PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P

Arkib Jun 2004

 

 

12 Jun 2004| Sabtu | 23.45 pm

Catatan 279 

Apa Patut Ada Dalam Sesuatu Catatan Weblog

Oleh: Akhi Masrawi

SEBELUM pengetahuan saya tentang apakah yang dimaksudkan dengan weblog saya pernah membaca ulasan beberapa penulis weblog Malaysia tentang kefahaman yang mereka terjemahkan. Ada yang mengatakan weblog adalah catatan kehidupan. Justeru apa yang patut ada ialah apa yang dilalui oleh penulis weblog tersebut. Namun ada juga berpendapat sesuatu weblog yang baik tidak hanya memaparkan kisah kehidupan seseorang pencatatnya semata-mata.

Ada pembaca yang suka membaca tentang kehidupan orang lain. Ada pembaca yang tidak. Tentulah sukar untuk mendefinisikan apakah model weblog terbaik supaya setiap penulis weblog mengikut piawaian yang ditetapkan untuk menjadikan weblog tidak tersasar dari tujuannya yang hakiki. Namun saya bersetuju jika ada yang berpendapat bahawa weblog adalah laman web yang sentiasa dikemaskini dengan teknik penulisan bertarikh dan berkronologi dengan paparan catatan terkini diletakkan paling awal berbanding catatan lalu yang lebih mesra diarkibkan sahaja sebagai rujukan.

Apa pula yang patut ada pada weblog itu hanya persoalan teknikal, sama ada ia dilengkapi dengan pelbagai catatan, imej, audio, video, rangkaian jaringan, ruangan komentar atau apa sahaja yang difikirkan sesuai. Kandungannya pula mungkin boleh berunsur catatan peribadi harian seperti diari yang bersifat maya, tetapi ada juga penulis yang memperluaskan potensi weblog sebagai medan yang memperdekatkan mereka dengan pembaca termasuk menjadikan weblog sebagai pentas penulisan bersifat prolifik dengan menjadikannya sebagai mandala penulisan berkala. Sedar-sedar weblog sudah dikenali ramai.

Tidak hanya itu, aplikasi weblog juga digunakan oleh syarikat-syarikat, ahli-ahli profesional sehingga golongan biasa sebagai medium penyampai, penerangan atau setepatnya penerbitan. Kata kunci ini menjadikan penerbitan semakin mudah. Penulis bertindak selaku penerbit yang berkuasa memastikan apa yang patut diterbitkan. Pembaca pula tidak dikenakan sebarang bayaran apabila hendak melayari weblog yang bersifat maya ini. 

Saya tidak begitu pasti bilakah weblog muncul. Tetapi menurut kertas kerja yang ditulis oleh Ghazali Bunari, seorang Pensyarah di Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Pengurusan dan Pembanguan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia weblog muncul pada 1997. Namun hanya pada 1999 ia mula digunakan secara meluas apabila adanya web yang menyedikan khidmat blog seperti http://www.blogger.com dan http://www.livejournal.com. Kini bukan sahaja menggunakan pelantar yang disediakan malah pelbagai cara dipelbagaikan oleh para penulis weblog. Kemahiran ICT yang mendalam tidak diperlukan untuk melahirkan weblog tetapi kemahiran tersebut akan menjadi aksesori pelengkap kepada weblog itu sendiri.

Media cetak setiap hari menerbitkan pelbagai berita, rencana dan penulisan tertentu. Media cetak jarang memberikan peluang kepada semua orang yang mahu menulis untuk menyiarkan penulisan mereka. Jika ditinjau kepada akhbar dan tabloid bersifat perdana ia lebih berunsur untuk memastikan apa yang diterbitkan boleh 'laku'. Jika tidak mereka pula terpaksa gulung tikar.

Berbanding weblog, kuasa menerbit di hujung jari penulisnya. Lebih pantas menemui pembaca kerana ia tidak perlu dicetak dan dipasarkan. Pembaca pula boleh memilih apa yang mereka inginkan dan tidak perlu merasa rugi kerana penulis tidak mengenakan apa-apa bayaran ketika melayari laman weblog tersebut.

Namun apa yang menjadi persoalan, kenapa penulis weblog menulis? Weblog ditulis untuk dibaca. Jika menulis untuk tidak dibaca, lebih baik tidak menulis. Siapa pula yang membaca? Tentulah pembaca weblog tersebut. Pembaca weblog mungkin dari kalangan kawan-kawan penulis dan orang yang tidak pernah mengenali penulis dan penulis juga tidak mengenali mereka. Sehingga weblog mampu mengumpulkan sekumpulan pembaca yang setia dan 'ketagihan' membaca catatan terkini. Ajaib bukan? Itulah kuasa yang weblog ada. 

Laras penulisan pula terpulang kepada penulis itu sendiri. Sama ada gaya penyampaian, gaya bahasa, dan subjek yang ditulis ia adalah sesuatu yang sangat bernilai dan jarang ditemui di dada media cetak.

Tetapi kadang-kadang weblog juga agak keterlaluan menterjemahkan sesuatu. Itu hal peribadi tanpa memungkin weblog terpalit cemuhan. Ulasan-ulasan tertentu yang diterbitkan di weblog kadang-kadang mengusik peribadi tertentu. Malah saya semasa mula berjinak-jinak dengan penulisan weblog kerap juga diketawakan dan diperli terhadap apa yang saya tulis. Kawan-kawan mengejek dengan mengulang-ulang apa yang saya telah tulis dalam weblog. Barangkali pengalaman ini juga pernah dilalui oleh penulis weblog yang lain.

Antara ejekan mereka seperti "jaga-jaga bila bercakap dengan dia, nanti keluar internet" "jaga-jaga kawan dengan dia nanti ditulis dana weblog" dan sebagainya. Memang terasa hati. Sudahlah tiada sokongan diberi dicemuhnya pula. Tetapi ada juga yang suka bila cerita tentang mereka disohorkan dalam weblog sehingga ada yang bertanya "bila lagi nak tulis tentang aku dalam weblog?" dan saya memilih untuk senyum tawar.

Dua tahun genap menulis secara online... tetapi tidaklah serancak semasa mula-mula dahulu. Semasa dalam safar ilmi di Mesir dahulu peluang menulis lebih berbanding setelah pulang ke Malaysia. Maka tidak hairanlah jika pengunjung dan pembaca juga semakin berkurangan untuk laman PUJANGGA Online.

Apa yang penting bagi saya selain weblog diaplikasikan sebagai seuatu yang bermanfaat untuk para pembaca saya, ia juga adalah medan latihan penulisan saya. Dan tentu ia tidak akan bermula jika saya tidak pernah memulakannya sejak Jun 2002 dulu. Saya bersyukur... telah dua tahun saya menulis secara online. Sedar tidak sedar itulah hakikatnya.

Asam garam menulis secara online telah saya rasai dan sedang saya rasai. Tentulah tidak semua yang ditulis memenuhi citarasa pembaca. Maaf daripada saya untuk pembaca. Justeru daya tidak kisah jika penulisan-penulisan saya tidak mendapat tempat di media cetak kerana saya tetap mampu menerbitkannya di media maya dan weblog adalah tempat itu!

Salam Weblog untuk ulang tahun kedua PUJANGGA Online dan JURNAL JALAN HIDUP.

TAMAT

+ Sekolah dah nak buka, kena kembali bertugas.

Kata-kata Pujangga: Manusia hanya akan memandang kita apabila kita telah benar-benar mampu dilihat." 

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan


9 Jun 2003| Selasa | 23.08 pm

Catatan 278

+ Saya dihubungi oleh Pengarah Eksekutif KERSANI Training Centre sambil ditawarkan kerja suatu waktu dahulu. Pada Sdr Fazrul, terima kasih saya ucapkan di atas tawaran itu. Beliau mungkin berpendapat saya boleh mengisi perjuangan di KEERSANI, tetapi apakan daya saya telah terikat dengan kontrak mengajar sebagai GSTT di Langkawi sehingga akhir tahun ini. Lebih-lebih lagi, keluarga tidak galakkan saya dan mereka lebih suka saya terus menjadi pendidik.

+ Itulah yang dimanakan peluang, ia datang dalam keadaan situasi yang tidak mengizinkan. Lama saya berfikir dan bertanyakan pendapat kepada beberapa individu yang saya rasa boleh mempengaruhi keputusan saya. Akhirnya setelah memohon petunjuk Allah hati berat untuk masih berada di Langkawi.

+ Barangkali peluang seperti itu tidak datang selalu. Banyak yang saya fikirkan selain kewangan. Ya, ekonomi sangat penting... tanpa wang apapun menjadi sukar. Akhirnya saya terpaksa memaklumkan kepada Sdr Pengarah eksekutif itu bahawa saya tidak dapat memenuhi dan saya redha mungkin suatu hari nanti hati saya terdetik untuk ke sana, tetapi peluang barangkali sudah tidak ada lagi.

+ Semoga keputusan saya ini ada hikmahnya, dan saya tidak akan merasa sesal kerananya. Saya berdoa kepada Allah agar memberikan saya peluang yang lebih baik apabila saya sangat memerlukan nanti.

+ Setelah lama tidak menghasilkan karya, kini lahirlah sebuah cerpen baru berjudul CINTA DAN RONA KINANAH. Saya masih belum pasti untuk mempublikasi karya ini ke mana-mana media cetak. Mungkin perlu diubah lagi... komen kalian?

Silalah baca...

Cerpen 11 

CINTA DAN RONA KINANAH

Oleh: Akhi Masrawi

PERTAMA adalah cinta dan diikuti dengan sejalur rona di Ardil Kinanah.

Cairo. Di sini cinta bermula. Tuhan Maha Adil. Kata-kata ini adalah azimat paling ampuh untuk memujuk kalbu. Tentulah Dia yang mempertemukan kita dan Dialah jua yang Maha Berkuasa untuk memisahkan kita. 

Namun aku tetap bersyukur kerana Tuhan telah memberikan aku kesempatan untuk mengenalimu. Lama juga kita berkawan sehingga mentunaskan cinta. Dan paling tidak mungkin aku lupakan cinta itu berputik di sebuah Kota bernama Cairo.

Walaupun kini kita telah lama tidak berhubung, terpisah, membawa haluan masing-masing dan mungkin juga kau telah melupakanku tapi aku tidak mampu padamkan garis-garis hayat dan bilah-bilah waktu yang pernah kita lukiskan bersama. 

Aku masih ingat kala kau datang ke rumahku dan memujukku supaya tidak meneruskan niatku untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa meskipun minatku sangat mendalam, surat tawaran sudah digenggam, periuk kenduri telah tertunggang dan khabar telah bertebaran. Kau mahu aku menemanimu ke Ardil Kinanah Mesir menelaah Syariah di universiti tertua itu.

Mulanya keluargaku menentang aku ke Alazhar. Mujur ada Abang Man yang memberikan aku harapan dengan memujuk ayah dan ibu. Akhirnya mereka mengalah dan kita sama-sama duduki Sijil Tinggi Agama kemudian bersiap untuk terbang ke Cairo. 

Katamu di Alazhar ilmu lebih berkat. Profesornya hebat-hebat. Alazhar persis kiblat. Sehingga akhirnya kau menyeretku ke lembah kontang itu tidak kurasa seperti aku telah berhijrah persis hijrahnya seorang lelaki untuk Ummul Qais. Kau sering menjadikan aku sebagai tempat bertanya dan aku pula menganggapmu sebagai pendengar. Setelah tiga tahun bersama menghadapi kitab-kitab tebal aku dirasuk satu perasaan lain terhadapmu. Perasaan itu muncul tanpa kusedari. Mungkin ia hadir lantaran kita semakin jarang dan sukar untuk bersua-muka. Begitulah zuruf kehidupan selaku azhari mentarbiah. Timbul di hatiku untuk meluahkan tetapi tiba-tiba dia hadir bersama sejalur rona berbeza.

"Saya juga intim dengan salafi." Pengakuanmu menerusi telefon membuatkan aku tenggelam dalam persoalan. Ujarmu lagi, " Saya katakan intim kerana saya punya sahabat yang berfahaman demikian. Insan itu saya kenali sejak tahun satu adalah antara peribadi yang menjadikan kehidupan saya di lembah ini bercahaya." Timbul tanda tanya dan cemburu di hatiku. Siapakah insan itu.

"Ya... mungkin salafi golongan mengundang rasa jengkel. Saya tidak nafikan itu. Cuma saya ingin bercerita, persepsi saya, cara saya, dan berdiskusi tentang golongan yang dianggap mutasyaddidun ini."

Aku terkedu. Tak mampu menyusun kata. Akhirnya aku memilih medan maya untuk berinteraksi denganmu setelah mengumpulkan kekuatan. Kemudian kita ber-YM bersama. Masih ingatkah kau? 

Semasa ber-YM kau riwayatkan lagi. Katamu "Alhamdulillah, saya mengenalinya terlebih dahulu sebelum mengetahui itu fahamannya. Allah bukakan hati saya untuk melihat yang indah dan muluk sebelum yang lain. Sejak awal persahabatan, optimis saya padanya melebar sehingga menutup yang capik, langsung negativisme saya padanya menipis. Justeru dalam apa jua pertemuan, saya mudah melupakan ketaksuban yang membumi di hatinya."

"Kami pernah bermujadalah apabila dia mengatakan niqob itu wajib, taswir itu haram, melihat lelaki ajnabi atau gambar mereka adalah haram, menggunakan alat muzik selain duff adalah haram, safar mar'ah tanpa mahram itu hadzru dan sebagainya. Begitu juga dalam soal amalan-amalan yang orang kita ambil daripada kitab-kitab tua tulisan ulama nusantara yang baginya tidak warid dari al-Quran dan as-Sunnah seperti amalan membaca yasin tiga kali pada malam nisfu syaban, bertahlil, mengadakan kenduri arwah dan sebagainya."

Terdetik di hatiku mujurlah kau dipertemukan Allah untuk mengenali wanita salafi seperti Hajar, jika tidak mungkin kau akan menjadi manusia yang akan paling membenci golongan itu. Aku tidak punya niat jahat bila menuturkan begini kerana aku bukan pembenci golongan itu. Aku juga menghormati cara mereka mengamalkan syariat, cuma...

Tidak terlintas di hatiku qasad untuk menghalang kalian bersahabat. Apa lagi berukhuwah itu satu anjuran Islam. Cuma apa yang ingin aku sarankan teruskanlah usaha kau untuk mengenali salafi dengan skop yang lebih luas bukan hanya tertumpu pada peribadi wanita bernama Hajar itu, keluarganya atau sahabat-sahabat salafinya semata-mata.

Jangan kerana kita hanya memandang satu sudut jidar, maka kita nafikan kewujudan yang lain. Lebih-lebih lagi apabila satu sudut yang kita lihat itu cantik, berhias dan dibina kukuh lantas kita menafikan kesempurnaan itu pada sisi-sisi lain padahal mungkin realitinya lebih baik dari apa yang kita sangkakan.

Kau... aku tidak pernah melabelkan mereka yang mengamalkan agama secara i'tikadi, punya dalil dan hujah yang soheh sebagai golongan mutasyaddidun. Padaku, mutasyaddidun selayaknya digelar pada golongan yang buta agama, tidak faham tuntutan dan beramal tanpa hujah dan dalil. Apabila tergantung hujah dan dalil pada amalan mereka, maka mereka inilah mustalzimun.

Aku barangkali telah dibesarkan dalam hawa keluarga yang tidak kuat beragama lantaran itu aku tidak dapat merasai bagaimana para mustalzimun mentatbikkan kehidupan beragama mereka. Namun, gambaran kehidupan mereka mampu aku selami. Kehidupan mereka cemerlang. Tetapi tidak semua mereka cemerlang. Ada yang lebih sudu dari kuah berbanding golongan pertengahan bilamana mereka sanggup melabelkan golongan yang tidak hidup seperti mereka sebagai golongan yang hina dan tidak faham Islam. Ini yang aku tidak berkenan.

Agak-agak kau lah... Kalau kita persoalkan kepada mereka isi pengajian Fakulti kita kepada mereka apakah yang akan berlaku? Profesor-profesor kita? Adakah mereka akan menolak atau menerima? Atau mereka bertempik mengatakan ini tidak memadai. Islam itu luas? Tetapi sedarkah kita, pada pandangan aku mereka jugalah yang telah menjadikan Islam itu kelihatan sempit.

Aku mohon tangguh perbincangan kita. Aku perlu membuat pemerhatian semula kerana aku tidak mahu melambakkan hujah dangkal yang tidak punya asas. Perbincangan kita berhenti di situ. Aku mulai merasai kelemahan diri. Meski setelah tiga tahun menjadi khadam ilmu jamiah tertua ini, namun masih lemah mendepani realiti. 

Aku mula menyelak lembaran kitab, bertanya kepada para profesorku, bermuzakarah dengan para sahabat seangkatan dan akhirnya dengan secangkir kelemahan aku tampil semula menghadapi kau di medan maya itu sekali lagi. Kita ber-YM untuk kesekian kalinya. 

Kau dengan ghairah menyatakan, "Sewaktu bertandang ke rumah Hajar di daerah ElMaadi, emak saudaranya pernah syarah panjang pada saya apabila saya katakan hasrat untuk menziarahi maqam para anbia' dan aulia'. Teruk juga saya kena... haram... syirik... bahkan saya nak ke Masjid Sayidina Hussin pun dia tak izinkan." Aku mengurut dada.

Ujar kau lagi, "namun saya banyak mengalah. Pada neneknya yang sudah bongkok tiga tapi masih iltizam berniqab itu saya banyak angguk dan senyum saja. Hajar sendiri, saya lebih cenderung untuk menjaga ukhuwah. Jaga ukhuwah juga wajib. Lagipun bukankah awal-awal lagi kita sudah tahu, sifat dan perangai mereka! Biarlah... menyerah tak bererti kalah dan mengalah itu tak bererti salah."

"Sebetulnya dia mengajar saya banyak perkara meskipun tak terlepas daripada fahaman ini. Saya meraikan dia dan saya sangat menghargai niat baiknya. Walaupun dia begitu, bukankah itu kerana dia hanya mahu yang baik-baik untuk saya."

Aku pula bersuara, Kau belum kenali salafi secara total. Kerana kau kenal Hajar, salafi kau nilai pada apa yang Hajar amal. Jika tidak! Entahlah. Usah menilai pembawa dan menghukum pada apa yang mereka bawa, sebaliknya kau mesti kenal apa yang mereka pegang untuk mengenal siapa peribadi pemegang. Apakah aku tidak wajar mengatakan aku juga mengkagumi golongan salafi dari kalangan pemuda-pemuda mereka yang sering dilihat berjubah, menyimpan janggut dan jambang, serta bersikap wara'? Malah wanita-wanita mereka yang menjaga aurat dan berhijab, tetapi jika itu pembaris pengukurnya... ceteklah Islam yang sangat dalam. Tetapi kenapa kaedah meletakkan kita mesti mengenali islam dahulu sebelum mengenali penganutnya? Justeru aspek zahir adalah aspek pelengkap kerana seseorang yang berbalut jubah tidak menghalangnya melakukan maksiat!

Kau marah. Aku tidak kata kau juga sudah menjadi salafi. Tapi kau rasa aku sudah menganggap kau sedemikian. Aku serba salah. Kau merajuk. Kemudian itu kau yang kukenali tidak berniqob mula memakainya. 

Kalau mereka boleh menolak ulamak-ulamak kita, mengapakah kita masih menerima ulamak mereka? Inilah beza antara kita dengan mereka. Kita tidak seperti mereka. Kita tidak seperti mereka bukan kerana agama kita bukan Islam, tetapi kerana toriq yang kita lalui ini kita tiru toriq ulamak-ulamak silam. Dan kita percaya toriq ini selamat. Toriq ini mengajar kita menghormati dan berlapang dada dengan pandangan para ulamak terdahulu. Barangkali pandangan mereka yang kita anggap betul itu terkandung juga silapnya dan pandangan yang dikatakan silap itu terkandung juga betulnya. Islam itu fleksibel sifatnya. Oleh sebab itu perselisihan atau ikhtilaf pendapat pada persoalan cabang adalah wajar. Dan kita tidak akui perselisihan usul.

Betul kata kau, mereka golongan yang mendakwa mahukan ketulenan beragama. Mereka hanya mahukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sandaran. Tetapi mereka tidak sedar yang al-Quran dan As-Sunnah itu perlukan kepada takwil dan istinbat yang soheh. Kalaulah mereka katakan orang yang mentakwil ini salah satu persoalan yang mahu aku soalkan, siapa yang paling layak untuk menerangkan hukum? Sedang aku, kau dan dia bukanlah mujtahid!

Berpegang saja pada zahir. Itu saja yang terpacul dari bibir mereka. 

Siapa mereka untuk lebih hebat daripada Imam al-Ghazali dan Imam An-Nawawi sedangkan kedua-dua imam itu juga bermazhab Shafie. Siapa pula salafi untuk berpegang dengan zahir nas dan menolak qaul imam serta mengkesampingkan mazhab? Kita masih berharap pada qaul mujtahid. Jangan kita berijtihad ke atas ijtihad mujtahid jika kita bukan di martabat itu.

Memang tidak salah untuk berpegang dengan zahir nas, tetapi apakah kita benar-benar tahu hitam yang dikehendaki oleh Allah dan putih yang dimahukan oleh Nabi itu sepertimana hitam dan putih yang kita faham dan amalkan? Bukankah Allah telah menyatakan bahawa tidak dikurniakan ilmu kepada hamba-hambaNya kecuali sedikit?

Islam itu unik. Apa tidaknya Sahabat-sahabat Rasulullah pernah berselisih. Bila diceritakan kepada Rasulullah perselisihan Sahabat itu, Baginda membenarkan kedua-dua golongan. Para mujtahid berselisih, membentuk fiqh dan usul masing-masing... sehingga ada pandangan yang mudah untuk diamalkan, bersesuaian dengan syariat itu sendiri. Kita ini celik tetapi kadang-kadang buta atau rabun dari melihat rahmat perselisihan itu. Lihatlah dan ambillah yang positif. Tidak semestinya yang dinamakan rukhsah itu melambangkan pengamalan agama yang lemah, dan mengamalkan azimah itu hebat.

Terhenti di situ. Kehangatan perbincangan akhirnya terlerai begitu sahaja. Baki pengajian lagi setahun masing-masing kita membawa haluan sendiri. Aku menyudahkan pengajian tahun akhir dan kau sangkaku ralit dengan Hajar. Aku dengar semakin kerap pula kau mengunjungi ElMaadi. Aku tiada kuasa menghalang. Apa lagi bila nasihatku bagai buih-buih yang memukul pantai.

Akhirnya aku berhenti menghubungi kau. Entah apalah persepsi kau terhadap aku waktu itu. Sejak kecil lagi kita telah bersama. Bersekolah dari bangku rendah sehingga ke menara gading. Keintiman persahabatan kita ini mengusik kalbu. Aku terpaksa undur diri bila dengar khabar dari tanahair keluarga kau berhijrah dan khabarnya ada orang sudah merisik tanya. 

Takdir Allah, kita sama-sama najah. Aku cemburu. Bukan kerana kau tidak bersungguh, tetapi bagaimanalah kau isti'dat untuk imtihan. Namun, kita bakal semakin jauh. Setelah majlis konvokesyen di Dewan Haflah Kubra aku terbang kembali ke tanahair meninggalkan kau yang khabarnya akan meneruskan pengajian sarjana. 

Aku keliru dengan sikap kau. Sehingga saat aku telah berada di pintu masuk Mator Jadid Cairo, bayang kau tidak juga kelihatan. Mungkinkah cinta berkubur meski tanda dan nisannya tidak pernah aku tempa.

Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa. Jika ada jodoh kita pasti bertemu semula. Itu sahaja doaku semasa safar lebih 12 jam itu. Dalam perut pesawat memori menerba membasuh sejuta harapan. 

Kini aku bertugas sebagai seorang pendidik dan semalam ibu memberitahu cuti sekolah ini mereka akan membawaku menziarahi keluarga tunangku. Khabarnya anak mereka telah pulang dari luar negara. Aku pasrah pada pilihan keluarga. 

Tetapi alangkah terkejutnya aku bila turun dari kereta, rupa-rupanya tunang aku itu adalah kau. Biarlah perselisihan itu mencabang pada soal ranting tetapi kembali bersatu di perdu usul. Ya, pertama adalah cinta dan selamanya ia mekar. Mungkin inilah yang dinamakan takdir.


TAMAT


Langkawi
09 Jun 2004


GLOSARI:

Ardil Kinanah: gelaran Bumi Mesir
zuruf: Situasi
mutasyaddidun: Ekstremis
ber-YM: Bersembang di Yahoo Mesengger
niqob: purdah
taswir: bergambar
ajnabi: asing/bukan mahram.
duff: sejenis gendang
safar mar'ah: permusafiran wanita 
hadzru: tegahan
warid: bersandar
qasad: niat
jidar: dinding
i'tikadi: pegangan
mustalzimun: membiasakan/mengiltizami
syarah: bahas
takwil: menerangkan
mujtahid: ulamak pakar/ seorang ulamak yang mencapai satu tingkat tertinggi
qaul: pendapat
nas: ayat Al-Quran atau hadis
rukhsah: keringanan 
azimah: keazaman/asal
Mator Jadid: lapangan terbang baru
safar: musafir
usul: perdu/utama


* Glosari perkataan yang disediakan adalah untuk menjelaskan maksud teks bukan makna perkataan.

Kata-kata Pujangga: "Biarlah perselisihan itu mencabang pada soal ranting tetapi kembali bersatu di perdu usul."

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan

 

6 Jun 2004| Ahad | 23.00 pm

Catatan 277

PENULISAN DAN SURVIVAL YANG KIAN SURAM

Oleh: Akhi Masrawi


ENTAH bagaimana harus saya mulakan kalam. Entah bagaimana perlu saya muntahkan pandangan. Entah bagaimana mahu saya lukiskan impian dan harapan yang kian suram.

Saya tidak ingat lagi bilakan kali terakhir saya melihat bintang di dada langit. Sewaktu kecil-kecil dahulu melihat bintang-bintang yang bekerdipan di dada langit adalah sesuatu yang menjadi agenda saya. Tetapi setelah meningkat agak dewasa ia bagai hilang begitu sahaja.

Melihat bintang mewujudkan rasa takjub. Sesekali terasa betapa agungnya Pencipta yang telah meletakkan bintang itu pada ketinggian yang mustahil digapai. Maka istilah menggapai bintang dijadikan satu bidalan untuk menunjukkan sesuatu yang mustahil bakal menjadi pasti. Dan tentulah ianya banyak terlakar untuk mereka yang meletakkan cita-cita, impian dan harapan yang tinggi sebagai sasaran untuk dimiliki.

Semasa berada di Mesir, saya pernah menulis dan mengarahkan sebuah drama atau sebetulnya sketsa ringkas yang dipentaskan di dua tempat berlainan. Kali pertama sketsa tanpa judul itu dipentaskan di Program Karnival Antarabangsa anjuran DPM tempat saya belajar. Pementasan itu sepatutnya ialah kali kedua setelah jadual pementasan kali pertama di Ijtima' Ghairil 'adi dibatalkan di saat-saat akhir. Meski saya agak kecewa dengan keputusan itu saya bersyukur kerana para pelakon masih mahu menerima undangan untuk pementasan agung pada konsert Jalinan Mahabbah di Hayyu Sadis di mana pementasan itu telah mendapat pujian yang sewajarnya.

Kawan-kawan suka menggunakan istilah pentomen. Dalam sketsa itu Jentayu dijadikan latar penceritaan selain beberapa latar lain dalam babak imbas balik. Kisahnya diambil dari karya seorang penulis Mahasiswa Al azhar, Mesir. Bermula daripada sebuah cerpen berjudul Cintamani maka saya menggubahnya menjadi sebuah skrip drama pendek.

Ia mengisahkan tentang seorang tokoh politik yang telah diberikan mandat dan kuasa membeloti kampungnya sendiri iaitu Jentayu. Namun kehadiran sahabat lamanya dalam krisis pembangunan di jentayu menjadi pendorong kesedarannya untuk kembali membela Jentayu. Apa yang menarik dalam skrip cerita itu ialah sewaktu Kahar, Hambali dan Amin. Saya petik kesimpulan dailog mereka bertiga setelah bercerita tentang batu ajaib Cintamani yang boleh menjadikan impian mereka menjadi kenyataan. Mereka memejamkan mata dan membayangkan permintaan masing-masing. 

Amin membuat permintaan untuk berkahwin dengan puteri raja, Hambali mahu jadi ahli perniagaan dan Kahar mahu jadi 'hero' kampung. Di antara mereka Kahar paling beruntung kerana takdir ditulis dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti Alazhar berbanding Amin dan Hambali. Namun setelah bertukar status sebagai Datuk Kahar mula lupa diri dan lupa asal-usul. Impiannya untuk menjadi hero kampung telah sedikit sebanyak menjadi nyata setelah dia terpilih sebagai wakil rakyat Jentayu... tetapi malangnya lambakan kemewahan melupakan dirinya.

Muncul kembali Hambali dan Amin sebagai watak yang memainkan peranan menginsafkan Kahar. Dari detik mereka mencipta impian semasa percayakan kepada karut-marut batu Cintamani sehinggalah mereka telah membina keluarga sendiri. Pertemuan semula itu menjelaskan... dan mengingatkan mereka kembali kepada batu itu. Mereka ketawa.... itu zaman budak-budak. Manalah dapat beza dan tahu. Batu bukan boleh beri apa-apa.

Amin beritahu dia berkahwin dengan anak tok penghulu. Mungkin puteri raja lah tu di Jentayu. Hambali pula menceritakan kemajuan perniagaannya menjadi peraih hasil tani di jentayu... Kahar pula dah jadi seorang pemimpin politik dan masyarakat. Bagus juga walaupun batu itu tak memberi apa-apa sekurang-kurangnya telah menyebabkan mereka berusaha gigih.

Ya... pentingnya di sini usaha. Apapun kau nak jadi... kalau kau tak usaha, kau tak ke mana-mana. Kau anak kampung... bukan bermakna kau tak boleh berjaya macam anak-anak orang bandar. Kau lihat saja bintang-bintang dan anak-anak orang bandar pun melihat bintang-bintang macam kau lihat apa bezanya?

Setelah menulis 24 bulan di PUJANGGA Online, berkarya dengan 10 buah cerpen, 84 buah puisi, berpuluh-puluh artikel, lima buah kertas kerja, sebuah buku ilmiah dan beratus-ratus catatan yang mungkin berguna dan bermanfaat (mungkin juga hanya sampah) yang ada di antaranya diterbitkan oleh media cetak dan dipublikasi di internet saya patut menerima hakikat bukanlah jalan senang untuk merintis kajayaan yang dihargai.

Kadang-kadang timbul persoalan dalam diri: untuk apa aku terus menulis? Apakah saya harus menjawabnya berulang-ulang kali? Tidak... jangan salah sangka terlalu awal. Setelah pulang ke Malaysia saya makin kurang aktif. Hendak mengaku seorang penulis pun makin tidak berani. Ke manalah haluan survival saya ini? Ya betul! Ini impian saya... mahu jadi seorang penulis prolifik... tetapi kadang-kadang masalah kehilangan mood dan feel untuk menulis kerana sebab yang terlalu kecil seperti masalah komputer atau nota hilang. Dan masalah terkini yang saya temui ialah kalau mahu karya tersiar jangan bertanya pasal honorarium. Adakah ini biasa? Bila masalah ini menimbun maka idea pun lari entah ke mana.

Bulan Jun 2002 saya mula memberikan nyawa kepada PUJANGGA Online khususnya Jurnal Jalan Hidup. Kini sudah Jun 2004 dan saya masih terus menulis selagi punya kekuatan untuk itu. Apa yang saya harap adalah sokongan dan dorongan daripada para pembaca saya. Tanpa kalian, siapalah saya?

Saya telah memilih sepanjang Jun 2004 sebagai bulan ulang tahun kewujudan Jurnal Jalan Hidup di PUJANGGA Online. Teruskan membaca dan menjadi penanti setia. Salam ulang tahun ke-2 khusus untuk kalian semua...

Kata-kata Pujangga: "Bernafas dan menulis, menulis dan bernafas, Bernafas dan bersyukur, Beryukur dan bertafakkur." 

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan

Hosted by www.Geocities.ws

1