentang Jepun pada waktu tersebut.

Saya sering memujuk diri saya supaya menggemari sejarah sejak di bangku sekolah lagi. Ini kerana menerusi sejarah kita akan kenal keadaan orang-orang yang lebih dahulu daripada kita seterusnya mengambil iktibar untuk menjadi lebih baik daripada mereka.

Dalam Paloh orang-orang Cina diperlihatkan memainkan peranan yang besar dalam Komunis. Gelombang kebangkitan orang-orang Cina bukan hanya semata-mata dengan menentang Jepun tetapi sebagai kesinambungan untuk menguasai Malaya. Siapa yang boleh lupa sejarah Bintang Tiga menghancurkan Bukit Kepong?

Pada pandangan saya Komunis di Malaya tidak semata-mata diwakili bangsa Cina. Nama-nama seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan beberapa nama Melayu yang turut terlibat dengan Komunis tidak boleh diabaikan untuk memperlihatkan betapa memang wujud kecelaruan hidup dan pemikiran pada masa tersebut. Santak segelintir orang-orang Melayu sendiri tidak memilih tapak perjuangan mereka yang sepatutnya.

Satu persoalan yang cuba dibangkitkan di dalam Paloh, kenapa watak Arifin Nor (Samad Salleh) digambarkan seorang yang berilmu dan warak akhirnya memilih untuk berjuang bersama Komunis? Apakah Paloh memang sengaja dicipta untuk memburukkan imej pejuang Melayu Islam untuk memerdekakan tanahairnya menerusi cara yang salah? Ini bertitik tolak ketidak selarasan antara faham yang dibawa Komunis dengan praktik yang dianjurkan Islam. Komunis menolak keTuhanan, sedangkan Islam tidak. Kalaulah begitu, mengapa perlunya dijelmakan watak Arifin Nor sebegitu? Mungkin ada yang beranggapan dengan pelbagai andaian. Mungkin juga kerana untuk memperburukkan pejuang kemerdekaan yang menentang penjajahan di mana perjuangan mereka kerana kefahaman tentang jihad. Saya perhatikan beberapa kali Arifin Nor mengungkapkan tentang Jihad dan kematian yang bermakna. Tetapi kefahaman itu bercanggah dengan praktik watak tersebut. Ini menambah kecelaruan.

Walaupun begitu, saya tidak mengganggap pembikinan Paloh sengaja dicacatkan. Mungkin...pada saya, situasi pada masa tersebut sedikit sebanyak telah mendesak orang-orang seperti Arifin Nor menyokong Komunis. Mereka menyokong Komunis bukan kerana mereka menganut faham yang dibawa Komunis, tetapi mereka menyokong Komunis kerana pada mereka Komunis menentang Jepun (penjajah) dan membela tanahair. Dalam masa yang sama mereka tidak mempunyai medan dan wasilah untuk berjuang. Sekiranya takwilan saya ini betul... Arifin Nor dan pengikutnya telah salah memilih cara perjuangan kerana meski kesempitan dan situasi adalah lebih wajar berjuang bukan atas nama komunis sekalipun untuk menentang penjajah.

Tidak hairanlah jika dailog yang dilafazkan oleh Arifin Nor (Samad Salleh) perlu ditegur oleh ibu Fatimah (Elly Suriati) bagi meneutralkan pemikiran penonton dan tanggapan terhadap watak Arifin Nor. Dia seorang Melayu Islam yang mempunyai faham yang baik tetapi mungkin kebenciannya terhadap penjajah (Jepun dan British) serta memalitkan kebencian tersebut terhadap Puteh (lelaki yang berkawan dengan Fatimah) kerana berkerja sebagai polis Jepun.

Watak-watak di dalam filem Paloh sememangnya bercelaru dan bermasalah. Ahmad (Nam Ron) pada saya berjaya melakonkan wataknya dengan baik meski pertama kali diberi kepercayaan memegang teraju utama. Sebagai seorang anak muda Melayu Melaka yang membawa diri ke Paloh kemudian jatuh cinta dengan Siew Lan (Janet Khoo) semasa berkerja sebagai seorang polis Jepun. Siew Lan pula seorang yang tidak punya pilihan apa-apa dalam kehidupan, sehingga terpaksa mengikut sahaja apa yang disuruh buat. Percintaan di antara mereka berkembang dengan agak keterlaluan. Adegan 'buka-buka baju' dan pra-adegan ranjang adalah klimaks cinta mereka. Saya berfikiran kontra terhadap hal ini. Tetapi jika difikirkan semula... ada kemungkinan hal seumpama itu terjadi pada masa tersebut. Ini meyakinkan saya bila teringat pernah membaca novel-novel yang mengemukakan penceritaan zaman perang tidak melupakan hal percintaan seksual seumpama itu. Entahlah buat saya yang hidup bukan pada zaman tersebut. Namun, pada saya sekiranya adegan-adegan seumpama itu ditiadakan langsung tidak akan merosakkan mutu filem tersebut.

Apa yang menghibakan ialah kematian Puteh apabila pos polis Paloh diserang komunis untuk mendapatkan bekalan senjata. Kematian Puteh membuatkan Ahmad hilang pertimbangan pada janji-janji Ah Meng, ayah Siew Lan yang berkompromi dengan komunis. Malah kenapa pada masa serangan Ahmad sengaja telah diajak Siew Lan ke Kluang juga seolah menggambarkan penyerangan ke pos Paloh telah dirancang dan diketahui oleh Siew Lan. Nyata penglibatan Siew Lan dan keluarganya sebagai komunis.

Paloh sedikit sebanyak telah menjernihkan tanggapan saya terhadap orang yang berkerja dengan Jepun pada zaman Jepun. Kalau sebelum ini golongan ini pada saya tak ubah seperti 'barua Jepun' tetapi setelah menonton Paloh ia menggambarkan bahawa satu kenyataan kehidupan betapa orang Melayu tempatan memang perlu berkerja dengan Jepun pada masa tersebut. Jikalah Jepun tidak menyerah kalah pada 1945 kemungkinan kita akan merdeka dari Jepun dan pentadbiran akan menyerupai Jepun. Tetapi Briting datang semula dan kita merdeka dari tangan 'Orang Putih'.

Pada saya filem seperti Paloh wajar ditonton untuk melihat kecelaruan hidup generasi sebelum kita pada zaman perang. Kita yang dilahirkan pasca peperangan tamat ini... mungkin tidak akan mengetahuinya semua. Kita hanya akan tahu sekiranya kita bersedia untuk mempelajarinya. Tidak kiralah bagaimana cara pelajaran itu disampaikan, asalkan ilmunya tersebar.

Justeru Paloh sengaja meninggalkan beberapa tanda tanya yang perlu difikirkan. Kesudahan filem ini juga tidak sempurna. Memang rasanya sengaja dibiarkan begitu... kerana mungkin Adman Salleh beranggapan biarlah khalayak penonton yang membuat kesimpulan. - TAMAT

Kata-kata Pujangga: "Kalau bukan kita yang merakamkan sejarah barangkali anak cucu kita nanti akan kembali tinggal di dalam gua-gua."

Berkata Imam Asyma'i: Seaawal-awal ilmu adalah senyap, keduanya mendengar dengan teliti, ketiga menghafal, keempat beramal dengannya dan kelima menyampaikan ilmu tersebut.

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan

Kembali ke Jurnal

Hosted by www.Geocities.ws

1