JURNAL PUJANGGA Online - JALAN HIDUP

MULAI JUN 2002 

Jurnal PUJANGGA Online - Jalan Hidup tidak HANYA membicarakan jalan hidup AKU semata-mata! Tetapi jalan hidup yang dilalui bersama yang seringkali melingkari kehidupan setiap kita... Semoga aku, kau dan sesiapa jua bersedia untuk melalui jalan hidup itu, kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan!

Arkib Julai 2002


Terminal Pertama...


23 Julai 2002/13 J. Awal 1423 | Selasa | 15.35 pm

Catatan Satu

Seminar Ekonomi Islam PMRAM

Satu Seminar Ekonomi Islam telah diadakan di Kaherah pada 21-22 Julai lalu. Aku berpeluang menjadi peserta kepada seminar yang hanya membuka peluang kepada 400 peserta. Di dalam seminar tersebut sebanyak 6 kertas kerja telah dibentangkan oleh pakar-pakar dan ulama'-ulama' ekonomi. 

Mereka ialah: Profesor Doktor Abdul Hamid Al-Ghazali merupakan pensyarah ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Sains Politik di Universiti Al-Azhar membentangkan dua kertas kerja iaitu: Asas sistem ekonomi Islam dan Subjek penerangan hakikat dan syubhat sekitar riba, keuntungan dan faedah perbankan. Manakala Profesor Doktor Hussin Hussin Syahatah, pensyarah pengajian akaun Fakulti perniagaan Universiti Al-Azhar turut membentangkan dua kertas kerja iaitu: Pengenalan Sistem Insuran bantuan sosial Islami, dan Sistem Zakat dan Cukai antara teori dan pelaksanaan.

Selain itu kertas kerja Pelaksanaan Kontemporari sistem Zakat dibentangkan oleh Doktor Asyraf A'smuni. Manakala kertas kerja Sistem Insuran perniagaan perbandingan antara Syariat Islamiah dan sistem wadhai'e dibentangkan oleh mudir markas Soleh Abdullah Kamil, Universiti Al-Azhar As-Syarif yang tidak diperkenalkan namanya oleh pengerusi majlis.

Selain enam kertas kerja yang dibentangkan peserta dihidangkan juga dengan ceramah 'Peranan Mahasiswa dalam sektor ekonomi di Malaysia' oleh Profesor Doktor Azizan Ismail, Pengerusi Homoeopati Malaysia. Dengan yuran sebanyak LE 20 berbaloi rasanya kerana berpeluang mengikuti pembentangan dari tokoh ulamak dan pakar-pakar ekonomi yang unggul di Mesir. Rasanya program seumpama itu wajar diadakan lagi.

Catatan Dua

Jiwang...Jiwang...Jiwang

Situasinya begini: A kenal dengan B. A seorang lelaki manakala B seorang perempuan. A juga berkawan dengan C dan D juga lelaki. A kenal dengan B melalui chating di Mirc kemudian dipertemukan dalam sebuah program secara tidak langsung, tetapi A masih tidak mampu mengenali B kerana B wajahnya terselindung. A tahu B perempuan baik. A terpikat dengan persahabatan yang mereka jalin.

Masing-masing ego untuk meluahkan perasaan yng muncul itu. Apalagi A beranggapan masa untuk dia meluahkan perasaan itu belum tiba kerana A belum lihat wajah B. Muncul C menyatakan dia terpikat dengan B. Mungkin kerana mereka pernah berkerja dalam organisasi bersama. Peluang untuk C lebih kenal B terbuka berbanding A yang hanya kenal dari watak-watak maya. A risau B terlepas ke tangan C. Namun dalam masa yang sama A tidak mahu kehilangan C kerana mereka sudah lama berkawan. Kalau hanya untuk merebut B dan mengorbankan persahabatan antara A dan C, A tidak sanggup. A lebih rela melepaskan B kepada C kerana C tidak tahu A juga sebenarnya berkawan dengan C dan hampir jatuh hati.

Suatu hari C datang ke rumah A mengadu D hendak lamar B. C menggelabah. Sikap C yang lambat buat keputusan membuka peluang kepada D untuk lebih dahulu. D juga kawan A malah sebenarnya A, C dan D berkawan baik. Akhirnya D melamar B. Dan D tahu C ada hati pada B tapi D tidak tahu A juga pernah berusaha memenangi hati B. Persahabatan antara A, C dan D berterusan. Alhamdulillah... Sekarang B berhubung intim dengan D. A dan C tidak lagi. Tetapi semalam... sewaktu berbual dengan seorang kawan yang juga mengenali B, dia memberitahu sewaktu B dilamar D, B kaget untuk mengambil keputusan lantaran katanya dia menanti seorang lelaki lain untuk melamarnya dan ciri-ciri yang dikatakannya ada pada A. A baru sedar B menaruh harapan pada A, tetapi harapan itu tidak terurai menyebabkan A menarik diri dari perlumbaan memenangi hati B. A berdoa B akan bahagia walau dengan sesiapa B akan bertemu jodohnya. A masih menanti ketentuan takdir.

Catatan Tiga

Kisah Tauladan

KISAH BERKAT DI SEBALIK MEMBACA BISMILLAH

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."

Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

20 Julai 2002/10 J. awal 1423 | Sabtu | 14.30 pm 

Catatan Satu

Semalam web aku rosak. Layout punah-ranah. entry pun hilang belaka. Semuanya berpunca PC cyber tu la (target net). Pc tu bati' (slow) sangat mengalahkan kura-kura. Waktu aku nak masukkan entry untuk 19 Julai kemudian save & publish...tut tut aku tengok bila view web dah rosak. Aku cuba undo & back tapi tak berhasil.

Anjung Tamu v-3 yang baru aku masukkan juga lenyap. Selain itu benda asas yang aku letak kat sebelah kanan layout aku seperti senarai geng jurnal, Banner Pujangga Online, Anjung Tamu v-1 & v-2, counter dan arkib. Mujur ada aku simpan benda-benda tu semua dalam pc di rumah. So aku nak cuba upload sekali lagi, untung-untung menjadi. 

Counter aku semalam pada perkiraan sekali dengan aku masuk bernombor 299 so, kalau aku dah upload nanti tak berjaya dapatkan hit 299 tu bermakna aku mungkin letak counter baru dan nombornya akan bermula semula dan korang kena tambahkan dengan 299 sebelum ni untuk tahu hit counter aku sebenar. Kah kah..kah teknikel jer.

So, kalau entry 20 Julai ni dah dapat korang baca bermakna aku dah berjaya uploadnya. Dan untuk pengisi tamu tunggal di Anjung Tamu v-3 (Kak Aquil) jangan risau akak tetap pengisi pertama versi html-gear tu.

19 Julai 2002/19 J. awal 1423 | Jumaat | 17.15 pm 

Catatan Satu

Mengintai Musim Panas

Tulis entry sambil memasak. Masak kari ikan + kacang bendi. Rempah kari jenis baba's. Kari ikan 'jaket' (mencaru) yang dibeli pagi tadi. Sementara tunggu kari masak sempat tulis sikit. Nasi dimasak guna periuk elektrik (rice cooker) yang dibeli Own masa pegi buat haji hari tu. 

Sambil-sambil dengar lagu Hayya bil Jihad nyanyian Brothers. Dengar suara Yasin. Udara dalam rumah panas. Rumah aku di aras tiga tetapi paling atas, jadi pancaran mentari menyimbah terus atas rumah dan menyerap udara panas tu ke ruang rumah. Bahang panas musim soifi ni mencengkam. Ni tahun pertama aku menghadapi musim panas di rumah fu' kholis (atas sekali) walaupun cuma aras tiga. Jendela rumah kena tutup semua time tengahari sebab untuk elakkan bayu panas tu menceroboh masuk dan akan membahang serta menyebabkan rumah berkuap.

Tahun lepas aku duduk rumah ardiyah (aras bawah). Rumah ardiyah sejuk. Itu antara kelebihan rumah ardiyah, tetapi rimas duduk rumah ardiyah sebab tak kena cahaya. Kadang-kadang ada kawan-kawan aku yang kena demam kuning sebab lama tak kena cahaya. Asyik memerap dalam rumah. 

Waktu petang tingkap kena buka balik supaya angin boleh masuk. Bila malam angin tak panas lagi. Bolehlah untuk mengurangkan panas suhu ruang rumah. Tetapi panas bukan setiap hari terik sangat. Kebiasaannya sekitar 35-40 darjah celcius lebih kurang. Aswan dan kawasan selatan Mesir yang hampir dengan Sudan lebih panas. 

Tahun ni ribut pasir jarang berlaku. setakat ni yang aku perasan di Kaherah aku alami sekali manakala di Tanta kalau tak silap baru dua kali. Tak tahulah... ini bukan fakta. Ini apa yang aku alami. Ribut pasir membaya bayu dari gurun dan menandakan musim akan berubah. Suhu akan semakin panas. Kena buat persedian untuk hadapi musim panas. 

Banyak perkara menarik musim panas. Antaranya kalau nak makan anggur, shamam, batikh (tembikai) inilah musimnya. Tapi shamam tahun ni habis sebelum pun habis musim rabie' (musim bunga), epal pun ada. Selain buah-buah musim panas juga mengingatkan aku pada serangga seperti semut dan nyamuk. Lalat di mesir sepanjang tahun. Sebab tu ada kawan aku cakap Mesir darul zubab. Semut dah melata di rak kitab aku. aku perasan dah lama tapi tak boleh buat apa-apa sebab rak tu dah jadi laluan dia. aku cuma harap dia tak masuk bersarang dalam kitab dan buku-buku tu. Biarlah dia nak melata bauh highway aku tak kisah sangat.

18 Julai 2002/ 8 J. awal 1423 | Khamis | 20.58 pm 

Catatan Satu

Skil Menyesatkan Umat Islam

Ramai yang mendapat tasawur yang salah bila hanya membaca buku sejarah yang ditulis oleh mereka yang berpendidikan orentalis (studi ketimuran). Ini kerana orentalis telah melakukan penyelewengan terhadap disiplin ilmu yang sedia ada sedangkan asalnya diceduk daripada cendekiawan dan ulamak islam silam. Fenomena ini bukan sahaja berlaku terhadap karya-karya sejarah malah turut melibatkan karya-karya lain dalam pelbagai aspek. Antara karya- karya tersebut yang dapat dikenal pasti ialah: The Muslim World karya Zweimer, The Muslim world karya Le Monde Musalman, Muqaddimah Tarikh Tasauf AJ Obery, Dairatul maarif Islami oleh Barroncarra de VouzeMassilion/ DB Mcdonald, Al-Islam oleh Alfred Geom, Hilaj Assufi Assyahid Fil Islam oleh Massinion, Tatawwur Ilmu KalamWal Feqh wannizomiah dan Ad-dusturiah Fil Islam oleh DB Mcdonald, As-Syarkil Awsat oleh M Green, Al-harbu was Silmi fil Islam oleh Majid Quduri dan banyak lagi. Justeru jika kau memiliki hasil-hasil karya yang ditulis oleh orientalis-orentalis ini haruslah berhati-hati dengan dasar pemikiran yang dibawa. 

Kawan aku, Own menghasilkan sebuah penyusunan kertas kerja tentang orentalis (istisyraq wal mustasyriqun) dan dibentangkan tahun lepas. Dalam kertas kerja itu juga turut menjelaskan penglibatan orentalis dalam menyesatkan umat Islam selain beberapa perancangan sulit lain beberapa pertubuhan bawah tanah zionis. Tujuan mereka tidak lain untuk menyesatkan umat Islam, dan setelah pemikiran boleh mereka kuasai maka mudahlah untuk menjajah dan mereka akan membentuk kekuatan kuffar yang tersendiri.

Bagaimana orentalis muncul? Sejarah yang pasti dan tepat tentang kemunculan orentalis tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun besar kemungkinan kemunculan orentalis boleh dikaitkan dengan apabila Asbania (Sepanyol) ditadbir oleh kerajaan Islam. Dengan tertubuhnya universiti Cordova ketika itu membuka ruang kepada sesiapa jua untuk menuntut ilmu kerana dasar universiti yang terbuka untuk penyebaran tamadun dan keilmuan Islam. Dengan menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar rahib-rahib yang membanjiri Andalus (Sepanyol) mampu menguasai dengan baik demi untuk mempelajari keilmuan Islam.

Seperti firman Allah di dalam Al-Quran: " Dan sesekali tidak akan meredhai orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani itu sehinggalah engkau mengikuti pegangan mereka...". Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kelompok Yahudi dan Nasrani memang tidak akan sentiasa berpuas hati dengan Umat Islam. justeru mereka sanggup menghantar anak-anak mereka mendalami Islam dengan mengkaji dan kemudian diselewengkan. Akhirnya hasil selewengan itu akan disalurkan ke negara-negara Umat Islam dengan harapan mereka akan mendapat tasawur yang salah tentang Islam sehinggalah dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Yahudi dan Nasrani akan dapat diterima oleh Umat Islam.

Lihatlah betapa gigihnya mereka berusaha. Sekembalinya duta-duta mereka yang datang ke Universiti Cordova untuk mendalami ilmu-ilmu Islam ke negara Eropah, mereka mewujudkan sekolah-sekolah dan berusaha menterjemah kitab-kitab berbahasa Arab ke bahasa latin yang kemudiannya menjadi rujukan lebih 6 kurun. 

Kalaulah mereka hanya datang ke Cordova untuk belajar dan pulang menyampaikan ilmu itu tidaklah mengapa, akan tetapi mereka punya agenda lain. Bermula kurun ke-18 barat mula menjajah negara Umat Islam. dengan bermulanya penjajahan ini maka bermulalah juga gerakan untuk menyebarkan dakyah orentalis melalui buku-buku yang telah diselewengkan. Selain itu dianggarkan kira-kira 250,000 kitab-kitab ilmiah dipindahkan ke Eropah yang dipercayai masih kekal sehingga ke hari ini sebelum berkembangnya gerakan ini sehinggalah mengadakan  perjumpaan orientalis sedunia pada 1873 di Paris.   

Mungkin juga mereka melakukan semua itu akibat kekalahan dalam perang salib. Mereka menggunakan perang saraf (serangan pemikiran) sebagai alternatif menebus kekalahan dan untuk memusnahkan Umat Islam seanterio dunia. Apa yang dapat difahami gerakan orentalis ini dimulai oleh orang-orang kristian untuk mengembalikan kegemilangan mereka dan dalam masa yang sama untuk menyesat dan menarik Umat Islam untuk menyertai mereka dalam agama dan pemikiran. Gerakan seumpama ini kemudiannya disertai oleh Yahudi dan berselindung di sebalik gerakan zionis antarabangsa.

Antara matlamat orentalis dalam gerakan mereka: 

i. Menimbulkan keraguan terhadap risalah Nabi Muhammad SAW dan menolak kenabian baginda dengan meragukan kesasihan wahyu yang diterima dalam keadaan nabi SAW antara sedar dan tidak sedar (khayal).

ii. Ragukan kesahihan hadis nabi dengan mengatakan ia adalah rekaan dan melemahkan kedudukan perawi yang thiqah seperti Azzuhri dan mendakwa bahawa Ibnu al Mubarak adalah seorang yang menceroboh dalam bidang hadis.

iii. Mendakwa bahawa ketamadunan Islam adalah cedukan daripada kegemilangan Empayar Rom terutamanya dalam bidang falsafah.  

iv. Melemahkan ikatan persaudaraan sesama muslim dengan menghidupkan perjuangan Nasionalisme jahiliah dengan menghalang kesatuan negara-negara Islam.

Langkah Dalam Mencapai Hadaf  Orientalisme:

i. Penulisan kitab yang membelakangkan Islam, Rasul, Al-Quran dan juga penyelewengan faktafaktasejarah dan ketamadunan.

ii. Menerbitkan majalah mengenai kajian tentang Islam bangsa dan umatnya.

iii. Menghantar agen-agen orientalis ke negara-negara Islam atas dasar kemanusiaan.

iv. Menganjurkan perjumpaan dan pertemuan di universiti besar di dunia dalam membahaskan persoalan mengenai Islam.

Buku-buku ilmiah Orientalis yang mengancam pemahaman Islam:

1. The Encyclopedia of Islam

2. Shorter Encyclopedia Of Islam,

3. Encyclopedia of  Religion And Ethis

4. Encyclopedia of Social Science

5. Daairatul Maarif Alulum Alijtimiah

6. Diraasat Fi Attarikh.                              

7. Tarikh Mazahib Attafsir al Islami, Goldzeiher  

Beberapa (syubhat) Kekeliruan yang ditimbulkan oleh Orentalis:

1. Mengelirukan Fikrah umat Islam terhadap jihad bahawa jihad adalah fundametalis, keganasan dan pelampau. Orentalis mengembar-gemburkan bahawa agama Islam agama yang menggunakan mata pedang untuk menguasai. Sebahagian umat Islam menafikan provokasi sedemikian sehingga menjauhkan umat Islam sendiri dari jihad serta meracuni pemikiran bahawa Jihad dengan mata pedang bukan tuntutan dalam Islam kerana mengangap ia sebahagian keganasan. Selain itu mereka mengelirukan kefahaman terhadap makna dari istilah jihad itu sendiri. Ada yang mengatakan bahawa jihad itu ialah melawan hawa nafsu, membasmi kemiskinan. Seketika kemudian lahirnya fikrah-fikrah selain itu bagi terus menyeleweng umat Islam antaranya: 

a. Minum arak yang tidak memabukkan adalah tidak mengapa kerana arak menjadi suatu trend pada zaman kini.

b.  Menggalakkan masyarakat menyertai kegiatan seni hiburan dengan menganggap ia sebagai tuntutan moden sehingga mampu melalaikan generasi umat Islam dari mendalami Islam serta menganjurkan konsert hiburan dengan mengganggap ia sebagai fitrah.

c. Menganjurkan kebebasan bersuara supaya sesiapa juga tidak dipandang janggal bila mengkritik sumber dustur Islam (al-quran, As-Sunnah).

d. Mewujudkan pertubuhan-pertubuhan mungkar berselindung di sebalik nama pertubuhan sosial.

2. Mewujudkan perpecahan dengan menubuhkan mazhab-mazhab serta firqah baru seperti Qadyaniyah, Bahaiyah, Bayaiyah dan seumpamanya yang ditaja oleh orentalis. Tujuan mazhab-mazhab baru ini diadakan untuk menyeleweng dan mempercepatkan kesesatan di kalangan umat Islam. selain itu mereka juga menaja pertubuhan yang mementingkan amalan sunat sehingga meninggalkan amalan wajib/ fardhu serta mengenepikan fikrah jihad serta politik.

3. Menyelewengkan As-Sunnah SAW dengan mempermudahkan pendhoifan (melemahkan) terhadap hadis-hadis saw dengan berhujah bahawa hadis di zaman rasulullah tidak dilembagakan sehingga mampu untuk dipalsukan dan sebagainya. Sedangkan as-sunnah merupakan sumber sandaran kedua selepas Al-Quran.

4. Mengkontra ulamak-ulamak silam dengan pelbagai cara dan kaedah supaya umat tidak mengungguli kehebatan ilmu turath islami.

Dalam bidang-bidang yang lain, Orentalis telah menyelewengkan fakta sejarah. antara yang paling nampak jelas ialah sejarah Melayu Melaka yang menukilkan tujuan pelayar-pelayar inggeris datang ke timur untuk mencari pengkalan untuk mendapatkan penguasaan terhadap perdagangan rempah, sedangkan tujuan itu hanya dilihat sebagai matlamat sekunder sedang matlamat primernya ialah untuk menyebarkan penyelewengan mereka dengan turut mendatangkan Rahib dan paderi bersama kapal laut yang berlabuh di Melaka beberapa kurun lalu.

Kejayaan orentalis hari ini semakin merunsingkan umat Islam. Lihatlah betapa segelintir Umat Islam juga disesatkan dengan pelbagai fikrah yang dicipta oleh mereka. antaranya beberapa ideologi yang menjadi pegangan segelintir pemimpin umat Islam kurun ini. Dengan memperkenalkan liberalisme, sekularisme, nasionalisme, Kapitalisme, sosialisme, dan pelbagai isme-isme yang lain serta beberapa hipotesisi terhadap kajian mereka antaranya teori Darwin, Libido yang diperkenal Sigmun Frued, evolusi, pragmatis, globalisasi dan sebagainya. semakin hari tanpa sedar penyelewengan itu terus berlaku... apa pelu kita buat? kembali kepada Islam secara seluruhnya! Itu jalan terbaik. Mungkin fahaman yang mendakwa politik dan agama tidak boleh digabungkan dalam pentadbiran sesebuah negara kerana politik suku, agama suku hanya sesuai diterima pakai sewaktu komunis menguasai blok dunia sekitar 50 tahun yang lalu kerana dalam fahaman komunis agama dianggap candu!

Catatan Dua

Hari ni main bola sepak (pagi) dengan kawan-kawan seusrah selepas usrah dekat padang sebelah Bait Izzah. Mat Nan pun turun sekali. Aku, Mat Nan dan Razif bertiga menentang Us Amli, Own, Hairul dan Azli. Best juga bila lama tak main bola. Main tanpa penjaga gol... gol dibuat kecil sekitar tiga langkah saja. 

Perlawanan berakhir dengan 'sudden death' berpihak kepada kami bertiga memenangi 7-6. Perlawanan terpaksa dihentikan kerana dah tak larat nak main lagi. Peluh keluar banyak. Baju busuk. Badan melekit-lekit. 

Lepas main bola naik ke rumah Nan makan bihun gorang + keropok. Lepas tu pergi ke rumah Sanuzi sebab Muin nak balik ke Malaysia turun di situ walaupun rumah dia di Toha Hakim. Tramco tak boleh ke Toha Hakim sebab murur (polis trafik). Jadi terpaksa turun dari rumah orang lain.

Hairul terasa hati kot dengan aku. Aku bersikap leweh sewaktu berjidal dengan dia soal tonton filem alias tivi. Apapun aku harap kalau dia marah itu cuma marah lawak-lawak.

Balik ke rumah. Own ke matar hantar Muin dengan yang lain-lain. rest...

Catatan Tiga

Talib dan anak-anak buahnya ke Alexandaria/ Iskandariah sebuah muhafazah yang cantik dan ada tempat-tempat menarik untuk dilawati. Antaranya beberapa makam-makam seperti makam Nabi Allah Daniel as di masjid Nabi Daniel, Makam abu Darda' (sahabat Nabi saw), Makam Abul abbas di Masjid Abul Abbas dan sebagainya. 

Aku pernah ke Alex beberapa kali. Untuk tujuan berjalan-jalan cuma sekali baru. Itu pun pergi dengan kawan-kawan masa cuti musim panas tahun satu dulu. Ishk... rindunya kat Alex. 

Teringat masa pergi program KOFI di Alex tahun 2001 dulu. Masa sarapan pagi makan nasi goreng...  cuma sewaktu makan ada mulut-mulut yang sedang berkata tanpa permit :'Nasi gorang di Alex ni, garamnya murah." "Kat tepi laut ni garam tak mahal." " Lori garam terbalik dalam kuali nasi goreng kot." dan sebagainya... itu secebis nostalgia kali pertama bertandang ke Asofirah. Bila teringat balik, aku tersenyum sendiri...

Catatan Empat

Persedian untuk kuasai ilmu Qawaid Feqh aku kena baca buku terjemahan Kaedah-Kaedah Feqah dan merujuk bacaan di Asybah wan Nazoir karangan Imam As-Suyuti. Ilmu qawaid Feqh adalah sebahagian ilmu yang menjadi perisai fuqaha'. Setakat ini aku baru membelek pada kaedah-kaedah pokok yang lima iaitu: "Al-Umur bimaqasidiha, Al-yaqin la Yazalu bis Syak, Al-Masyaqqah tajlibu taysir, Ad-dhoror yuzal (Ad-dhoror la yazal bid-dhoror) dan al-'Adah al-muhakkamah). 

Fuqaha' menggunaka ilmu ini sebagai kematangan dalam bidang feqh. Semua persoalan dalam feqh disimpulakn dalam kaedah-kaedah untuk mempermudakan ulmak mengeluarkan hukum. Selain Penting Ilmu Qawaid Feqh, ilmu Usul Feqh juga amat penting untuk seseorang itu mampu berijtihad. Tapi buat masa ni aku masih tidak mendalami dengan baik. Aku tak mampu nak ulas banyak-banyak.

 

 17 Julai 2002/7 J. awal 1423 | Rabu | 9.20 am

Catatan Satu

Pendang yang Menang

Aku pernah ke Pendang beberapa kali, malah pernah menetap di salah sebuah desa di sana selama hampir sebulan mengikuti kelas talaqi sebelum ke luar negara. Kau pernah ke Pendang? Khabarnya ada geng jurnal yang 'turun' ke Pendang. Aku harap turun dengan tujuan dan amal murni... bukan menambah derita masyarakat setempat. Pendang sebuah daerah agak luas di Kedah. Dengan potensi pernah ditadbir oleh Presiden Pas sebelum ini Pendang punya harapan cerah untuk kekal sebagai Parlimen pro Islam/kebenaran. Penduduk daerah Pendang pelbagai. Melayu aku kira bangsa majoriti kemudian cina, india, siam dan lain-lain. 

Pendang pernah diistilahkan sebagai kubu kuat Pas. Di sanalah bermulanya kekuatan Pas Kedah aku kira (sebab kawasan Presiden PAS). Potensi tarbiyah dan keagrasifan pemuda akan kekal pada status proaktif untuk seiring berjuang meskipun tokoh idola yang pernah mewakili Parlimen itu telah kembali ke rahmatullah 23 Jun lalu. Sebagai seorang yang tidak sangat bijak menilai suasana politik dan percaturan untuk memenangi kerusi, aku menaruh 70 peratus Pendang akan menang; cuma andai masih ada politik dalam politik dan dalam politik itu ada lagi politik lain mungkin kita akan terus berjuang untuk 2003 nanti. Apapun harapan untuk Pendang hanya menanti menang ataupun Pendang tidak menang tetapi usaha pejuang-pejuang telah menang dulu sebelum 2003.

Catatan Dua

Mencari wang saku

Seorang kawanku mengajak aku mengusahakan perniagaan kecil-kecilan. Untung perniagaan itu boleh dibuat wang saku untuk digunakan menampung kadar tambang ke kuliah dan beli buku-buku rujukan. Idea itu muncul bila mengenangkan kadar yang agak tinggi bakal digunakan untuk pengajian Master (ijazah lanjutan) di Mesir. Beberapa tawaran pengajian di peringkat Ijazah lanjutan telah dikenal pasti. Antaranya yang paling menggerunkan pengajian Majister di Universiti Al-Azhar. selain itu turut ada Fakulti Darul 'Ulum di Universiti Kaherah, Ijazah lanjutan di Pusta pengajian Islam Tinggi Zamalek dan Universiti American Maftuh. 

Peluang itu berdasarkan fakulti masing-masing. Aku dalam Fakulti Syariah dan Undang-undang, Jabatan Syariah Islamiah berpeluang untuk ke semua universiti tadi. Jika memilih al-Azhar aku boleh memilih antara empat Jabatan dalam Fakulti Syariah. Pertama Qisim Usul Feqh, kedua Qisim Feqh 'am (dipecahkan mengikut mazhab - Hanafie, Maliki, Shafie dan Hanbali), Qisim Feqh perbandingan mazhab (muqaran) dan Qisim Siasah Syar'iyah. Ini berdasarkan prioriti aku mengambil ijazah pertama (BA) dalam Jabatan Syariah. Tapi orang paling takut ambil majister di Al-Azhar; jangankan Melayu Arab juga. Tapi keistimewaan Al-Azhar yurannya rendah.

Aku berminat dengan Siasah Syar'iyah (Sistem Politik Islam). Antara subjek yang bakal ditempuhi ialah:

Tahun Satu:

1. Sistem Kewangan Islam 2. Sistem Pengurusan Islam 3. Sistem Kehakiman Islam 4. Undang-undang Jenayah 5. Usul Feqh 6. Bahasa Inggeris 7. Al-Quran

Tahun Dua:

1. Sistem pemerintahan Islam 2. Sistem ekonomi Islam 3. Undang-undang Jenayah 4. Hubungan Antarabangsa 5. Kesan Kaedah-kaedah Feqh 6. Bahasa Inggeris 7. Al-Quran.

Cuma aku lihat setakat ini ada tiga cabaran paling besar kalau aku sememangnya nak sambung Majister (master) dalam Siasah Syar'iyah di Al-Azhar iaitu: pertama Al-Quran (dari segi hafalan aku agak lemah), kedua bahasa Arab (Dari segi uslub bahasa dan penguasaan nahu serta sorof dan ilmu alat lain agak lemah) dan ketiga pengajian di peringkat master Al-Azhar kebiasaannya memakan masa yang agak lama. Ini juga meruntun benak aku sebab keluarga juga memerlukan aku. Adik-adik masih ramai untuk disara. Menurut seorang seniur aku dia ditemuduga oleh pensyarah untuk diterima masuk antara soalan yang ditanya kepadanya :"Sanggupkan duduk lama dalam pengajian master di Al-Azhar?" Dia jawab sanggup dan hasilnya natijah tahun pertama dia gagal dalam peperiksaan tahun satu pengajian master dalam Qisim Feqh 'am (Mazhab Shafie).

Manakala jika ke Universiti Kaherah atau mana-mana universiti lain yurannya tinggi. Pelajaran di mana-mana susah. so kenalah cari sponsor yang baik hati untuk menaja pengajian master tersebut. Barangkali sebab susah nak dapatkan sponsor kawan aku mengeluarkan idea untuk menubuhkan dana untuk calon-calon yang ingin menyambung master di Mesir. Sekurang-kurang nya duit itu nanti bakal mengurangkan beban sara hidup atau pengajian di peringkat Master. 

Mungkin idea itu jugalah tertubuhnya Master Corner yang menjual nasi lemak dan roti jala sewaktu bazar PERSADA 7-11 Julai lalu. Idea itu muncul lagi... 

Aku cuma sambil berseloroh menjawab lontaran ideanya tempoh hari untuk berniaga kecil-kecilan itu dengan pertanyaan; "kita nak berniaga apa?" untuk menghantar mesej peluang niaga untuk pemula-pemula kecil yang tidak bermodal gergasi sukar mendapat ruang di Lembah Nil ini. Mungkin suatu hari nanti idea itu bakal menjadi realiti, tetapi untuk menanti saat itu... aku perlu memikirkan alternatif lain terlebih dahulu.

Catatan Tiga

Aku jarang makan di restauran Arab. Kalaupun terdesak aku akan memilih gerai yang agak bersih dan standard meski harga sedikit mahal untuk menjamin makanan itu bersih dan aku tidak sakit perut. Namun makanan arab tidak berapa sesuai dengan perut aku. Mak pernah kata perut aku, perut melayu mesti kena jumpa nasi... sebab tu mak risau bila aku bagitahu mak yang aku nak melanjutkan pelajaran ke Mesir. Mak terbayang di Mesir tak ada nasi. Orang arab hanya makan roti yang diperbuat dari gandum semata-mata.

Memang aku memilih nasi dari roti. Bagi aku nasi lebih akrab dengan perut serta usus aku. Memadai dengan nasi sepinggan dengan berlauk sejenis, berkuah dan sedikit sayur jika ada untuk menyenangkan nada perut dari berkeroncong. Apa roti tidak kenyang??? Kenyang! Tapi bagi aku kenyang roti tidak seperti puas makan nasi. Dari kecil makan nasi tapi tak pernah rasa muak. Mungkin itu kelebihan orang Melayu atau orang asia yang menjadikan beras sebagai makanan asasi. Berbanding suasananya dengan masyarakat Arab. Mereka makan roti yang dipanggil ('ish). Perkataan 'ish di dalam bahasa arab bererti hidup, tetapi sinonim dengan sejenis (khubz) roti arab yang hanya berharga 5 sen sekeping. Khubz ini besarnya ukuran lilitnya sejengkal membulat. Sekitar berdiameter 15 cm. Orang arab makan 'ish (khubz) ini dengan pelbagai jenis makanan antaranya ful (kacang yang telah dimasak dan diadun dengan perasa-perasa), to'miah (sejenis cucur yang agak menyerupai masalodeih @ naget), (bidh) telur rebus, shibsi (kentang goreng), Bazinjan (terung), tohainah (sos), firakh masywi (ayam panggang), 'igah (telur + to'miah digoreng), kibdah (hati ayam), kuftah (daging mafrum ketul) dan bermacam-macam lagi dengan berasaskan roti (khubz) tadi. 

Alhamdulillah aku dapat menyesuaikan diri dengan suasana permakanan di luar negara. Mak risau aku tak mampu. Tapi bila aku tiba di sini dan utus surat dekat mak dengan menyatakan suasana dan pemakanan di sini yang aku dah cuba dan boleh dengan citarasa aku mak tak risau sangat lepas tu. Cuma dari berita yang aku dapat dari kak Chaq dia beritahu yang mak sering sedih bila teringatkan apa yang aku makan di luar negara... Dan paling mengharukan aku Kak bagitahu bila mak buat makanan kegemaran aku mak sering menitiskan air mata. Buktinya bila aku terima gambar dari keluarga aku lihat mata mak seolah-olah sedikit bengkak dan lebam kesan tangis seorang ibu mengenangkan anaknya di rantauan.

Ya Allah... berilah hambamu ini peluang untuk kembali menemui ibu dan membalas jasanya, walau aku tahu meski seratus tahun aku membelai ibu ia tidak sama dengan pengorbanannya mengandungkan aku, menyusukan aku, membesarkan, mentarbiyah, mendidik, membelai dan memberikan kasih sayang yang tidak terperi buat seorang anak ini. Aku terlalu rindukan Mak aku...  

Salam sayang buatmu ibuku...

16 Julai/6 J. awal 1423 | Selasa | 18.32 pm

Catatan Satu 

Nasib seorang lelaki Handsome @ kacak

Kalau kau seorang perempuan jangan baca entry aku ni. Ini hanya amaran. Aku rasa kau akan terus membaca nya juga, bukan??? Nanti kau akan diserang rasa simpati terhadap kaum lawanmu... lelaki. Itu nasihatku, bukan provokasi untuk mencari simpati dengan propaganda tanpa maksud. Apalah malangnya menjadi seorang lelaki handsome @ kacak.  

Kau seorang manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai seorang lelaki. Bertuah kau dibesarkan dalam keluarga sederhana; hasilnya kau membesar sebagai seorang yang penyabar dengan acuan tarbiyah seumpama itu. Kau pun dihantar ke sekolah rendah desamu. Selama enam tahun kau belajar. Dengan keputusan UPSR tahun itu, kau layak meneruskan pelajaran ke sekolah menengah berasrama penuh. Kau tidak sebijak mana. Dalam kelas kau mampu menyaingi pelajar-pelajar lain. Kau berusaha tekun juga lantaran kau sering terkenang akan nasib keluarga yang tidak sebaik mana. Kehidupan yang sederhana itu mendorong kau cekal untuk terus mara dalam pengajianmu. Kau akhirnya menempuh peperiksaan amat bermakna SPM dengan serba kurang. Namun rezeki Allah berpihak kepada kau, kau berjaya cemerlang.

Nasib kau bersekolah di sekolah menengah putra yang tidak campur dengan putri. Kau jumud tentang soal berkawan dengan kaum lain jenis meski dari raut wajahmu kau tergolong lelaki (remaja) yang mempunyai wajah handsome @ kacak dan pasti digilai remaja perempuan. Dalam satu program peringkat negeri yang kau sertai kau sempat berkenalan dengan ramai pelajar lain dan terutama pelajar perempuan dari sekolah- sekolah lain. Di antara ramai-ramai rakan perempuan itu kau cuma terpikat pada seorang saja yang bagi kau dia punya ciri perempuan yang menyihir citarasamu. Kau akhirnya menjalin hubungan baik dengan perempuan itu.

Dua tahun hubungan itu terjalin... kau semakin matang menjalin persahabatan dengan rakan lain jenis. Perhubungan itu kau jaga baik, barangkali sebab kau tak pernah kenal perempuan sebelum itu. Beralaskan keputusan peperiksaanmu yang baik kau mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kau nekad untuk pergi kerana itulah impian dan cara kau membuktikan kesungguhan kau di lapangan pelajaran kepada kedua ibu bapamu. Kau terputus hubungan akhirnya dengan perempuan yang pernah mencuri hati kau itu.

Namun kau menerimanya sebagai sebuah ketentuan dalam rahmat takdir yang menyimpan seribu hikmah tersirat. Semasa di luar negara kau tidak betah jatuh cinta lagi, sehinggalah suatu hari kau menemui seorang perempuan yang mendugamu untuk ujian perkenalan selama 6 purnama. Dalam tempoh 6 purnama itu kau dan dia akan menggunakan segala luang untuk saling mengenali sebelum menjalin apa-apa ikatan cinta atau yang lebih dari itu.

Kau sabar dalam percaturan 6 purnama itu. Tiba-tiba hari ini sebelum pun habis 6 purnama itu berlalu kau menerima pengakuan dari perempuan itu yang dia sudah berpunya. Dan paling kau kecewa serta sedih dia menyingkirkan kau kerana dia lebih rela melepaskan kau kepada orang lain kerana kau punya pelbagai kelebihan yang tidak setanding dengan dia. Dan paling utama sebab kau seorang lelaki handsome @ kacak!

Kalau kau seorang perempuan, pesanku jangan kau buang seorang lelaki yang menaruh harap kepadamu meskipun kau tidak cantik atau hebat seperti lelaki itu. Cuma kita tidak boleh menyalahkan takdir, kerana ia suatu perkara yang menjadi ketentuan Ilahi... samada kita menyukainya ataupun tidak ia pasti berlaku.

Catatan Dua 

Maafkan aku Melayu.com Cerpen Nostalgia 797 tidak dapat aku siapkan. Aku tidak dapat penuhi impian pembaca-pembaca Melayu.com dalam ruang sembang2 sastera & budaya. Dalam topik Cerpen: Nostalgia 797 aku benar-benar tak ada mood untuk siapkan cerpen itu. Aku benar-benar tak menemui jalan pintas untuk menyudahkan cerita. Aku buntu.

Aku memilih untuk melenyapkan watak siti tetapi dalam masa yang sama aku munculkan watak baru. Aku tak mahu watak alif serabut dalam perjuangan menuntut ilmunya disebabkan kerana cinta tapi aku tergelincir untuk menyeret khalayak mengungguli sesuatu yang lain. Aku menyelit watak walid sebagai inspirasi jihad tetapi aku terlupa protagonis utama cerpen itu adalah Alif yang sewajarnya aku tonjolkan. Terlalu banyak kelemahan cerpen Nostalgia 797... Aku memang tak ada mood nak sudahkan. Walaupun dah sampai ke bab 7 iaitu bab untuk menyudahkan versi Nostalgia 797 dalam bentuk cerpen aku masih buntu. Mungkin Nostalgia 797 lebih mesra untuk dijalin menjadi sebuah novel berbanding untuk menyudahkan ia dalam bentuk cerpen yang memeritkan metah.

Kalau berminat sila ke www.melayu.com klik sembang2 (sembang sastera & budaya) sila lihat topik cerpen Nostalgia 797. kalau kau penggeledah yang cekap akan kau temui dengan secebis petua yang aku sisipkan ini.

(ditulis pada 15 Julai 2002/5 J. awal 1423 | Isnin | 17.50 pm)

Catatan Satu

Jadi Orang Penting

Masa PERSADA lalu aku sempat jadi orang penting. Maksud aku dalam ertikata sebagai orang penting (VIP) adalah selaku Pengarah bagi program tersebut. Sebagai pengarah atau orang paling bermakna untuk kelancaran sesebuah program, aku diperlukan oleh Eksekutif yang lain untuk memastikan gerak kerja unit mereka. Namun tidaklah sehingga aku terpaksa 'turun' ke semua unit. Memadai kepada unit yang sangat-sangat berat kerja dan didapati banyak masalah timbul untuk diselesaikan. Syukur aku dapat Eksekutif yang berpengalaman dan mantap dari segi tindakan.

Sebagai Pengarah juga, bertindak sebagai penyambut dan pengiring tetamu, atau menjadi teman kepada tetamu atau penceramah/pembentang kertas kerja untuk jamuan. Terkilan juga aku bila ada bunyi-bunyi belakang mengatakan aku menggunakan kelebihan sebagai pengarah untuk 'isi perut'. 

VIP katakan? apa kelebihan VIP lagi? aku ada nampak juga VIP yang aku kenal. Sayangnya dia ni mengguna- kan kelebihan sebagai orang penting yang berjawatan untuk sering nampak sibuk sedangkan tidaklah sesibuk mana. Aku menelaah dia hanya buat-buat sibuk sedangkan tak sibuk demi untuk lari dari tugas lain. Entahlah apapun aku sempat juga jadi VIP kejap dan aku sedar sebagai VIP jangan buat-buat sibuk jika anda memang lapang. Pesan aku untuk yang dah berumah tangga jangan buat-buat sibuk.  

Catatan Dua

Aku dapat mesej dari Orang Rahsia dari handset Pakya. Mesej tuh berbunyi begini:"Akhi, cerpen 'Warkah Buat Puteriku' tersiar di Suara Permata - Surat khabar Brunei. Aku balas begini: "Kalau dah tersiar mesti dapat honorarium, atau royalti. Tapi saya tak tahu siapa yang hantar?" Mesej tu aku hantar lepas 12 jam aku tengok handset masih belum dapat laporan dihantar cuma "sedang tunggu". Kalau kau orang brunei aku cuma ada satu soalan betul ke Cerpen Warkah Buat Puteriku tu tersiar di surat khabar Brunei? atau itu cuma gimik orang rahsia untuk cari simpati aku! Apapun mesej yang aku hantar kepadanya itu sedang tunggu sehingga kini.

Catatan Tiga

Cerpen 'Warkah Buat Puteriku' aku hantar ke SK edisi Johor kalau tak silap penghujung Februari atau awal Mac 2002. Tapi cerpen itu tidak tersiar, malah maklum balas penerimaan cerpen itu dari pihak editor pun tak aku dapat. Aku menanti juga kalau-kalau ia bakal tersiar nantinya. Namun penantian hanya tinggal sebagai penantian yang menjemukan, membosankan dan mendebarkan. 

Selain 'Warkah Buat Puteriku' aku juga hantar cerpen 'Lagenda Gadis Kedai Bunga' untuk Suara Kampus edisi Perak (ATOM) tapi aku rasa cerpen tu tak akan tersiar memandangkan seorang editornya telah berseloroh yang cerpen dia akan didahulukan berbanding cerpen aku meskipun aku yang hantar lebih dulu daripadanya.

Aku juga hantar 'Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah' ke SUKEK, dan alhamdulillah tersiar di SUKEK edisi April/Mei 2002. Cerpen-cerpen aku selain dihantar ke Suara Kampus edaran Mesir ada juga yang aku hantar ke luar. Umpamanya Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah) yang aku tukar judulnya kepada Masihkah ada Sinar ke karangkraf.com. Selain itu aku juga hantar ke Melayu.com. Cerpen Masihkah ada sinar ada sambungannya iaitu Kerikil Cinta Humaira (Tapi cerita ni tak best, sebab aku tulis sambil lewa di sembang sastera dan budaya Melayu.com. 

Hari ini aku betul-betul tak sangka, baru petang tadi Akak Alin (seorang editor SUKEJ) mesej aku; katanya nak Cerpen 'warkah buat Puteriku' itu kembali untuk disiarkan dalam SUKEJ. Dia juga minta Cerpen Tahanan untuk edisi berikutnya. Cuma katanya tak pasti antara dua cerpen itu mana satu yang akan tersiar dahulu. Aku cuma bakal menanti samada tersiar atau tak! Dan penantian itu seperti penantian lalu....:(

(ditulis pada 12 Julai 2002/2 J. awal 1423 | Jumaat | 16.00 pm)

Catatan Satu

Berakhirnya PERSADA

Semalam 11 Julai 2002, telah berakhirnya PERSADA DPMT. Aku selaku pengarah menyampaikan ucapan terakhir sebagai pengarah PERSADA kali pertama dan terakhir. Perayaan Satu Dasawarsa (PERSADA) mungkin tidak berulang lagi dengan nama yang sama. Tahun depan ia tidak lagi satu dasawarsa; barangkali pasca dasawarsa. Atau barangkali selepas sepuluh tahun akan datang, sedekad lagi, atau satu dasawarsa yang akan menjelma nantinya mungkin ianya akan dirayakan sebagai perayaan dua dasawarsa. 

Aku menghantar mesej dalam ucapan terakhirku semalam dengan nada gembira bercampur hiba. Lima hari berprogram, meletihkan metah. Namun aku berdoa agar pengorbanan yang aku curahkan itu akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amalam soleh.

PERSADA menemukan semula aku dengan perancangan dan kaedah bertindak mengikut acuan prosedur dan protokol; apa yang telah lama aku tinggalkan di sek men lagi. Selain itu ia juga melatih supaya lebih berdisiplin dengan waktu dan ketangkasan gerak kerja. Ia pengalaman yang  bakal menjadi nostalgia buatku suatu hari nanti.

Kawanku Salman Al-Munziri mencuri peluang dengan mendeklamasikan dua buah puisi nukilan Akhi Masrawi (Puisi cinta buat isteriku dan Sebening cinta Kota Cairo) dan menyampaikan sebuah lagu puisi nukilannya sendiri (Gurindam Melayu Baru).

Sempena PERSADA:

7.7.2002: - Majlis perasmian. -Slot conference bersama bekas pimpinan pelajar DPMT dan bersama NGO Sister in Islam.

8.7.2002: -Pembentangan Kertas kerja Sosial oleh (ustaz Mohd Asri Mat Daud)

9.7.2002: Pembentangan Kertas Kerja Politik oleh (Ustaz Anhar Opir) dan - Interaksi Antara Benua (India, Turki, Indonesia dan Malaysia)

10.7.2002: -Slot Bincang-bincang (Pembedahan dari segi kedoktoran dan pandangan Islam) - Ceramah Perdana (Ustaz Mohd Zamri Mohd Syafiq).

11.7.2002: Pembentangan Kertas kerja Ekonomi (Saham) oleh (Ustaz Azizuddin Awang Abdul Rahman). - Slot pemeriksaan perubatan percuma. 

10 Julai 2002/29 R. akhir 1423 | Rabu | 12.30 am 

(ditulis pada 9 Julai 2002/28 R. akhir  1423 | Selasa | 8.25 am) 

Catatan Satu 

PERSADA

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA SOSIAL

Non Muslim – Luar Negara Islam Menurut Pandangan Syara’

Dari Meja: Pengarah PERSADA DPMT

PERAYAAN Satu Dasawarsa Tanta (PERSADA) memilih tiga katogeri kertas kerja yang bakal dibentangkan sepanjang PERSADA. Pada hari kedua peserta dibentangkan dengan Kertas Kerja Sosial bertajuk: Non Muslim – Luar Negara Islam Menurut pandangan Syara’ dibentangkan oleh Al-Fadhil Ustas Mohd Asri Mat Daud mahasiswa tahun pertama pengajian dirasah ulya di Pusat Pengajian Islam Dirasah Ulya Zamalek. Manakala dua lagi siri pembentangan yang akan menyusul ialah: Pembentangan kertas kerja politik dan pembentangan kertas kerja ekonomi.

Semasa sesi pembentangan kertas kerja sosial pada 8 Julai yang bermula pada jam 2.30 petang itu sidang bagai disihir dengan persoalan-persoalan berifat global. Kertas kerja terebut turut membincangkan persoalan kafir musta’min alias musta’man dan kafir ahli kitab.

Al-Fadhil Ustaz Mohd Asri di dalam muqaddimah pembentangannya menjelaskan kepentingan para azhari memahami dengan tasawwur yang jelas tentang suasana sosial dan kehidupan bermasyarakat terutama apabila berhadapan dengan pentas dunia yang bersifat global supaya mampu memahami tunas kekuatan umat Islam untuk bermuamalah dengan kafir.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa perbincangan mengenai kafir adalah perbincangan yang luas dan panjang. Apabila memperkatakan mengenai kafir ia merangkumi kafir zimmi, musta’min, harbi dan ahli kitab dalam sesi perbincangan sepatutnya. Beliau memaparkan konteks muamalah antara Umat Islam dengan kafir zimmi (ahli zimmah) secara umum di awal pembentangan, kerana perbincangan kali ini lebih tertumpu kepada kedudukan kafir musta’min (kafir yang memohon perlindungan keamanan apabila masuk ke negara Islam) dan ahli kitab.

Aspek perbincangan kafir musta’min ialah seputar pengenalan, pendapat ulama’ mengenai kedudukan kafir musta’min, permohonan keamanan, tempoh keamanan, tujuan kemasukan adalah pelancongan dan jenayah-jenayah serta undang-undang yang perlu dilaksanakan terhadap kafir musta’min.

Manakala perbincangan mengenai ahli kitab mengemukakan pandangan ulama’ di dalam penentuan siapa ahli kitab, perbezaan di antara musyrik dan kafir dan beberapa hukum berkaitan ahwal syakhsiah antara orang Islam dengan ahli kitab. Perbincangan yang menarik itu memakan masa selama lebih kurang dua jam. 

       

INTERAKSI ANTARA BENUA 

Menemukan Kesatuan Fikrah

Dari Meja: Pengarah PERSADA

SIAPA sangka, mereka ditemukan dalam sebuah majlis yang julung-julung kali diadakan; Perayaan Satu Dasawarsa (PERSADA) DPM Tanta. Seorang yang hadir dari benua keling India, dua dari rumpun melayu Indonesia dan Malaysia dan seorang lagi dari bangsa kurdis yang menetap di negara bekas Khilafah Uthmaniah, Turki sebagai panelis majlis Interaksi antara benua, sambil disaksikan oleh mahasiswa-mahasiswa Malaysia yang bermukim di Bumi Badawi, Tanta. Walaupun kesemuanya masih dalam rumpun Asia, namun menemukan pelbagai suasana latar negara yang berbeza-beza apabila memperkatakan tentang negara masing-masing. Turut hadir di dalam majlis Interaksi Benua itu ialah dua wakil Badan Pengurus PMRAM; Ustaz Nor Azman Mohammad dan Ustaz Azlan Abdul Jalil.

Menyingkap di sebalik tirai, pada mulanya Eksekutif PERSADA Tanta merancang untuk menemukan panelis dari Indonesia, Thailand, Filipina, Turki, Bangladesh dan Senegal, Amerika, China dan Jepun. Namun perancangan Allah lebih tepat berbanding perencanaan makhluk. Wakil dari Bangladesh dan Senegal menarik diri di saat akhir sementelah program hampir bermula. Manakala wakil dari Thailand dan Filipina tidak dapat dihubungi, sedang wakil Amerika, China dan Jepun dihazafkan kerana kesuntukan masa untuk mendatangkan mereka.

Majlis bermula dipengerusikan oleh Akh Hairul Nizam Mat Husin dengan kalam pembuka yang mencuit hati. Menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, seterusnya memulakan pusingan pertama dengan berta’aruf di kalangan panelis.

Panelis pertama, beliau dilahirkan di sebuah wilayah di India yang bernama Calcuta. Beliau pernah belajar di beberapa buah pusat pengajian dan universiti. Antaranya Institut Pengajian Hadith terkenal di India yang diasaskan oleh Abul Hasan Ali An-Nadawi; seorang tokoh ulama’ dan muhaddith. Selain itu beliau turut belajar di Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah. Di dalam taaruf ringkas itu beliau sambil berseloroh menanyakan siapa tidak kenal India? Sebuah negara yang terkenal bila disebut-sebut bintang-bintang Bolywood sambil disambut tertawa oleh hadirin sedangkan jauh di sudut hati beliau untuk berbangga dengan golongan terebut. 

Panelis kedua yang merupakan rakyat Turki berbangsa Kurdis pula memperkenalkan diri. Beliau kini telah menamatkan pengajiannya di Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat ‘dirasah ulya’ (ijazah lanjutan) di Kuliah Darul Ulum di Universiti Kaherah. Penampilannya yang menampakkan kematangan dengan tutur bahasanya yang menarik dan berstatus sudah berumah tangga menarik minat sidang pendengar.

Tiba giliran panelis ke tiga memperkenalkan diri. Beliau merupakan wakil dari DPC PPM Indonesia. Sedang menanti keputusan 'imtihan' peperiksaan tahun akhir di Fakulti Usuluddin di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta.

Manakala panelis terakhir, Akh Muhd Azizur Rahman Ramli merupakan wakil dari Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta mengisi sebagai panelis tuan rumah. Beliau yang juga sedang menanti keputusan imtihan tahun akhir dalam Fakulti Syariah Wal Qanun, Syu’bah Syariah Islamiah.

Pengerusi slot seterusnya meneruskan dengan pusingan kedua. Antara persoalan yang dikemukakan dalam pusingan kedua ialah seputar meminta panelis menceritakan serbaringkas tentang latar belakang negara, suasana Islam, kependudukan dan beberapa aspek umum untuk menjelaskan kepada audien tentang latar negara.

Saya tertarik apabila panelis pertama dari Benua Keling, India; memulakan kalamnya dengan menjelaskan peri penting ilmu tarikh (sejarah) dan tafsir untuk memungkinkan seseorang membuat bacaan yang tepat terhadap aspek-aspek sesebuah negara. Sejurus kemudian beliau mengutarakan latar sejarah India. Sambil berseloroh beliau mengatakan bahawa India sebuah negara yang cantik, tetapi punya manusia yang bangang kerana menganggap lembu sebagai tuhan. Pelbagai suasana di India yang mengharukan turut diceritakan. Umat Islam di India adalah golongan minoriti menyebabkan sering berlaku pergelutan dan perang keagamaan di India. Tragedi terbaru yang berlaku di India ialah apabila umat Islam dibakar oleh penganut Hindu di Masjid Barbri kerana mempertahankan Masjid tersebut apabila didakwa oleh penganut Hindu bahawa bangunan itu adalah binaan 'ma'bad' (kuil) mereka.

Manakala panelis kedua dari Turki menyeret khalayak pendengar meninjau semula kejatuhan khilafah Islam Turki Uthmaniyah pada 1924 gara-gara Mustafa Kamal Atartuk. Beliau turut memaparkan suasana kehidupan masyarakat Turki yang teralih mengunggul sekularisme dan mengintip kemodenan melalui acuan yang ditempa Atartuk. Selain itu beliau turut menceritakan perjuangan tokoh seperti Badieuzzaman Said Nursi untuk mengembalikan khilafah Islam. Suasana dewan hening seketika. Masing-masing terkesan dengan tragedi kesedihan itu. Jelasnya manusia bernama Atartuk berhutang dengan seluruh umat Islam kerananya khilafah Islam sirna.

Panelis ketiga sambil berseloroh mengatakan dia sebagai wakil dari Indonesia di mana presidennya adalah Megawati Sukarno Putri seorang wanita sedangkan beliau pernah ditanyakan oleh orang awam Mesir apakah tidak ada seorang pun lelaki di Indonesia untuk jawatan presiden republik itu. Dewan berkocak seketika. Beliau kemudian menjelaskan sejarah negara Indonesia yang pernah dijajah oleh Belanda dan perjuangan Umat Islam di Indonesia untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan. Beliau juga turut mengherdik bahawa sebenarnya umat Islam tiada kekuatan kerana tiadanya kesatuan dalam apa jua lapangan.

Panelis wakil tuan rumah, menjelaskan struktur Malaysia sebagai sebuah negara yang melalui jalan sejarah yang hampir sama, dari sudut kedatangan Islam dan keadaan umat Islam di Malaysia. Malaysia beruntung kerana ditadbir di bawah kuasa orang Islam dan hak Umat Islam terbela. Namun Islam yang ada di Malaysia malah di mana-mana juga pada masa kini bukanlah Islam yang sejati kerana tidak melaksanakan tuntutan Islam dari segenap aspek.

Apabila masuk pusingan kedua perbincangan bertambah panas. Penonton menyesak ruang dewan.... bersambung.    

 

(ditulis pada 7 Julai 2002)

Catatan Satu

Sisipan Wahyu

Dipetik dari Surah An-Nuh

1. Sesungguhnya kami mengutuskan Nuh kepada kaumnya, (kami berfirman): Engkau berilah peringatan kepada kaummu sebelum tiba kepada mereka seksa yang pedih.

2. Berkata Nuh: Hai kaumku! Sesungguhnya aku memberi peringatan yang nyata kepadamu.

3. Iaitu sembahlah Allah, takwalah kepadanya dan ikutilah aku.

4. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memberikan tempoh kepadamu sehingga sampai waktu yang ditentukan.  Benarlah janji Allah bila ia datang tidak dapat diundurkan jika kamu mengetahui.

5. Berkata Nuh: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku pada malam dan siang.

6. Maka seruanku tiada menambah bilangan mereka melainkan mereka lari daripadaku.

7. Sesungguhnya tiap kali kuseru mereka, supaya engkau ampuni dosa mereka, mereka menutup telinga mereka dengan anak jari, dan mereka menutup kepala mereka dengan kain sedang mereka berkekalan dalam kekafiran dan kesombongan.

8. Kemudian berkata Nuh: Kuseru mereka dengan berterang-terangan (nyata).

9. Kemudian kukeraskan perkataanku kepada mereka dan ada pula kulembutkan selembut-lembutnya. 

10. Lalu aku berkata: Mintalah pengampunan Tuhanmu, sesungguhnya Dia maha pengampun.

11. Nescaya dia akan mengirimkan hujan yang lebat kepadamu.

12. Dan menolong kamu dengan harta benda dan anak-anak dan mengadakan beberapa kebun untukmu dan mengalirkan beberapa sungai.

13. Mengapakah kamu tidak memikirkan kebesaran Allah?

14. Sesungguhnya dia menjadikan kamu bertingkat- tingkat.

15. Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah menjadikan tujuh langit bertingkat-tingkat.

16.  Dan mengadakan di dalam bulan bercahaya dan mengadakan matahari sebagai pelita.

17. Allah menumbuhkan bagimu dari bumi tumbuh-tumbuhan.

18. Kemudian mengembalikan kamu kepadanya dan mengeluarkan kamu sebenar-benar keluar.

19. Allah menjadikan bumi untukmu sebagai hamparan.

20. Supaya kamu di sana melalui jalan-jalan yang luas.

21. Berkata Nuh: Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka menderhakaiku dan mengikut orang yang harta dan anaknya tiada menambahinya, kecuali kerugian.

22. Mereka menipu dengan tipuan yang sangat besar.

23. Mereka berkata: Janganlah kamu tinggalkan tuhan-tuhanmu dan jangan pula kamu tinggalkan wad, suwa', yaghuth, ya'uq dan Nasr (semuanya nama berhala).

24. Sesungguhnya mereka itu telah menyesatkan kebanyakan manusia, dan janganlah engkau tambahi orang-orang yang aniayai kecuali kesesatan.

25. Oleh kerana kesalahan mereka mereka ditenggelamkan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka, maka mereka tiada memperolehi pembantu-pembantu kecuali Allah.

26. Berkata Nuh: Ya Tuhanku! Janganlah engkau tinggalkan seorang pun dari kalangan orang-orang kafir itu.

27. Sesungguhnya jika engkau tinggalkan mereka, nescaya mereka akan sesatkan hamba-hambamu dan mereka tidak akan melahirkan anak-anak kecuali anak yang durhaka lagi kafir.

28. Ya Tuhanku ampunilah aku dan kedua ibu bapaku, dan orang-orang mukmin yang masuk ke rumahku dan bagi orang mukmin lelaki dan perempuan . Dan janganlah engkau tambahi orang-orang yang aniaya, kecuali kebinasaan.

Ayat Surah An-Nuh: 28 Ayat Makkiyah.

Renungan Wahyu

Memilih Surah An-Nuh sebagai renungan. Moga intisari terjemahan ayat-ayat dari surah An-Nuh itu bakal memberikan kebaikan untuk golongan yang beriman.

Allah menceritakan perihal Nabi Allah Nuh as tatkalan baginda menyeru kaumnya supaya beriman kepada Allah dalam beberapa situasi. Kadangkala diserunya secara sembunyi-sembunyi, terang-terang dan sebagainya. Akan tetapi malangnya seruan baginda tidak diterima kaumnya kecuali sedikit. Malah mereka melarikan diri daripada seruan baginda.

Nabi Nuh adalah salah seorang Nabi yang panjang umurnya. Jelasnya perjuangan Nabi Allah Nuh itu diceritakan semula kepada Baginda Nabi Muhammah SAW sebagai motivasi Allah kepada Rasullallah. Motivasi ini menjadi pembimbing buat para dai'e kini. Jalan dakwah itu sebuah perjuangan yang perlukan kesabaran, pengorbanan, kecekalan, kekuatan, keikhlasan dan sebagainya.

Setiap kamu adalah pendakwah! Ajaklah kepada kebaikan (Ma'ruf) dan tegahlah kemungkaran. Nabi bersabda: "Barangsiapa melihat akan kemungkaran, hendaklah diubah dengan dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu ubahlah dengan lisan (percakapan), jika tidak mampu ubahlah dengan merasa benci di dalam hati, maka merasa benci itulah selemah-lemah iman."

Motivasi dari kisah Dakwah Nabi Allah Nuh adalah sisipan kisah seorang utusan Allah. Kita sebagai muslimin juga merupakan utusan Allah... maka kita juga memikul amanah yang sama. Amanah itu perlu dilunaskan. Ajaklah saudara-saudara kita semua agar kembali kepada Islam dengan sebenar-benarnya.

Catatan Dua 

Thanks Rudy for your visit this site. cakap omputih! (Aku bukan reti sangat bahasa omputih) Rudy tanya pasal kisah ayah aku tu... Walaupun tak dapat aku nak tulis semua aku ceritakan juga sebagai memenuhi permintaan seorang jurnalis antara yang aku kagumi as like as Rudy. But this not only for Rudy, this story for me too.

Nostalgia: Air mataku bisa menitis

Hampir dua bulan ayah tidak berkerja tetap sekembalinya dari menjadi pengurus di restauran pakcik di Kuala Kedah. Aku jadi sedikit renggang dengan ayah selepas itu walaupun aku sedar itu tidak sepatutnya. Aku cuma jadi bertambah segan dengan ayah. Segan untuk bertanya dia tentang kerja apalagi untuk meminta wang saku dan yuran asrama. Aku tahu ayah tak ada duit. Duit terakhir dari gaji ayah uruskan restauran aku tak pasti samada ayah ambil atau tidak, sebab ayah balik ke Pulau pun secara mengejut.

Yuran asramaku bertunggak dua bulan. Duit untuk belanja saku pun kering. Mujur aku dapat duit dari Mak Teh juga sikit. Itu yang membantu aku untuk tambang dan belanja harian. Aku cuba jimat sedaya boleh. Waktu rehat aku tidak ke kantin. Aku banyak habiskan masa waktu itu dengan berada dalam kelas atau ke surau. Baca buku kalau rajin, tak pun lepak-lepak sambil sembang- sembang atau ke surau buat sunat Dhuha. 

Bila aku telefon ke rumah mak bagi tahu ayah tak kerja. Aku jadi tak sanggup untuk minta duit. Aku faham situasi. Bila cuti sekolah bermula... Aku pulang dengan wang tambang cukup-cukup. Bila sampai di rumah ayah sedang tidur. Tak sampai hati aku nak kejutkan ayah. Aku lihat wajah mak. Aku membaca apa yang berselirat dalam anubari seorang ibu. Seminggu pertama di rumah aku tolong mak sediakan pasembor dan bihun sup (buat bungkus letakkan di kedai jual kueh-mueh). Sehari dapatlah untuk beli lauk. Aku tengok ayah pasif. Aku rasa dia sedang berfikir, mencari idea dan memerah keupayaan untuk mendapatkan sesuatu untuk keluarga. Dalam tempoh itu juga keluarga pakcik dan makcik tak pernah call dan ayah pun tak call mereka.

Akhirnya Allah buka pintu rezeki buat keluarga aku. Motor ayah yang masuk bengkel dah siap. Berkilat-kilat, macam baru walaupun model lama (Honda C-70). Dengan motor tu ayah dapat idea. Ayah mula mengetuk paku di kayu-kayu yang tersadai di bawah rumah. Ayah jadikan kayu-kayu itu sebagai sebuah bekas, kamudian ayah cuba-cuba serasikan di motornya. Rupanya dengan bermodal seratus ringgit lebih kurang ayah nak memulakan perniagaan nasi bungkus esoknya. Aku berjanji untuk tolong ayah, Ayah keluar pukul 6.30 Pagi sedang aku masa tu baru bangun untuk Subuh. Mak dan ayah sedang sibuk-sibuk memasak waktu aku bangun. Bila aku selesai solat... Ayah dah lama pergi. Aku capai basikal mak untuk ke tempat niaga ayah. Tapi belum sempat pergi ayah pulang lebih kurang hampir pukul lapan pagi. Ayah tersenyum... Alhamdulillah semua habis. Esoknya perniagaan ayah bertambah... Dari periuk kecil menjadi besar. Dari secupak menjadi bercupak-cupak. Dari modal seratus sehingga beratus-ratus. Kereta sorong ayah masa berniaga di Medan Selera Sungai, sebelum terima pelawaan pakcik urus restauran ayah guna balik, sebelum ayah tempah sebuah gerai bergerak yang agak cantik. 

Perniagaan bertambah baik. Untuk menyara aku, kakak, dan adik-adik yang seramai 4 lagi memadai. Hampir setahun lepas tu ayah beli van setelah buat loan dari Finance. Kata ayah guna untuk berniaga. Semua ahli keluarga sokong tindakan ayah. Rezeki ayah rupanya di kampung sendiri! Sekarang kehidupan keluarga agak baik. Ekonomi pun agak kukuh. Seorang anak perempuan ayah (kakak aku) sudah berkahwin, Seorang anak lelakinya sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Seorang di Institut Latihan Perindustrian, Seorang di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar (SPM), Seorang di Sek Men Keb Tunku Putra (PMR) dan seorang lagi yang bongsu di Sek Keb Ulu Melaka. Aku amat berharap segala curahan wang, kasih sayang dan pengorbanan ayah selama ini akan dapat aku balas suatu hari nanti. Tak lupa buat Mak juga.... Teringat bila nak balik semula ke sekolah. Ayah hantar aku... masa tuh baru tak lebih seminggu ayah mula berniaga dan dapat rezeki dari ambil masak untuk pelajar dari Pahang, ayah hulur RM 200. "Duit asrama dan belanja" kata ayah. Aku terharu... aku peluk ayah erat dan kucup tangan ayah sebelum berlepas ke Kuala Perlis.

Catatan Tiga

Hari ini PERSADA bermula. Sempat lagi update Jurnal ni. nanti aku nak rakamkan PERSADA insyaALlah. Tapi tak janji! Doakan program aku berjaya!

 

4 Julai 2002 / 23 Rabiul akhir | Rabu | 22.35 pm

Catatan Satu

Kenduri Ustaz Asri + Ustazah Radin Seri Nabahah

Kami diundang ke Mansurah. Sebuah muhafazah (negeri/ wilayah) bernama Daqhiliyah. Jika sesiapa yang pernah membaca sebuah antologi cerpen hasil susunan Hj Mohd Nazmi Yaakub pasti pernah mendengar nama Daqhiliyah. Ini kerana salah seorang penulis cerpen di dalam antologi Pijar Kinanah itu merupakan mahasiswi Daqhiliyah. Kalau tak silap aku nama dia Nurul Subhiyyah. Mansurah adalah ibu negeri Daqhiliyah. Terletak kira-kira hampir satu jam perjalanan dari Tanta (Gharbiyah), tempat aku.

Dulu masa mula menjejak kaki ke Tanta, Us Asri adalah Pengerusi DPM sesi 99/2000. Hubungan aku dengan Us Asri kira rapat juga. Di muhafazah pelajar beruntung dapat berkawan dengan pelajar dari negeri-negeri lain berbanding zuruf di Kaherah (induk). Namun tak dinafikan ada juga pelajar-pelajar Kaherah yang mampu berkawan dengan pelajar negeri berbeza. Us Asri sekarang berada dalam pengajian dirasah ulya (Ijazah lanjutan, (Master) di Pusat Pengajian Dirasah Ulya Zamalek. 

Bertolak dari Tanta kira-kira jam 12.30 tengahari  dan sampai di Talkha, Mansurah sekitar jam 1.20 petang. Terus ke Markaz banin di utubis dauli. Kemudian solat zuhur berjamaah di rumah pelajar di syaqah di bawah markaz. Markaz banin fu' kholis (tingkat terakhir). Lepas solat makan. Blurk... nasi minyak + kari daging + acar timun + air karkadih + cenderahati + bunga telur (tapi aku tak dapat. Nak minta pun takut nanti tak cukup... heheh :)

Aku pernah ke Mansurah beberapa kali. Kali pertama pergi untuk ziarah G, sebab masa tuh dapat berita ayah dia meninggal dunia di Mekah masa buat haji tahun 2000. First time pergi hampir sesat. Kali kedua elepas tu pergi untuk hadiri undangan bentang kertas kerja untuk program KOFI 2002. Bayangkan hampir dua tahun aku tak menjengah Mansurah. tapi alhamdulillah... sebab pergi kali kedua untuk bentang kertas kerja tu nizam temankan. Jadi taklah sesat sebab tempat nak dituju nizam arif. Kali ke tiga aku dijemput untuk kelas intensif untuk madah Qadaya Muasarah tahun tiga banat. Itu paling terbaru sebelum periksa fasa lepas. Untung aku ingat markaz banat kat utubis gadid tu... jadi itulah tempat yang aku janji dengan masulah untuk pergi. Dan dia pun nak tunggu aku di sana juga. Aku pergi dengan Hairul. Alhamdulillah sampai juga akhirnya ke rumah untuk adakan kelas intensif tu.

Hari ni aku pergi dengan kawan-kawan lain termasuk ahli bait untuk hadiri kenduri Us Asri dan Ustz Radin. Aku memang tak tahu markaz banin. Aku cuma tahu markaz banat. Mujurlah ada kawan yang tahu. Sampai juga kami akhirnya. Tapi malangnya selepas makan... aku, own, pakya, us hafiz, us aris, dan hasrul nak ke maktabah Darul Wafa'. Tapi salah seorang pun tak ingat jalan ke maktabah tu. Own pernah pergi... tapi dia pun lupa. Aku memang tak pernah sampai. Sebab kami 6 orang maka terpaksa ambil dua teksi. Kami tahan teksi dan tanya "Maktabah wafa'?" Driver teksi geleng...katanya dia tak tahu. Ishk... patut ke driver teksi tak tahu? Aku dan kawan-kawan jadi pelik. Tahan lagi teksi... turut tak tahu juga. Bila tahan teksi seterusnya... dia kata dia tahu Darul Wafa'. Alhamdulillah... teksi membawa kami membelah damai kota Mansurah dengan angin suam-suam akhir musim bunga. Bila sampai... kami pun turun. Kami tak nampak pun kelibat maktabah. Biasanya maktabah (kedai buku) akan nampak buku-buku disusun supaya menjadi tarikan pembeli. Bila tanya beberapa orang di situ, mereka menunjuk ke arah sebuah bangunan. Rupanya bangunan itu bertulis [Darul Wafa', Syarikat lil musahamah Misriyah]... Aduh! Syarikat saham rupanya...bukan maktabah. Kami sesat.

Lepas fikir-fikir tahan teksi lagi dan driver bawa ke jami'ah. Kawasan yang kononnya ada maktabah wafa' di situ. Bila sampai... Aku, us aris dan hasrul kena manapak untuk cari maktabah. Sedang tengah cari-cari... Pakya datang kata "dah la jum ikut aku...lewat dah kita pi hadiqah". Jum.... Konklusinya maktabah wafa' tak jumpa walau setelah dua kali sesat.

Akhirnya ke taman. Jumpa dengan wali, us Din dan ... . Mereka sedang tunggu kami. Rest di hadiqah sambil pekena ais krim tengok Nil, budak-budak arab, dan keindahan ciptaan Allah...kemudian aku dan wali bertolak balik. Yang baki katanya nak ke Maktabah Iman pula... Aku rasa dan harap diorang tak sesat!

Catatan Dua

Winme Buat Hal lagi!

Pagi tadi Winme PC maszuan buat hal lagi. Sebelum ni Winme dah banyak kali buat hal. Aku pun dah pening dengan winme ni...tapi guna winme lebih baik (bagi aku) berbanding perisian lain. Kalau orang tanya aku samada winme atau windows xp aku pilih winme lagi atau kalau tak ada winme aku pilih windows 98. Ini sebab ringan dan sedap. Pc rumah aku setup dua sekali (winme + windows xp) Tapi kami kerap guna winme. Windows xp berat. Tak baloi dengan pc ni. Tapi kalau pakai pentium 4 dan memori serta kelengkap power eloklah pakai windows xp. Tapi bagi aku... ia tetap bosan walaupun paparan dia cantik. Aku suka pc yang cepat dan ringan... . Kawan aku pakai Windows xp tapi bengang sebab perisian xp banyak kelemahan walaupun sebenarnya terelit juga kebaikan dan kelebihan yang tersendiri.

Anuar tolong baiki. Rupanya ada masalah kat system. Aku mulanya dan check... tapi star up tak ada dan terpaksa bawak ke rumah Anuar. Mujur masalah sikit jer bila dan defrag dan baiki sikit-sikit ok la. Aku rasa sebab kena serangan virus kot dari disket. Tapi tak pasti sebab mungkin masalah tu muncul dari kesilapan 'mengoceh' file system.

Mujur dah ok... aku pun boleh tulis entry ni. Alhamdulillah pc masih ok sebelum tuannya jual atau bawa balik ke Malaysia.

Catatan Tiga

Iklan

Aku nak iklankan sebuah URL Webzine kepada sesiapa yang baca Jurnal aku ni. Kalau baca jangan ketinggalan untuk jengah ke sebuah webzine. URL dia ialah http://muzakarah.8m.com atau www.geocities.com/muzakarah2002. Web tersebut dengan nama JURNAL Muzakarah Online. Terdapat rencana-rencana dan pelbagai bahan ilmiah boleh dibaca di sana. Selain itu terdapat juga Cerpen dan puisi bagi yang meminati karya kreatif. 

Sebuah webzine 2 kali sebulan JURNAL Muzakarah Online adalah pesaing kepada webzine-webzine lain seperti suaraanum.com, idealisme mahasiswa dan banyak lagi. Edisi pertama bermula 1-15 Julai 2002.  Jangan lepaskan peluang untuk ke sana. Ingat!!! 

http://muzakarah.8m.com 

Berilah sokongan kepada JURNAL Muzakarah Online!

 

3 Julai 2002 | Selasa | 9.30 am

Catatan Satu

Ditulis pada 2 Julai

PERSADA

Julai yang meletihkan. Kerja...kerja...kerja! Program... program... program! Seolah waktu cuti tak terasa. Malam ni mesyuarat fasa ketiga untuk persediaan PERSADA akan buat di rumah Pengarah. Tadi dah beli ayam dua ekor... untuk makan malam nanti. Harap semua Eksekutif hadir sebab mesyuarat malam ni adalah meyuarat penting untuk menerima semua laporan gerak kerja setiap unit. Kalau ada yang ponteng juga, memang penat lagilah terpaksa mutabaah (jumpa) balik. Best ke jadi pengarah? 

Lepas fasa tiga ni... mungkin akan kena lebih beri tumpuan lagi. Persiapan dewan untuk Bazar dan program dewan kena pasti siap. Itu tugas Halim sebagai Eksekutif persiapan dan juga mungkin dibantu oleh AJK bazar di bawah pimpinan Naib Timbalan Pengarah 1 merangkap Ketua Eksekutif bazar iaitu Azril hafidz. Kerja penyambungan wayar dan berkaitan teknikel melibatkan Shafie dan AJKnya kena pasti juga. Kalau itu semua tak setle alamatnya punah belaka. 

Setiausaha aku dah maklumkan supaya siapkan urusan surat menyurat dan minit mesyuarat. Harap dia tak leka dan mampu laksanakan tugas tu dengan baik. Memang tugas kesetiausahaan meletihkan. Aku pun pernah jadi setiausaha untuk beberapa waktu dulu. Masa di sek men aku pernah terlibat dalam jawatan setiausaha ni dalam Kelab Kembara & Rekreasi, kemudian timbalan setiausaha Badan Pengawas Sekolah dan kemudiannya pangku tugas setiusaha yang masa tu Nizar Zaini pegang. Kemudian kena jadi setiusaha untuk Majlis Perwakilan Pelajar. Fuh... letih tugas setiausaha ni! Masa di Mesir pun jadi setiausaha juga untuk beberapa program dan unit. Antaranya untuk USPB Tanta 2001, dan beberapa program kecil lain. Unit pulak pernah juga aku jadi setiusaha UPP sesi 2000/01, dan UTTK 2001/02. 

Catatan Dua

Nostalgia : Ia berlalu, tetapi masih di ingatan

Keluarga aku nyaris berpindah ke Kuala Kedah. Namun takdir mengatasi segalanya. Sebelum ayah beralih angin dalam perniagaan pasembor + bihun sup + mee sup + sup daging di medan selera kepada menyahut pelawaan Pakcik dan Makcik menguruskan retaurannya di Kualan Kedah hidup kami memang sempit. Ayah cuma ada sebuah motosikal Honda cup-70 untuk berulang alik ke tapak niaga saban hari. Kadang-kadang motor ayah tak hidup. Kami adik-beradik tolong tolakkan supaya boleh hidup. Mujurlah kalau memang tak hidup dari rumah... kalau motor tu mati di perjalanan tentu ayah tolak sendiri. 

Susah sebenarnya jadi orang susah. Tapi bukan senang nak jadi orang senang. Nak senang kena susah. Kecekalan ayah membearkan kami adik-beradik aku amat kagumi. Bila ayah suarakan hasrat dia pada mak untuk pergi sahut pelawaan pakcik untuk mengurus retaurannya... mak cuma tidak memberikan sebarang reaksi membantah. Tetapi mak tak bersungguh menyokong. Mak masak benar sikap ayah. Akhirnya ayah pergi juga ke Kuala Kedah. Pakcik pelawa ayah sebab pakcik dapat tender kantin asrama. Jadi pakcik tak cukup tangan nak kerjakan restauran. 

Masa tu aku masih form 4 di sek men. Hubungan kekeluargaan antara kami dengan keluarga pakcik memang baik tetapi tidak mesra sangat. Mungkin sebab kami keluarga sederhana dan tidak berada berbanding kehidupan pakcik sekeluarga yang agak mewah. Ayah bertolak ke Kuala Kedah...itu aku dapat tahu daripada mak masa telefon rumah. Masa cuti sekolah aku pulang bercuti ke Kuala Kedah. Aku ke tempat yang dimaksudkan. Ayah tiada... sementara menanti ayah, seorang lelaki buncit masuk ke dalam ruang restauran yang ditutup tanpa niaga hari tu. Kebetulan hari jumaat dan ayah keluar entah ke mana. Lelaki tu masuk ke dalam tanpa menghiraukan aku yang tercegat di depan restauran tu. Aku jadi serba salah.... siapa lelaki tu. Husnu dzan aku anggap mungkin dia pekerja restauran. Telahan aku tepat... nama dia Abang Nol, itu yang diberitahu pada aku selepas ayah datang dan kami bertaaruf. Abang Nol bekerja di situ sebagai tukang masak. Selain Abang Nol; Kak Na, dan seorang pekerja perempuan, Ani kalau tak salah aku juga bekerja di situ. 

Hari demi hari ayah uruskan restauran dengan baik. Pakcik dengan tender kantin asrama, tapi masih kerap ke restauran dan bising-bising. Rupanya bila tinggal sekali barulah kita dapat kenal perangai seseorang. Pak cik panas baran juga orangnya. Hayat ayah sebagai pengurus restauran tu tak lama. Walaupun pada bulan pertama khabar ayah terima gaji melebihi RM 2000 dan membolehkan ayah bayar hutangnya pada pakcik sebanyak RM 1000. Hutang ayah kat pakcik masa tu RM 2000. Bayar separuh... separuh lagi untuk bulan depan. Gaji ayah rupanya tak tetap. Bulan berikutnya perniagaan agak lembab...ayah cuma terima RM 1800. Itu yang aku tahu... Banyak perubahan pada diri ayah semenjak dia bekerja di Kuala Kedah. Seminggu sekali ayah akan pulang ke rumah bertemu mak dan adik-adik. Aku tak tahu... betapa rindunya mak dan adik-adik pada ayah. Motor ayah masuk workshop. Semuanya dibuat lain. Masuk bulan ketiga aku sudah nampak tanda-tanda... yang kami sekeluarga akan berpindah ke Kuala Kedah. Ayah dan cari rumah tak jauh dari restauran. Tapi... entah macam mana tiba-tiba waktu aku telefon ke rumah kak cakap keluarga tak jadi pindah. Aku tertanya-tanya.

Rupanya ayah nak berhenti. Ayah nak pulang semula ke kampung laman. Ayah dah tak tahan bekerja di Kuala Kedah. Ayah dah tak minat nak uruskan restauran. Aku pulang ke Kuala Kedah untuk dapatkan penjelasan. Malangnya bila tiba di restauran... kelibat ayah tak kelihatan. Public telefon dekat pejabat Pos Kuala Kedah tu aku hampiri untuk telefon keluarga. 

Pakcik datang ke restauran. Suasana lain sangat. Pakcik nampak murung. Aku tak minat nak tegur. Bila pakcik perasan aku ada dalam ruang restauran pakcik cuba menegur.... Tapi kata-kata pakcik mengguris perasaan aku. Kau nak tahu apa pakcik cakap kat aku???

"Hah! dah tempah tiket? Bila nak tempah tiket balik ke Pulau?" Aku cuma terdiam. Meskipun ayah dah berhenti dan pulang ke kampung... aku ke Kuala Kedah bukan untuk mengikut jejak ayah (pulang ke Pulau). Sedih aku. Malamnya aku cuba telefon rumah. Mak cakap ayah ada di rumah. Aku tahu... ayah lagi hadapi banyak masalah. Kalau tak masakan ayah berhenti??? Esoknya aku bagi tahu Makcik, pekerja-pekerja restauran dan sepupu aku yang aku dah nak pulang. Sepatutnya aku cuti lagi sehari... tapi sengaja aku 'lari' awal ke Jitra, rumah Mak Teh, adik ayah. Di sana ada ketenangan....:)

 

 


Asal

Terminal Terakhir...

Berminat untuk hubungi aku sila emel kepada: [email protected]

© Hak Cipta Dipelihara - Laman SENTUHAN PUJANGGA  1980-2002

 

Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws