Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan 272

Ke mana Haluan Selepas ini?

Oleh: Akhi Masrawi

SITUASINYA seperti ini: Suatu hari ada orang yang tidak kita kenali datang berjumpa dengan kita. Dia memperkenalkan satu produk supaya kita membelinya dan dia menjanjikan sesuatu yang baik untuk kita selaku pembeli. Tetapi kita perlu mendahulukan wang dengan barang belum lagi siap. Atau dalam kata lain kita diajar membeli secara jual beli "salam" (tempahan). 

Itulah yang cuba saya terjemahkan menerusi catatan 271 bertajuk: RM 10 Untuk sebuah buku? Alhamdulillah... apa yang saya bayangkan dan tak terbayangkan telah terjadi. Pertama saya membayangkan bahawa saya akan mendapat bantuan daripada rakan-rakan yang mampu membantu yang membaca laman ini. Dan apa yang tak terbayangkan saya ialah saya akan kehilangan rakan yang selama ini menyokong saya. Oleh itu kehidupan ini kita tidak boleh terlalu mengharap!

Apapun saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa orang rakan penulis dan pembaca weblog yang telah meminjamkan/menyumbang kepada saya ke akaun Wadiah BIMB saya. Tetapi apa yang lebih saya rasa terharu... ialah doa yang kalangan kalian telah utuskan di mana urusan buku saya itu dipermudahkan Allah.

Saya telah ke Alor Setar. Lebih tepat lagi saya ke Pustaka Darus Salam, sebuah kedai buku yang sangat tersohor di Utara tanahair. Saya bertemu dengan Pengarah Urusan Pustaka tersebut untuk berbincang mengenai "masa depan" buku saya yang berjudul "INSURANS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM" itu. Alhamdulillah... segalanya berjalan lancar di mana Pengarah Urusan, Ustaz Hadi telah menyetujui untuk menerbitkan buku tersebut. Tetapi soal berapa saya akan dapat belum diputuskan lagi. Buku itupun saya tak tahu bila setepatnya akan diterbitkan, tetapi dalam tahum inilah.

Saya telah berusaha meyakinkan beliau bahawa buku tersebut mampu 'dijual' kerana perbahasannya adalah bercorak kontemporari dan ilmiah. Namun Ustaz Hadi memberikan pandangan yang berbeza. Beliau mengatakan bahawa buku tersebut 'berat' dan masyarakat lebih suka buku yang agak ringan atau sederhana dari sudut perbahasan. Walaubagaimanapun beliau mengakui buku tersebut berguna kepada kelompok sasaran yang saya maksudkan iaitu golongan mahasiswa dan pelajar dalam pelbagai bidang terutamanya bidang Pengajian Islam, Ekonomi, Kewangan Islam, Perbankan dan Insurans.

Melihat kepada minat saya, beliau telah mempelawa saya menjadi penterjemah kepada buku kecil yang mahu diterbitkan oleh Pustaka Darus Salam untuk tahun 2004. Khabarnya tahun ini masih belum ada penerbitan Darus Salam. Beliau menganggarkan lapan buku akan diterbitkan pada tahun 2004 termasuk buku saya. Jaminan beliau melegakan hati saya. Kelegaan itu melupakan saya sejenak kepada perolehan sehingga saya terlupa bertanyakan apakah imbuhan yang bakal saya terima, lagipun saya sangat gembira dengan cara beliau melayan saya dan seorang sahabat yang menemani saya (Teih).

Mungkin bayaran yang akan saya terima dalam bentuk komisyen atau royalti untuk buku Insurans dan untuk buku terjemahan saya yang bakal menyusul agak kecil nilainya tetapi saya telah sedikit keluar dari beban mengurus buku tersebut. Wang yang sahabat pinjamkan kepada saya bolehlah saya gunakan untuk menampung keperluan dan tambang ke Alor Setar.

Segalanya berjalan dengan lancar. Barangkali berkat doa kawan-kawan. Kesempatan ke Alor Setar juga saya isi dengan menghadiri jemputan kenduri kahwin seorang kawan sekolah menengah yang telah menamatkan pengajian di UUM dengan seorang wanita pilihannya. Bertemu kawan-kawan lama menceriakan dengan gelak tawa. 

Saya risau, semasa di Mesir dahulu saya pernah meminta sumbangan dari seorang kenalan maya. Apa yang menyedihkan dia membalas emel saya dan mengatakan dia tak pernah kenal saya... akhirnya perkenalan tersebut putus. Saya risau dengan percubaan saya... di mana projek RM 10 untuk satu buku... mungkin akan mengurangkan pembaca saya dan kawan-kawan yang tidak mampu menolong akan lari daripada saya. Namun... saya harap ini tidak terjadi. Kerana saya paham situasi kalian juga.

Saya percaya kita tidak boleh terlalu mengharap. Jika kita terlalu mengharap tiba-tiba harapan itu musnah kita akan kecewa. Emosi kita tidak stabil dan kita akan menyalahkan orang lain. Kala itu kita pasti menuding. Mungkin melakukan tindakan yang tidak wajar. Oleh itu kita hanya mampu menyatakan apa yang kita harap... jika orang mahu memberinya kita menerima dengan hati terbuka jika tidak... anggaplah dia tidak mampu menyediakan apa yang kita mahu. Namun... dia tetap dia dan kita tetap kita. 

Saya masih menanti surat tawaran untuk mula berkerja sebagai guru daripada PPD Langkawi. Doakan segalanya dipermudahkan sebagaimana kalian telah berdoa supaya urusan buku saya telah dipermudahkan Allah SWT. Saya percaya dan yakin doa kalian akan membantu saya... saya tidak minta kalian mengeringkan saku kalian demi saya, cukuplah dengan seuntai doa.

Artikel saya berjudul "IMAM AL-GHAZALI Perintis Falsafah Islam" diterbitkan oleh majalah i keluaran karangkraf.com edisi April 2004. Sementara itu cerpen saya berjudul "WARKAH TERAKHIR DARI RAMALLAH" diterbitkan oleh Majalah Dewan Siswa edisi April. Catatan selepas ini adalah mengenai Ibnu Thufail seorang tokoh falsafah dan kisah Hayy Ibnu Yaqazhan yang menjadi metod penulisan falsafah beliau. Tunggu...

29 Mac 2004

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1