Arkib Disember 2003

PUJANGGA Online - JURNALJALAN HIDUP

 

11 Disember 2003 | Khamis | 13.00 pm

Catatan 262

Catatan Hujung

Jalan Hidup di Ardhil kinanah Sebelum Kembali ke Tanahair

Oleh: Akhi Masrawi

Sememangnya empat tahun dalam safar ilmi jika ditinjau semula terasa terlalu singkat. Terasa bagai sekelip mata. Kehidupan manusia juga begitulah halnya. Kita dilahirkan dan diazan-iqamatkan kemudian apabila mati datang menjemput kita disolatkan. Beza masa antara azan/iqamat dan solat sangatlah sedikit. Itulah tasybih hayat kehidupan kita.

Pada saya, ketibaan di bumi warisan anbiyak ini disambut dengan rasa berkobar-kobar. Semangat menuntut ilmu pada waktu sangat menyinar. Bagai purnama yang menerangi kegelapan malam disokong bintang-bintang yang berkerdipan. Jauh di dada langit, tetapi cahayanya tetap menyala meski tidak seterang mentari yang turut memancarkan kepanasan. Walau sehebat mana mentari ia pasti menghilang dan malam akan berulit dengan cahaya bulan. Bukankah cahaya bulan itu juga dari pancaran matahari? Ya... sememangnya sang suria itulah yang memancar. Justeru sehingga kini dan sampai bila-bila manusia tak akan mampu menandingi kehebatan Allah sebagai pencipta, Tuhan yang mana Esa.

Saya menjejakkan kaki ke Mator Jadid (lapangan terbang baru) antarabangsa Cairo, pada pagi 11 Oktober 1999. InsyaAllah moga dengan izin Tuhan, saya akan kembali ke Malaysia pada 17 Disember 2003 dan tiba di Malaysia pada 18 Disember 2003. Ramai yang bertanya "adakah kepulangan ini kepulangan yang tak akan menyebabkan saya kembali ke Mesir." Walaupun saya sudah menamatkan pengajian sarjana muda Syariah Islamiah di Universiti tertua di dunia itu, tetapi jiwa saya tak mampu membohongi diri sendiri bahawa saya tetap menyayangi Mesir sebagai negara kedua saya.

Tanahnya yang subur, ulamaknya yang ramai, athar anbiyak, auliyak dan ulamak yang masih kekal, gedung ilmu yang menjadi kiblat keilmuan dunia, muamalahnya yang mujamalah dan tentunya memori-memori yang dilalui adalah teman sepanjang hidup adalah tiket paling berharga untuk menaiki pesawat kehidupan seterusnya. Ia telah mematangkan insan yang menempuhinya. Saya bukan hendak menyembunyikan keresahan warga asing di bumi kontang ini. Tetapi biarlah keresahan, kejemuan, kehampaan, kegeraman, dan segala macam rasa tidak puas hati itu mentarbiyah kita menjadi manusia yang mampu berfikir dan bertindak dengan melalui jalan yang terbaik. Kadang-kadang bila difikirkan itulah perkara-perkara yang menjadi 'guru' kepada seorang pemikir.

LAMBAIAN MADINATUL AHLAM

Sabtu lepas 6 Disember saya telah dijemput ke bumi Iskandariah, di tepian laut Meditrenian untuk mengajar kelas bimbingan kitab Usul Fiqh kepada para mahasiswi Al-azhar tahun 4 Kuliah Usuluddin dan Kuliah Lughah Arabiah selama tiga hari dan mengajar kitab Qawaid Fiqhiyyah kepada para mahasiswi tahun 4 kuliah Syariah Islamiah pada dua hari selepas itu menyambung apa yang dibentangkan oleh Azril. Alhamdulillah kelas selesai pada 9 Disember.

Kehadiran saya ke Iskandariah kali ini rasanya sebagai lawatan terakhir sebelum pulang. Iskandariah memberikan ketenangan. Khususnya kepada anak pulau seperti saya. Sentiasa dambakan bisikan ombak, tenunan badai dan bualan bayu. Sesekali ke tepian laut Mandara mengingatkan saya kepada gigi-gigi air di Pulang Langkawi. Selain saya dan Azril, Bait Muhajirin di Asafira turut disendatkan dengan kehadiran tiga lagi tenaga kelas bimbingan yang lain. Wan Haslan mengajar Tauhid, tiga Usuluddin. Hasrul Nizam mengajar Manhaj Dakwah 3 Syariah manakala Zubir mengajar Nahu dan Sorof 2 Syariah. Lima orang kami tidak menyepikan. Suasana sesekali bingar dengan gelak tawa dan gurau senda. Mujurlah kami masing-masing sudah pun mengenali. Malam pertama kehadiran kami ke sana dikunjungi Anuar dan dua junior baru yang datang dengan tiket STAM. Khabarnya dua junor baru itu juga mengikut jejak Anuar di Fakulti Usuluddin Al-Azhar, Kaherah. InsyaAllah, Anuar juga khirrij tahun ini.

Iskandariah bukanlah muhafazah yang asing kepada saya. Tambahan pula saya telah beberapa kali berkunjung ke sana sebelum ini. Namun kunjungan untuk memenuhi jemputan DPMI cuma dua kali pertama sewaktu menjadi pendiskusi risalah "al-Qaumiyah" untuk program NPD dan kedua sebagai tenaga kelas bimbingan. Kunjungan lain cuma sekadar ziarah dan urusan peribadi. Paling awal ke Iskandariah pada tahun 2000 selepas peperiksaan fasal Saifi (musim panas) bersama kawan-kawan tahun pertama menziarahi makam-makam anbiyak, Sahabat dan auliyak. Antara yang sempat kami lawati ialah Makan Nabi Allah Danial AS yang terletak di Masjil Nabi Danial AS berhampiran Mahattah Misr. Bangunan Stesen keretapi Mahattah Misr mengingatkan saya kepada senibina barat yang ada bau penjajahan. Di makam Nabi Allah Danial AS lah saya belajar satu lagi perkataan yang menjadi istilah berbeza iaitu perkataan "pukul" yang dituturkan oleh kawan saya, Aziru dari Kelantan. Mujurlah saya tidak sampai hati hendak memukul makam Nabi kerana salah faham maksud perkataan pukul itu ialah ambil gambar.

Selain makam Nabi Danial AS kami juga berkunjung ke Masjid Abul Abbas, Makam Abu Darda' RA, Qal'ah, Underwaterworld, dan bersantai di pantai Asofirah @ Mandara (saya pun sudah tak begitu pasti). Selain kunjungan itu, kunjungan lain saya ke Alex menghantar saya sebagai tetamu ke Maktabah Suzan Mubarak, Iskandariah yang dikhabarkan sebagai sebuah perpustakaan yang terbaik, Hadiqah Haiwan (Zoo) dan beberapa tempat lagi yang saya sendiri sudah tidak berapa ingat. Cuma kunjungan terakhir baru-baru ini, kebetulan mengajar di Mandara... terlihat Montaza sewaktu bersiar-siar di Laut Mandara dan melalui jalan yang membelah antara Montaza dan Hotel Sheraton. Seorang pakcik tua yang bersolat Asar di atas batu mengingatkan saya kepada pengalaman bersolat di atas batu sewaktu mengikuti XPDC Hutan Belum sewaktu tingakatan lima di ALMAAD dahulu.

Memang tidak dinafikan, kerana masa itu berlalu ia tidak menanti kita. Berpisah dengan Azril, Wan dan Hasrul ketika melintasi Montaza Mall bangunan pasaraya Fathalla yang berwarna kemerahan (sudah membuka cawangan di Tanta) menuju ke Markaz Banat di Akhir Mauqif Mandara. Saya perhatikan jejambat keretapi yang membentu nafaq (terowong) dibawahnya sebagai laluan kenderaan dan manusia dengan pandangan yang sayu. Dua ekor singa batu di pintu masuk nafaq itu seakan mengerti bisikan hati saya. Sampai di Markaz seperti biasa saya meneruskan sesi kelas bimbingan. Kehadiran pada kesemua hari mengajar amat memberansangkan. Kesemuanya amat intimak dan memberikan komitmen yang tinggi. Puas rasanya mengajar di Iskandariah berbanding di tempat lain.

Malam 9 Disember itu, sebelum pulang sempat berkunjung memenuhi jemputan Us Bukhari. Dihidangkan mee kuah yang sedap berbilas air sirap. Turun dari rumahnya jam sudah pukul 8.30 malam. Bateri hp dah habis, terpaksa offkan hp. Lagipun kerja dah selesai. Berpisah dengan Zubir yang masih berbaki sehari mengajar sebelum insyaAllah berjumpa semula pada 17 nanti kerana kami ambil tiket pada tarikh yang sama untuk pulang ke Malaysia. Zubir sudah sambung pengajian Master di Al-Azhar dalam bidang Dakwah. Saya pun masih tak mampu nak jawab soalan-soalan berkaitan pengajian Master. Cuma apa yang boleh saya kata, saya akan sambung master, InsyaAllah.

Saya dan Azril naik tramco ke Mauqif Asofira, kemudian menaiki satu lagi tramco ke Mauqif Jadid untuk mengambil puojoet ke Tanta. Dalam tramco sebelum bertolak Azril sempat bertanya, "mana rumah maksu anta?" saya pun menunjukkan ke arah cahaya bangunan mustasyfa al-Ahram. Dalam hati terungkap kalimah "Terima kasih maksu atas segalanya. Lauk ketam dan sotong malam itu semua kawan-kawan saya puji. Maksu telah menolong mimpi saya menjadi benar." Kesemua kenangan di Iskandariah adalah cerita suka duka, akan saya rangkul bawa pulang ke Malaysia sebagai tinta yang akan melakarkan dakwah dan perjuangan.

Betullah pada kalimah "Adakalanya kita perlu berkorban..." Pertemuan dan perpisahan itu bukankah ditentukan Tuhan?

...bersambung (Siri 2)

Kata-kata Pujangga: "Hanya mereka yang bersabar dengan ujian akan ditetapkan iman."


 

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan

 

Tarikh pada catatan ialah tarikh saya menulis!

23 November 2003 | Ahad | 23.40 pm

Catatan 261

Berlalunya Ramadhan, Syawal Bertamu

+ Terlalu pantas Ramadhan berlalu. Terasa bagai baru semalam kedatanganmu Ramadhan. Kala saya dikhabarkan sehingga sampai ke waktu ini... bagai tidak sedar. Pesta ibadah akan berlalu. "Man ka na ya'budu Ramadhan, fainna Ramadhan qad intaha" "Waman ka na ya'budu Allah fainna Allah haiyun la yamut abada."

+ Dalam tempoh itu jua pelbagai perkara telah berlaku mengkitari kehidupan saya selaku seorang manusia, hamba Allah, mahasiswa, ahli persatuan yang dibebani pelbagai taklif dan tanggungjawab. Segalanya seperti air yang berlari. Ia tetap berlari sehingga tiba ke destinasinya. Begitulah halnya kehidupan kita selaku manusia... jadual hayat akan terus berputar. Dan peristiwa-peristiwa yang kita telah lalui itu adalah memori yang akan bertamu di laman hidup sepanjang hayat dikandung badan. Persoalannya... sama ada memori-memori itu akan membuatkan kita tersenyum suka, atau ia bakal menjadi bayang-bayang yang menghantui kehidupan.

+ Sebagai mana asal - memulakan penulisan secara online - tidak semua yang berlaku dalam menjalani kehidupan akan ditulis. Tidak semua akan terluah di laman ini. Tidak semua yang dilalui akan diterjemahkan. Manusia adalah cermin kepada manusia lain. Namun begitu, saya amat berharap agar apa yang telah dan akan saya tulis selanjutnya bukanlah ibarat cermin yang membohongi. Biarlah cermin itu adalah cermin biasa, yang menampilkan kebenaran dan hakikat supaya kebaikan dan pengajarannya akan diikuti. Janganlah nanti akan menjadi cermin sakti yang menipu untuk kita selaku manusia ini, terus tertipu.

+ Saya telah menjual JASA (Komputer peribadi yang banyak berjasa) kepada seorang kawan dengan harga USD 200 tanpa hard disk selepas menulis catatan sebelum ini. Sekarang bersunyi di dalam bilik memunggah semula isi-isi kitab sebagai isti'dad menambah thaqafah. Kitab-kitab yang tersusun di rak kebanyakannya telah dimasukkan ke dalam kotak untuk proses pos ke Malaysia. Sekotak akan dikenakan bayaran USD 20. Menghitung... mungkin akan sampai tujuh kotak kesemuanya kitab-kitab saya termasuk bacaan lain. Itupun masih banyak yang hendak dibeli sebagai rujukan dan persediaan pengajian lanjutan sarjana yang tak terbeli kerana bajet sudah tidak ada. Terpaksa berharap kalau-kalau boleh didapati kitab-kitab yang tak terbeli di maktabah atau perpustakaan di universiti mana-mana nanti. Khabarnya maktabah Insaniah pun banyak kitab yang belum diteroka.

+ Siang tadi sempat ke maktabah Qirbah lagi. Membeli beberapa silsilah Prof. Dr Ibrahim al-Hafnawi, Wakil Kuliah Syariah wal Qanun Al azhar Tanta dan kitab-kitab lain. Kebanyakannya membahaskan tentang Usul Fiqh kecuali kitab Syeikh Muhammad al-Ghazali tentang tafsir Maudhi'e dan kitab Ar-Rasul karangan Said Hawwa. Saya sempat mengaji madah Usul Fiqh dengan beliau semasa di tahun 1 dan 2. Selepas itu madah Usul Fiqh diajar oleh Dr Qasim dan Dr Muhammad Abu Salim semasa tahun 3 dan Dr Qasim semasa di tahun 4. Alhamdulillah keputusan madah Usul Fiqh saya setiap tahun memuaskan. Tahun 4 pula dapat imtiyaz (cemerlang). Rezeki Allah.

+ Banyak buku dan kitab-kitab yang hendak dan perlu dibaca. Novel Cinta Penyerahan Tragedi, tulisan Bonda Zaharah dan Hamidah pun belum dihabisi. Kumpulan puisi Warna dan Wajah baru dibelek-belek beberapa halaman. Sementara sebuah lagi yang mencukupkan nilai USD 15 yang saya beli menerusi seorang kawan yang pulang ke Malaysia cuti Soifi lalu antologi cerpen "Surat Dari Madras" Uthaya Sankar juga belum dilumati. Hanya sempat membaca muqaddimah Uthaya. Saya meminati penulis India ini dalam penulisan bahasa Melayu yang baik. Tema dan cerita yang dikemukakan pun bagus. Tak mengapa... sebab tidak ramai yang suka bahan sastera di kalangan kawan-kawan saya. Masa pergi ambil buku-buku itu sempat meminjam lima buah karya lagi. Hanya novel "Perempuan Politikus Melayu" karya Faisal Tehrani yang sudah diratah. Sekarang sedang membaca "Cinta Hari-hari Rusuhan" juga karya Faisal. Tapi tak setekun membaca Perempuan Politikus Melayu. "Iman Markisa" karya Aminah Mokhtar, "Wangian Bukit Peranginan" karya Zaharah Nawawi dan "Impian Tsu-ri" karya Nizah Haron belum dijamah. Semuanya akan dibaca, insyAllah. Selepan ini boleh pulangkan dan pinjam lagi. Hari itu sudah nampak "Ranjau Sepanjang Jalan" karya SN Shahnon Ahmad. Berkira-kira nak membaca semula sebab sudah banyak yang sirna dari dinding memori.

+ Tiga orang kawan (Iwan, Naim dan Pidi) yang datang sekapal empat tahun lalu dah pun pulang ke Malaysia 19/11 lepas. Tinggallah saya dan beberapa orang lagi yang juga akan pulang insyaAllah. Keputusan tasfiah belum keluar. Saya berharap dan berdoa supaya lulus. Mohon kalian doakan saya lulus, bolehlah pulang ke tanahair tercinta. 

+ Mesir insyaAllah akan berpuasa sehari lagi menggenapkan 30 hari Ramadhan. 1 Syawal akan disambut pada Selasa 25/11/2003. Bagaimalah pula halnya ditempat-tempat lain?

+ Bersempena idul fitri yang akan menjelma, kesempatan ini saya merakamkan ucapan "Selamat Hari Raya" buat semua pembaca jurnal Jalan Hidup di PUJANGGA Online. Kerana kalianlah jurnal ini terus ada dan doakan semoga adanya jurnal ini kerana Allah. Kalau ada tersalah dan tersilap (kesalahan dan kesilapan) antara kalian dengan saya harap diampun dan maafkan. Sebagai manusia kita tidak terlepas dari salah dan silap. Dan sebaik-baik mereka yang salah dan silap itu ialah yang bertaubat dan memonon ampun dan maaf. Rindunya pada Malaysia, rindunya pada keluarga. Mak... tunggu anakmu ini pulang untuk mengucupmu. Ayah... tunggu anakmu ini pulang untuk memelukmu. Kak tunggu adikmu pulang, adik-adikku... tunggu abangmu ini pulang. Bila Syawal menjelma... semuanya yang pernah mengingatkan bertamu di kornea mata. Ya Allah... berilah kejayaan buatku (akhi)... semoga sempat pulang berbakti.

+ Selamat hari raya. Jika ditanya tentang daku... katakan aku sentiasa merindui kalian. Mungkinkah kerinduan itu akan menemukan kita di dalam lena? Jika kau juga merindui diri ini... hadirlah dalam mimpiku.

Kata-kata Pujangga: "Kadang-kala kita berfikir kita akan punya peluang lagi, apakah kita benar-benar yakin peluang itu akan diberikan lagi."  

Sila klik  Respon/Komen/Cadangan

 

Kembali ke Jurnal

 

Hosted by www.Geocities.ws

1